29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 11, 2026
Utama Blog Laman 219

Kajian : Pesakit HIV yang dijangkiti COVID-19 hasilkan 21 mutasi

0

Seorang wanita Afrika Selatan yang menghidap HIV, yang juga menghidap COVID-19 selama sembilan bulan menyaksikan virus itu membangunkan sekurang-kurangnya 21 mutasi semasa berada di dalam badannya, dedah satu kajian baru-baru ini.

Wanita berusia 22 tahun itu, difahamkan dapat mengharungi virus COVID-19 dalam tempoh enam hingga sembilan minggu selepas dia mula mengambil ubat anti-retroviral yang digunakan untuk merawat HIV, menurut penyelidik di Stellenbosch dan Universiti KwaZulu-Natal.

Mereka membuat kesimpulan bahawa peningkatan kewaspadaan adalah wajar dalam kalangan pesakit HIV yang dijangkiti COVID-19 untuk mencegah kemunculan varian COVID-19.

Terutama sekali varian Omicron yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan pada November 2021, sementara pegawai kesihatan di Amerika pula mengatakan ia kini merupakan jenis yang dominan di seluruh Amerika Syarikat.

“Kes ini, seperti yang lain sebelum ini, mewujudkan laluan yang berpotensi bagi kemunculan varian baru”, kata saintis dalam kajian, sambil menambah bahawa ia masih hipotesis dan lebih banyak data diperlukan.

“Pengalaman kami mengukuhkan laporan terdahulu bahawa rawatan anti-retroviral yang berkesan adalah kunci untuk mengawal kejadian sedemikian”.

Afrika Selatan merekodkan pesakit wabak HIV terbesar di dunia, iaitu kira-kira 8.2 juta daripada 60 juta penduduknya dijangkiti virus itu.

Menurut penyelidik, pesakit yang diperhatikan dalam kajian itu telah membangunkan sekitar 10 mutasi pada protein spike virus COVID-19, yang membolehkan ia mengikat sel bersama-sama dengan 11 mutasi lain.

Beberapa mutasi adalah serupa dengan yang dilihat dalam varian Omicron dan Lambda, manakala yang lain konsisten dengan mutasi yang membolehkan virus memintas antibodi.

“Sekali lagi pengalaman kami mengukuhkan laporan terdahulu bahawa ubat anti-retroviral yang berkesan adalah kunci untuk mengawal kejadian sedemikian. Sebaik sahaja replikasi HIV dikawal dan penyusunan semula imun bermula, pembersihan pantas virus COVID-19 dicapai, mungkin sebelum penyusunan semula imun sepenuhnya berlaku”, kata mereka.

“Ini memberi penekanan bahawa jurang penjagaan HIV perlu ditutup dan ia akan memberi manfaat kepada keadaan lain serta masalah kesihatan awam juga, termasuklah COVID-19”.

Sementara itu, selepas beberapa minggu Omicron merebak ke seluruh negara, beberapa pakar Afrika Selatan berkata mereka optimis bahawa negara itu telah mencapai titik perubahan.

“Gelombang Omicron kini menyumbang kurang daripada 5 peratus daripada semua kematian yang berlaku akibat COVID-19 di Afrika Selatan sejak permulaan wabak itu”, kata ahli vaksin, Shabir Madhiti, seorang profesor di Universiti Witwatersrand.

Walaupun lebih banyak varian COVID-19 mungkin muncul, dia percaya bahawa pandemik yang paling teruk selama dua tahun telah berakhir.

“Saya sangat optimis bahawa kita telah mencapai titik perubahan dalam wabak ini,” kata Madhiti.

“Saya tidak dapat melihat lagi kita akan menyaksikan semula apa yang kita alami semasa tiga gelombang pertama melanda di Afrika Selatan”.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Puluhan ribu tan sisa perubatan yang terhasil semasa Covid-19 boleh ancam kesihatan- WHO

0

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), puluhan ribu tan sisa perubatan yang dihasilkan akibat pandemik COVID-19 boleh menimbulkan ancaman kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

AP Photo/David J. Phillip

Sisa tambahan itu “mengancam kesihatan manusia dan alam sekitar serta memerlukan penambahbaikan dalam amalan pengurusan sisa,” kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurut laporan agensi itu, kira-kira 87,000 tan peralatan pelindung diri (PPE) telah ditempah antara Mac 2020 hingga November 2021 melalui inisiatif kecemasan bersama PBB dan dihantar ke negara-negara, yang sebahagian besarnya berakhir menjadi sisa.

