27.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, August 3, 2025
Utama Blog Laman 100

Jadikan kucing sebagai bukti penghantaran barang, interaksi comel antara penghantar barang dengan kucing ini buat ramai ketawa!

0

Kucing adalah salah satu haiwan peliharaan yang paling digemari oleh ramai orang. Tidak kiralah kucing itu berbaka kacukan, “kampung” atau apa jua sekalipun. Kecomelan kucing semuanya tetap sama dan tidak terbanding!

@coffeedcat

Walau bagaimanapun, ramai juga yang pasti akan setuju dengan satu tahap tinggi yang sudah lama “dipegang” oleh kucing berwarna oren, atau dalam bahasa manjanya, oyen.

Kucing berwarna oren lazimnya begitu jinak dan tidak takut kepada manusia. 

Mungkin, itu jugalah halnya dengan seekor kucing berwarna oren bernama Peipei, yang dirakam menggunakan kamera litar tertutup yang menunjukkan Peipei langsung tidak takut kepada orang asing, iaitu penghantar barang, malah turut sudi bergambar dengan barang yang diterima sebagai bukti penerimaan.

@coffeedcat

Menerusi video yang dimuatnaik di laman sosial dari negara Indonesia ini, dapat dilihat dengan jelas bagaimana seorang penghantar barang tiba di pintu rumah pemilik dan meletakkan barang yang dipos di atas lantai. 

Sebaik sahaja menyedari kehadiran Peipei yang sedang bersantai di ruangan itu, penghantar barang itu tanpa segan silu mengangkat Peipei dan meletakkannya bersebelahan dengan barangan yang dihantar.

@coffeedcat

@coffeedcat

Mungkin berasa geram dengan kecomelan Peipei, penghantar barang itu dengan serta-merta mengeluarkan telefon bimbitnya sebelum merakam beberapa keping gambar dan kemudiannya membetulkan kedudukan Peipei lagi supaya berdekatan dengan barang yang dihantar.

@coffeedcat

@coffeedcat

Tidak perlu disoal lagi, pastinya gambar yang diambil itu bertujuan untuk menjadi bukti penerimaan barangan. Tetapi, tidak mustahil juga penghantar barang itu turut menyimpan beberapa keping gambar Peipei sebagai kenangan kerana sejujurnya, si oyen ini memang sangat comel!

@coffeedcat

Sehingga artikel ini dihasilkan, kiriman video ini telahpun mendapat sehingga lebih daripada 8.5 juta tontonan, lebih daripada 747,500 sukaan dan 9319 komen dari warganet yang terhibur dengan interaksi lucu yang sempat dirakam ini.

“Kucing selesai menerima bungkusan”

“Bukti penghantaran: kucing”

“Kalau kotak (bungkusan) itu koyak, (maka) tahulah siapa yang melakukannya. Bukan salah penghantaran”

“Barangan telah sampai kepada pemiliknya sendiri”

“Yang dimuatnaik sebagai bukti hanya satu gambar. Selebihnya 999999999 gambar yang lain disimpan oleh penghantar barang itu”

Memang comel betul interaksi yang tidak disangka-sangka ini. Selepas ini, bertambah lagilah “kerja” Peipei. Selain daripada makan, tidur dan menjadi comel, sekarang Peipei perlu menjadi bukti penerimaan barang pula!

Pilihan Editor:

Resipi tersembunyi “Ramen ala Jepun” guna Maggi Kari, ada yang sudah mencubanya memang sedap!

0

Pada suatu hari, Dr. Kamarul pergi ke rumah kawannya. Seperti tuan rumah yang lain, kawannya itu mahu menjamu Dr. Kamarul hidangan namun yang ada di rumahnya ketika itu hanyalah mi segera (Maggi). Setelah berhempas-pulas di dapur selama lima minit, kawannya itu kembali dengan menu mi segera istimewa. Menu tersebut ialah Maggi Kari Soya. Ujar Dr. Kamarul di Facebooknya, dia cukup terpesona dengan menu itu. Jom lihat resipi istimewa ini seperti yang diajarkan leh kawan Dr. Kamrul kepadanya.

Bahan-bahan (untuk seorang makan):

  • Sebungkus mi segera.
  • Sekotak air susu soya (250 ml).
  • Sebiji telur.
  • Dua kaki cendawan butang.
  • Sebatang daun bawang.
  • Satu sudu besar biji bijan.
  • Satu sudu teh minyak bijan.
  • Sekeping nori.
  • Satu sudu besar minyak cili.

Cara-cara memasaknya:

1. Masukkan mi segera dan cendawan ke dalam mangkuk. Isikan air sebanyak 250 ml.

2. Pecahkan telur ke dalam cawan yang berisi air 200ml (air bersuhu bilik). Ia bertujuan untuk merebus telur tanpa kulit.

3. Masukkan cawan dan mangkuk tadi ke dalam microwave dan letakkan pemasa selama satu minit setengah. Jika perlu tetapkan masa selama dua minit. Semua ini bergantung kepada jenis microwave masing-masing.

4. Apabila cukup masa dan mi pun telah mengembang, keluarkan daripada microwave dan toskan airnya.

5. Isikan air soya ke dalam mangkuk dan tambahkan perencah mi segera. Kemudian panaskannya di dalam microwave selama satu hingga dua minit. Peringatan, jika terlebih masa air soya itu akan berketul.

6. Keluarkan mangkuk berisi kuah tadi dan campurkan sedikit minyak bijan. Minyak bijan mengeluarkan aroma yang mampu membangkitkan selera makan. Namun jika anda tidak menyukai minyak bijan, boleh langkau langkah ini.

7. Akhir sekali, tambahkan telur rebus, daun bawang, cendawan, kepingan nori dan lain-lain. Anda boleh letakkan apa sahaja makanan tambahan mengikut selera anda seperti ayam, itik, udang, daging dan lain-lain.

Menurut Dr. Kamarul, penyediaan menu ini mengambil masa selama lima minit. Setelah siap menu ini kelihatan seperti makanan bertaraf lima bintang yang pastinya keenakannya begitu mengancam.

Selamat mencuba resipi Maggi Kari Soya ini.

Pilihan Editor:

Di sebalik maskot arnab ceria hiburkan orang ramai, terdedah raut wajah mak cik yang keletihan

0

Dalam kehidupan, setiap orang sudah pasti akan melalui pelbagai cabaran dan dugaan. 

Begitulah yang dilalui oleh seorang mak cik yang nampaknya sudah berusia, tetapi dia tetap berhati cekal dan gigih mencari rezeki dengan bekerja sebagai maskot yang menceriakan hari orang lain.

Kisah wanita ini mendapat perhatian ramai apabila gambarnya yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook Roslan Salleh telah tular beberapa minggu yang lalu dan mengundang rasa sebak.

Facebook

“Memang warga kota sekarang sangat merasakan kepayahan dalam menjalani kehidupan di bandar sebesar Kuala Lumpur. Apatah lagi sekiranya ada banyak tanggungan yang harus kita hadapi.

“Di sebalik keriangan orang ramai bergambar bersama watak kartun yang mewarnai suasana di kawasan persekitaran Bazaar Malam Wangsa Maju ini, saya terkejut melihat salah satu watak kartun itu.

Facebook

“Dia merupakan seorang warga emas sekitar baya ibu saya dan mungkin seusia ibu bapa anda,” tulisnya.

Roslan meluahkan rasa kagum apabila melihat kesungguhan wanita itu dan menitipkan doa agar Allah melimpahkan lagi rezeki buatnya.

Facebook

“Melihat kesungguhannya saya teruja, apatah lagi di usia ini dia sepatutnya sudah berehat dan berada di rumah sahaja.

“Nampak juga raut wajah berusia ini keletihan tetapi apakan daya, mungkin ini sahaja cara untuk menjana pendapatan yang halal.

Facebook

“Apapun semoga Allah permudahkan urusan mak cik ini, dilimpahkan rezeki seluasnya, diberikan rahmat Allah dan kesihatan yang baik selalu,” katanya lagi.

Difahamkan mak cik ini akan duduk menunggu pelanggan di tepi jalan sehingga ada yang selewat jam 2 pagi.

Ekoran itu, ramai warganet meluahkan rasa sebak melihat wanita ini masih tetap gigih bekerja walaupun sudah berusia.

Facebook

“Sedihnya tengok usia sebegini masih bekerja dan menghiburkan orang lain sedangkan biasa seusia sebegini mereka sedang berehat di rumah bersama keluarga.. ”

“Nampak letih mukanya. Kasihan mak cik tu terus tabah dan kuat mencari rezeki. Semoga Allah permudahkan urusannya.”

Tetaplah bertabah mak cik, semoga sentiasa dimurahkan rezeki dan kehidupan diberkati.

Pilihan Editor:

Kucing yang bercita-cita menjadi penyanyi ini sudahpun mula menempa nama dengan cara yang paling comel!

0

Gelagat kucing pastinya akan membuatkan kita tersenyum walaupun ada antara kita yang tidak menggemarinya. Tetapi, cuba anda semak semula, adakah anda benar-benar tidak akan tersenyum apabila melihat gelagat “Fat Niu”, seekor kucing yang berkebolehan menyanyi di negara Taiwan ini?

@0110maojian

Fat Niu, nama dalam bahasa Mandarin yang membawa maksud “lembu yang gemuk”, merupakan seekor kucing yang diselamatkan oleh salah seorang ahli kumpulan penyanyi jalanan di bandar Hualien. Fat Niu seringkali dibawa bersama oleh pemiliknya ketika melakukan persembahan.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini Fat Niu mendapat perhatian ramai warganet setelah video yang menunjukkannya menyanyi dengan bersemangat sekali telah dimuatnaik oleh @0110maojian di media sosial.

@0110maojian

Dalam video berkenaan, persembahan dimulakan dengan nyanyian oleh penyanyi kumpulan itu, tetapi setiap rangkap nyanyian itu akan ‘disempurnakan’ oleh Fat Niu. 

Jika anda tertanya-tanya bagaimana cara Fat Niu menyanyikannya, anda pasti tidak akan menyesal apabila menonton video ini. Fat Niu hanya menyanyikan lagu cinta Xue Mao Jiao ini dengan menyebut perkataan ‘meow’!

@0110maojian

Lucu betul!

Menurut laman Mothership, penyanyi kumpulan itu telahpun siap sedia menukar lirik lagu asal kepada yang bersesuaian dengan ‘duet’nya itu. Liriknya berbunyi, “kita boleh belajar untuk meow seperti kucing, kita meow, meow, meow, meow, meow”.

Semestinya, persembahan yang mencuit hati ini telah menarik perhatian ramai penonton di jalanan tersebut kerana melalui video tersebut, kita boleh mendengar bagaimana terhiburnya penonton pada ketika itu setelah mendengar nyanyian Fat Niu yang sangat comel itu.

@0110cat/Instagram

Setelah tamat persembahan, dapat dilihat bagaimana Fat Niu mendapat sorakan yang kuat daripada pada peminatnya sementara Fat Niu dijunjung tinggi supaya ia dapat melihat semua peminat-peminatnya yang hadir pada malam itu. 

“Lihatlah dunia, aku sudah terkenal!”

@0110cat/Instagram

Video persembahan Fat Niu ini telahpun menjadi tular ketika artikel ini ditulis sehingga mendapat lebih daripada 5.4 juta sukaan dan lebih daripada 39,900 komen daripada warganet yang sangat terhibur dengan gelagat Fat Niu.

“Penyanyi simpanan… Hanya perlu membayar dengan ikan”

“Penutur asli datang sendiri untuk menyanyi.”

“Kucing ini benar-benar telah menceriakan hari saya”

“Kucing itu adalah penyanyi yang terbaik”

Memang comel betul Fat Niu si artis yang terkenal ini. Tetapi, masihkah anda ingat dengan video kucing yang seekor lagi ini yang satu ketika pernah tular juga?

@leeting2021

Ha, kucing yang seekor inipun lebih kurang sama gelagatnya dengan Fat Niu yang sangat suka menyanyi. Siap lengkap dengan tempo yang panjang pula tu. Ajaib betul!

Pilihan Editor:

Bapa ini terkejut melihat penampilan aneh dan terkini anaknya sebaik sahaja dijemput pulang pada hari pertama persekolahan. Lucu betul!

0

Selain daripada pelajar sendiri, hari pertama persekolahan juga adalah salah satu hari yang paling ditunggu-tunggu oleh ibu bapa. Terutamanya bagi ibu bapa yang pertama kali menghantar anaknya ke sekolah.

Selesai urusan menghantar pada waktu pagi, sesi menjemput anak dari sekolah pada waktu tengah hari juga merupakan salah satu sesi yang dinanti-nantikan juga. Mana tidaknya, ibu bapa pastinya tidak sabar mahu mendengar celoteh anak-anak tentang pengalaman baharunya di sekolah.

Husniati Salma

Pada hari pertama persekolahan ini, kebiasaannya memang pelbagai macam ragamlah yang dapat disaksikan. Ada antaranya tidak henti-henti menangis kerana mahu pulang ke rumah, ada yang terlalu seronok berkenalan dengan rakan baharu sehingga ‘terlupa’ rumah sendiri, mahupun yang terlalu asyik bermain sehingga uniform yang dipakaipun sudah tidak lagi menyerupai uniform asal!

Lucu betul bila difikirkan.

Pada tahun ini, kita tidak ketinggalan untuk menyaksikan pelbagai ragam kanak-kanak pada hari pertama persekolahan mereka. Antaranya adalah adik perempuan yang comel ini. Semasa pergi ke sekolah, rupanya begitu molek sekali. Tetapi apabila dijemput pulang, rupa tudungnya sudah kelihatan begitu aneh sekali!

@irfan.rdz

Dengan rambut yang banyak menyelinap keluar daripada bahagian atas anak tudung, ditambah pula keadaan anak tudung yang sudah menutupi seluruh ruang dahi, budak perempuan yang comel ini benar-benar telah membuatkan hati bapanya yang datang menjemput berasa sangat tersentuh. “Runtuh hati ayah!” tulis ayahnya. Tetapi dalam masa yang sama memang sangat melucukan!

@irfan.rdz

Sebaik sahaja melihat kelibat ayahnya, budak perempuan ini tanpa berlengah lagi terus menyuakan tangannya untuk bersalam dengan ayahnya. Namun ayahnya yang masih lagi tidak berhenti terkejut melihat keadaan tudung anaknya itu hanya mampu terdiam dan meminta anaknya untuk terus melihatnya. Agaknya, ayahnya sedang ligat berfikir pada ketika itu, bagaimana agaknya tudung anakku boleh menjadi sebegini rupa ya?

@irfan.rdz

Tambah lucu, anaknya kelihatan langsung tidak terganggu dengan penampilannya pada waktu itu. Mana tidaknya, dia siap melambai-lambai kepada rakan-rakannya kerana dia sudahpun mahu pulang.

Ya, penampilan yang baharu ini tidak langsung menggangunya!

Sememangnya, kiriman ini telahpun mencuri perhatian ramai warganet yang rata-ratanya terhibur dengan gelagat si kecil yang lucu ini. Sehingga artikel ini ditulis, kiriman ini telahpun mendapat sehingga lebih daripada 5.4 juta tontonan, lebih daripada 540,900 sukaan dan lebih daripada 18,100 komen.

“Ya Allah, cuba (adik) buatkan tutorial (untuk menggayakan tudung sebegitu) makcik mahu tahu bagaimana caranya adik memakai begitu”

“Hahaha aduhai anak, tergelak pakcik di kedai makan ini, habis orang tengok (pakcik) hahaha”

“Aku mendengar (suara) ayahnya ketawapun sudah cukup kelakar”

“Bagaimana boleh jadi seperti itu”

Memang tidak dapat disangkal lagi, penampilan adik yang manis ini dalam video yang dimuatnaik ayahnya ini sememangnya sangat menghiburkan. Tambah lucu lagi, sehari kemudian, ayahnya ada memuatnaik satu lagi video anak bertuah ini.

@irfan.rdz

Sepertinya telah belajar dari kesilapan lalu, kini budak perempuan ini tidak lagi memakai tudung ke sekolah bagi mengelakkan kejadian lucu berulang kembali. Tanpa tudung, setidak-tidaknya budak perempuan ini kelihatan lebih kemas walaupun sudah tamat sesi persekolahan pada hari itu!

Syabas dik! Semoga “kemalangan lucu” ini tidak berlaku lagi!

Pilihan Editor:

Sekumpulan wira berganding bahu, berjaya menyelamatkan anjing malang terperangkap di tebing bukit

0

Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor baru-baru ini memuat naik di Facebook mengenai kisah mereka yang mempamerkan semangat keperwiraan ketika menyelamatkan seekor anjing yang terperangkap di tebing bukit yang terletak di ForestHill, Damansara Perdana.

Anak anjing yang malang itu boleh dilihat berdiri di atas tebing bukit dari seberang tasik di lokasi itu.

SPCA Selangor, Malaysia / Facebook

Syukurlah, anjing itu telah berjaya diselamatkan oleh sekumpulan warga prihatin yang menyahut seruan SPCA supaya dia diselamatkan. 

Francis Yirdaki CT adalah antara mereka yang mempertaruhkan keselamatan diri sendiri demi membawa anjing itu ke tempat yang selamat dan sejahtera.

Goh Bong Hiang / Facebook

Menerusi laman Facebooknya, Francis mengimbas kembali, “Beberapa (orang) tag saya, kemudian saya menawarkan diri untuk membantu dan bertanya siapa yang ingin menyertai saya dalam kumpulan kediaman itu. Serta-merta, saya disokong Kevan, Stefan, Chia Leng, Azhar dan Mr. Gan yang menawarkan diri mereka, sejujurnya saya amat bersyukur.”

Misi itu bermula pada jam 8 pagi dan 6 jam kemudian, kumpulan itu berjaya menemui anjing itu di celah tumbuhan dan pepohon yang tebal.

Goh Bong Hiang / Facebook

“Hutan itu tidak mempunyai laluan, jadi kami terpaksa mencantas semak untuk ke jalan masuk. Kami semua menerima luka di mana-mana. Batu-batu itu licin dan curam,” katanya kepada WOB.

Walaupun berdepan cabaran berbahaya, syukur, mereka telah dibimbing oleh seorang pak cik berpengalaman yang membawa mereka melalui hutan belantara itu.

Goh Bong Hiang / Facebook

Operasi menyelamat anjing malang itu dipecahkan kepada 2 bahagian, pertama dari tasik dan kedua dari atas tebing bukit.

“Kami semua bukan sahaja terbakar dek panas matahari tetapi stamina kami telah diuji secara maksimum. Saya secara berseloroh memberitahu yang lain bahawa misi ini sebenarnya tidak memerlukan saya atau rakan-rakan, tetapi Navy Seals kerana ia melibatkan air, darat, memanjat dan mendaki,” katanya.

Francis Yirdaki CT / Facebook

“Saya minta maaf kerana saya tidak melibatkan sebahagian daripada anda, saya jujur mengakui bahawa ini adalah misi berbahaya, saya tidak boleh mengambil risiko dengan orang lain tetapi hanya diri saya sendiri dan hanya mereka yang saya kenali secara peribadi,” jelasnya.

Akhirnya, pada jam 4:30 petang, wira-wira berani ini telah berjaya menyelamatkan anjing berkenaan.

Goh Bong Hiang / Facebook

Memandangkan usaha di peringkat seterusnya adalah untuk menyelamatkan anjing itu, mereka yang tinggal di kawasan kediaman berterima kasih kepada kumpulan ini.

“Kami telah melakukannya dengan jayanya tanpa kecederaan besar tetapi hanya luka kecil.”

Goh Bong Hiang / Facebook

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penduduk ForestHill kerana benar-benar berada dekat bersama kami sehingga ke akhirnya. Kami berjaya kembali turun ke tasik, diberi makan piza, minum Starbucks, dan dapat roti, ia sangat bagus,” tambahnya.

Sungguh mengagumkan untuk melihat betapa banyak jerih, keringat dan air mata yang sanggup dicurahkan oleh rakyat Malaysia, demi membantu menyelamatkan haiwan bernasib malang yang memerlukan.

Goh Bong Hiang / Facebook

Tahniah kepada semua wira berani yang terlibat dalam misi menyelamat membawa turun anjing itu dengan jayanya.

Pilihan Editor:

New Zealand haramkan TikTok daripada peranti Parlimen, memetik risiko ‘tidak boleh diterima’

0

New Zealand memulakan langkah untuk mengharamkan aplikasi TikTok milik China daripada semua peranti parlimen, dengan memetik tahap risiko “tidak boleh diterima” yang ditimbulkan oleh aplikasi video pendek popular itu.

Ketua Eksekutif Perkhidmatan Parlimen New Zealand Rafael Gonzalez-Montero berkata pada 17 Mac bahawa TikTok yang dimiliki oleh firma ByteDance yang berpangkalan di Beijing akan dialih keluar daripada “semua peranti yang mempunyai akses kepada rangkaian parlimen.”

Bagaimanapun, beliau berkata “mereka yang memerlukan aplikasi untuk melaksanakan tugas demokratik mereka” mungkin diberikan pengecualian daripada larangan itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Parlimen New Zealand.

Logo TikTok (Gambar oleh Mario Tama / Getty Images)

“Keputusan ini telah dibuat berdasarkan analisis pakar kami sendiri dan selepas perbincangan dengan rakan sekerja merentasi kerajaan dan antarabangsa,” kata Gonzalez-Montero.

“Berdasarkan maklumat ini, Perkhidmatan Parlimen telah menentukan bahawa risiko tidak boleh diterima dalam persekitaran Parlimen New Zealand semasa,” tambahnya, tanpa menghuraikan apakah risiko aplikasi itu.

Perdana Menteri New Zealand Chris Hipkins enggan memberikan butiran lanjut mengenai risiko keselamatan yang dikaitkan dengan TikTok, sambil mengatakan beliau belum menerima taklimat mengenai perkara itu, menurut media tempatan.

“Saya menjangkakan jabatan dan agensi, termasuk Parlimen, akan mempertimbangkan nasihat GCSB dan membuat keputusan itu,” katanya yang merujuk kepada Biro Keselamatan Komunikasi Kerajaan.

Jurucakap TikTok memberitahu The Epoch Times melalui e-mel bahawa syarikat itu kecewa dengan keputusan Parlimen New Zealand, dengan mengatakan ia dibuat “tanpa perundingan dengan, atau pemberitahuan kepada TikTok.”

“Keselamatan data adalah yang paling penting buat TikTok, dan tiada bukti yang menunjukkan bahawa TikTok menimbulkan risiko keselamatan kepada warga New Zealand. Kami percaya adalah penting untuk membuat keputusan berdasarkan fakta, bukan maklumat yang salah,” kata jurucakap itu.

“Kami telah menulis kepada Perkhidmatan Parlimen, menawarkan untuk melibatkan diri dan mendapatkan penjelasan mengenai keputusan mereka dan kami berharap dapat bekerjasama dengan mereka dalam menangani sebarang isu yang dikenal pasti dalam analisis mereka,” tambah TikTok.

Data kerajaan adalah sensitif

New Zealand merupakan negara terbaharu yang mengharamkan TikTok daripada peranti parlimen, berikutan tindakan serupa oleh Amerika Syarikat dan Kanada. United Kingdom pada 16 Mac juga mengharamkan TikTok daripada digunakan oleh peranti kerajaan.

Canselor UK Kadipaten Lancaster Oliver Dowden berkata keputusan itu berdasarkan semakan rasmi yang menyimpulkan bahawa “jelas untuk menyatakan bahawa kemungkinan terdapat risiko tentang bagaimana data sensitif kerajaan diakses dan digunakan oleh platform tertentu.”

“Aplikasi media sosial mengumpul dan menyimpan sejumlah besar data pengguna, termasuk kenalan, kandungan pengguna dan data geolokasi. Pada peranti kerajaan, data itu boleh menjadi sensitif,” katanya.

Sementara itu, TikTok mendakwa bahawa ia mungkin berhadapan larangan sepenuhnya di Amerika Syarikat melainkan syarikat induknya, ByteDance, menjual kepentingannya di negara itu.

Pengawal selia Amerika Syarikat untuk pelaburan asing, Jawatankuasa Pelaburan Asing Amerika Syarikat telah mengeluarkan amaran kepada TikTok, syarikat itu mendedahkan kepada Reuters.

TikTok mempunyai lebih daripada 100 juta pengguna di Amerika Syarikat, dengan ramai yang memperoleh pendapatan daripada aplikasi itu. Sesetengah penggubal undang-undang dan pakar keselamatan telah menyifatkan aplikasi itu sebagai “belon pengintip ke dalam telefon anda.”

Selaras dengan tindakan yang diambil oleh pemimpin global, Rumah Putih pada 20 Februari mengarahkan TikTok dihapuskan daripada semua peranti dan sistem kerajaan untuk memastikan data milik kerajaan Amerika Syarikat adalah selamat.

Sekadar Gambar Hiasan / Pexels

‘Aplikasi Cuci Otak’

The Epoch Times sebelum ini mendedahkan ByteDance telah menggaji ahli Parti Komunis China (PKC) dalam kedudukan tertingginya.

Syarikat itu, seperti kebanyakan organisasi di China, terikat dengan Undang-Undang Perisikan Kebangsaan rejim, yang memerlukan semua organisasi dan rakyat untuk “menyokong, membantu dan bekerjasama dengan usaha perisikan negara.”

TikTok telah memberitahu data peribadi pengguna yang dikumpul oleh aplikasi itu boleh diakses dari jauh di China tetapi menafikan ia telah atau akan memberikan data itu kepada PKC. Janji itu tidak banyak memberi jaminan kepada pakar keselamatan yang memberi amaran supaya tidak mempercayai rejim China yang dikuasai PKC.

Arthur Herman, seorang felo kanan di badan pemikir A.S, Institut Hudson, sebelum ini memberitahu The Epoch Times bahawa aplikasi itu menuai sejumlah besar data yang boleh digunakan untuk menggambarkan, dalam kes Amerika Syarikat, “di mana kelemahan Amerika terletak.”

Algoritmanya juga boleh menjadikan aplikasi itu sebagai “aplikasi pencuci otak” dengan menapis kandungan yang tidak disukai oleh PKC, kata Herman.

Pilihan Editor:

Terharu sehingga tidak mampu berkata-kata, pelajar ini hanya tersenyum gembira menerima hadiah yang tidak disangka-sangka daripada rakan sekelasnya

0

Ramai yang pasti akan bersetuju jika dikatakan bahawa zaman persekolahan adalah salah satu zaman yang sangat dekat dengan diri kita kerana ketika itulah, pelbagai memori indah bersama rakan-rakan terukir, yang boleh membuatkan kita tersenyum apabila terkenangkannya. 

Begitu jugalah yang berlaku di sebuah bandar di Indonesia, iaitu Tasikmalaya, apabila seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di bandar itu menerima kejutan yang tidak disangka-sangka daripada rakan-rakan sekelasnya.

 @rfirzl_/TikTok

Menerusi perkongsian video oleh @rfirzl_ , video itu pada mulanya menunjukkan rupa kasut salah seorang rakannya yang kelihatan sudah uzur, mempunyai beberapa kesan koyakan dan mungkin sudah terlalu lama digunapakai. Lalu, melihatkan keadaan yang menyedihkan itu,  @rfirzl_ dan rakan sekelasnya bernekad untuk mengumpul wang bersama-sama bagi tujuan membelikan kasut yang baharu buat rakannya itu.

 @rfirzl_/TikTok

 @rfirzl_/TikTok

Dalam salah satu paparan, dapat dilihat bahawa nilai matlamat yang diletakkan untuk membeli kasut sekolah itu adalah sebanyak Rp 217,000 (RM63) dan di bawahnya, terdapat senarai beberapa orang nama yang memberi sumbangan bagi menjayakan misi berkenaan. Nilainya tidak pula ditetapkan, ada antara mereka yang menyumbang antara Rp 2,000 (RM0.50) hingga Rp 50,000 (RM15). Tidak mengapa, janji nilai matlamatnya tetap tercapai!

 @rfirzl_/TikTok

Dengan terkumpulnya sumbangan itu, penonton seterusnya dapat melihat saat-saat apabila   @rfirzl_ dan rakan-rakannya meletakkan sebuah kotak kasut di bawah meja rakannya yang sangat beruntung itu. 

Setelah diketahui tentang hadiah berkenaan, wajah rakannya kelihatan sangat terharu dan tidak henti tersenyum sambil memegang kotak kasut berkenaan, dan dalam masa yang sama rakan-rakannya turut datang meraikan suasana yang meriah itu.

Sejak dimuatnaik, video itu telahpun menerima sebanyak 2.1 juta sukaan dengan kira-kira 41,800 komen daripada warganet yang rata-ratanya sangat terharu dan berterima kasih dengan bantuan dan sumbangan yang diberikan kepada pelajar yang beruntung itu.

“Sepatutnya pelajar-pelajar sekolah sememangnya begini, saling menyanyangi dan bantu-membantu jika ada yang kesusahan. Semoga semakin ramai pelajar begini”

Nampaknya, selepas ini pelajar ini semakin bersemangatlah untuk hadir ke sekolah dan hubungan sesama rakan sekelasnya pasti akan menjadi lebih akrab!

Tabik hormat!

Pilihan Editor:

Taman Kucing di Tasik Cyberjaya kini dibuka untuk kunjungan orang awam. Tiada bayaran masuk dikenakan, jom!

0

Berita gembira untuk semua pencinta kucing di Malaysia! Kini, sebuah Taman Kucing telahpun dirasmikan di Taman Tasik Cyberjaya dan sedang menunggu kunjungan anda.

Rileklah

Tanpa mengenakan sebarang bayaran masuk bagi pengunjung, taman seluas 1,000 kaki persegi yang dibina di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) ini khas untuk memberi perlindungan kepada kucing jalanan di sekitar daerah Sepang dan fasilitinya mampu untuk menampung sehingga 200 ke 300 ekor kucing pada satu masa. Pun begitu, sejak dibuka kepada awam mulai Februari 2023, Taman Kucing ini baru menempatkan sebanyak 31 ekor kucing sahaja. Jumlah itupun sudah begitu banyak dan pengunjung pastinya akan berasa seronok dikelilingi oleh banyak ekor kucing yang comel-comel!

@Nadiazaman__

Memetik kenyataan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dato’ Abd Hamid Hussain semasa majlis pelancaran taman ini, pihaknya sangat mengalu-alukan penglibatan sektor korporat atau mana-mana pihak yang berbesar hati untuk memberi sumbangan serta bantuan kepada Taman Kucing ini. 

@Nadiazaman__

Taman yang telah dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor pada Sabtu 18 Mac 2023 ini turut dilengkapi dengan sebuah pejabat, ruang rehat, klinik termasuk unit rawatan rapi, unit pemulihan dan unit rawatan ibu dan anak kucing.

@Nadiazaman__

@Nadiazaman__

Walau bagaimanapun, pihak MPSepang turut mengumumkan beberapa peringatan sekatan kepada semua pengunjung, antaranya adalah:

  1. Pengunjung yang mempunyai alahan tidak dibenarkan masuk.
  2. Pengunjung yang tidak sihat tidak dibenarkan masuk bagi mengelakkan jangkitan kepada kucing-kucing di bawah perlindungan.
  3. Pengunjung yang mempunyai kucing yang pernah dijangkiti penyakit “saporo” tidak dibenarkan masuk. 

Majlis Perbandaran Sepang/Facebook

Disamping itu, dalam satu-satu masa, Taman Kucing ini hanya menerima seramai 20 orang pengunjung sahaja dan masa pembukaannya adalah seperti yang berikut:

  Hari : Ahad

Masa : 8.30 pagi – 11.30 pagi

: 4.00 petang – 6.30 petang

Orang ramai juga bagaimanapun diingatkan untuk tidak membuang kucing di kawasan ini bagi mengawal jumlah populasi dan kapasiti taman. Ingat tu ya!

Pilihan Editor:

Pembuat dasar Kesatuan Eropah haramkan TikTok kepada kakitangan ekoran kebimbangan keselamatan

0

Aplikasi perkongsian video pendek TikTok telah diharamkan di dua institusi pembuat dasar terbesar Kesatuan Eropah (EU) ekoran kebimbangan mengenai keselamatan siber dan promosi agenda Beijing di luar negara.

TikTok, yang dimiliki oleh syarikat ByteDance Ltd berpangkalan di China, telah dikritik secara meluas kerana kandungan toksiknya dan diharamkan oleh beberapa negara serta 25 negeri di Amerika Syarikat berikutan kebimbangan mengenai perkongsian data dengan Beijing dan promosi agenda Parti Komunis China.

Ketua industri EU Thierry Breton, yang mengumumkan larangan itu oleh Suruhanjaya Eropah, enggan menyatakan sama ada suruhanjaya itu tertakluk kepada sebarang insiden yang melibatkan TikTok.

Logo TikTok (Gambar oleh Dado Ruvic / Reuters)

Langkah itu diputuskan ketika China dan blok Barat secara jelas memperkatakan pendirian dan persaingan masing-masing dengan kedua-duanya terlibat dalam beberapa insiden berkaitan bermula belon pengintip sehingga pengeluaran cip komputer.

Suruhanjaya Eksekutif EU berkata dalam satu kenyataan bahawa keputusan itu akan terpakai dan dikuatkuasakan dalam hal kerja, telefon bimbit serta peranti peribadi.

“Untuk meningkatkan keselamatan siber, Lembaga Pengurusan Korporat Suruhanjaya telah memutuskan untuk menggantung penggunaan aplikasi TikTok pada peranti korporatnya dan peranti peribadi yang didaftarkan dalam perkhidmatan peranti mudah alih Suruhanjaya,” katanya dalam satu kenyataan.

“Langkah ini bertujuan untuk melindungi Suruhanjaya daripada ancaman dan tindakan keselamatan siber yang mungkin dieksploitasi untuk serangan siber terhadap persekitaran korporat Suruhanjaya,” tambahnya.

TikTok menyatakan rasa kecewa dengan larangan itu dan telah mengambil keputusan untuk melancarkan usaha baharu bagi meredakan kebimbangan pemimpin Eropah terhadap ancaman keselamatan data.

Parlimen Eropah berkata pihak mereka menyedari tindakan Suruhanjaya berkenaan dan telah mengambil maklum mengenainya. 

“Perkhidmatan berkaitan juga memantau serta menilai semua kemungkinan pelanggaran data yang berkaitan dengan aplikasi dan akan mempertimbangkan penilaian Suruhanjaya Eropah sebelum merumuskan cadangan kepada pihak berkuasa Parlimen Eropah,” kata seorang jurucakap.

Presiden Parlimen EU, Roberta Metsola dan Setiausaha Agung, Alessandro Chiocchetti kemudian dalam satu kenyataan pada 1 Mac telah memutuskan larangan TikTok daripada digunakan atau dimuat turun pada peranti kakitangan kerajaan seperti telefon bimbit, tablet atau komputer mulai 20 Mac. 

TikTok telah mendapat tekanan daripada EU untuk mematuhi peraturan digital baharu akan datang yang bertujuan untuk mendapatkan platform dalam talian yang besar untuk membersihkan kandungan toksik dan menyalahi undang-undang bersama-sama dengan peraturan privasi data yang ketat blok Eropah.

Gambar oleh Drew Angerer / Getty Images

Larangan TikTok di negara lain

TikTok dan berpuluh-puluh aplikasi dari negara China yang lain telah diharamkan di India pada Jun 2020, atas kebimbangan mengenai potensi bahayanya terhadap keselamatan dan integriti negara.

Taiwan mengharamkan TikTok dan beberapa aplikasi China lain pada peranti milik kerajaan dan pada Disember 2022 melancarkan siasatan ke dalam aplikasi media sosial berhubung operasi haram yang disyaki di negara pulau itu.

Kongres Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang pada Disember 2022 untuk mengharamkan sepenuhnya TikTok pada peranti persekutuan. Rang undang-undang itu masih belum ditandatangani oleh Presiden Joe Biden.

Boise State University, University of Oklahoma, University of Texas-Austin dan West Texas A&M University merupakan beberapa institusi pengajian tinggi Amerika Syarikat yang telah mengharamkan TikTok pada peranti universiti dan rangkaian Wi-Fi.

Texas, Maryland, Alabama dan Utah adalah antara 25 negeri di Amerika Syarikat yang telah mengeluarkan arahan kepada kakitangan agar tidak menggunakan TikTok pada peranti kerajaan.

Pilihan Editor: