31.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 2, 2025
Utama Blog Laman 238

Malaysia kesan 11 lagi kes varian Omicron – Dr Noor Hisham

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 11 lagi kes varian Omicron dikesan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan ini sejumlah 13 kes dikesan membabitkan varian yang membimbangkan (VOC) itu dikesan di Malaysia, setakat Sabtu.

“Kesemua 11 kes itu adalah kes import yang melibatkan sembilan rakyat tempatan dan dua warga Nigeria,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media memaklumkan, 18 kes disyaki berkemungkinan varian Omicron dan KKM sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memberitahu, masing-masing tiga kes itu mengembara dari United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Sementara dua daripada mereka katanya dari Nigeria, Arab Saudi (dua individu) dan satu kes dari Australia.

“Pemeriksaan mendapati lapan daripada mereka mempunyai gejala namun hanya pada tahap kategori dua manakala selebihnya tidak bergejala.

“Justeru itu, lima daripada mereka sedang menjalani kuarantin di rumah sementara selebihnya di stesten kuarantin,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kesemua kes itu sedang dalam siasatan lanjut KKM bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat.

Beliau turut menjelaskan, tujuh daripada 18 sampel yang disyaki varian Omicron sebelum ini bagaimanapun tidak dapat disahkan varian tersebut memandang ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan yang mungkin disebabkan tahap viral load yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima.

Ketujuh-tujuh sampel itu katanya, mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) yang tinggi iaitu enam sampel dengan CT value melebihi 30 dan satu sampel mempunyai CT value 28.47.

Dalam pada itu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron pada 17 Disember lalu dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS).

“KKM juga ingin memaklumkan bahawa sebanyak 222 kes baharu varian dilaporkan daripada 11 Disember 2021 sehingga 17 Disember 2021.

“IMR telah mengenal pasti sebanyak 128 kes baharu yang kesemuanya adalah varian yang membimbangkan (VOC) iaitu 117 varian Delta (B.1.617.2) dan 11 varian Omicron (B.1.1.529) , manakala Institut Genom Malaysia (MGI) mengenal pastisebanyak 48 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2).

“Di samping itu, UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) juga telah mengenal pasti 46 kes baharu yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2).

Sehingga kini, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian berkepentingan (VOI) adalah sebanyak 5,213 kes,” tambahnya.

Daripada jumlah yang dikesan itu, Dr Noor Hisham berkata, 5,193 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

Beliau memaklumkan, secara keseluruhan, bagi VOC terdapat sebanyak 4,933 kes varian Delta, 233 kes varian Beta, 14 kes varian Alpha dan 13 kes varian Omicron.

Manakala bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

Dengan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia ini, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan meningkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan COVID-19 termasuk varian Omicron di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan di dalam komuniti.

“Justeru, KKM menggalakkan supaya setiap individu mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia. Terus amalkan norma baharu dan pematuhan kepada SOP sedia ada,” tambah beliau lagi.

Rindukan pemilik yang telah meninggal dunia, Oyen peluk telefon bimbit yang ada gambar tuannya

0

Sedihnya saat ditinggalkan pasti memberi kesan kepada sesiapa pun. Membayangkan orang yang selama ini ada di sisi tetapi sudah tiada semestinya sangat menyedihkan dan menyakitkan. Kesedihan itu bukan sahaja kita yang mampu merasai tetapi haiwan juga boleh merasakan kesedihan yang sama.

Kucing ini dikatakan telah kehilangan tuannya setelah tuannya meninggal dunia tanpa diduga. Ekoran rasa rindu dan sedih yang ditanggung dia mula hilang selera makan.

Kucing oren tersebut sebenarnya merupakan kucing jalanan yang terbiar dahulunya. Ketika itu dia masih sangat kecil. Nasibnya berubah apabila ada yang sudi mengambil dan menjaganya di rumah. Sejak itu dia dijaga dan disayangi sepenuh hati oleh pemiliknya. Mereka kemudian mula menjadi sangat rapat.

Namun, pada suatu hari tuannya terlibat dalam sebuah kemalangan ketika pulang ke rumah sehingga meragut nyawanya.

Bagi si Oyen pula, dia pada mulanya tidak perasan akan apa-apa yang luar biasa yang terjadi pada beberapa hari pertama. Kemudian, selepas tuannya sudah dikebumikan, dia sudah mula juga menyedari sepertinya ada sesuatu yang tidak kena.

Sejak kematian tuannya itu, kucing itu menjadi semakin tertekan dan mula tidak mahu makan. Walaupun cuba diberi makan oleh anak tuannya dia tetap menolak.

Pelbagai hal telah dilakukan oleh mereka di rumah tetapi tiada apa yang boleh menghiburkan kucing itu. Akhirnya, anak tuan rumah mendapat idea dengan memberikan telefon bimbitnya kepada si Oyen untuk menunjukkan video dan gambar ibunya.

Melihat video tuannya di telefon membuatkan kucing itu mula berdiri dan menjadi sangat teruja. Si comel itu terus menggosok kepalanya pada skrin telefon seolah-olah mahu tuannya membelainya seperti biasa.

Kelakuannya telah membuatkan orang yang melihatnya tidak dapat menahan tangis. Nampaknya dia sedang sangat merindui tuannya…

Ekoran hujan lebat tanpa henti, Jenjarom dilanda banjir kilat

0

KUALA LANGAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mengesahkan banjir berlaku di kawasan sekitar Taman Jaroman, Kampung Jenjarom pada 16 Disember.

Hujan lebat yang turun sejak jam 5 petang Jumaat menyebabkan berlaku banjir kilat di beberapa kawasan di Jenjarom.

Menurut Pengarahnya, Norazam Khamis, hujan lebat sejak pukul 5 petang tadi menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air sebelum pasukan penyelamat dari Balai Bomba Teluk Panglima Garang dikerah untuk memantau keadaan di sana.

“Kawasan Taman Jaromas di dilanda banjir kilat masih terkawal. Air yang melimpah tidak masuk ke rumah penduduk.Hasil pemantauan pihak kami air masih di paras lutut di jalan keluar masuk taman.

“Di dalam kawasan taman di paras buku lali, walau bagaimanapun tiada pemindahan mangsa buat masa sekarang dan langkah berjaga-jaga dimaklumkan kepada penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular sebuah video dalam media sosial memaparkan kejadian banjir di kawasan deretan kedai berhampiran pasar raya Lotus’s dan Econsave.

Video berdurasi 10 saat itu dikongsikan menerusi Facebook Jenjarom Community yang menunjukkan limpahan air dari longkang sekitar pada paras kurang satu kaki.

Selain Jenjarom, hujan lebat kali ini melibatkan banyak kawasan yang turut dilanda banjir kilat. Dilaporkan sebanyak 20 kawasan di Klang turut terjejas. Tidak hanya itu, beberapa tempat di Kuantan, Pahang, turut mengalami banjir kilat ekoran hujan lebat sejak Khamis lalu.

Sebelum ini, negara menyaksikan kejadian benjir kilat berlaku di beberapa tempat seperti di Alor Setar, Sungai Siput dan Kota Marudu. Ratusan penduduk terpaksa dipindahkan dan puluhan pusat pemindahan sementara dibuka bagi menempatkan mangsa banjir.

Banjir kilat di Klang, air naik setinggi satu meter

0

KLANG – Hujan lebat yang turun sejak jam 6 petang pada Jumaat dilaporkan telah menyebabkan beberapa kawasan termasuk laluan utama di Pelabuhan Klang dilanda banjir kilat.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada sekitar jam 7.27 malam.

“Sekumpulan tujuh pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja dikejarkan ke Jalan Perajurit 1, Telok Gong, Klang.

Sebanyak 20 kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat dan Telok Gong antara yang paling terkesan dengan kenaikan air sehingga ke paras pinggang.

“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi mendapati berlaku banjir kilat pada paras paha (anggaran hampir satu meter) susulan hujan lebat.

“Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat namun pemantauan tetap dilakukan oleh anggota bertugas di lokasi kejadian,” PGO dalam kenyataan itu pada Jumaat malam.

Tambahan lagi, pihak PGO juga dikatakan telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di Pulau Indah lalu bergegas ke tempat kejadian.

Kawasan lain yang terjejas adalah Pulau Indah, Pandamaran, Bandar Botanik, Telok Gadong, Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Tinggi.

Gantung patung pada beg penghantaran jadi sensasi di Taiwan. Rupanya ada fungsinya tersendiri…

0

Di Taiwan, kebanyakan penghantar makanan mahupun barangan dilihat meletakkan patung di atas beg penghantaran. Mengapa agaknya ya?

Tindakan itu ternyata membuatkan ramai yang tertanya-tanya akan sebabnya. Bagi penghantar makanan, ianya mempunyai fungsi praktikalnya yang tersendiri.

Ini kerana ia memudahkan pelanggan untuk mengenalpasti motosikal yang digunakan bagi tujuan pengambilan makanan.

