Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas sebuah helikopter yang dinaiki enam orang terhempas di Cameron Highlands, Pahang, pada jam 1.15 tengah hari, 26 Oktober.
Helikopter itu dipercayai terhempas di hutan Brinchang selepas berlepas dari Kampung Gawin di Gua Musang, Kelantan. Ia dalam perjalanan ke Tanjung Rambutan, Perak, lapor New Straits Times.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan berkata unit SAR pertama telah mendarat dan dihantar ke lokasi nahas dalam tempoh 19 minit selepas menerima pemberitahuan.
Pesawat itu dipercayai helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dan dikendalikan oleh syarikat swasta, Layang Layang Aerospace Sdn Bhd.
Mereka yang berada di dalam helikopter berkenaan adalah petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk seorang doktor dan dikendalikan seorang juruterbang.
Bernama melaporkan kesemua lima penumpang dan juruterbang selamat, memetik Ketua Polis Pahang.
Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan, bagaimanapun seorang mengalami patah tulang paha, menurut laman Facebook Bomba & Penyelamat Negeri Pahang. Mereka menerima rawatan awal di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Cameron Highlands untuk menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata kepada Sinar Harian, kesemua mangsa ditemui selamat selepas lokasi helikopter itu berjaya dikenal pasti berhampiran Big Red Brinchang, kira-kira jam 3.51 petang.
Menurutnya, usaha mengeluarkan mangsa yang terdiri tiga wanita dan tiga lelaki telah dilakukan dengan bantuan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) dan Pasukan Multiskill (Must) yang dikerah ke lokasi kejadian.
“Operasi menyelamat melibatkan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron, termasuk anggota pasukan Storm dan Must dibantu 25 anggota bomba dari JBPM Perak.
CAAM berkata siasatan ke atas insiden itu akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Bekas Canselor Rishi Sunak menjadi Perdana Menteri United Kingdom yang baharu selepas kedua-dua pesaingnya terkeluar daripada perlumbaan kepimpinan Parti Konservatif.
Rishi Sunak, 42 tahun dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri baharu Britain pada 25 Oktober selepas menghadap Raja Charles III di Istana Buckingham dan menerima titah untuk membentuk kerajaan.
Beliau bukan sahaja menempa sejarah sebagai Perdana Menteri bukan kulit putih yang pertama di United Kingdom, malah merupakan pemimpin termuda meneraju pentadbiran negara dalam tempoh lebih 200 tahun.
Perdana Menteri Britain yang baharu Rishi Sunak menghadap Raja Charles III di Istana Buckingham, London dan menerima titah untuk membentuk kerajaan. (Gambar The Royal Family/ Twitter)
Terdahulu, Penny Mordaunt, ketua Dewan Rakyat, menulis di Twitter beberapa minit sebelum pencalonan ditutup pada jam 2 petang 24 Oktober bahawa beliau telah memutuskan untuk menarik diri dan Rishi Sunak kini mendapat “sokongan penuhnya”.
Satu-satunya pencabar lain, bekas Perdana Menteri Boris Johnson, telah terkeluar daripada perlumbaan pada petang 23 Oktober, yang mengakui beliau tidak dapat menyatukan parti.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen kepada negara itu, Sunak berkata beliau “merendah diri dan berbesar hati” untuk dipilih sebagai ketua Parti Konservatif.
“Ia adalah keistimewaan terbesar dalam hidup saya untuk peluang berkhidmat kepada parti dan memberi kembali kepada negara yang saya terhutang terlalu banyak,” katanya.
Sunak memberi amaran United Kingdom akan berhadapan “cabaran ekonomi yang amat mendalam.”
“Kita kini memerlukan kestabilan dan perpaduan, dan saya akan menjadikannya perkara keutamaan untuk membawa parti kami dan negara bersama,” katanya.
Rishi Sunak, yang tewas kepada Perdana Menteri Liz Truss dalam pertandingan kepimpinan Tory hanya enam minggu lalu, mendapat sokongan padu daripada Ahli Parlimen Konservatif.
