SEPANYOL- Seorang bos mafia Itali yang melarikan diri selama beberapa dekad akhirnya berjaya diberkas selepas dia dikesan di Peta Google (Google Map).
Google Map
Gioacchino Gammino, 61, ditemui di Galapagar, Sepanyol, di mana dia tinggal dengan menggunakan nama Manuel.
Tangkapan bermula selepas ‘Google Street View’ menunjukkan imej seorang lelaki menyerupai Gammino yang sedang berdiri di hadapan sebuah kedai runcit. Sejak itu pihak berkuasa mula melakukan kerja-kerja pencarian untuk menjejaki penjenayah itu.
Gammino dilaporkan telah melarikan diri dari penjara Rom pada tahun 2002 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun berikutnya kerana membunuh.
Dia adalah ahli kumpulan mafia Sicily yang dikenali sebagai Stidda dan merupakan salah seorang samseng paling dikehendaki di Itali.
Google Map
Polis Sicily percaya Gammino sememangnya berada di Sepanyol, tetapi pencarian ke atasnya hanya mula dilakukan semula selepas imejnya yang sedang bercakap dengan seorang lelaki di luar El Huerto de Manu, atau Taman Manu, muncul pada Peta Google.
Identitinya disahkan apabila polis menemui laman Facebook sebuah restoran yang kini ditutup, Cocina de Manu, yang terletak berhampiran. Ia telah menyiarkan gambar Gammino memakai pakaian chef dan dia dikenal pasti kerana mempunyai parut pada dagunya.
Restoran tersebut juga menyediakan hidangan Sicily di dalam menu mereka.
Google Map
Dia telah ditangkap pada 17 Disember lalu. Selepas penahanannya, dia dilaporkan memberitahu polis: “Bagaimana anda menemui saya? Saya tidak pernah menghubungi keluarga saya selama 10 tahun.”
Menurut Nicola Altiero, timbalan pengarah unit polis anti-mafia Itali, Gammino kini berada dalam tahanan di Sepanyol dan polis Itali berharap untuk membawanya pulang ke Itali pada akhir Februari ini.
Antara perkara yang sangat menarik apabila hidup di dalam negara yang berbilang kaum ialah dapat melihat perbezaan yang ada dalam setiap kaum. Kita mungkin kita berkongsi warna kulit yang sama, atau adat atau perayaan yang sama tetapi kesemua perbezaan itulah yang perlu diraikan untuk mewujudkan sebuah suasana yang harmoni.
Setiap kaum pastinya memiliki perayaan tersendiri dan bukankah ia sesuatu yang menyeronokkan jika perayaan itu dapat diraikan bersama tanpa mengira siapa pun kita?
Baru-baru ini sorang personaliti TV Singapura yang juga merupakan seorang cef selebriti, Cef Bob atau nama sebenarnya Shahrizal Salleh telah menceritakan bagaimana dia dilayan oleh jirannya yang berbangsa Cina. Untuk mereka yang belum tahu, Cef Bob mempunyai hubungan yang baik dengan jirannya itu yang merupakan seorang wanita tua yang dipanggil ‘Nenek Cina’.
Menurut Cef Bob wanita tua itu telah memberinya semangkuk tang yuan selepas dia bertanya tentang persiapan bagi meraikan perayaan ‘Winter Solstice’ (solstis musim sejuk).
Solstis musim sejuk yang juga dikenali sebagai ‘Dong Zhi’ merupakan sebuah perayaan tradisional yang diraikan oleh kaum Cina pada 22 atau 21 Disember dan pada tahun 2021 Winter Solstice jatuh pada 21 Disember.
Semasa menyambut perayaan ini mereka yang menyambutnya akan menikmati ‘tang yuan’ yang merupakan sejenis makanan yang diperbuat daripada bebola pulut.
Menurut video yang dimuat naik ke akaun TikToknya, Chef Bob menceritakan bagaimana dia berada di dapur pada suatu hari apabila dia terhidu bau seolah-olah ada sesuatu yang terbakar.
