31.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, July 27, 2025
Utama Blog Laman 246

Kucing pemalu ubah personaliti lepas dapat ‘girlfriend’. Amboi siap peluk-peluk lagi ya!

0

Pencinta kucing lazimnya akan terdorong untuk menyelamatkan mana-mana kucing yang mereka temui. Itulah yang dilakukan oleh seorang wanita bernama Jazmin Felder ini.

Pada mulanya, Jazmin terdengar bunyi ‘meow’ daripada sebatang pokok di rumahnya. Pada ketika itulah, dia memutuskan untuk membela kucing ‘tabby’ yang diberi nama Buddy.

“Setiap kali kucing melintasi pintu rumah saya, saya memberi mereka rumah dan semua kasih sayang saya”, ujar Jazmin.

Sungguhpun Buddy agak teruja untuk memasuki rumah barunya, namun dia agak pemalu dan sering bersembunyi di celah-celah sudut di rumah Jazmin.

Di rumah Jazmin sudah terdapat 4 ekor kucing lain dan Buddy tidak begitu selesa bergaul dengan kucing-kucing itu sehinggalah muncul seekor kucing kelabu bernama Hannah.

Hannah sifatnya berlawanan dengan Buddy. Hannah merupakan kucing yang sangat ekstrovert dan mudah mesra.

Mereka berdua serta merta tertarik antara satu sama lain dan kedua-duanya kemudian menjadi rakan karib.

Apabila Hannah mula menyertai keluarga Jazmin, Buddy adalah kucing pertama yang menyambutnya.

“Dia adalah kucing yang pemalu namun pertama kali bertemu Hannah, personalitinya berubah”, jelas Jazmin.

Manja betul mereka berdua..

Syukurlah Hannah berjaya ‘mengubah’ personaliti Buddy. Ternyata mereka sangat menyayangi antara satu sama lain!

Penunggang motosikal nyaris terjunam ke dalam ‘sinkhole’ di tengah Jalan Teluk Likas

0

Laluan di Jalan Teluk Likas di Kota Kinabalu, Sabah ditutup sementara kepada pengguna jalan raya susulan terdapat mendapan hingga mengakibatkan lubang besar atau ‘sinkhole’ di jalan berkenaan.

Kejadian disedari pengguna yang melihat jalan berlubang pada kira-kira jam 12 tengah hari, 28 November lalu dan mereka terkejut apabila mendapati berlaku mendapan tanah di tengah jalan raya.

Facebook

Kejadian mendapan tanah berkenaan berjaya dirakam oleh salah seorang penduduk di lokasi berhampiran tempat kejadian melalui CCTV miliknya yang diletakkan di hadapan rumah.

Rakaman CCTV berkenaan turut merakam seorang penghantar makanan yang menaiki motosikal nyaris terjunam ke dalam lubang besar itu, tetapi dengan pantas sempat memberhentikan motosikalnya sebelum terjatuh ke bahu jalan.

Facebook

Seorang pengguna jalan raya, Masri Zainal berkata dia melalui jalan terbabit kerana mahu ke Kota Kinabalu dari Likas.

“Jalan tiba-tiba sedikit sesak dan nampak ada satu motosikal berada di tepi jalan. Rupanya ada penghantar makanan kemalangan. Ramai pengguna ketika itu beranggapan berlaku kemalangan tetapi bila semakin dekat saya terkejut apabila melihat ada lubang besar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Facebook

Manakala seorang lagi pengguna jalan raya terbabit, Alvin Tan berkata dia dalam perjalanan dari Teluk Likas ke Likas Jaya ketika kejadian berlaku.

“Saya lihat beberapa kereta berhenti di tepi jalan sebelum turut sama menghentikan kenderaan dan mendapati ada lubang besar. Saya berharap jalan rosak ini dapat diperbaiki dengan segera kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya yang melalui jalan ini khususnya ketika waktu malam dan hari hujan,” katanya.

Facebook

“Selain itu, ia juga boleh menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas kerana ramai orang ramai sudah memulakan aktiviti harian seperti keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah,” tambah Alvin.

Sementara itu, Pengarah Kerja Raya Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Facebook

“Kita sudah mengambil tindakan segera mengenai kejadian ini dan syarikat konsesi Globinaco juga sudah diarahkan untuk meninjau keadaan di lokasi kejadian.”

“Kita juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Perkhidmatan Pembentongan Sabah kerana lubang yang ada di kawasan itu adalah berikutan membabitkan aset pembentungan mereka,” jelas Ir Ali Ahmad Hamid.

Tonton video di sini.

Lihat orang lain kena ‘swab test’, kucing ini kemudian tawarkan diri untuk jalani ujian tersebut

0

Rasanya pasti ramai antara kita yang berpengalaman menjalanji ujian swab Covid-19. Mana tidaknya, virus tersebut masih sahaja merebak di serata dunia, ditambah lagi dengan varian-varian yang semakin berbahaya. Jadi, untuk mengenal pasti seseorang dijangkiti Covid-19 mereka biasanya akan menjalani ujian swab.

Namun bukan hanya kita yang menjalani ujian swab malah haiwan juga nampaknya begitu teruja untuk menjalani ujian tersebut. Buktinya, lihat sahaja gelagat lucu kucing ini yang dengan berani ‘menawarkan diri’ untuk menjalani ujian berkenaan.

Momen lucu tersebut berlaku baru-baru ini di salah sebuah universiti di Chongqing, China. Pada keittika u, universiti itu mengadakan ujian penguatan asid nukleik (NAAT) Covid-19 untuk pelajar dan pengajar di institusi berkenaan.

Ketika itu, seorang pelajar ternampak seekor kucing terbiar sedang memanjat kerusi kosong di hadapan doktor dan duduk di situ. Pelajar itu kemudian mengambil beberapa gambar dan disusun menjadi sebuah video yang telah tular di platform media sosial China, Sina.

Dalam video itu, narator mengatakan bahawa pada masa itu khemah NAAT tidak begitu sibuk. Melihat keadaan itu kucing tersebut terus naik ke atas kerusi yang kosong. Kucing itu kemudian memandang ke arah pegawai kesihatan yang memakai PPE.

Melihat kucing tersebut tidak mahu berganjak dari situ, pegawai kesihatan tersebut kemudian mengambil kapas dan meletakkannya pada hidung si comel itu. Apa yang melucukan kucing itu nampaknya tidak bertindak balas bahkan membenarkan pegawai itu menyentuh hidungnya untuk menjalankan ‘ujian’.

Selepas menjalani ujian barulah si comel itu beredar. Melihat ramai orang yang menjalani ujian tersebut membuatkan dia juga mahu menjalaninya. Dia mungkin juga risau kalau-kalau dia pula yang menghidapi Covid-19, jadi dia mahu memastikan dia benar-benar sihat. Lagipula ujian swab tersebut adalah percuma dan dia tidak perlu membayar apa-apa!

IKEA Jepun tawar pangsapuri kecil siap berperabot penuh di Tokyo dengan sewa serendah RM4 sebulan

0

Nampaknya syarikat perabot Sweden paling terkenal di dunia, IKEA tidak berpuas hati dengan hanya membuat perabot mampu milik bertaraf dunia tetapi juga merancang untuk menceburi perniagaan hartanah. 

IKEA Jepun kini menjadi tuan tanah di Jepun dengan memperkenalkan pangsapuri kecil berukuran 10 meter persegi atau 107 kaki persegi di Tokyo yang akan disewakan oleh syarikat itu. 

IKEA Japan

Bukan sahaja pangsapuri kecil Tokyo di daerah Shinjuku itu dilengkapi dengan perabot dan aksesori IKEA tetapi ia juga akan disewakan pada harga hanya 99 yen atau lebih kurang RM4 sebulan.

IKEA Japan

CNN Business melaporkan buat pada masa ini hanya terdapat satu unit yang tersedia dan syarikat itu kini menerima permohonan daripada bakal penyewa yang mesti berusia 20 tahun ke atas. 

IKEA Japan

IKEA Jepun menambah pemohon yang berminat mempunyai masa sehingga 3 Disember 2021 untuk menyerahkan permohonan bagi berpeluang menyewa pangsapuri kecil itu.

IKEA Japan

Menurut laman web IKEA Japan, unit pangsapuri itu dikenali ‘Tiny Homes’ dan ia akan disewakan dengan pajakan sehingga 15 Januari 2023. Oleh kerana penyewa bertuah hanya membayar sewa pangsapuri comel ini dengan hanya RM4 sebulan, maka bil utilitinya perlulah dibayar sendiri.

IKEA Japan

Di laman web IKEA Jepun, pihak mereka berkata walaupun sepuluh meter persegi itu tidaklah seperti memerlukan tugas yang banyak, namun mereka telah bekerja keras berfikir untuk memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada. Syarikat itu menghuraikan lebih lanjut:

“Salah satu kunci ialah memanfaatkan ruang menegak dengan baik…Dengan menguasai bilik secara tiga dimensi, kemungkinan baharu terbuka dalam ruang yang terhad.”

Presiden Republik Czech yang positif COVID-19 lantik Perdana Menteri baharu dari bilik kaca

0

Presiden Republik Czech Milos Zeman melantik ketua perikatan pembangkang Petr Fiala sebagai Perdana Menteri baharu pada 28 November dalam satu majlis yang dilakukan dari bilik kaca plexiglass selepas disahkan positif COVID-19.

Petr Fiala mengetuai blok lima parti pembangkang yang memenangi pilihan raya pada Oktober, menyingkirkan penyandang Perdana Menteri Andrej Babis dan sekutunya.

Kerajaan baharu perlu menangani gelombang baharu jangkitan COVID-19 dan krisis tenaga, selepas kejatuhan pembekal elektrik terbesar. Gabungan itu juga merancang untuk mengolah semula belanjawan negara 2022 bagi mengurangkan defisit yang besar.

Perdana Menteri Republik Czech yang baharu, Petr Fiala (Gambar oleh Milan Kammermayer/AFP/Getty Images)

“Kerajaan baharu berhadapan masa yang sangat rumit dan pelbagai cabaran… Saya mahu ia menjadi kerajaan yang membawa perubahan untuk masa depan,” kata Perdana Menteri Petr Fiala ketika sidang akhbar.

Beliau menjangkakan barisan kabinet baharunya akan dilantik pada pertengahan Disember.

Perdana Menteri baharu itu juga menyeru rakyat untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 dan memuji petugas perubatan dan barisan hadapan ketika menangani kes yang semakin meningkat.

Presiden Republik Czech Milos Zeman yang berada dalam bilik kaca selepas disahkan positif COVID-19, melantik ketua parti pembangkang ODS (Civic Democratic Party) Petr Fiala sebagai Perdana Menteri baharu di Lany Chateau di Prague, Republik Czech pada 28 November 2021. (Gambar oleh Roman Vondrous/Pool/Reuters)

Ribuan penentang vaksinasi dan langkah anti-coronavirus kerajaan seperti larangan membuka pasar Krismas, berkumpul di Prague pada 28 November mengadakan perhimpunan bantahan.

Hanya 58.5 peratus rakyat Republik Czech telah mendapatkan vaksinasi berbanding purata Kesatuan Eropah sebanyak 65.8 peratus, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah.

Presiden Milos Zeman melakukan upacara pelantikan dari bilik kaca plexiglass selepas disahkan positif COVID-19. Beliau yang tiba dengan berkerusi roda diiringi oleh doktor bersama peralatan perlindungan lengkap, dijangkiti virus itu daripada petugas perubatan selepas berada enam minggu di hospital kerana menghidap penyakit kronik yang tidak didedahkan oleh Pejabat Presiden.

COVID-19 : Malaysia sekat kemasukan 7 negara Afrika Selatan berikutan penemuan varian baharu

0

Malaysia melarang kemasukan pelancong asing daripada beberapa buah negara Afrika Selatan setelah penemuan varian baharu COVID-19, B.1.1.529 atau ‘Omicron’.

Keputusan itu dibuat kerajaan atas langkah berjaga-jaga ekoran varian tersebut sudah menular di beberapa negara di benua Afrika dan juga Hong Kong.

“KKM memandang serius dengan kewujudan varian baharu ini dan akan mempertingkatkan survelan genomik termasuk ke atas individu yang tiba dari negara yang melaporkan varian ini”, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Ujar Khairy, setakat 26 November, survelan genomik yang dijalankan mendapati tiada virus varian baharu itu dilaporkan di Malaysia.

Larangan kemasukan sementara itu melibatkan warga asing dengan sejarah perjalanan 14 hari ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Afrika Selatan bermula 27 November.

Walau bagaimanapun, Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara tersebut dibenarkan masuk.

Namun mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi, selain tidak dibenarkan untuk kuarantin di rumah.

Pada masa yang sama, rakyat Malaysia turut dilarang untuk melakukan perjalanan ke 7 buah negara yang telah disebutkan.

Ringkasnya, varian ‘Omicron’ mempunyai 32 mutasi ‘spike’ protein, iaitu 2 kali ganda lebih banyak daripada varian Delta.

Sungguhpun begitu, masih tiada maklumat lanjut mengenai tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan varian tersebut. Keberkesanan vaksin juga tidak dapat ditentukan.

Anak bawa beg seberat hampir 8kg setiap hari, isu beg sekolah berat undang kebimbangan ibu bapa

0

Isu beg sekolah berat bukan lagi isu baru di negara ini. Sejak dahulu masalah ini sering mengundang kerisauan ibu bapa. Bayangkan setiap hari anak kecil mereka terpaksa membawa beg sekolah yang beratnya berkilo-kilogram ke sekolah.

Apa yang menjadi kebimbangan ramai ialah mengenai masalah kesihatan mereka. Ramai antara mereka yang masih kecil dan memiliki tubuh yang kecil. Tenaga mereka juga terbatas tetapi mahu atau tidak, mereka perlu memikul beg yang berat.

Tidak hanya itu, mereka juga perlu mengangkut beg yang berat naik turun bas sehingga ke kelas. Ada antara mereka yang kelasnya terletak di tingkat dua atau tiga, boleh dibayangkan betapa letihnya mereka?

Mungkin ada yang berkata kanak-kanak sekarang manja sehingga tidak boleh membawa beg yang berat. Ada juga yang mengatakan ibu bapa pula yang terlebih memanjakan anak mereka. Namun kini, isu tersebut sudah tidak lagi relevan. Mana tidaknya, jika perlu membawa 8 kilogram beg setiap hari ke sekolah pastinya ia adalah sesuatu yang sangat membebankan buat sesiapa pun.

Kepada pihak yang bertanggungjawab sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Isu lama ini nampaknya masih berlanjutan sehingga kini dan apa yang paling membimbangkan adalah masalah kesihatan anak-anak kita yang boleh terjejas akibat membawa ‘beban yang berat setiap hari.

Bukti tanda cinta, ahli perniagaan India bina replika Taj Mahal buat isteri

0

BURHANPUR- Sebagai tanda cintanya, seorang ahli perniagaan, Anand Prakash Chouksey, di India telah membina sebuah replika Taj Mahal buat isterinya.

Menurut sejarah Taj Mahal sebenar, “monumen cinta” itu telah dibina atas arahan Maharaja Mughal Shah Jahan untuk menempatkan makam isteri kesayangannya, Mumtaz Mahal, pada abad ke-17.

Isteri Chouksey dikatakan turut membantu dalam melaksanakan projek tersebut. Dia bahkan membuat rundingan mengenai binaan tersebut dan kini ianya telah berhasil dibina dengan kira-kira satu pertiga daripada saiz asal Taj Mahal.

“Satu-satunya permintaan isteri saya adalah untuk bilik meditasi. Dia seorang wanita rohani,” kata ahli perniagaan berusia 52 tahun itu.

Taj Mahal asal adalah terletak di selatan Delhi, Agra manakala replika baharu itu terletak sejauh 800 kilometer (500 batu) di Burhanpur.

Taj Mahal pada mulanya mahu dibina di tebing Sungai Tapti, tempat Mumtaz meninggal dunia semasa melahirkan anaknya yang ke-14, namun struktur tanah di situ tidak sesuai. Akhirnya, Agra menjadi lokasi Taj Mahal dibina.

Untuk membina replika ini, mereka telah mengambil masa selama tiga tahun dan menelan belanja 15 juta rupee (sekitar 847,800,00). Selain itu, replika tersebut dibina dengan menggunakan batu marmar dari Makrana, iaitu batu yang sama digunakan untuk membina Taj Mahal sebenar.

Chouksey merancang untuk memasang bendera India di atas kubah utama dan menambah simbol agama paling popular di India pada keempat-empat menara yang mengelilingi rumah agamnya itu.

“Kami mahu menghantar mesej keamanan dan keharmonian agama. Terdapat banyak kebencian yang ada di sekeliling. Cinta menyelesaikan semua masalah dalam kehidupan dan Taj Mahal adalah simbol itu.” –AFP

Pemilik kedai makan keluar dalam keadaan tergesa-gesa, pelanggan ‘layan diri’ dengan buat mi sendiri dan tidak lupa buat bayaran makanan

0

Alangkah baiknya jika semua orang boleh mengamalkan sikap jujur. Bayangkan jika tiada satu pun penipuan yang berlaku, pastinya suasana akan menjadi lebih baik. Kejujuran itulah yang dibuktikan oleh pelanggan di sebuah kedai makan di China yang pasti akan buatkan ramai yang kagum.