Dalam kenyataannya ketika mengumumkan tawaran kepimpinannya yang diperbaharui pada hari Ahad, beliau menegaskan akan memimpin dengan “integriti, profesionalisme, dan akauntabiliti,” dalam percubaan yang jelas untuk membezakan dirinya dengan dua Perdana Menteri terdahulu, yang kedua-duanya keluar dari 10 Downing Street dalam keadaan memalukan.
Truss tidak mempunyai pilihan selain meletak jawatan selepas keseluruhan program ekonominya, berdasarkan pemotongan cukai yang tidak dibiayai secara besar-besaran, dibatalkan berikutan reaksi negatif daripada pasaran kewangan, yang menyaksikan pound jatuh mendadak berbanding dolar AS dan kos pinjaman meningkat dengan ketara bagi kedua-dua kerajaan dan isi rumah seluruh United Kingdom.
Kesengsaraan ekonomi Truss sebahagian besarnya telah diramalkan oleh Sunak dalam kempen kepimpinan terakhir, di mana beliau menggelar wawasan ekonominya sebagai “kisah dongeng yang menghiburkan” dan berkata janjinya untuk pemotongan cukai yang tidak dibiayai pada masa inflasi yang semakin teruk adalah tidak bertanggungjawab, berbahaya dan tidak konservatif. Sunak meramalkan pemotongan cukai akan membawa kepada lonjakan kadar gadai janji—ramalan yang kemudiannya disahkan oleh pasaran.
Gambar oleh Jeff J Mitchell/Getty Images
Boris Johnson terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas peletakan jawatan lebih daripada 50 menteri kerajaan, berikutan beberapa skandal, termasuk didenda oleh polis kerana menghadiri perhimpunan haram di 10 Downing Street semasa perintah berkurung COVID-19. Peletakan jawatan Sunak sebagai canselor dipercayai memainkan peranan penting dalam mencetuskan pembongkaran kerajaan Johnson.
Tetapi integriti Sunak sendiri telah sebersih mana. Reputasinya dicemari awal tahun ini berikutan pendedahan bahawa isterinya, Akshata Murthy, yang merupakan anak kepada jutawan India, NR Narayan Murthy mempunyai status ‘non-domiciled’ untuk tujuan pembayaran cukai.
Beliau juga terlibat dalam skandal “Partygate” dan didenda, bersama Johnson dan isterinya, Carrie, oleh Polis Metropolitan kerana menghadiri parti hari jadi Perdana Menteri, yang diadakan dengan melanggar peraturan perintah berkurung.
Seperti manusia, haiwan peliharaan juga mempunyai perasaan mahu dibelai dan diberi sepenuh perhatian serta kasih sayang, yang bukan setakat kucing atau anjing sahaja.
Baru-baru ini tular rakaman video TikTok apabila seekor monyet merajuk dan menjadi amat cemburu kerana tuannya terlebih memanjakan kucing kesayangan.
Mana tidaknya, nama pun kucing kesayangan, tentulah sayang sangat dengan kucing itu, membuatkan si monyet terasa yang dia ini menerima kurang kasih sayang..
Video TikTok yang dimuat naik oleh @zulghazali91 memaparkan reaksi monyet peliharaannya merajuk bila dia mencium manja kucing kesayangannya.
Difahamkan @zulghazali91 merupakan seorang pencinta haiwan dan memiliki beberapa ekor kucing, yang mana monyet itu juga merupakan salah satu haiwan peliharaannya.
Monyet ini pun pandai untuk memberitahu manusia, kasih sayang perlu dicurahkan secara adil dan saksama, tidak kira anda melayan haiwan peliharaan dalam spesies apa pun. Tidak boleh pilih kasih..
Bila dalam keluarga lahir adik perempuan comel dengan adik-beradik lain ialah abang, ia boleh membuat seseorang yang lain dalam keluarga lain menjadi cemburu apatah lagi dia itu tiada adik perempuan.
Seperti perebutan mendapatkan ‘hak penjagaan’ oleh dua orang kanak-kanak lelaki ke atas seorang ‘adik perempuan’ dalam video yang tular ini.
Rakaman video mencuit hati perkongsian pengguna TikTok, Syara Othman @mommysyara memaparkan dua abang berlainan keluarga amat teruja memiliki adik perempuan sehingga sanggup berebut untuk mendapatkannya.
Menurut Syara, anak lelaki sulungnya tiba-tiba berebut dengan seorang kanak-kanak lelaki lain yang berbaju Melayu hijau untuk mendapatkan bayi perempuan yang sedang tidur lena.
Budak lelaki yang berbaju hijau itu adalah abang kepada bayi perempuan berkenaan, dan budak lelaki berbaju merah adalah anak lelaki Syara yang hanya memiliki adik lelaki, dan dia duduk di sebelah kanan hujung itu sambil memerhatikan keletah abangnya berebut ‘baby girl’.
Apa yang lebih melucukan, apabila si abang berbaju merah sanggup membuat perjanjian sistem barter memberikan adik lelakinya kepada si abang yang bernama Umar itu, sebagai ganti dia mendapat adik perempuan.
Kedua-duanya terus berebut dan bertarik-tarik mendapatkan ‘baby girl’ sampai si ayah berbaju hijau yang berada di sebelah terpaksa menjadi orang tengah meleraikan mereka.
Liz Truss mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom selepas hanya 45 hari menyusun strategi politiknya.
Perkara itu diumumkan Truss, 47, di luar Downing Street. Peletakan jawatannya hanya selepas 45 hari menjadikan beliau Perdana Menteri paling singkat memegang jawatan itu dalam sejarah United Kingdom.
“Saya menerima jawatan ini pada saat ketidakstabilan ekonomi dan antarabangsa yang hebat.
“Keluarga dan perniagaan rata-rata bimbang memikirkan cara menyara diri, perang di Ukraine mengancam keselamatan seluruh benua kita, dan negara ini telah terlalu lama terhalang akibat pertumbuhan ekonomi rendah,” jelasnya.
“Saya dilantik Parti Konservatif dengan mandat untuk mengubah semua ini. Bagaimanapun, melihat kepada keadaan, saya akur tidak dapat memenuhi mandat itu,” katanya dengan menambah beliau telah memaklumkan Raja Charles III mengenai peletakan jawatannya sebagai pemimpin Parti Konservatif.
Liz Truss bagaimanapun akan terus menyandang jawatan itu sehingga penggantinya dipilih.
Pemilihan kepimpinan Parti Konservatif bakal diumumkan pada minggu hadapan, katanya.
Kepimpinan Liz Truss menggantikan Boris Johnson dibelenggu pelbagai kemelut susulan pembentangan belanjawan negara pada bulan lalu yang mencetuskan kejutan pasaran sebelum dibatalkan Canselor.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Boris Johnson dijangka bertanding mewakili Parti Konservatif bagi merebut jawatan PM UK baharu menggantikan Truss.
Pemimpin lain dijangka menawarkan diri bertanding termasuk bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak dan bekas Menteri Pertahanan, Penny Mordaunt.
Seorang budak lelaki berusia 12 tahun dari Anshan, China mengalami sendiri kesakitan yang perlu dilalui ibu bapanya ketika membimbing anak-anak menyiapkan kerja sekolah, ketika dia ingin mencuba mengajar adik perempuannya yang degil.
Dan reaksinya ketika bertindak sebagai ‘pengajar sementara’ menggantikan ibunya amat melucukan.
Pada mulanya, abang ini menawarkan diri untuk membantu adik perempuannya yang berusia sembilan tahun membuat kerja rumah subjek matematik.
Si abang bertindak berbuat demikian selepas melihat ibunya mula menjadi kurang sabar, yang sebelum itu bertungkus lumus mengajar adiknya untuk menyelesaikan latihan matematik, South China Morning Post melaporkan.
Video tular yang dimuat naik di Douyin itu memaparkan si abang kelihatan begitu kecewa selepas sesi bimbingan untuk memahamkan adiknya menyelesaikan soalan matematik ternyata tidak berjaya.
