Nampaknya syarikat perabot Sweden paling terkenal di dunia, IKEA tidak berpuas hati dengan hanya membuat perabot mampu milik bertaraf dunia tetapi juga merancang untuk menceburi perniagaan hartanah.
IKEA Jepun kini menjadi tuan tanah di Jepun dengan memperkenalkan pangsapuri kecil berukuran 10 meter persegi atau 107 kaki persegi di Tokyo yang akan disewakan oleh syarikat itu.
Bukan sahaja pangsapuri kecil Tokyo di daerah Shinjuku itu dilengkapi dengan perabot dan aksesori IKEA tetapi ia juga akan disewakan pada harga hanya 99 yen atau lebih kurang RM4 sebulan.
CNN Business melaporkan buat pada masa ini hanya terdapat satu unit yang tersedia dan syarikat itu kini menerima permohonan daripada bakal penyewa yang mesti berusia 20 tahun ke atas.
IKEA Jepun menambah pemohon yang berminat mempunyai masa sehingga 3 Disember 2021 untuk menyerahkan permohonan bagi berpeluang menyewa pangsapuri kecil itu.
Menurut laman web IKEA Japan, unit pangsapuri itu dikenali ‘Tiny Homes’ dan ia akan disewakan dengan pajakan sehingga 15 Januari 2023. Oleh kerana penyewa bertuah hanya membayar sewa pangsapuri comel ini dengan hanya RM4 sebulan, maka bil utilitinya perlulah dibayar sendiri.
Di laman web IKEA Jepun, pihak mereka berkata walaupun sepuluh meter persegi itu tidaklah seperti memerlukan tugas yang banyak, namun mereka telah bekerja keras berfikir untuk memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada. Syarikat itu menghuraikan lebih lanjut:
“Salah satu kunci ialah memanfaatkan ruang menegak dengan baik…Dengan menguasai bilik secara tiga dimensi, kemungkinan baharu terbuka dalam ruang yang terhad.”