AMPANG – Polis Daerah Ampang Jaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan tindakan proses pelepasan air dari Empangan Klang Gate Hulu Kelang yang telah melepasi tahap bahaya.
Setakat ini, sebanyak 25 peratus dari jumlah keseluruhan air dalam empangan berkenaan sudah dilepaskan secara berperingkat dan proses pertama pelepasan air dilakukan pada pukul 11.50 malam 18 Disember.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, seramai lima pegawai dan 32 anggota dari Balai Polis Melawati, Balai Polis Hulu Kelang, Balai Polis Ampang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah bersiap siaga.
“Semua pegawai dan anggota itu akan terbabit dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya di Taman Melawati dan kawasan berhampiran,” katanya.
“Saya meminta orang ramai untuk tidak panik dan pelaksanaan proses melepaskan air empangan dilaksanakan secara berhati-hati mengikut prosedur ditetapkan,” tambahnya lagi.
Menurutnya, jika terdapat kejadian yang tidak diingini berlaku, semua pegawai dan anggota akan segera dikerahkan pada bila-bila masa untuk membantu orang ramai khususnya penduduk di kawasan pentadbiran IPD Ampang Jaya.
Beliau juga menegaskan bahawa nyawa dan keselamatan diri serta keluarga orang ramai adalah menjadi keutamaan pihaknya.