Sebelum ini, seorang rider Foodpanda pernah menjadi tular di media sosial kerana mendaki hingga ke puncak Gunung Kinabalu dengan uniformnya. Kali ini, giliran seorang lelaki dari Jepun pula berjaya menarik perhatian para pendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu dengan hanya memakai kot lengkap.
Nobutaka Sada berjaya mengukir sejarah buat dirinya apabila berjaya menawan Gunung Kinabalu dengan memakai kot korporat lengkap dengan membawa bersamanya beg dokumen.

Sambil semua pendaki memakai pakaian tebal dengan segala kelengkapan mendaki, Sada dengan selamba sambil tersenyum berjalan ke puncak dengan memakai kot pakaian pejabatnya.
Rupa-rupanya Nobutaka Sada adalah seorang pencipta kandungan YouTube yang gemar merakam pelbagai aktiviti yang dilakukannya dengan memakai kot buatan syarikat miliknya.

Nobutaka Sada merupakan Presiden dan Wakil Pengarah syarikat jenama pakaian lelaki dari Jepun, SADA yang berjaya membawa pemasaran ke tahap lain daripada yang lain apabila beliau mengenakan pakaian pejabat dengan kot lengkap daripada jenamanya sendiri.
Sada berjaya mendaki dan menawan puncak Gunung Kinabalu dengan pakaiannya itu yang terbukti tahan lasak.

Dalam hantaran di Facebook Nobutaka Sada menulis, “Saya mendaki Gunung Kinabalu dengan kot SADA! Gunung ini lebih tinggi daripada Gunung Fuji pada ketinggian 4095 meter! Walaupun cuaca dengan hujan dan keadaan gunung agak kasar dan ekstrem, kot SADA kekal tidak tersentuh.”
Para pendaki lain, malim gunung serta pemandu pelancong yang melihat Sada semasa perjalanan ke puncak tidak dapat mengelak daripada merakam beberapa video tentang lelaki Jepun ini.

Ini kerana mereka mendapati ia agak unik apabila ada pendaki yang berani berpakaian formal dengan kasut yang tidak sesuai ketika mendaki gunung tertinggi di Malaysia itu tanpa kelengkapan yang sesuai.

Menerusi perkongsian video TikTok oleh seorang malim gunung rogonnabalu_25 yang memberitahu dia sempat berbual dengan Sada yang berseloroh berkata dirinya ada ‘meeting’ di puncak Gunung Kinabalu.

Ramai yang kagum melihatnya memakai pakaian pejabat lengkap dan berkasut kulit pula ketika mendaki gunung dan boleh berlari-lari pula ketika berada di puncak.
Walaupun tidak berpakaian tebal dan menyarung kasut mendaki, namun ajaibnya Nobutaka Sada berjaya menamatkan pendakian itu dengan selamat dan sempurna.

Nobutaka Sada nampaknya berusaha gigih serta bijak memasarkan perniagaannya dengan menerokai lokasi yang mencabar untuk membuktikan kredibiliti kot dan pakaian pejabat di bawah jenamanya.
Terbaik dan tabik kepada Sada!
Tonton video di bawah: