Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor baru-baru ini memuat naik di Facebook mengenai kisah mereka yang mempamerkan semangat keperwiraan ketika menyelamatkan seekor anjing yang terperangkap di tebing bukit yang terletak di ForestHill, Damansara Perdana.
Anak anjing yang malang itu boleh dilihat berdiri di atas tebing bukit dari seberang tasik di lokasi itu.
Syukurlah, anjing itu telah berjaya diselamatkan oleh sekumpulan warga prihatin yang menyahut seruan SPCA supaya dia diselamatkan.
Francis Yirdaki CT adalah antara mereka yang mempertaruhkan keselamatan diri sendiri demi membawa anjing itu ke tempat yang selamat dan sejahtera.
Menerusi laman Facebooknya, Francis mengimbas kembali, “Beberapa (orang) tag saya, kemudian saya menawarkan diri untuk membantu dan bertanya siapa yang ingin menyertai saya dalam kumpulan kediaman itu. Serta-merta, saya disokong Kevan, Stefan, Chia Leng, Azhar dan Mr. Gan yang menawarkan diri mereka, sejujurnya saya amat bersyukur.”
Misi itu bermula pada jam 8 pagi dan 6 jam kemudian, kumpulan itu berjaya menemui anjing itu di celah tumbuhan dan pepohon yang tebal.
“Hutan itu tidak mempunyai laluan, jadi kami terpaksa mencantas semak untuk ke jalan masuk. Kami semua menerima luka di mana-mana. Batu-batu itu licin dan curam,” katanya kepada WOB.
Walaupun berdepan cabaran berbahaya, syukur, mereka telah dibimbing oleh seorang pak cik berpengalaman yang membawa mereka melalui hutan belantara itu.
Operasi menyelamat anjing malang itu dipecahkan kepada 2 bahagian, pertama dari tasik dan kedua dari atas tebing bukit.
“Kami semua bukan sahaja terbakar dek panas matahari tetapi stamina kami telah diuji secara maksimum. Saya secara berseloroh memberitahu yang lain bahawa misi ini sebenarnya tidak memerlukan saya atau rakan-rakan, tetapi Navy Seals kerana ia melibatkan air, darat, memanjat dan mendaki,” katanya.
“Saya minta maaf kerana saya tidak melibatkan sebahagian daripada anda, saya jujur mengakui bahawa ini adalah misi berbahaya, saya tidak boleh mengambil risiko dengan orang lain tetapi hanya diri saya sendiri dan hanya mereka yang saya kenali secara peribadi,” jelasnya.
Akhirnya, pada jam 4:30 petang, wira-wira berani ini telah berjaya menyelamatkan anjing berkenaan.
Memandangkan usaha di peringkat seterusnya adalah untuk menyelamatkan anjing itu, mereka yang tinggal di kawasan kediaman berterima kasih kepada kumpulan ini.
“Kami telah melakukannya dengan jayanya tanpa kecederaan besar tetapi hanya luka kecil.”
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penduduk ForestHill kerana benar-benar berada dekat bersama kami sehingga ke akhirnya. Kami berjaya kembali turun ke tasik, diberi makan piza, minum Starbucks, dan dapat roti, ia sangat bagus,” tambahnya.
Sungguh mengagumkan untuk melihat betapa banyak jerih, keringat dan air mata yang sanggup dicurahkan oleh rakyat Malaysia, demi membantu menyelamatkan haiwan bernasib malang yang memerlukan.
Tahniah kepada semua wira berani yang terlibat dalam misi menyelamat membawa turun anjing itu dengan jayanya.
Pilihan Editor: