Presiden Republik Czech Milos Zeman melantik ketua perikatan pembangkang Petr Fiala sebagai Perdana Menteri baharu pada 28 November dalam satu majlis yang dilakukan dari bilik kaca plexiglass selepas disahkan positif COVID-19.
Petr Fiala mengetuai blok lima parti pembangkang yang memenangi pilihan raya pada Oktober, menyingkirkan penyandang Perdana Menteri Andrej Babis dan sekutunya.
Kerajaan baharu perlu menangani gelombang baharu jangkitan COVID-19 dan krisis tenaga, selepas kejatuhan pembekal elektrik terbesar. Gabungan itu juga merancang untuk mengolah semula belanjawan negara 2022 bagi mengurangkan defisit yang besar.

“Kerajaan baharu berhadapan masa yang sangat rumit dan pelbagai cabaran… Saya mahu ia menjadi kerajaan yang membawa perubahan untuk masa depan,” kata Perdana Menteri Petr Fiala ketika sidang akhbar.
Beliau menjangkakan barisan kabinet baharunya akan dilantik pada pertengahan Disember.
Perdana Menteri baharu itu juga menyeru rakyat untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 dan memuji petugas perubatan dan barisan hadapan ketika menangani kes yang semakin meningkat.

Ribuan penentang vaksinasi dan langkah anti-coronavirus kerajaan seperti larangan membuka pasar Krismas, berkumpul di Prague pada 28 November mengadakan perhimpunan bantahan.
Hanya 58.5 peratus rakyat Republik Czech telah mendapatkan vaksinasi berbanding purata Kesatuan Eropah sebanyak 65.8 peratus, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah.
Presiden Milos Zeman melakukan upacara pelantikan dari bilik kaca plexiglass selepas disahkan positif COVID-19. Beliau yang tiba dengan berkerusi roda diiringi oleh doktor bersama peralatan perlindungan lengkap, dijangkiti virus itu daripada petugas perubatan selepas berada enam minggu di hospital kerana menghidap penyakit kronik yang tidak didedahkan oleh Pejabat Presiden.