“Saya meletakkan patung dinosaur pada beg penghantaran saya. Jika saya menghantarnya ke sekolah, saya akan memberitahu pelanggan bahawa ada patung dinosaur pada pesanan itu”, kata seorang penghantar makanan.

Pelanggan juga dapat segera mengecam penghantar yang ditugaskan. Maka tiadalah individu yang tersalah ambil barangan mahupun makanan.

Malah, seorang lagi penghantar mendedahkan bahawa patung yang disambungkan pada zip beg penghantaran itu juga bertindak sebagai ‘penanda’ sama ada zip beg itu telah ditutup ataupun terbuka.

“Saya sangkutkan ia pada zip kerana saya sering terlupa untuk menutup zip beg. Jadi jika saya lihat posisi patung itu berada di bawah, saya tahu ia belum lagi ditutup”.

Jadi individu tersebut akan segera berhenti di bahu jalan untuk menutupnya. “Kadang kala, ia turut memudahkan saya untuk mencari kedudukan zip, terutamanya jika saya mahu cepat”.

Ada pula penghantar yang hanya menyukai kecantikan pada patung tersebut dan ia diletakkan bertujuan untuk dekorasi semata.

“Secara peribadinya, saya sukakan patung yang ringkas, ringan dan tidak mempunyai banyak aksesori yang tidak perlu”.

“Ia sudah kelihatan cantik, tidak perlu tujuan apa pun”, ujar penghantar berkenaan. Ada juga yang berasa patung itu ‘menemani’ hari mereka bekerja.

Pemandangan indah di permukaan berbau meloyakan, ramai tidak kisah ‘lokasi cantik’ sebenarnya loji kumbahan janji dapat bergambar

0

Zaman kini semacam menjadi lumrah apabila terlihat sesuatu tempat menarik untuk menjadi tular mengindahkan khabar.

Pasti akan ada ramai orang yang berpusu-pusu menerjah tempat itu janji dapat bergambar dan memuaskan rasa ingin tahu.

Facebook

Baru-baru ini, tular di media sosial penampakan pemandangan indah di lokasi bertasik yang dipenuhi bunga cantik dan mekar berwarna ungu, yang menjadi tarikan kepada orang ramai untuk bergambar.

Tidaklah pula kita yang tidak pergi ke sana menyangka di sebalik gambar-gambar indah terpamer di media sosial seperti berada di luar negara, rupa-rupanya berlokasi di sebuah loji kumbahan yang terletak di Jalan Bakar Sampah, Paya Nahu, Sungai Petani, Kedah.

Facebook

Sebelum ini tular di TikTok dan Facebook dengan muat naik rakaman video dan gambar pemandangan indah itu, tetapi mereka kemudian memberi isyarat terpaksa menghentikan rakaman video dan bergambar kerana tidak tahan dengan bau busuk dan meloyakan.

Tetapi masih ramai juga yang sanggup ke sini disebabkan lokasinya yang cantik walaupun terpaksa menghidu bau yang kurang menyenangkan.

Facebook

Walaupun ramai yang mengatakan mereka bergambar di loji kumbahan, seorang warganet dan penduduk tempatan telah tampil memberi penjelasan di TikTok bahawa lokasi berkenaan pada asalnya adalah sebuah tasik semula jadi yang telah di salah guna sebagai tempat pembuangan sisa-sisa kilang berhampiran.

Difahamkan, bunga berwarna ungu yang cantik itu adalah bunga keladi bunting (Eichhornia crassipes) yang tumbuh sejak beberapa tahun yang lalu. Tumbuhan ini amat biasa dilihat berada di tasik atau kolam. Keladi bunting boleh memberi kebaikan dan keburukan kepada alam sekitar dalam beberapa situasi.

Facebook

Tumbuhan akuatik ini biasa digunakan sebagai kaedah untuk rawatan air sisa. Ia akan berkembang di atas kumbahan dengan cara menyerap dan mencerna nutrien serta mineral daripada sisa air kumbahan.

Tetapi, menurut penyelidik tumbuhan ini dikenali sebagai spesies invasif kerana keupayaaannya berkembang dengan cepat sehingga menutup sebahagian besar tasik atau kolam menyebabkan hidupan akuatik di dalamnya tidak menerima bekalan cahaya matahari dan oksigen. 

Facebook

NST melaporkan keladi bunting ditanam oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) sebagai penyelesaian secara semula jadi dan lebih murah bagi menangani isu bau busuk di loji atau kolam kumbahan.

Menyebabkan loji kumbahan menjadi cantik dan mulalah orang ramai datang berpusu-pusu untuk bergambar yang boleh mendatangkan bahaya jika secara logik difikirkan.