Tidak hanya itu dilaporkan terdapat lebih daripada 140 juta kit ujian telah dikeluarkan yang akan menghasilkan sekitar 2,600 tan sisa terutamanya plastik, sisa tidak berjangkit dan 731,000 liter sisa kimia, yang bersamaan dengan satu pertiga daripada kolam renang bersaiz Olimpik.

Tambahan pula, lebih 8 bilion dos vaksin telah dihasilkan secara global, yang telah menghasilkan 144,000 tan sisa tambahan dalam bentuk picagari, jarum dan kotak keselamatan.

Laporan itu hanya mengambil kira komoditi COVID-19 yang diperoleh melalui inisiatif kecemasan bersama PBB dan bukannya sisa yang dijana oleh orang ramai atau melalui inisiatif lain.

WHO menyatakan bahawa ketika PBB dan negara-negara di seluruh dunia berlumba-lumba untuk mendapatkan bekalan PPE di tengah-tengah wabak itu, pegawai kurang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa yang selamat dan mampan yang terhasil daripada penjagaan kesihatan berkaitan COVID-19.

Agensi itu menyeru agar “sistem pengurusan yang berkesan” dilaksanakan, termasuk panduan untuk pekerja kesihatan tentang cara melupuskan PPE dan komoditi kesihatan lain dengan selamat dan mampan selepas ia digunakan, dengan menyatakan bahawa 30 peratus kemudahan penjagaan kesihatan tidak efisien untuk mengendalikan beban sisa sedia ada.

Angka itu adalah sekitar 60 peratus di negara kurang maju, kata agensi itu lagi.

“Adalah sangat penting untuk menyediakan pekerja kesihatan dengan PPE yang betul. Tetapi ia juga penting untuk memastikan ia boleh digunakan dengan selamat tanpa memberi kesan kepada alam sekitar,” kata pengarah kecemasan WHO, Dr. Michael Ryan.

Risiko yang berkaitan dengan kekurangan pengendalian yang mencukupi bagi sisa tersebut boleh menyebabkan kecederaan akibat tertusuk jarum, melecur, dan mikroorganisma patogen dalam pekerja kesihatan. Tidak hanya itu, ia juga boleh memberi kesan kepada komuniti yang tinggal di kawasan berhampiran tapak pelupusan sisa yang tidak diurus dengan baik seperti meningkatkan risiko kualiti air yang tidak baik dan udara yang tercemar apabila bahan buangan dibakar.

Pengarang laporan itu menetapkan satu siri cadangan untuk membantu membendung ancaman kepada kesihatan manusia dan alam sekitar, termasuk menggunakan pembungkusan dan penghantaran mesra alam, PPE yang selamat dan boleh diguna semula, dan bahan kitar semula atau biodegradasi.

Mereka juga menyeru lebih banyak pelaburan dilakukan bagi menyingkirkan sisa tanpa perlu membakarnya, seperti autoklaf, mesin yang digunakan untuk memanaskan dan memusnahkan peralatan perubatan, serta pelaburan dalam sektor kitar semula supaya bahan tertentu boleh digunakan semula.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Pesawat British Airways selamat mendarat selepas alami kesukaran ekoran Ribut Corrie

0

British Airways telah memuji juruterbangnya selepas salah satu pesawat Airbus A321 syarikat itu terpaksa membatalkan pendaratannya di Lapangan Terbang Heathrow pada 1 Februari lalu apabila berhadapan dengan angin kencang akibat Ribut Corrie.

Rakaman yang dikongsi oleh Big Jet TV menunjukkan pesawat yang pada mulanya mahu melakukan pendaratan di landasan terpaksa membelok tajam ke kiri.

Pesawat yang terbang dari Aberdeen itu kemudiannya boleh dilihat memulakan prosedur ‘go-around’, bermakna ia akan naik semula dari landasan dan cuba semula untuk mendarat.

Apabila bahagian depan pesawat dinaikkan, bahagian ekor boleh dilihat menghampiri permukaan landasan, dalam apa yang digambarkan sebagai “tail strike” oleh perakam video.