Apa yang berlaku ialah pada suatu hari, pemilik kedai makan yang bernama Sun Nan itu terpaksa keluar dan meninggalkan kedai makannya dalam keadaan tergesa-gesa. Ketika itu masih ada pelanggan di kedainya dan dia terus keluar tanpa menutup kedainya.

Apa yang membuatnya tersentuh ialah selama dua jam dia berada di luar, dia menerima banyak notofikasi yang menunjukkan pembayaran yang dilakukan oleh para pelanggannya.

Rupa-rupanya, pelangggan-pelanggannya terus makan di kedainya dan dengan jujur melakukan pembayaran ke atas makanan yang mereka makan. Mereka telah membuat mi mereka sendiri dan bayar harga makanan tersebut melalui imabasan kod. Tidak hanya itu, ada antara mereka yang bermurah hati dengan membayar lebih daripada harga sebenar.

Sejak Sun Nan membuka kedainya dia meletakkan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran, dan caj untuk warga emas, tukang cuci, orang miskin dan golongan kurang upaya adalah lebih rendah. Tidak hanya itu, kadang kala dia juga tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelanggan.

Walaupun tingkah laku Sun Nan diterima baik, ada yang tidak berpuas hati apabila melihat popularitinya semakin meningkat. Pada 21 November lalu, seorang lelaki telah menyerbu kedainya dan membuat kacau malah dia telah menampar Sun Nan di khalayak ramai!

Menurut Sun Nan berkata, pengacau itu sebenarnya telah ada sejak dahulu lagi. Hampir setiap minggu ada yang datang ke kedainya untuk memarahinya kerana menjual makanan dengan harga yang murah.

Keesokan harinya dia telah pergi ke balai polis untuk menyelesaikan masalah tersebut. Orang yang menamparnya telah datang semula untuk meminta maaf kepadanya.

Jadi, dia terpaksa bergegas ke sana tanpa menutup kedainya kerana dia menyangka dia hanya pergi seketika namun rupa-rupanya dia mengambil sekitar 2 jam untuk menyelesaikan semua urusannya.

Sun Nan berkata bahawa pada waktu itu sudah tengah hari, dan apabila dia kembali ke kedai, dia mendapati ramai pelanggan yang membuat mi tarik mereka sendiri. Mereka juga tidak lupa untuk membuat bayaran.

Menurut Sun Nan lagi, dia sebenarnya dibesarkan dengan makanan yang diperolehi daripada bantuan orang ramai. Jadi, apabila dewasa dia membuka kedai makan dan meletakkan harga yang rendah kerana mahu memberi semula kepada masyarakat sebagai balas budi.

Varian baharu Omicron dari Afrika Selatan: Apa yang diketahui setakat ini

0

Para saintis Afrika Selatan menemui varian terbaharu COVID-19 yang mereka dakwa mungkin menjadi penyebab lonjakan jangkitan baharu di negara itu, mengakibatkan panik di seluruh dunia akan kebimbangan varian yang sangat bermutasi itu menular di peringkat global.

Afrika Selatan merekodkan lebih 200 kes baharu yang disahkan setiap hari sehingga baru-baru ini jumlah itu tiba-tiba meningkat kepada 2,465 pada 25 November. Para saintis mengkaji sampel virus dan mendapati kebanyakannya tertumpu di Gauteng, wilayah paling ramai penduduk di negara itu dan Johannesburg menemui varian baharu yang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) namakan Omicron pada 26 November.

“Ini adalah varian mutasi yang menjadi kebimbangan serius,” kata Menteri Kesihatan Joe Phaahla ketika sidang media. Phaahla berkata varian terbaharu berada di sebalik “peningkatan eksponen” kes, tetapi pakar sedang cuba untuk mengesahkannya, kerana membuktikan hubung kait sebenar memerlukan masa.

Gambar Hiasan / Unsplash

Buat masa ini, tiada laporan berhubung varian itu di Malaysia dan kebanyakan kes masih tertumpu di Afrika Selatan dengan yang lain dilaporkan di Botswana, Israel, Hong Kong dan Malawi, di mana jangkitan itu dikenal pasti melalui kemasukan pelawat yang datang dari Afrika Selatan. Belgium melaporkan kes pertama varian itu pada 26 November.