Dalam satu hantaran Facebook oleh Kedah Kini pada 14 Disember, lokasi itu kini telah ditutup untuk kunjungan orang ramai atas faktor keselamatan.

Kedah Kini /Facebook

Jika diperhatikan secara realiti, kawasan berkenaan nampaknya agak tidak selamat walaupun kecantikan luaran bak berada di kayangan itu nampak terserlah.

Jadi tidak perlulah kita bergambar untuk nampak cantik di luar, namun secara dalamannya adalah busuk-busuk belaka.

Objek dipercayai ambergris ditemui wanita di Marang, UMT terima sampel untuk analisis

0

Ramai yang tidak sabar untuk mengetahui apakah objek ditemui wanita di Marang, Terengganu adalah muntah ikan paus atau ambergris yang asli dan bernilai tinggi.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memaklumkan akan membuat analisis terhadap objek seberat 5 kilogram yang didakwa muntah ikan paus atau ambergris yang ditemui oleh Aida Zurina Long, 41 tahun ketika memancing berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada akhir November lalu.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT Profesor Madya Dr. Hasrizal Shaari berkata pihaknya sudah menerima sampel tersebut daripada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Twitter

“Kami terima sampel seberat empat gram malam tadi dan keputusan analisis akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi. Ini selaras dengan MoU yang terjalin antara UMT dengan Jabatan Perikanan untuk sentiasa bekerjasama dalam apa sahaja berkaitan spesies marin terancam dan kelautan,” katanya.

Sampel tersebut perlu dipastikan sama ada ia benar-benar muntah ikan paus atau hanya gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa ombak, kata Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat.

Di Malaysia, hanya UMT sahaja yang berupaya menentu dan mengesahkan ketulenan sampel ambergris itu berdasarkan kepakaran PPPL yang turut dibantu pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT dengan kerjasama Universiti Plymouth di England.

Muntah ikan paus yang bernilai tinggi akan mempunyai bahan aktif yang terdiri daripada tiga bahan utama iaitu ambrein (25 hingga 45 peratus), epicoprosterol (30 hingga 40 peratus) dan coprostanone (tiga hingga empat peratus).

Aida sebelum ini memaklumkan kepada Harian Metro, ayahnya cuba membakar objek tersebut dan ia meleleh seperti lilin serta mengeluarkan bau wangi dan mengesyaki ia adalah muntah ikan paus selepas membuat rujukan di internet.

Twitter

Rekod UMT menunjukkan sebanyak 18 sampel objek yang didakwa muntah ikan paus telah dibuat kajian setakat ini, namun hasil analisis yang dijalankan mendapati kesemua sampel tersebut tidak menunjukkan kehadiran tiga bahan aktif itu dan tidak mempunyai harga di pasaran.

“Proses analisis ini hanya menggunakan sedikit sahaja daripada kuantiti sampel yang diberikan, bakinya akan kita kembalikan kepada Jabatan Perikanan,” kata Dr. Hasrizal.

Sementara itu, Ruzaidi Mamat berkata, orang ramai diminta melaporkan sebarang penemuan kepada Pejabat Perikanan Negeri Terengganu sekiranya terjumpa objek yang menyerupai muntah ikan paus. 

“Ini kerana ia adalah sebahagian bahan daripada spesies marin terancam yang dilindungi di bawah Peraturan-Peraturan Spesies Ikan Terancam 1999, Akta Perikanan 1985,” jelas Ruzaidi.

Kereta terbabas naik bukit, kerjasama rakyat Malaysia tanpa mengira kaum selamatkan mangsa jadi perhatian warganet

0

Kejadian kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana jua. Adakalanya kemalangan itu terjadi berpunca daripada kecuaian orang lain dan ada kalanya pula berpunca daripada sikap pemandu sendiri yang tidak berhemah sehingga boleh mengakibatkan korban nyawa.

Baru-baru ini telah tular di Facebook sebuah video berdurasi 5 minit 33 saat memaparkan kejadian sebuah kenderaan tersadai di lereng bukit. Tidak dapat dipastikan bagaimana kejadian itu boleh berlaku namun berdasarkan kedudukan kereta tersebut, kereta dan juga pemandu di dalamnya bakal berhadapan dengan bahaya sekiranya tersilap langkah.

Mujur kejadian ini disedari oleh beberapa orang awam yang sudi datang untuk menghulurkan bantuan. Meskipun takut dihempap kereta ketika cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun keprihatinan mereka wajar diberikan kredit.