British Airways walau bagaimanapun tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang menyatakan sama ada pesawat itu mengalami “tail strike”.

Dalam satu kenyataan, jurucakap berkata: “Juruterbang kami sangat terlatih untuk berhadapan dengan pelbagai senario, termasuk keadaan cuaca yang melampau, dan kru penerbangan kami mendarat pesawat dengan selamat.”

Pesawat itu akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Heathrow London.

Jurucakap itu menambah: “Penumpang dan anak kapal kami semuanya turun seperti biasa.”

Pesawat itu terbang semula pada hari itu, melengkapkan penerbangan ke Geneva dan kembali.

Seorang juruterbang Airbus A320, yang enggan dikenali, memberitahu agensi berita bahawa ia adalah “insiden standard yang berlaku sepanjang masa”.

Ribut Corrie yang melanda telah membawa kelajuan angin sehingga 90mph ke UK sehingga telah menyebabkan beribu-ribu rumah terjejas akibat terputus bekalan tenaga.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Itulah nakal sangat, gelagat kucing-kucing ‘terperangkap’ ini pasti buat anda tergelak

0

Kalau nama pun kucing memang pasti banyak gelagat dan ragamnya. Setiap minit ada sahaja yang mahu dilakukan mereka. Kalau tidak mengacau tuan mereka, kawan-kawan mereka pula yang mereka yang ‘mangsa’ kenakalan mereka. Namun, apa sahaja yang dilakukan mesti sesuatu yang melucukan dan adakalanya tidak masuk akal.

Kenalan mereka terkadang memang tidak boleh dibendung dan kerana kenakalan serta kedegilan itulah yang kadangkala memberi pengajaran hidup kepada spesies ini. Jadi, selepas ini mereka paling tidak pun teringat balik akibat perbuatan mereka.

Berikut adalah kejadian-kejadian lucu yang menimpa kucing-kucing degil dan nakal ini. Kasihan ada, tetapi lucu pun ada!

Tolong…. macam mana hendak keluar dari sini!

Persoalannya bagaimana dia boleh masuk ke situ?

“Leher saya…. leher saya tak boleh lepas… tolong…”

“Alamak tersekat pula…”

“Gelap… tolong saya tak nampak apa-apa…”

“Ada sesiapa yang boleh tolong turunkan saya? Saya gayat….”

“Saya pun mahu pilih baju saya sendiri…”

“Tarik… tarik selagi boleh…”

Itulah padah menghendap kucing jiran sebelah… kan dah tersangkut dekat tingkap.

Mungkin mahu sidai diri sendiri lepas dipaksa mandi.

“Kan dah cakap jangan main dekat sini… kan dah ‘stuck’… degil lagi!”

“Eh, tak lepas pula… biasa boleh je…”

“Cepat selamatkan saya… ‘double chin’ saya dah mula kejang…”

“Dunia saya terbalik…”

“Lepas ni saya janji tak akan cakar sofa lagi. Saya insaf…”

“Saya dah kena diet lepas ni. Ini azam tahun baru saya.”

“Saya tak boleh gerak… tolong… saya keluar bermain,”

“Degil sangat kan?Padan muka!”

“Hello… ada sesiapa yang nampak saya dekat sini?”

“Apa salah saya? Saya cuma nak berbual dengan kucing jiran sebelah je…”

“Alamak benda ni berpusing… macam mana mahu menghentikannya…”

Muka pasrah dan berserah…

“Baru ingat nak buat rutin gimnastik berirama…”

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

8 negeri di Malaysia berpotensi dilanda puting beliung, ketahui fakta berikut

0

Kejadian ribut bertukar puting beliung di Ipoh dan sebelum itu Shah Alam baru-baru ini sungguh menakutkan. Beberapa video rakaman peristiwa angin kencang yang digambarkan sebagai puting beliung menyebabkan kerosakan ratusan rumah menjadi tular di platform media sosial.

Ramai yang bimbang perkara yang sama akan berulang. Justeru langkah berjaga-jaga bagi membolehkan orang awam melakukan persiapan perlu segera dilakukan.

Twitter

Menurut Ambun Dindang, Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa lokasi di negeri Pantai Barat Semenanjung serta Sabah Dan Sarawak akan diramalkan berlaku fenomena angin kencang atau puting beliung seperti yang melanda Ipoh, Perak pada 30 Januari.

Berikut fakta yang anda perlu tahu:

  • Negeri-negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
  • Di Sabah dan Sarawak, kawasan persisiran pantai seperti Bintulu, Miri dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Pantai Barat Sabah pernah melaporkan kejadian puting beliung dan kawasan ini akan sentiasa terdedah untuk berlaku. Apabila terdapatnya kehadiran awan kumulonimbus dengan keadaan cuaca yang sesuai.
  • Faktor berlakunya kejadian ini adalah disebabkan oleh kehadiran awan kumulonimbus yang besar mengakibatkan perolakan yang kuat dalam awan tersebut, seterusnya membentuk corong awan pada dasar awan.
  • Amat sukar bagi MetMalaysia meramal kejadian puting beliung di Malaysia kerana ia berlaku pada skala yang kecil dengan jangka hayat yang pendek, kata Ambun.
  • “Puting beliung sebesar ini dia sekejap sahaja, paling lama pun dalam sejam dia berlaku. Jadi tempoh untuk memantau kejadian ini agak singkat, sebab dia agak sukar untuk diramal, tapi kita melihat pembentukan awan kumulonimbus dengan menggunakan imej radar yang kita ada di seluruh Malaysia,” jelasnya.
  • Antara tanda awal puting beliung akan melanda ialah pembentukan awan yang besar dan dasar awan yang gelap serta corong awan yang menjulur ke bawah.
Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada sekiranya berlaku puting beliung. Elakkan mendekati kawasan tersebut dan cari tempat perlindungan yang selamat.

Peristiwa puting beliung yang pernah direkodkan di Malaysia:

1. Kota Damansara, Selangor pada 13 Jun 2010: Kejadian ribut puting beliung yang amat dahsyat melanda kawasan ini melibatkan kawasan perumahan di Seksyen 6,7,8,9 dan 10. Kawasan paling teruk terjejas ialah Seksyen 8 Kota Damansara di mana lebih 30 gerai penjaja mengalami kerosakan yang teruk. Dianggarkan 120 batang pokok besar tumbang manakala 29 buah kereta mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang.

2. Perlis pada 28 Oktober 2010: Kejadian puting beliung berlaku di sekitar kawasan Jejawi. Kerosakan melibatkan 50 buah rumah, beberapa kedai makan dan bengkel membaiki kenderaan.

3. Pulau Pinang pada 15 November 2010: Melibatkan kawasan di Gurney yang berlaku pada jam 6.30 petang.

4. Pendang, Kedah pada 14 Oktober 2014: Kejadian berlaku di Kampung Alor Besar yang mengakibatkan 10 buah rumah dan sebuah sekolah rendah mengalami kerosakan.

5. Alor Setar, Kedah pada 31 Oktober 2014: Kejadian berlaku di Kampung Batin, Sungai Baru Mergong Jaya pada jam 4.30 petang.

6. Alor Setar, Kedah pada 12 November 2014: Kejadian berlaku di Kuala Sala, Kampung Sungai Nonang, Kota Sarang Semut, Kuala Kangkong. Dilaporkan pusaran angin puting beliung dengan kelajuan 180 kilometer sejam berlaku pada jam 3.00 petang.

7. Bukit Besar, Kedah pada 7 Mac 2018: Kejadian puting beliung berlaku di Bukit Besar, Kota Sarang Semut pada jam 7.00 petang.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Isu beg berat tak pernah selesai, umpama pikul sekampit beras ke sekolah

0

Isu beg sekolah yang berat untuk murid sekolah rendah khasnya murid Tahun 1 nampaknya bukanlah satu isu baru dan ia ternyata masih belum berakhir.

Kanak-kanak di usia semuda itu terpaksa memikul sejumlah beban yang berat, dan difahamkan ada yang mencecah sehingga 10 kilogram!

Ya, mungkin ada yang berkata bahawa zaman dahulu pun sama, atau ada yang mengatakan bahawa budak zaman sekarang lembik dan terlebih manja. Namun itu bukanlah isunya.

Ini kerana kajian akhir Kajian Penilaian Beg Berat Murid Sekolah dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan beg sekolah yang dibawa murid setiap hari sememangnya berat.

Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk P Kamalanathan menyarankan bahawa sekolah perlu mengikut standard antarabangsa – tahap beban beg mestilah mengikut berat badan dan umur murid.

Tatkala Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menjadi Menteri Pendidikan, beliau berkata kerajaan akan melaksanakan 3 langkah segera untuk menangani isu ini.

Ia termasuklah dengan mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan Surat Siaran sedia ada berkuat kuasa pada Januari 2019.

Tambahnya, buku tambahan tidak perlu ada selain mengurangkan kebergantungan terhadap buku teks merupakan antara contoh arahan yang harus dipatuhi dalam surat berkenaan.

Walau bagaimanapun, selepas 4 tahun laporan akhir kajian tersebut, isu beg sekolah yang berat masih juga belum selesai.

Sehinggalah baru-baru ini tular video menunjukkan seorang murid perempuan di sebuah sekolah rendah dilihat hampir terjatuh ketika menaiki tangga ekoran membawa beg berat.

Ini bukanlah satu isu kecil dan picisan kerana ia melibatkan kesihatan anak-anak kita bukan. Anda bayangkanlah jika kanak-kanak sekecil itu memikul berat 10 kilogram setiap hari!

Kajian sains turut mendedahkan bahawa memikul bebanan seberat itu secara berterusan boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada tulang belakang.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Licik betul! Burung camar masuk kedai, curi snek raih perhatian warganet

0

Kawanan burung camar adalah satu pemandangan biasa dan lazim dilihat jika kita ke kawasan peranginan pantai bukan?

Akan tetapi, walaupun kerap dilihat, kehadiran burung ini tidak begitu disenangi rata-rata manusia dan sering dilihat sebagai satu bentuk gangguan.

Ini kerana kehadiran mereka boleh mengakibatkan kerosakan pada harta benda, selain bunyi mereka yang agak bising serta risiko kesihatan daripada najisnya.

Sungguhpun begitu, burung ini juga memiliki tahap kepintaran yang tersendiri sebenarnya.

Menerusi satu video tular, kelihatan seekor burung camar dengan bersahaja berjalan memasuki sebuah premis perniagaan.

Ewah! Dah macam manusia jalan masuk kedai kan?

Pada mulanya, burung yang licik itu dilihat berdiri di luar kedai seketika untuk menunggu pintu automatik premis dibuka.

Rupa-rupanya, burung terbabit memang mahu memasuki ke kedai berkenaan. Apalah agaknya yang mahu ‘dibeli’ ya?

Namun tidak lama kemudian, burung terbabit keluar dengan membawa sebungkus snek makanan! Bayar ke tidak??

Setelah berada di luar premis, burung camar pintar itu kemudian mematuk bungkusan itu sehingga menampaknya isi snek di dalamnya.

Maka dapatlah ia memakannya. Berani pula makan depan kedai selepas ‘mencuri’ ya!

Menurut kajian saintifik, burung camar adalah spesies burung yang pintar dan mempelajari sesuatu sepanjang masa.

Apabila mereka telah mempelajari sesuatu yang berguna, mereka akan mengingatinya dan bahkan akan meneruskan corak tingkah laku sedemikian.

Kemungkinan burung itu mengetahui bahawa manusia sering memasuki ke premis itu untuk membeli snek.

Cuma bezanya, manusia bayar untuk dapatkan makanan manakala burung camar tidak. Makan percuma nampak gayanya.

Terbukti juga bahawa burung camar adalah spesies burung yang memiliki kepintaran yang menakjubkan!

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Ketam kelapa ‘ketip’ cukup kuat untuk mematahkan kayu golf menjadi dua

0

Namanya Pulau Christmas, anda akan menganggap wilayah Australia di Lautan Hindi ini ialah tempat ajaib penuh dengan rusa kutub dan bunian yang riang. Tetapi tidak, ia sebenarnya penuh dengan ketam kelapa yang agresif.

Juga dikenali sebagai ketam perompak, ketam kelapa merupakan spesies besar ketam hermit. Liang kaki mereka boleh mencapai tiga kaki, dan ia boleh “mengangkat objek seberat kanak-kanak berumur 10 tahun,” menurut Muzium Sejarah Alam London. 

Facebook

Ketam kelapa hidup di darat di mana mereka memanjat pokok kelapa dan memakan kelapa, memburu dan memakan burung, dan secara amnya menakutkan apa sahaja yang bergerak atau hidup, yang termasuk pemain golf.

Facebook

Semasa bermain golf di Pulau Christmas, Paul Buhner merakam video haiwan itu duduk dengan selesa di atas beg golf berdiri rakannya. Semasa mereka sedang terleka tidak sedar, salah seekor krustasea itu telah berjalan mengelilingi kayu golf dan berpegang erat dengan penyepitnya yang besar.

Facebook

Penyepit ketam kelapa mempunyai tepi bergerigi yang sangat berkuasa. Mereka menggunakan penyepit tersebut untuk memecahkan kelapa sehingga terbuka, jadi mengendalikan ketam kelapa dengan tangan kosong perlu dilakukan dengan sangat berhati-hati.

Facebook

Nasib baik, pemilik beg golf itu tahu bahawa dia perlu berhati-hati jika dia mahu menyimpan semua jarinya. Dia mencengkam ketam kelapa dari belakang dan mencekupnya dari beg golf itu.

Facebook

Satu-satunya masalah ialah tiada cara untuk membuat haiwan itu melepaskan tiga kayu golf berharga yang dipegang erat oleh si ketam dan dia terus bertindak mahu mengetip.

Facebook

Akhirnya, selepas berjaya menyelamatkan dua daripada kayu golf itu, pemiliknya menyedari sudah tiada harapan untuk yang kayu golf ketiga yang malang. 

Facebook

Ketam kelapa itu telah berjaya mematahkan kayu golf dengan penyepitnya yang luar biasa “seperti gergaji”. 

Facebook

Walaupun ketam kelapa biasanya adalah haiwan malam, krustasea di Pulau Christmas juga aktif di siang hari ketika tahap suhu lembap yang tinggi dan mereka berkumpul untuk mendapatkan makanan, yang biasa di bawah pokok buah-buahan.

Facebook

Ketam kelapa mempunyai sifat sangat berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan persekitarannya, kata Muzium Australia Barat.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Leka lompat-lompat main bola sampai kepala harimau bintang salji terhantuk, tahu sakit tak mahu main lagi

0

Melihat gerak-geri spesies harimau bintang salji yang unik ketika bermain memang menyeronokkan.

Seorang netizen @bouchakame merakam seekor anak harimau bintang salji sedang bermain di Zoo Tama, Jepun.

Bola mainan merah itu digantung untuk harimau bintang salji dan mereka membiarkan dia bermain.

Sedikit ingin tahu pada mulanya.

Perlu berani bermain dengan bola merah ini yang nampak menarik.

Selepas itu mula seronok bermain dan terlompat-lompat.

Eh! Ia jadi semakin mengujakan..

Dan bola merah ini bertindak balas dengan baik dengan ketangkasan saya menangkapnya!

Walau bagaimanapun, ada masanya bola melantun tinggi pergi terlalu jauh..

Lalu sampai ke kepala si harimau bintang salji lah apa lagi bola itu.

Harimau bintang salji mula terasa pening sambil berkata dalam hati: Aduh sakit!

Sekali itu sahaja, tak mahu main lagilah..

Memang comel muka dia!

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Hanya seorang murid belajar dalam tahun dua di SK Belimbing Pekan

0

Salah seorang daripada keseluruhan 22 pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing, Pekan menjadi murid tunggal tahun dua sekolah berkenaan yang terletak di pinggir Sungai Pahang.

“Walaupun hanya belajar berseorangan dalam kelas namun saya perlu kuatkan semangat demi menimba ilmu akademik sama seperti rakan lain. Sunyi sepanjang berada dalam kelas, tiada gelak ketawa rakan dan teman untuk berbual,” kata murid tahun dua, Nur Qaleesya Elieyna Abdul Qayyum, 8 tahun.

Nur Qaleesya Elieyna berkata kepada Harian Metro, sebelum ini dia belajar berdua di tahun Dua Amanah namun rakannya terpaksa berpindah kerana mengikut keluarga dan sejak itu kelas tahun dua bertukar menjadi sunyi dan tidak lagi ceria.