Melihat ke luar, dia melihat bahawa jirannya itu sedang berdoa dan membakar kayu joss. Dia kemudian bertanya kepada wanita itu apa yang sedang dilakukan. Wanita tua itu kemudian memberitahunya bahawa dia sedang menunaikan solat Cina, dan dia mempunyai tang yuan di rumah.
Seorang lagi jirannya yang dipanggil Atok Cina yang turut menunaikan solatnya sendiri, menjelaskan lagi bahawa solstis musim sejuk ialah hari pertama pada musim sejuk.
Wanita tua itu kemudian datang ke rumah Chef Bob dengan membawa sebuah bekas berisi yang tang yuan. Dia juga sempat menerangkan kepada lelaki itu tentang cara untuk menikmati hidangan itu.
Mengikut seperti yang diberitahu oleh nenek itu, Chef Bob kemudian menyediakan adunan kacang tanah dan gula untuk menyalut bebola pulut tersebut. Hasilnya, dia akhirnya dapat menikmati hidangan solstis musim sejuk yang sangat manis dan enak!
Pengguna media sosial Tanah Besar China kini melancarkan kempen dalam talian untuk memboikot stesen penyiaran Hong Kong TVB selepas stesen itu menganugerahkan seorang aktres yang dituduh menyokong golongan pemisah semasa rusuhan Hong Kong 2019.
Ali Lee Kai-sum, pelakon Hong Kong dan penyampai televisyen TVB berusia 40 tahun, dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik 2021 dalam Anugerah Ulang Tahun TVB yang berlangsung pada 2 Januari lalu melalui drama lakonannya, AI Romantic.
Hashtag berkaitan Ali Lee mula menjadi tular di Sina Weibo pada pagi Isnin keesokan hari, lapor Global Times.
Gambar oleh aliaime/Instagram
Pengguna media sosial di China terus mengecam aktres itu kerana menyiarkan komen kontroversi ketika rusuhan Hong Kong 2019.
Tangkap skrin yang tular menunjukkan Ali memberikan tanda suka pada gambar di Instagram yang menunjukkan bendera kebangsaan China digantung terbalik, sambil memberi komen “bendera cantik”.
“Boikot TVB! TVB tidak menyekat pemisah itu, tetapi memberinya banyak peluang berlakon dan juga anugerah! Ini telah melampaui garis merah kami,” komen seorang pengguna di Sina Weibo.
Tangkap skrin beberapa warganet Tanah Besar China juga menunjukkan mereka telah disekat oleh TVB selepas meninggalkan mesej seperti “penyokong pemisah Lee Kai-sum” pada platform Sina Weibo rasmi untuk stesen televisyen itu.
“Ali Lee talam dua muka: Dia menyiarkan beberapa kandungan patriotik pada akaun Weibonya sambil menyatakan sokongannya terhadap rusuhan Hong Kong di Instagram,” seorang warganet memberi komen.
“Mesti terdapat lebih ramai pemisah dalam TVB yang menyokong Ali Lee, tetapi tiada cara untuk dia mengembangkan kerjayanya di tanah besar. Boikot Ali Lee, boikot TVB,” komen pengguna Weibo lain.
Adakala hari-hari yang dilalui agak membosankan dan memang sangat memenatkan. Kalau boleh kita mahu berhenti daripada melakukan semua itu dan bertukar kepada kehidupan yang baru. Kita juga mula tertanya-tanya adakalah hidup kita selama ini sudah baik atau masih ada ruangkah untuk ia menjadi lebih baik?
Jika anda punya soalan seperti itu anda mungkin perlukan perubahan dalam hidup. Namun, tidak mudah untuk berubah sekelip mata jadi anda boleh melakukan beberapa perkara pada awalnya sehingga suatu saat anda meraskan anda memiliki hidup yang lebih baik daripada sebelumnya.
Berikut adalah 5 langkah yang boleh anda praktikkan dalam kehidupan sehari-hari anda. Selamat mendapatkan hidup yang lebih baik!