Banyak Mutasi

Saintis Afrika Selatan Tulio de Oliveira berkata ketika taklimat media pada 25 November bahawa varian Omicron yang baharu ditemui mempunyai “buruj unik” dengan lebih 30 mutasi kepada protein spikenya, yang jauh lebih tinggi dan paling membimbangkan berbanding varian Delta. Memandangkan protein spike terikat pada sel yang dijangkiti, bilangan mutasi yang tinggi memberi kesan tentang betapa mudahnya varian itu boleh merebak di kalangan populasi dan meningkatkan risiko jangkitan semula.

Varian yang dikenali sebagai B.1.1.529, mengandungi sejumlah 50 mutasi. Ia mempunyai 10 mutasi pada reseptor ACE2, yang membolehkan virus itu menjangkiti sel manusia, berbanding tiga untuk varian Beta, dan dua untuk Delta, jelas Tulio de Oliveira.

Pengerusi COVID-19 Genomics Consortium UK, Profesor Sharon Peacock berkata kepada Reuters, “ini adalah varian yang lebih mudah disebarkan,” tetapi “jumlah signifikan mutasi yang dikesan benar-benar tidak diketahui”. Beliau menambah kajian sedang dijalankan pada kadar segera di Afrika Selatan tetapi mereka akan mengambil masa beberapa minggu untuk disiapkan.

Lawrence Young, ahli virologi dari Universiti Warwick, berkata kepada AP bahawa varian itu “kelihatan merebak dengan pantas,” walaupun buat masa ini ia hanya ditemui di bahagian Afrika Selatan.

Menurut Profesor Richard Lessells, dari Universiti KwaZulu-Natal di Afrika Selatan, varian terbaharu ini mempunyai persamaan dengan varian Beta dan Lambda, kerana ia terdedah untuk mengelak imuniti.

“Kesemua perkara berkaitan memberi kebimbangan kepada kita bahawa varian ini mungkin bukan sahaja meningkatkan kebolehjangkitan—sehingga tersebar dengan lebih cekap—tetapi mungkin juga dapat mengatasi bahagian sistem imun dan perlindungan yang ada dalam sistem imun kita,” kata Profesor Lessells.

Kes baharu yang dijangkiti di Afrika Selatan kebanyakannya ditemui pada golongan muda. Menurut Joe Phaahla, kira-kira 25 peratus dalam kategori umur 18 hingga 34 tahun telah menerima vaksinasi.

Seperti yang sama dengan varian Alpha, lelaran terakhir ini mungkin berasal dari individu lemah imun yang boleh mengubah suai virus secara genetik apabila sistem tubuh badannya tidak dapat menyingkirkannya tepat pada masa.

Corona Borealis Studio/Shutterstock

Sekatan perjalanan

Varian Omicron muncul ketika jangkaan peningkatan kemasukan pelawat dan pengembara peringkat global menjelang musim cuti hujung tahun dan PRN Sarawak di Malaysia yang akan diadakan.

Felo kanan Akademi Sains Malaysia, Dr Lam Sai Kit berkata, walaupun tiada laporan berhubung varian itu di Malaysia, negara perlu kekal berwaspada kerana ia muncul di tengah pergerakan orang ramai pada ketibaan masa yang begitu buruk.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin mengumumkan sekatan perjalanan pengembara warga Malaysia ke tujuh buah negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe bermula 27 November.

Beliau berkata ia merupakan inisiatif kerajaan dalam mempertingkatkan langkah pencegahan dan kawalan sempadan termasuk pengembara yang tiba di pintu masuk negara, sambil menekankan KKM sentiasa memantau laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain berkaitan perkembangan varian Omicron.

Gambar Hiasan / Unsplash

Kumpulan Penasihat Teknikal WHO mengadakan mesyuarat tergempar secara maya mengenai Evolusi Virus SARS-CoV-2 dalam membincangkan dan menetapkan B.1.1.529 atau Omicron sebagai VOC (Variant of Concern) pada 26 November.

“Kami belum tahu sangat tentang perkara ini. Apa yang kami tahu ialah varian ini mempunyai sejumlah besar mutasi, dan kebimbangannya ialah apabila anda mempunyai begitu banyak mutasi, ia boleh memberi kesan kepada cara virus berkelakuan,” kata Maria Van Kerkhove, Ketua Penasihat Teknikal WHO mengenai COVID-19 kepada ABC News.

Memandangkan hanya terdapat kurang 100 jujukan genom penuh atas varian, kesan vaksin sedia ada tidak dapat ditentukan. “Ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk kita memahami kesan varian ini terhadap mana-mana vaksin yang berpotensi,” kata Maria Van Kerkhove.