KLANG – Hujan lebat yang turun sejak jam 6 petang pada Jumaat dilaporkan telah menyebabkan beberapa kawasan termasuk laluan utama di Pelabuhan Klang dilanda banjir kilat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada sekitar jam 7.27 malam.
“Sekumpulan tujuh pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja dikejarkan ke Jalan Perajurit 1, Telok Gong, Klang.
Sebanyak 20 kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat dan Telok Gong antara yang paling terkesan dengan kenaikan air sehingga ke paras pinggang.
“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi mendapati berlaku banjir kilat pada paras paha (anggaran hampir satu meter) susulan hujan lebat.
“Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat namun pemantauan tetap dilakukan oleh anggota bertugas di lokasi kejadian,” PGO dalam kenyataan itu pada Jumaat malam.
Tambahan lagi, pihak PGO juga dikatakan telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di Pulau Indah lalu bergegas ke tempat kejadian.
Kawasan lain yang terjejas adalah Pulau Indah, Pandamaran, Bandar Botanik, Telok Gadong, Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Tinggi.