Apabila seseorang itu mempunyai peribadi yang semakin baik, mereka tidak akan mudah untuk menyakiti orang lain. Mereka akan mula faham bahawa setiap orang dididik dan dibesarkan dengan cara dan persekitaran yang berbeza jadi mereka akan mula untuk meraikan perbezaan tersebut. Mereka juga tidak akan memaksa orang lain mengikut cara mereka. Mereka juga akan mula mencari jalan untuk saling membantu.
Jika ada perbalahan atau salah faham, mereka tahu tiada yang akan menang atau kalah kerana bagi mereka hubungan antara manusia itu jauh lebih penting. Mereka percaya jika mereka menyakiti orang lain itu bermakna mereka menyakiti diri sendiri.
Jadi, jika mereka melihat sesuatu yang tidak menyenangkan atau sesuatu yang tidak baik mereka tidak akan memberitahu orang lain. Apa yang dilakukan ialah cuba untuk faham dan kekalkan hubungan sosial yang baik.
Apabila kehidupan seseorang itu semakin baik, mental mereka akan lebih kuat dan berani dan lama-kelamaan mereka boleh membina keyakinan diri yang lebih tinggi. Apa sahaja rintangan yang datang dalam hidup mereka akan lebih berani untuk menghadapinya.
Jadi, walaupun anda disakiti oleh orang lain anda perlu kuat dan tabah untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Proses tersebut pastinya tidak mudah. Tidak salah untuk anda menangis atau bersedih untuk seketika tetapi jangan terlalu lama kerana anda perlu bangkit semula. Perjalanan tersebut mungkin sukar tetapi pada akhirnya anda akan mendapatkan sesuatu yang baik dan lebih berharga.
Apabila seseorang itu semakin baik, mereka akan lebih banyak bersyukur. Walaupun ada masalah atau sesuatu yang tidak memuaskan hati yang berlaku, mereka tidak akan menghabiskan masa untuk mengadu atau mengeluh kepada orang lain. Mereka bahkan akan mencari punca kejadian dan mula mencari jalan serta solusi yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Jadi, anda perlu faham bahawa mengeluh tidak akan menyelesaikan masalah atau mengubah apa yang terlah berlaku. Keluhan hanya akan membuatkan anda terus berada dalam keadaan negatif dan hal itu akan memburukkan keadaan. Apa yang paling penting jangan bandingkan diri anda dengan orang lain bahkan hargai apa yang anda miliki dan lihatlah diri anda sebagai orang yang paling bertuah!
Antara aktiviti yang sangat baik ialah membaca. Mereka yang mempunyai akal yang sihat biasanya akan suka pergi ke kedai buku dan mencari buku atau bahan bacaan yang sesuai buat mereka. Dengan membaca kita dapat melihat sesuatu perkara dari sudut yang pelbagai.
Isi kandungan buku yang baik bukan sahaja akan memberi pengetahuan malah akan membuatkan kita lebih banyak berfikir dan memberi idea baru untuk meneruskan hidup yang semakin mencabar.
Membaca bukan sahaja dapat mengubah pandangan seseorang malah jika anda teruskan tabiat ini anda akan secara sedar atau tidak ia akan mengubah gaya hidup seharian anda kepada sesuatu yang lebih baik.
Apabila kehidupan seseorang mejadi semakin baik mereka akan mula rasakan ketenangan dan hati mereka akan menjadi lebih lapang. Merek akan perlahan-lahan melupakan kesempurnaan yang mereka cari selama ini. Mereka juga akan berhenti taksub kepada kesempurnaan dan mula menerima keadaan seadanya.
Untuk berubah bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia juga bukan sesuatu yang sukar. Pada mulanya semuanya seperti mustahil untuk dilakukan tetapi sedikit demi sedikit anda akan boleh melakukannya. Mulakan dengan hal-hal yang kecil dan lama-kelamaan akan akan boleh berubah menjadi lebih baik.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa Pihak Berkuasa Ubat-ubatan (DCA) telah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Menurut Khairy KKM pada ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengeluar vaksin itu berhubung jadual penghantaran.
Keputusan ini bakal menyaksikan golongan tersebut bakal menerima vaksin buat kali pertama di negara ini.
“Kita masih mengadakan perbincangan dengan pihak PfizerBioNTech mengenai jadual penghantaran, kita akan mengumumkan nanti dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis lalu.
Berkait isu yang sama, Khairy memaklumkan KKM menubuhkan Jawatankuasa Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (CITF-C) hari ini untuk menjalankan pelaksanaan Program Imuninasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kanak-kanak).
Tambahnya lagi, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Kerajaan sebelum ini telah menubuhkan COVID-19 Remaja (CITF-A) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak (CITF-B).
KOTA KINABALU: Aktiviti pendakian bukanlah sesuatu yang baru malah aktiviti lasak seperti sangat digemari ramai walau di mana mereka berada. Ada yang sanggup berhabis ratusan malah ribuan ringgit untuk membeli segala kelangkapan dan peralatan termasuk pakaian yang sesuai dan selesa untuk dipakai ketika mendaki.
Ketika orang memilih memakai baju dan seluar yang tahan lasak dan selesa, wanita ini sebaliknya memilih untuk menggunakan baju kurung setiap kali dia melakukan aktiviti pendakian.
Hadinah Inah Basinau, 41, yang merupakan anak kelahiran Sabah itu dikatakan lebih selesa mengenakan set baju kurung berbanding memakai baju dan seluar.
Menurutnya dia sering kali dinasihatkan pihak yang bertanggungjawab di tempat pendakian untuk menggunakan pakaian yang sesuai. Menurut mereka baju kurung hijau yang dipakainya tidak sesuai untuk melakukan aktiviti seperti itu tetapi wanita ini tetap meyakinkan mereka bahawa dia boleh melakukannya.
Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa wanita ini sudah mula mendaki dengan menggunakan baju kurung sejak tahun 2016 lagi.
Menurutnya dia tiada sebab khusus untuk menggunakan baju kurung bahkan pemakaiannya lebih dilihat dari sudut cabaran kepada dirinya sendiri dan kini baju kurung telah menjadi ‘trademark’ buatnya.
“Memakai baju kurung membantu saya bernafas lebih baik dan lebih teratur kerana saya mempunyai kelajuan yang konsisten dan tidak memaksa diri saya untuk melebihi had saya.
“Sehingga kini, saya telah mendaki lebih daripada 30 kali termasuk bukit dan gunung di Sabah, Bukit Gasing di semenanjung Malaysia, puncak Penawangan di Indonesia untuk Cabaran 20 Hike, dan Gunung Silipat di Thailand antara lain,” katanya lagi.
Kakitangan kerajaan yang bekerja dengan Jabatan Kesihatan Sabah itu juga pernah sampai ke puncak Gunung Kinabalu dengan berbaju kurung buat kali pertama pada 31 Jan 2018 dan baru-baru ini dia telah menakluki Gurkha Hut.
Pondok buatan manusia itu terletak di seberang puncak Oyayubi setinggi 4,000m di rabung barat Gunung Kinabalu. Untuk naik ke sana dia mengambil masa tambahan dari Low’s Peak.
Dia menyifatkan pengalaman mendaki ke Gurkha Hut merupakan sebuah pendakian yang lebih sukar kerana dia terpaksa menahan kesejukan selama kira-kira 10 jam dari Timpohon Gate bermula pada pukul 10 pagi.
“Disebabkan cuaca buruk dan hujan, ia menjadi lebih sejuk dan permukaan batu licin, justeru saya perlu lebih berhati-hati untuk berjalan kerana keadaan gelap di mana kami hanya mempunyai lampu suluh sebagai sumber cahaya.
Hadinah berkata dia akan mendaki Gunung Queshan di Taiwan pada tahun ini dan berharap dapat menakluk Gunung Everest pada masa hadapan.
Tiada ibu bapa yang tidak mahukan yang terbaik buat anak masing-masing. Mereka seboleh mungkin mahu anak-anak membesar menjadi insan yang berguna.
Justeru, segala nasihat daripada mereka perlu diingat dan dipraktikkan di dalam kehidupan seharian, seperti apa yang dilakukan oleh seorang wanita ini.
Wanita bernama Nurlia Mohd Nor ini, berkongsi beberapa pesanan daripada arwah ibu. Walaupun ibunya tiada lagi di dunia, namun nasihatnya masih diingati Nurlia sehingga ke hari ini.
Berikut perkongsian Nurlia di laman Facebook miliknya, antara nasihat arwah ibu Nurlia yang boleh kita ikuti adalah :
#1 Pinggan mangkuk
Jelas Nurlia, pinggan mangkuk untuk kegunaan harian keluarga sebolehnya gunakan yang elok. Jangan tunggu tetamu datang, barulah kita keluarkan set pinggan mangkuk yang cantik.
Ini kerana lazimnya kita akan gunakan pinggan mangkuk biasa sahaja untuk kegunaan harian, apatah lagi jika ada anak kecil.
“Yang sebenarnya, family dalam rumah ini lagi kena raikan. Takkan tunggu tetamu datang baru suami atau anak-anak dapat merasa guna pinggan cantik kan. Mak dulu pinggan Pyrex coklat dia guna untuk pakai harian”.
“Buat apa simpan. Dah beli guna. Bukan boleh bawa mati pun”, kata bapa Nurlia pula. Harta benda sudah dibeli jadi silalah guna..
#2 Telekung
Sentiasa pastikan telekung bersih dan cantik. “Bila nak jumpa orang kita beria pilih baju cantik, siap make up bagai tapi nak menghadap Allah kenapa tak boleh cantik jugak kan. Tiba-tiba jadi berkira dan cincai saja”, tulis Nurlia.
Elakkan daripada memakai telekung yang sudah bertahi lalat, kuning mahupun kusam. Biarlah harganya murah asalkan bersih.
“Mak dulu telekungnya sentiasa bersih. Kalau tak sebab reput atau kain sudah jarang, memang boleh guna lagi. Bila Mak meninggal, saya wakafkan telekung-telekungnya yang masih elok di surau-surau”.
#3 Sejadah
Samalah seperti sejadah, ada masanya ia perlu dicuci. “Macam mana kita nak perkara lain pun cantik dan elok, sama jugalah dengan sejadah”.
Tambahnya, sejadah digunakan untuk menghadap Allah ketika bersolat, jadi jangan ambil mudah dan jangan biarkan ianya berbau kepam.
Penyumbang utama mRNA Dr. Robert Malone, seorang penyelidik terkemuka yang skeptik terhadap vaksinasi COVID-19 secara mandatori, mencadangkan kepada podcaster popular Joe Rogan—beberapa hari selepas Dr. Malone digantung dari Twitter—semasa temu bual itu beliau berpendapat Amerika Syarikat sedang mengalami ‘psikosis formasi massa’ atau “mass formation psychosis” dalam istilah yang tular.
“Kerajaan telah tidak terkawal dalam hal ini,” kata Dr. Malone mengenai mandat vaksin dalam wawancara podcast Joe Rogan Experience, yang disiarkan pada hujung minggu. “Dan mereka adalah pelanggar undang-undang. Mereka sepenuhnya mengabaikan bioetika. Mereka sama sekali tidak menghiraukan peraturan umum persekutuan. Mereka telah melanggar semua peraturan yang diketahui, di mana saya telah dilatih selama bertahun-tahun.”
Dr. Robert Malone, pakar dalam teknologi vaksin mRNA menerima latihan di University of California–Davis, UC–San Diego, dan Salk Institute, telah disekat oleh Twitter pada minggu lalu. Dr. Malone memberitahu The Epoch Times bahawa Twitter tidak memberikan penjelasan mengapa akaun miliknya, yang telah mengumpulkan 500,000 pengikut, digantung.
Dr. Robert Malone (Gambar oleh The Epoch Times)
Jurucakap Twitter memberitahu Daily Dot bahawa akaun Dr. Malone “telah digantung secara kekal kerana pelanggaran berulang kali polisi maklumat salah COVID-19 kami … mengikut garis panduan sistem di sini, kami akan menggantung akaun secara kekal kerana pelanggaran berulang polisi ini.”
Twitter belum menjawab permintaan The Epoch Times untuk memberi komen mengenai penggantungan Dr. Malone.
“Mandat ini … secara jelas menyalahi undang-undang” dan “secara jelas tidak konsisten dengan Kod Nuremberg,” kata Dr. Malone semasa wawancaranya dengan Rogan, merujuk kepada set prinsip etika penyelidikan terhadap eksperimen manusia. “Mereka secara jelas tidak konsisten dengan laporan Belmont,” katanya, merujuk kepada laporan tahun 1978 yang diterbitkan dalam Daftar Persekutuan mengenai prinsip dan garis panduan etika untuk penyelidikan yang melibatkan subjek manusia.
“Mereka nyata menyalahi undang-undang, dan mereka tidak peduli.”
Pada penghujung wawancara podcast, Dr. Malone mencadangkan orang ramai kini berada di tengah-tengah apa yang dipanggilnya “psikosis formasi massa”, menggambarkan mentaliti yang selari berkembang di kalangan populasi Jerman pada tahun 1920-an dan 1930-an.
Pada tahun-tahun itu, warga Jerman “mempunyai populasi yang sangat pintar, berpendidikan tinggi, dan mereka kemudian menjadi gila,” kata Dr. Malone.
“Apabila anda mempunyai masyarakat yang telah terpisah antara satu sama lain dan mempunyai kebimbangan yang tersebar bebas dalam perkara yang tidak masuk akal, yang kita tidak dapat memahaminya. Dan kemudian perhatian mereka tertumpu oleh seorang pemimpin atau siri acara pada satu titik kecil, sama seperti hipnosis. Mereka benar-benar terpukau dan boleh dibawa ke mana-mana.”
“Mereka akan mengikut orang itu. Tidak kira sama ada orang itu berbohong atau berbuat apa sahaja kepada mereka.”
Beberapa tahun yang lalu, kata Dr.Malone, orang ramai “mengeluh dunia tidak masuk akal” dan kami tidak “dihubungkan secara sosial lagi, kecuali melalui media sosial.”
“Kemudian perkara ini berlaku. Begitulah psikosis formasi massa berlaku dan itulah yang berlaku di sini,” kata Dr. Robert Malone yang merujuk kepada pandemik COVID-19.
Atlet berbasikal dari Terengganu, Siti Nur Alia Mansor melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba wanita pertama negara dan Asia Tenggara terpilih untuk menyertai pasukan berbasikal jelajah dunia, Canyon-SRAM Racing Team yang berpangkalan di Sepanyol.
Gadis berusia 21 tahun itu berkata, tawaran kontrak selama setahun daripada pasukan terkemuka itu tentunya bagaikan ‘mimpi’ yang menjadi nyata dalam hidupnya.
Menurutnya, pada bulan Jun tahun lalu, dia telah dihubungi oleh Adam Szabo iaitu bekas jurulatih Terengganu Cycling Team (TSG) yang kini melatih pasukan Canyon-SRAM Racing Team.
“Beliau menyatakan minat untuk mengetengahkan bakat saya bersama pasukan mereka”, ujar Siti Nur Alia.
“Saya mengambil masa sebulan untuk bersetuju selepas memikirkan masa depan dan perkembangan kerjaya dalam arena berbasikal”, katanya semasa majlis meraikan kejayaannya di Wisma Darul Iman.
Di majlis berkenaan, Siti Nur Alia yang juga merupakan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu turut menerima sumbangan wang saku RM3,000 daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Wan Sukairi berkata kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu akan meneruskan pemberian elaun bulanan RM1,500 kepada Siti Nur Alia selama setahun.
“Kami amat bersyukur pasukan baharu Alia bersedia untuk membenarkan beliau kembali pada April untuk menyertai SUKMA.
“Jadi kami berharap beliau akan menggunakan peluang tersebut untuk menimba pengalaman berharga di sana dan mengharumkan nama negeri sepanjang SUKMA 2020 yang dijangkakan berlangsung pada Jun”, tambahnya.
Disebalik keterujaan dalam mengembangkan karier ke luar negara, Siti Nur Alia pada masa yang sama turut berasa gugup dan gementar kerana bakal beraksi dengan rakan sepasukan yang berpengalaman luas.
“Ia adalah batu loncatan atau permulaan untuk saya mengejar impian yang lebih besar iaitu beraksi di pentas sukan terbesar – Olimpik”, katanya.
“Saya akan membalas pengorbanan dan jasa semua pihak termasuklah keluarga, jurulatih dan keluarga besar basikal Terengganu dengan mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di pentas dunia suatu hati nanti”, azamnya.
Siti Nur Alia dijangka akan berlepas ke Jerman pada 13 Januari akan datang, sebelum menuju ke Sepanyol.
Jika dahulu telefon jenama BlackBerry menjadi fenomena namun kini secara rasminya syarikat terbabit sudah pun menamatkan servis dan perkhidmatannya.
Terdahulu, telefon jenama ini menjadi kegilaan anak muda di zaman sekitar 2000-an ekoran aplikasi khasnya – BlackBerry Messenger (BBM) yang hanya digunakan oleh pengguna mereka sahaja.
Bahkan apa yang menjadi nilai tambah dan istimewanya telefon pintar BlackBerry ini adalah papan kekunci QWERTY yang telah digunakan, disaat telefon jenama lain masih belum menggunakannya.
Difahamkan bahawa BlackBerry sudah menghentikan sistem operasi peranti pada model keluarannya seperti BlackBerry 10, 7.1 OS dan produk keluaran sebelumnya bermula 4 Januari lalu.
“Selepas tarikh ini, peranti-peranti yang menggunakan servis dan perisian tersenarai sudah tidak lagi berfungsi walaupun menggunakan sambungan Wi-Fi”.
“Pemberhentian servis ini termasuk untuk penggunaan data, panggilan telefon, SMS dan panggilan kecemasan”, jelas syarikat tersebut.
Menurut syarikat itu, perkhidmatan lain yang turut ditamatkan adalah seperti BBM, BlackBerry e-maill, BlackBerry ID, BlackBerry Protect dan lain-lain.
Pun begitu, peranti BlackBerry yang menggunakan data perisian Android masih boleh digunakan lagi, termasuklah model BlackBerry Priv, BlackBerry KEYone dan BlackBerry KEY2.
Ini bermakna, peranti yang tidak menggunakan data perisian Android tidak lagi boleh mengakses data, menghantar sistem pesanan ringkas (SMS), mengakses internet atau membuat sebarang panggilan termasuklah panggilan kecemasan.
Sebahagian besar pengguna sudah beralih daripada terus menggunakan BlackBerry semenjak keluaran terakhir sistem operasi itu dilancarkan pada tahun 2013.
Pada September 2020, syarikat itu dikatakan sedang berusaha untuk memberi tumpuan kepada penyediaan perisian dan perkhidmatan keselamatan kepada perusahaan dan pemerintah di seluruh dunia di bawah jenama BlackBerry Limited.
Ringkasnya, kebanyakan model BlackBerry sudah dihentikan penjualan sejak tahun 2016, namun syarikat itu tetap melesenkan jenamanya kepada syarikat OnwardMobility – sebuah syarikat peranti keselamatan bagi telefon pintar di Texas.
Siapa sangka jenama yang pernah menguasai dunia telefon pintar dan menjadi kegilaan orang ramai kini sudah tiada lagi.
Kedatangan iPhone dan Android ternyata menjadikan populariti BlackBerry kian merudum dan menyepi, sehingga menamatkan perkhidmatannya.
BlackBerry kini hanya tinggal kenangan. Selamat tinggal BlackBerry!