Si abang nampak seperti tidak tertahan dengan hatinya yang sakit sambil menangis teresak-esak ketika dia cuba menunjukkan kesilapan adiknya yang sedang membuat latihan matematik itu.
Tetapi, nampaknya si adik terlalu degil untuk mendengar kata abang ini yang bersungguh-sungguh hendak mengajar.
Bahagian paling kelakar ketika si abang mula mengadu kepada ibunya yang sedang merakam video itu, mengenai ketidakcekapan adiknya dalam membuat kerja sekolah.
“Saya sudah memberi jawapan kepadanya, terdapat tiga sudut tepat dalam gambar, tetapi dia masih degil dengan kata hanya terdapat dua sudut tepat,” katanya.
Akhirnya, abang ini terus bersedih dengan rasa kecewanya dan menundukkan kepala tanda kalah, sambil berlalu pergi.
Sementara si adik sambil menangis sempat lagi tersenyum nakal kepada dirinya sendiri, mungkin seronok dapat melihat abangnya gelabah dan sakit hati sambil meraung-raung ketika mengajarnya latihan matematik.
Dan ibu mereka tidak tertahan ketawa di belakang kamera, dengan sempat menyindir anak lelakinya, “Kamu ini tidak layaklah menjadi guru..”
Video yang tular ini mendapat perhatian lebih 145,000 pengguna Douyin yang rata-rata memberi komen wajah kekecewaan dan reaksi si abang yang sakit hati ketika mengajar adiknya itu jelas agak melucukan.
“Sejak itu, anak muda ini mula hilang keinginan untuk menjadi seorang guru,” tulis seorang netizen.
“Saya mengajar adik saya sebelum ini bersama-sama ibu. Dan saya juga menangis bersama-sama ibu,” komen seorang netizen yang memahami perasaan si abang kecewa kerana dikurniakan adik comel yang lambat tangkap.
Seorang bapa warga Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat telah membandingkan kerja sekolah anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dengan sukatan pelajaran Tahun Satu di Malaysia yang perlu ditunjuk ajar oleh ibu bapa di rumah.
Pengguna Facebook Saif Suhairi berkongsi dalam satu hantaran pada 17 Oktober apabila kecoh berita guru sekolah rendah Mohd Fadli Salleh telah dihantar surat tatatertib oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor kerana tindakannya menarik perhatian umum terhadap kesukaran kurikulum yang diajar di sekolah rendah.
Saif berkata, beliau mahu menunjukkan perbezaan antara bahan kajian dan sistem pendidikan di Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia supaya orang ramai boleh membuat keputusan sendiri tentang apa yang terbaik buat anak-anak mereka.
Mula-mula Saif menjelaskan anaknya berada di Gred Satu di AS, iaitu untuk kanak-kanak berumur enam hingga tujuh tahun dan setaraf dengan Tahun Satu di Malaysia.
“Di sebelah kiri ialah sukatan pelajaran negara kita yang saya ambil daripada hantaran Facebook Cikgu Mohd Fadli, di mana pelajar Tahun Satu sudah kena menghafal sifir enam,” tulisnya.
Kemudian Saif membandingkannya dengan kerja sekolah Gred Satu di AS, yang menunjukkan anaknya belajar mengenal pasti huruf dan nombor “seperti kanak-kanak berusia empat tahun di tadika”.
“Yang ini bagus atau tidak? Sekarang ia kelihatan terlalu perlahan, bukan? Di sinilah saya berada di atas pagar,” akuinya.
Bapa ini menjelaskan lagi, murid-murid di AS hanya belajar sifir apabila mereka memasuki Gred Tiga.
“Ini betul-betul lambat. Tetapi kurikulum di sini mula memecut laju di sekolah menengah dan sekolah tinggi. Saya fikir mungkin kerana sekolah di sini membenarkan pelajar sekolah rendah banyak bermain dan belajar menyukai sekolah terlebih dahulu,” tulisnya.
Tambahnya, jika terdapat pelajar yang belajar terkehadapan, pihak sekolah menyediakan program lanjutan khas buat mereka, dan terdapat banyak lagi program untuk pelajar yang berbeza kebolehan dalam pembelajaran.
Saif terus membandingkan kehidupan sekolah anaknya dengan pelajar sekolah rendah di Malaysia, termasuk isu tidak pernah selesai mengenai beg sekolah yang berat dan bilik darjah yang sesak.
Katanya, “Tiada buku untuk dibawa pulang. Pelajar meninggalkannya di meja masing-masing. Mereka hanya membawa pulang komputer riba Dell (yang setiap pelajar diberikan satu), dan beberapa fail untuk kerja rumah mereka. Kerja dalam kelas biasanya mereka hanya buat di atas kepingan kertas sahaja seperti dalam gambar.”
Tambahnya lagi, kebiasaan hanya terdapat 20 pelajar dalam satu kelas, dan paling ramai 25 orang.
“Dan setiap kelas akan ada seorang guru kelas dan pembantu pengajar. Guru akan fokus mengajar dan pembantu akan membantu pelajar lebih memahami, mengedarkan kertas, dan meminta pelajar berkelakuan baik. Guru boleh mengajar dengan tenang dan fokus kepada ‘perkembangan’ pelajar.
Walau apa pun perbandingannya, bapa ini berpendapat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mencari sukatan pelajaran yang berkesan dan komited dengannya.
“Dasar kita sentiasa berubah setiap kali kerajaan bertukar. Ini tidak baik untuk pendidikan generasi kita,” katanya.
Beliau turut menyuarakan sokongannya kepada guru sekolah rendah yang membawa isu pendidikan di negara ini dengan berkata, “Yang penting, kita perlu menyokong, bukan memangkah orang yang berfikiran kritis.”
Terbaharu, Kementerian Pendidikan telah membersihkan nama Cikgu Mohd Fadli daripada semua kesalahan yang didakwa itu selepas beliau dengan jujur menunjukkan kelemahan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Sebuah negara di Eropah yang tiada peperiksaan di sekolah, tiada statistik, tiada GPA dan kerja rumah hampir sifar. Para pelajar tidak mengira berapa jam untuk kerja sekolah di rumah dan selalunya tidak begitu banyak kerja sekolah.
Kanak-kanak di sini pergi ke sekolah selama 5 jam setiap hari, dengan cuti sekolah paling lama, dan negara yang dimaksudkan ialah Finland.
Finland adalah contoh negara yang mengubah sistem pendidikan ke arah yang lebih sihat. Tanpa berniat untuk mengungguli carta pencapaian pelajar, mereka berjaya mencapainya dengan sistem pendidikan yang lebih holistik.
10 sebab mengapa sistem pendidikan Finland dilihat sebagai antara yang terbaik di dunia:
1. Tiada ujian seragam
Di kebanyakan negara, pelajar akan belajar untuk mengejar kelulusan ujian dan guru akan mengajar dengan tujuan agar pelajar lulus ujian. Tujuan pembelajaran sebenar yang tidak pasti dapat dicapai atau tidak.
Finland tidak mempunyai ujian seragam melainkan National Matriculation Exam, iaitu ujian sukarela untuk pelajar di peringkat sekolah menengah atas. Semua kanak-kanak di Finland digredkan secara individu dan sistem penggredan ditetapkan oleh guru mereka. Namun begitu, Kementerian Pendidikan tetap menyemak perkembangan keseluruhan dengan cara menguji sebilangan pelajar daripada pelbagai jenis sekolah.
Menyalahkan guru apabila berlaku sesuatu dan kadangkala ianya wajar di kebanyakan negara di dunia. Tetapi di Finland, disebabkan standard yang tinggi untuk menjadi seorang guru yang lebih penting daripada menjadi doktor atau peguam, tiada keperluan untuk mengadakan sistem pemarkahan guru yang ketat.
Semua guru dikehendaki memiliki ijazah sarjana sebelum memasuki kerjaya tersebut. Jurusan perguruan merupakan jurusan paling ketat dan terpilih di seluruh negara. Sekiranya seorang guru tidak berfungsi dengan baik, pengetua yang bertanggungjawab wajib melakukan sesuatu mengenainya. Ini bermakna pengawasan guru bukanlah atas pemeriksaan birokrasi dan ujian seragam. Ia ditangani secara individu.
3. Setiap sekolah mementingkan kerjasama, bukan persaingan
Sistem pendidikan Finland tidak seperti di negara lain yang mementingkan persaingan. Tiada senarai sekolah atau guru yang berprestasi tinggi. Ia bukan persekitaran untuk persaingan, sebaliknya menggalakkan kerjasama.
Bahkan mereka juga tidak berniat untuk berada di kemuncak perbandingan antara pendidikan negara-negara maju. Ironinya, sikap tidak mempedulikan status ini telah meletakkan mereka teratas di peringkat antarabangsa.
4. Mengutamakan perkara asas
Tumpuan sistem pendidikan kepada markah ujian dan kefahaman dalam matematik dan sains selalu membuatkan banyak negara terlupa apa yang membentuk suasana pembelajaran dan pelajar yang bahagia, harmoni dan sihat.
Di Finland, pelajar bukan sahaja belajar menguasai matematik, sains dan tatabahasa, tetapi mereka juga mengikuti kelas memasak, muzik, pertukangan kayu, malahan belajar puisi.
Program yang dijalankan di Finland memberi tumpuan kepada yang asas. Ia bukan tentang menguasai pelajaran dan mendapat markah tinggi. Sebaliknya, mereka mahu membentuk persekitaran sekolah menjadi tempat yang menggalakkan kesaksamaan.
Sejak reformasi pendidikan pada tahun 1980-an, pendidik di Finland telah memberi tumpuan untuk menjadikan asas-asas berikut sebagai keutamaan:
Pendidikan harus menjadi instrumen untuk mengimbangkan ketidaksamaan sosial.
Semua pelajar menerima makanan sekolah percuma.
Kemudahan akses kepada penjagaan kesihatan.
Kaunseling psikologi.
Panduan diberikan berdasarkan individu.
Perkara ini mungkin kedengaran remeh tetapi memberikan kanak-kanak permulaan yang saksama bererti Finland dapat menangani segala masalah sosio-ekonomi (pengangguran, keciciran daripada sekolah, jenayah dan salah laku sosial) yang lahir dengan ketidaksamaan sosial. Setiap anak, baik yang miskin mahupun kaya bersekolah dan bersosial dalam persekitaran yang sama, tiada sekolah swasta untuk anak orang kaya dan sekolah kerajaan yang daif untuk anak orang miskin.
Pendidikan adalah percuma dan yuran sekolah atau pusat tuisyen di Finland adalah satu larangan, kerana ia menyalahi undang-undang.
Pelajar bermula bersekolah pada usia tujuh tahun. Bukan enam, atau lima. Meskipun tadika untuk kanak-kanak 6 tahun disediakan, kehadiran bukanlah wajib. Mereka diberikan kebebasan sewaktu zaman perkembangan kanak-kanak untuk tidak dipaksa melalui pendidikan wajib. Mereka membiarkan kanak-kanak bersikap seperti kanak-kanak.
Terdapat hanya 9 tahun persekolahan yang wajib dihadiri kanak-kanak Finland. Pendidikan setelah kelas kesembilan atau pada usia 16 adalah atas pilihan.
Jika dilihat dari sudut psikologi sahaja, ini adalah kebebasan yang ideal. Para pelajar tidak berasa seperti mereka tersekat dalam penjara. Finland membebaskan mereka daripada tempoh persekolahan yang dipaksakan dan sebaliknya memilih untuk menyediakan pelajar untuk dunia sebenar.
6. Menyediakan pilihan profesional selain ijazah universiti biasa
Bagi kebanyakan negara, aliran pendidikan tradisional kebiasaannya melibatkan persekolahan dan kemudian melanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti. Sama ada kita mahu mengakuinya ataupun tidak, sebenarnya tidak semua orang perlu memasuki kolej atau universiti. Ramai pelajar yang melanjutkan pelajaran dengan mengambil ijazah dalam jurusan yang tidak bermakna buat mereka dan terpaksa menanggung hutang yang melampau.
Finland menyelesaikan masalah ini dengan menawarkan pilihan yang masih menguntungkan pelajar yang mahu meneruskan pendidikan mereka. Universiti dan politeknik merupakan dua pilihan bagi pelajar. Kedua-duanya diiktiraf tinggi secara profesional dan mereka secara sama rata layak bersaing dalam kerjaya.
Bagi kebanyakan negara, bersekolah sekadar di peringkat menengah merupakan satu kelemahan sedangkan di negara-negara Scandinavia, bersekolah sehingga peringkat menengah dan memasuki politeknik tidak dipandang rendah dalam masyarakat kerana ia sudah menjadi kebiasaan.
7. Pelajar tidak perlu bangun awal untuk bersekolah
Terkejar-kejar bersarapan, menunggu bas atau mengayuh basikal pada awal pagi, di samping waktu untuk perhimpunan pagi dan program kokurikulum yang kesemuanya mengambil masa pelajar yang banyak. Hasilnya, pelajar akan mengantuk dan letih untuk mendapat pendidikan.
Pelajar di Finland biasanya memulakan waktu persekolahan sekitar jam 9:00 hingga 9:45 pagi. Kajian menunjukkan waktu persekolahan terlalu awal boleh menjejaskan kesejahteraan, kesihatan, dan kematangan pelajar. Sekolah-sekolah di Finland bermula agak lambat dan kebiasaannya berakhir pada jam 2:00 hingga 2:45 petang. Mereka mempunyai tempoh kelas yang lebih lama dan waktu rehat yang lebih panjang di antaranya, untuk memastikan para pelajar dapat fokus dan gembira dalam pembelajaran mereka.
8. Pembelajaran dan arahan yang konsisten daripada guru yang sama
Bilangan guru dan pelajar dalam kelas di Finland agak sedikit berbanding negara lain. Pelajar di Finland kebiasaannya mempunyai guru yang sama sepanjang enam tahun pendidikan mereka. Pada masa ini, guru mengambil peranan seperti seorang mentor atau ahli keluarga. Selama bertahun-tahun, kepercayaan dan ikatan dibina supaya kedua-dua pihak mengenali dan menghormati satu sama lain.
Keperluan dan gaya pembelajaran berbeza mengikut individu. Guru-guru Finland mengenal pasti keperluan pelajar mereka. Setiap guru juga lebih banyak menggunakan permainan dalam pembelajaran berbanding menggunakan buku kerana pelajar dapat belajar dengan lebih baik dengan kaedah itu.
Guru yang sama boleh mencatat dengan tepat dan mengawasi perkembangan pelajar serta membantu mereka mencapai matlamat. Tiada istilah lepas tangan kepada guru yang lain.
Kurang tekanan, kurang jadual, sebaliknya lebih panduan. Pelajar biasanya hanya belajar beberapa subjek dalam sehari. Mereka mempunyai masa beberapa kali untuk makan, menikmati aktiviti rekreasi dan berehat. Terdapat waktu rehat 15 hingga 20 minit beberapa kali dalam sehari.
Persekitaran sebegini juga diperlukan guru. Bilik guru yang disediakan juga membolehkan mereka berehat dan bersantai, bersedia untuk pelajaran atau untuk bersosial. Guru juga manusia dan memerlukan istirehat supaya dapat bekerja dengan baik.
10. Kurang kerja rumah dan tugasan luar
Menurut OECD, pelajar di Finland mempunyai jumlah kerja rumah dan tugasan luar yang paling sedikit berbanding pelajar lain di dunia. Mereka hanya menghabiskan masa setengah jam untuk kerja rumah.
Pelajar Finland juga tidak menghadiri tuisyen. Namun, mereka mengalahkan budaya pendidikan di negara yang mementingkan kelas tambahan dan kerja rumah untuk menjadi terunggul dalam sistem pendidikan. Di Finland, mereka sentiasa mengutamakan untuk mengelakkan tekanan perasaan kepada pelajar.
Pelajar Finland mendapat semua yang mereka perlukan di sekolah tanpa tekanan tambahan untuk berlumba mendapat markah cemerlang dalam sesuatu subjek. Tanpa perlu risau tentang gred dan kerja rumah, mereka dapat memberi tumpuan kepada tugas sebenar mereka – belajar dan berkembang sebagai manusia.
Sistem pendidikan di Finland berjaya. Sebanyak 99 peratus kanak-kanak di Finland tahu membaca dan menulis, dan mereka juga adalah pelajar cemerlang di dunia dalam bidang matematik dan sains. Lebih 70 peratus pelajar mengakui yang mereka gembira berada di sekolah dan setiap hari.
Negara Finland bermula dengan memahami kanak-kanak itu adalah orang dewasa kecil, yang perlu belajar sedikit demi sedikit, langkah demi langkah untuk berfikir menjadi manusia, dan akhirnya dapat mencari kebahagiaan dalam hidup.
Pencinta kucing akan faham bila rasa simpati spontan terdetik ketika melihat mana-mana kucing terbiar sedang sakit, untuk dibawa pulang dan dirawat dengan segera.
Kalau haiwan itu tidak sakit, tengok mata sayu si comel pun cepat sahaja tangan hendak capai untuk membawa pulang kucing bila dapat tahu dia hidup terbiar.
Dalam TikTok baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang mak cik membawa pulang kucing terbiar, tetapi cara spontannya untuk menempatkan haiwan itu supaya mak cik boleh pantas bergerak adalah amat melucukan, yang membuat ramai rasa terhibur.
Pada mulanya, dari jauh kelihatan mak cik ini menjinjing beg plastik oren selepas keluar dari sebuah kedai, yang diingatkan dia baru selesai membeli barang.
Tetapi rupa-rupanya mak cik sedang membawa pulang seekor anak kucing yang bergerak-gerak di dalamnya.
Pengguna TikTok @kaklinaaircond yang merakam sambil tergelak sakan dan memuat naik video itu, berkata ibunya yang merupakan seorang pencinta kucing terpaksa membawa kucing sakit itu pulang ke rumah kerana mahu merawatnya.
“Operasi menculik..” kapsyen video itu sambil menunjukkan mak cik dengan muka selamba dan tidak bersalah membawa seekor kucing di dalam beg plastik oren.
Ada kala seseorang itu mengalami kesukaran dalam hidup sehingga berasa ia tidak mampu ditanggung lagi menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Seorang wanita hamil ditemui hampir lemas berhampiran tiang 32 Jambatan Pulau Pinang akibat dihanyutkan arus dalam kejadian yang berlaku pada 16 Oktober lalu.
Dalam video yang tular di platform media sosial, wanita itu dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang.
Sebuah bot yang membawa pemancing mula menyedari kehadiran seorang wanita jatuh ke dalam laut apabila pemandu bot itu mahu merapatkan botnya ke tiang berkenaan pada kira-kira jam 6.45 petang.
Mohd. Sobri Karim, 37 tahun berkata dia terkejut apabila mendapati seorang wanita terjatuh di antara bot dan tiang jambatan.
“Bunyi sangat kuat. Pada masa itu, terdapat empat orang kaki pancing di atas bot. Saya nampak dengan jelas wanita itu dalam keadaan tenggelam timbul dan hampir lemas di bawa arus,” katanya kepada Kosmo!
“Saya segera meminta pemancing melepaskan tali penambat bot ke arah wanita itu lalu melilitkan ke tangannya. Kami berjaya mengangkatnya naik ke atas bot,” tambahnya.
Sebaik sahaja dibawa naik, mereka terkejut melihat wanita berpelitup muka berusia 20-an itu sebenarnya sedang sarat mengandung, yang dipercayai dalam lingkungan enam ke tujuh bulan.
“Dia hanya menangis dan meracau sepanjang dibawa ke Pangkalan Polis Marin Wilayah Satu di Batu Uban,” kata Mohd Sobri.
Wanita itu diserahkan kepada pasukan polis dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di situ selepas dihubungi Mohd Sobri dan rakan-rakannya semasa mereka dalam perjalanan.