Penularan video ini sehingga kini berjaya meraih sebanyak 395 ribu tontonan dan ribuan komen yang rata-ratanya memuji tindakan semua individu yang menghulurkan bantuan. Antara komen yang sempat diambil adalah:

“Apa yang penting adalah kerjasama. Aku tengok banyak benda boleh dipelajari daripada video ini. Amalan tolong-menolong tidak mengira bangsa dan agama, rakyat yang begitu prihatin. Syabas”.

“Perkara yang aku suka di Malaysia ialah perpaduan 6anpa mengira bangsa dan agama. Terbaik”.

“Inilah keluarga Malaysia. Harmoni tolong-menolong walaupun berlainan bangsa dan agama. Tahniah semua. Anda semua adalah contoh tauladan yang baik”.

Tonton video di sini.

5 kanak-kanak maut permainan belon ‘bouncy castle’ melayang ditiup angin kuat

0

Permainan ‘bouncy castle’ atau permainan belon istana tiba-tiba terpelanting ke udara di Australia 16 Disember lalu, mengakibatkan 5 kanak-kanak maut.

Manakala 4 lagi kanak-kanak dilaporkan mengalami kecederaan.

Insiden itu berlaku ketika murid sekolah rendah di Devonport, Tasmania ceria meraikan minggu terakhir persekolahan sebelum cuti Hari Natal.

Mereka dilaporkan tercampak daripada ketinggian sekitar 10 meter (32 kaki).

Polis mengesahkan 2 orang murid lelaki dan 2 perempuan berusia sekitar 10 hingga 11 tahun terbunuh dalam kejadian berkenaan, manakala murid kelima meninggal dunia di hospital.

“Tiupan angin difahamkan telah menyebabkan permainan belon istana melayang dan terpelanting ke udara”, kata wakil Polis Tasmania, Darren Hine.

Perdana Menteri, Scott Morrison berkata, insiden itu ‘sangat menyedihkan’ dan berlaku di luar jangkaan serta sangat menyayat hati.

“Kegembiraan dan keseronokan anak kecil bersama keluarga mereka, bertukar menjadi tragedi yang begitu ngeri pada akhir tahun ini”.

Paramedik tiba dengan pantas di Sekolah Rendah Hillcrest selepas kemalangan itu berlaku pada jam 10:00 pagi waktu tempatan.

Mangsa diberi pertolongan cemas sebelum diterbangkan dengan helikopter ke hospital. Ibu bapa juga telah dimaklumkan serta-merta tentang kejadian itu.

Wartawan ABC, Monte Bovill menulis ciapan di Twitter bahawa penduduk tempatan bergegas ke sekolah untuk mengambil anak-anak mereka.

Menurut ibu bapa seorang murid, sekolah itu sebelum ini pernah memasang permainan belon istana sedemikian pada majlis yang sama tanpa sebarang masalah yang berlaku.

“Kita semua tidak menyangka hari menyeronokkan dengan aktiviti sebegini akan berakhir seperti ini”, ujar seorang ibu.

“Kami semua berasa sangat sedih dengan ibu bapa mangsa yang terlibat dan berasa bersalah kerana kami lega anak-anak kami tidak cedera”.

Buat masa ini, siasatan terperinci sedang dijalankan oleh polis.

Rangkaian 3G berakhir 31 Disember 2021, pengguna digesa beralih ke 4G

0

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengingatkan para pengguna telefon bimbit dan peranti 3G untuk beralih ke rangkaian 4G dalam kadar segera. Keputusan ini dibuat bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi pengguna tidak terjejas sekali gus menyebabkan pengguna ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.

Sumber : FMT

Rangkaian 3G dijangka akan ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember 2021 dan dilakukan bertujuan untuk meningkatkan liputan jalur lebar yang berkualiti tinggi di bawah Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Dengan rangkaian 4G, anda akan dapat lihat peningkatan kualiti dari segi kelajuan data, latensi rendah dan kestabilan rangkaian.

Sehingga 30 September 2021, sekitar 94.03 peratus kawasan berpenduduk telah mempunyai akses 4G dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat. Sebanyak 1.2 juta pelanggan telah berjaya melalui proses migrasi ini yang dilakukan oleh pihak penyedia perkhidmatan seperti Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan juga U Mobile Sdn Bhd.

Sumber : Facebook

Justeru, bagi mereka yang masih menggunakan kad SIM yang hanya menyokong rangkaian 3G, anda digalakkan untuk menghubungi penyedia perkhidmatan terdekat bagi tujuan menaik taraf ke 4G.