Twitter

Menurutnya, sebelum ini dia seolah hilang tumpuan untuk belajar terutama apabila terpaksa belajar sendirian dalam kelas namun dengan sokongan keluarga dan guru perasaan kecewa dapat sedikit dilupakan.

“Setiap hari saya belajar dengan bertemankan guru walaupun dapat memberi sepenuh tumpuan ketika belajar, namun keseronokan dalam kelas tidak pernah berlaku berbanding kelas lain.”

“Belajar sendirian dalam kelas mungkin terus berlarutan hingga saya berada di tahun enam. Saya reda dengan apa yang dilalui walaupun sukar untuk diterima.”

“Sekolah lain meriah dengan murid yang ramai…namun tidak berlaku di SK Belimbing yang terletak di kawasan luar bandar,” kata murid ini.

Sementara itu guru besar SK Belimbing, Zol Kefely Hussin berkata, SK Belimbing kini hanya mempunyai seramai 22 murid tahun satu hingga enam dan dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).

Menurutnya, kelas tahun satu mempunyai seramai enam murid, tahun dua (seorang), tahun tiga (tiada murid), tahun empat (tiga), tahun lima (dua) dan tahun enam (empat).Kelas pra sekolah kini mempunyai enam murid.

Katanya, SK Belimbing mempunyai tujuh guru termasuk guru besar, walaupun terletak diluar bandar namun sekolah berkenaan menikmati pelbagai kemudahan disediakan kerajaan yang hampir sama dengan sekolah di bandar.

Menurutnya, sekolah yang mula ditubuhkan pada Ogos 1941 memberi pendidikan kepada kanak-kanak terdiri daripada masyarakat Kampung Belimbing yang kini terdiri daripada 18 keluarga.

“Walaupun hanya mempunyai seramai 22 murid namun tanggungjawab memberi pendidikan tidak pernah diabaikan oleh semua guru, jumlah murid bukan ukuran bagi kami yang sudah berjanji untuk memikul amanah yang diberikan, dengan sebaik mungkin” katanya.

Beliau mula bertugas sebagai guru besar di SK Belimbing pada Jun tahun lalu, menganggap dirinya bertuah apabila berpeluang berada di sekolah berkenaan yang tidak mempunyai ramai murid.

Zol Kefely berkata, sokongan padu diberikan semua guru dalam menjalankan tugas turut menjadi kelebihan yang bererti. Mereka tidak pernah menyesal bertugas di sekolah luar bandar yang mempunyai cabaran berbeza dengan sekolah di bandar.

Katanya, walaupun SK Belimbing terletak di kawasan luar bandar dengan jumlah murid cuma 22 orang, namun semua kemudahan pendidikan disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).

SK Belimbing Pekan/Facebook

“Tugas tetap perlu ditunaikan sebaik mungkin dalam memastikan anak bangsa dibekalkan dengan ilmu,” kata guru Nor Azlin Abd Rashid yang sudah berkhidmat selama 5 tahun di sekolah itu.

“Saya tidak terlalu memikirkan jumlah murid di dalam kelas ketika mengajar, lebih utama yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana untuk memastikan murid dapat memahami apa yang diajar.”

“Tumpuan yang lebih dapat diberikan kepada murid ketika di dalam kelas, sebagai contoh mengajar Nur Qaleesya Elieyna di kelas Dua Amanah memberi peluang kepada saya menumpukan sepenuh tumpuan kepadanya seorang,” katanya yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.

Katanya, dia dan guru lain sentiasa berusaha memberi pendidikan yang terbaik seterusnya untuk melihat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan.

Menurutnya, kejayaan murid menjadi hadiah paling bererti buat guru di SK Belimbing yang memberi sepenuh tumpuan mendidik bukan sahaja pada waktu persekolahan malah turut berlaku diluar sekolah.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, di daerah Pekan kini terdapat sebanyak 11 sekolah yang dikategorikan SKM.

Katanya, sekolah terbabit ialah SK Belimbing (22 murid), Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yoke Hwa (31), SK Pulau Manis (40), SK Pulau Rusa (52), SK Kampung Acheh (66), SK Padang Rumbia (47), SK Serambi (53), SK Pelak (76), SK Tasik Chini (90), SK Pahang Tua (117) dan SK Ganchong (101).

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: