Bagi negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk muslim, sambutan gilang-gemilang khas menyambut bulan Ramadan bukanlah satu perkara yang asing lagi. Hampir setiap tahun, dapat dilihat bagaimana meriahnya sambutan di bandar-bandar mahupun kampung dengan pelbagai cara yang tersendiri. Malaysia juga tidak terkecuali tau!
Walau bagaimanapun, pada tahun 2023 ini, dapat disaksikan satu perubahan yang sangat mengharukan apabila kota London, yang merupakan negara tumpuan di benua Eropah telah “diterangi” dengan lampu-lampu hiasan bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Menerusi satu perkongsian video yang dimuatnaik di laman TikTok, @themesandme pada 22 Mac merakamkan detik-detik sebelum lampu-lampu hiasan bergemerlapan di salah satu lorong di kota London.
Berdasarkan video pendek berdurasi 00:21 saat itu, @themesandme yang jelas menulis tajuk “Suasana London pada bulan Ramadan” itu menunjukkan keindahan lorong di kota yang terkenal itu dihiasi dengan lampu-lampu berbentuk bulan sabit, bentuk bulan mengambang, bentuk bintang dan bentuk pelita Islam.
Tidak cukup dengan itu, dipermulaan lorong, dapat dilihat lampu-lampu yang dipasang juga siap dilengkapi dengan ucapan bertulis “Selamat Menyambut Ramadan”. Bagaikan sebuah pintu gerbang, idea untuk meletakkan ucapan di permulaan lorong ini benar-benar dapat memberi satu impak yang besar, terutamanya bagi penduduk muslim yang hadir menyaksikannya.
Dalam satu kiriman yang berasingan, seorang lagi pengguna laman TikTok iaitu @halal_gems turut memuatnaik sebuah video yang menunjukkan suasana ketika lorong yang dipenuhi dengan kira-kira 30,000 biji lampu itu dirasmikan oleh Datuk Bandar London, Sadiq Khan.
Dapat disaksikan bagaimana terujanya penduduk di kota itu mengira dari kiraan nombor lima sehingga satu dan kemudiannya lampu-lampu di lorong itupun dibuka.
Terserlah keindahannya tambahan lagi pada waktu malam!
Ketika artikel ini ditulis, kedua-dua video ini telahpun mendapat perhatian ramai sehingga masing-masing mendapat lebih daripada 289,000 tontonan dan lebih daripada 3.5 juta tontonan.
Melihat ruangan komen pula, ramai warganet dari seluruh dunia meluahkan rasa terharu dan gembira mereka dengan perkongsian sambutan bulan yang mulia bagi seluruh umat muslim.
“Semoga bulan Ramadan yang mulia ini memberi anda keberkatan yang terbaik dan membawa anda kegembiraan yang abadi dalam hidup. Salam yang hangat sempena Ramadhan.”
“Selamat menyambut bulan ramadan saudaraku, semoga anda dikurniakan kekuatan dan ketahanan untuk memenuhi ibadat dalam bulan yang mulia ini”
“Saya bukan orang Islam tetapi perkara ini indah untuk dilihat. Kita harus menjadi negara yang merangkumi semua. Saya ucapkan selamat menyambut bulan Ramadan yang mulia ini.”
“Sambutan bulan Ramadan yang sangat indah! Selamat sejahtera ke atas kamu!”
“Selamat menyambut bulan Ramadan untuk anda. Selamat tahun baru untuk anda dan semua ahli keluarga serta orang yang tersayang”
Sesungguhnya, walaupun kita hanya dapat menyaksikan sambutan yang meriah ini melalui telefon bimbit sahaja, namun tidak dapat dinafikan bahawa kita juga turut berasa tersentuh dan terharu dengan keterbukaan kota yang terkenal ini untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia buat para muslim. Semoga dengan langkah yang kecil ini, dapat memberi impak yang besar kepada semua penduduk di dunia tentang kepentingan penjagaan keamanan segajat.
Pilihan Editor: