Tidak dinafikan, semua akan rasa gelabah kalau tiba-tiba kehilangan barangan berharga.
Tambahan pula kalau ada barangan yang penting seperti dokumen, wang syarikat atau cek. Memang kita akan gelabah dan rasa hendak menangis kalau semua benda itu tiba-tiba hilang.
Baru-baru ini, tular sebuah video di TikTok yang memaparkan seorang wanita kehilangan barang berharga di troli pusat beli-belah.
Tangkap Skrin @diarrajaneofficial/TikTok
Menerusi video berkenaan, kelihatan seorang wanita dan keluarganya sedang kebimbangan kerana kehilangan barang berharga apabila begnya secara tidak sengaja telah tertinggal di troli.
Beg yang berharga itu mengandungi dokumen penting, wang tunai, buku cek dan komputer riba untuk kerjanya.
Tangkap Skrin @diarrajaneofficial/TikTok
Namun, apa yang lebih mengagumkan dan membuat semua orang berasa lega adalah apabila seorang pemuda dilihat datang ke arahnya untuk mengembalikan beg yang ditemuinya tergantung di troli kepada wanita berkenaan.
Tangkap Skrin @diarrajaneofficial/TikTok
Wanita itu dilihat sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pemuda ini kerana sifat jujurnya yang didapati tidak menyentuh apa-apa langsung segala isi daripada beg tersebut, kecuali mendapatkan nombor di kad perniagaannya untuk dihubungi.
Tangkap Skrin @diarrajaneofficial/TikTok
Video berkenaan telah tular dengan pelbagai pujian netizen ekoran mereka berasa terharu dengan kejujuran dan kemuliaan hati pemuda tersebut.
Tangkap Skrin @diarrajaneofficial/TikTok
“Manis muka awak dik, ramai puji mak ayah awak dik kerana perbuatan awak.. Semoga dilapangkan segala urusan dan rezeki awak.”
“Bertuah ibu bapanya, ciri-ciri anak yang bertanggungjawab..”
“Ramai orang doakan awak dik. Semoga berkat hidupmu.. Dilimpahkan segala rezeki amin..”
“Tahniah bro kerana jadi penyelamat beg akak tu.. Terima kasih orang baik-baik.”
“Bagus akhlaknya.. Semoga anak-anak saya pun boleh jadi begitu..”
Tahniah dan syabas buat semua orang berhati baik di Malaysia. Kita tidak akan pernah rugi apa-apa kalau sentiasa amalkan sikap baik sambil tidak mengharapkan apa-apa balasan.
Kebanyakan orang Malaysia sudah diajar untuk bercakap bahasa Inggeris dengan ibu bapa mereka sejak kecil, jadi kita di sini tidak berapa hairan atau kagum. Pertuturan Bahasa Inggeris kita biasa-biasa sahaja ikut gaya ‘Manglish’.
Kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris merupakan satu kelebihan buat kita kerana bahasa itu adalah bahasa universal. Malah, kalau dapat bercakap menggunakan aksen lenggok British, Aussie atau American lagilah bangga.
Tular sebuah video memaparkan seorang kakak dari negara seberang Indonesia yang boleh bercakap Bahasa Inggeris dengan baik bersama anaknya di sawah padi, yang telah mencuri tumpuan ramai.
Menerusi video TikTok yang dimuat naik oleh @a5rihartanti, kelihatan wanita itu sedang berehat di sawah padi bersama anak-anaknya.
Apa yang mencuri tumpuan ramai adalah apabila dia mula bertutur dalam bahasa Inggeris, yang bukan bahasa pertuturan biasa di Indonesia sambil membuat vlog harian bersama anaknya.
Wanita ini mengajar anaknya untuk membiasakan diri bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mereka.
Lebih membuatkan ramai terpegun adalah wanita ini boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan terselit aksen British.
Dia bercakap dengan sangat lancar seperti kebanyakan mereka di Malaysia, Brunei dan Singapura. Secara tidak langsung, kakak ini mengajar anaknya membiasakan diri untuk berlatih bercakap bahasa Inggeris sejak kecil tanpa rasa kekok.
Video TikTok itu telah menjadi tular dengan lebih 12 juta tontonan, dengan pelbagai komen yang memuji kebolehannya yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, dan mengajarnya pula kepada orang lain.
Rupa-rupanya wanita ini, Asri Hartanti merupakan guru bahasa Inggeris di SMK Bhakti Mulia Wonogiri, Jawa Tengah yang memegang ijazah sarjana Pendidikan Bahasa Inggeris dari sebuah universiti swasta di Solo, lapor media Merdeka.com.
Menerusi akaun TikTok dan YouTube, Asri menggunakan platform berkenaan untuk mengajar Bahasa Inggeris dengan cara yang paling mudah kepada para pengikutnya dan mereka yang berminat, sambil membiasakan anak-anaknya untuk bertutur dengan bahasa itu.
Kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau pelawak yang berasal dari negara itu, Jocelyn Chia.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, beliau sangat terkejut dengan komen-komen tidak sensitif dan menyinggung yang dibuat oleh Jocelyn Chia dalam sebuah pementasan komedi berdiri baru-baru ini.
“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain dan Chia, yang tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.
“Saya dengan ikhlas hati memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripadanya,” kata Vanu Gopala Menon dalam satu kenyataan pada 7 Jun.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan pelawak yang berasal dari Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekeh dan menghina Malaysia menerusi persembahan komedi berdirinya yang disifatkan sebagai melampau.
Lebih keterlaluan dan tidak langsung komedi, Chia menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai modal jenaka sehingga menimbulkan kemarahan majoriti warganet.
Menerusi video tular berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok, pelawak itu menyifatkan pembangunan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura yang bergelar negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.
Dalam masa sama, Vanu Gopal berkata, sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang kukuh dan di pelbagai peringkat, dengan ikatan yang cukup mendalam.
“Kita juga mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan yang erat antara rakyat dengan rakyat. Komen-komen seperti yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan merosakkan kepercayaan dan persahabatan rapat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya,” tegas Vanu Gopal.
Sementara itu, waris kepada salah seorang mangsa MH370, Intan Maizura Othaman menerusi perkongsian di Facebook turut mengecam pelawak itu.
Katanya, Jocelyn Chia seorang yang terdesak apabila menggunakan isu-isu kontroversi untuk meraih populariti, selain dengan sengaja menyinggung perasaan orang lain.
“Cuba perhatikan, bahawa dia ketawa dengan gurauannya sendiri. Secara peribadi, saya melihat ini sebagai jeritan untuk meminta pertolongan daripada manusia yang terdesak,” katanya.
Turut memberi respons ke atas tindakan melampau Jocelyn Chia ialah pelawak terkenal Harith Iskander yang meminta agar seorang pelawak patut lebih sensitif dan bersifat empati terutama dalam topik yang bersifat peribadi dan tragik.
Jelasnya, komedi mempunyai impak yang kuat terutama dalam meningkatkan kesedaran sosial, namun perlu digunakan dengan penuh bertanggungjawab.
Ekoran ramai warganet Malaysia menyuarakan kecaman dan kritikan hebat mereka terus ke platform sosial Jocelyn Chia, akaun miliknya kini telah ditutup dan tidak aktif buat sementara waktu.
HONG KONG—Polis Hong Kong menahan lapan orang, termasuk aktivis dan artis, pada malam ulang tahun ke-34 memperingati pembunuhan beramai-ramai Dataran Tiananmen, satu langkah yang menandakan kebebasan bersuara di wilayah autonomi itu semakin mengecil.
Polis dalam satu kenyataan lewat Sabtu, 3 Jun berkata empat orang telah ditahan kerana didakwa mengganggu ketenteraman di kawasan awam atau melakukan perbuatan dengan niat untuk menghasut. Empat lagi dibawa pihak berkuasa untuk siasatan kerana disyaki melanggar keamanan awam.
Aktivis Chan Po-ying ditahan polis Hong Kong di Causeway Bay pada 4 Jun 2023. (Gambar oleh Anthony Kwan/Getty Images)
Selama berdekad-dekad, berpuluh-puluh ribu rakyat Hong Kong mengadakan upacara menyalakan lilin tahunan di Victoria Park pada setiap 4 Jun untuk memperingati pembunuhan beramai-ramai penunjuk perasaan pro-demokrasi 1989, di mana kereta kebal merempuh dan menggilis ke tengah-tengah himpunan Beijing dan ratusan, mungkin ribuan, orang awam telah terbunuh.
Semasa pandemik, protes di Hong Kong tidak dapat diadakan ekoran sekatan COVID-19. Di samping itu, ramai aktivis di sana telah didiamkan atau dipenjarakan selepas Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh berikutan protes besar-besaran pada 2019.
Gambar ikonik peristiwa Tiananmen 1989 oleh majalah Time.
Apabila British menyerahkan Hong Kong kepada Beijing pada 1997, wilayah itu dijanjikan 50 tahun pemerintahan sendiri dan kebebasan berhimpun, ucapan, dan akhbar yang tidak dibenarkan di Tanah Besar China, tetapi para pengkritik mengatakan kebebasan tersebut semakin beransur-ansur terhakis.
Hari memperingati Tiananmen tahun ini dijangka disenyapkan. Ramai warga Hong Kong cuba menandakan acara itu secara peribadi kerana tidak jelas apa yang pihak berkuasa mungkin menganggapnya sebagai subversif.
Terdahulu pada 3 Jun, aktivis Kwan Chun-pong dan Lau Ka-yee telah ditahan selepas muncul berhampiran bekas lokasi perhimpunan menyalakan lilin untuk mengatakan mereka tidak akan makan selama 24 jam untuk meratapi mangsa.
“Kami sekarang akan mula berpuasa pada 6:04 petang,” kata Lau dengan bunga di tangannya, merujuk tarikh 4 Jun pembunuhan beramai-ramai. Mereka juga memegang kertas yang mengatakan mereka sedang berpuasa dan berkabung mengenang mereka yang terbunuh di Tiananmen.
Aktivis Kwan Chun-pong (kiri) dan Lau Ka-yee (kanan) yang ditahan di Victoria Park pada 3 Jun 2023. (Gambar oleh Kanis Leung/AP)
Tindakan protes yang agak ringan ini bagaimanapun mendorong pegawai polis untuk tiba dalam beberapa minit dan mengepung pasangan itu, yang kemudiannya meletakkan pita merah pada mulut mereka.
Seorang pegawai memberi amaran bahawa mereka mungkin melanggar undang-undang kerana mempunyai niat menghasut, dan mengarahkan untuk menghentikan aktiviti itu atau mereka mungkin ditahan.
Beberapa minit kemudian, mereka dibawa pergi oleh sepasukan polis. Tidak jelas sama ada pasangan itu telah ditahan secara rasmi.
Pada malam menjelang memperingati peristiwa 4 Jun, polis menahan lima yang lain, termasuk dua artis, Sanmu Chen dan Chan Mei-tung.
Antara orang awam yang dibawa polis Hong Kong di Causeway Bay pada malam memperingati ulang tahun ke-34 pembunuhan beramai-ramai Dataran Tiananmen, pada 3 Jun 2023. (Gambar Louise Delmotte/AP)
Dikelilingi oleh pegawai polis, Samnu Chen melaungkan, “Warga Hong Kong, jangan takut. Jangan lupa esok 4 Jun.” Chan Mei-tung telah berdiri dan berjalan di jalanan Causeway Bay sebelum dikepung oleh polis.
Polis pada 4 Jun berkata mereka telah menahan seorang wanita kerana didakwa menghalang pegawai polis dalam menjalankan tugas mereka dan membawa 23 yang lain kerana disyaki melanggar ketenteraman awam untuk siasatan lanjut. Ramai daripada mereka telah ditahan oleh pegawai di sekitar Victoria Park.
Di Victoria Park, adegan orang awam yang berhimpun untuk demokrasi telah digantikan dengan karnival yang dianjurkan oleh kumpulan pro-Beijing untuk menandakan penyerahan bandar itu kepada China pada 1997.
Menjelang kira-kira 8:30 malam, 14 orang lagi, termasuk aktivis dan bekas ketua Persatuan Wartawan Hong Kong, telah dibawa oleh polis di Causeway Bay, di mana Victoria Park terletak.
Seorang lelaki antara 32 orang yang ditahan polis Hong Kong di Causeway Bay berdekatan Victoria Park pada 3 dan 4 Jun 2023. (Gambar oleh Anthony Kwan/Getty Images)
Dalam pada itu, upacara peringatan telah diadakan di Taipei, Taiwan yang didakwa oleh PKC sebagai wilayahnya sendiri. Lebih 500 peserta menyalakan lilin, mendengar ucapan, dan melaungkan slogan ketika hujan turun dengan lebat.
Kacey Wong, seorang artis yang merupakan antara ramai penduduk Hong Kong yang telah berhijrah ke Taiwan, berkata beliau sudah lebih 30 tahun memperingati protes 1989 yang menjadikannya sebahagian daripada kehidupan.
“Jadi, semuanya sudah tertanam dalam fikiran bawah sedar yang kita perlu mengambil berat dan mengamalkan simpati terhadap orang lain yang dambakan demokrasi dan kebebasan,” kata Wong.
Ingatkan haiwan peliharaan kucing dan anjing sahaja yang biasa-biasa pandai berlakon, rupanya si tupai terbang ini lebih lagi.
Seekor tupai baru-baru ini berjaya dirakam sedang memalsukan kematiannya dan bijak mencipta tempat kejadian jenayah untuk ditemui pemiliknya.
Lakonan berkelas gred A itu telah mendapat pujian ramai warganet yang pecah perut tergelak kerana aksi dramatik itu dikatakan amat layak untuk menerima anugerah Oscar.
Klip video tular itu memaparkan peringkat demi peringkat babak ‘mendebarkan’ si tupai mencetuskan pembunuhan dahsyatnya sendiri.
Mula-mula, dia melangkah secara cemerkap ke atas penyapu dan terlanggar pengangkut habuk, sebelum secara sensasi membiarkan alat pembersihan itu jatuh ke bawah semasa dia terlentang di atas lantai.
Menyedari penyapu itu tidak mendarat tepat sebagai senjata pembunuhan yang meyakinkan, si tupai memutuskan untuk memilih arah yang berbeza.
Menghimpitkan badannya di bawah batang penyapu yang jatuh itu, tupai itu bertukar fikiran tentang beberapa kedudukan yang berbeza untuk meyakinkan yang dia telah terbunuh.
Sekali-sekala, tupai nakal ini boleh dilihat memecah penghayatan watak untuk melihat sama ada tak sesiapa yang menyedari, “Saya sedang menjeling ni menjenguk ke apa, tengoklah sikit saya kan dah mati ni!”
Umum sedia maklum bahawa kita tidak seharusnya merosakkan harta benda yang bukan atau belum lagi menjadi milik kita. Walau bagaimanapun, yang sedihnya, segelintir individu masih belum dapat memahami konsep yang mudah ini.
Pada 4 Jun lalu, sebuah kedai buku terkenal yang berasal dari Jepun, Tsutaya Books, yang telah membuka sebuah cawangan di Pavilion Bukit Jalil telah mengumumkan keputusan mereka untuk membalut semua buku-buku di kedai mereka berikutan kerosakan yang berlaku pada buku-buku yang dijual akibat perlakuan pelanggan-pelanggan yang tidak bertanggungjawab.
Berikut adalah terjemahan bagi kiriman pengumuman yang dibuat:
“Ketika kami mula-mula membuka pintu kami pada bulan Julai lepas, kami (dan masih) sangat teruja untuk mengalu-alukan kedatangan anda ke dalam dunia buku, alat tulis dan keajaiban.
Jika anda mempunyai peluang untuk melawat kedai BUKU TSUTAYA di Jepun, walaupun setiap cawangan kedainya mempunyai reka bentuk yang unik, anda dapat melihat bahawa buku-buku yang dipamerkan tidak dibungkus dan disusun di atas rak serta menunggu untuk diselak helaiannya, dibeli dan dibawa ke rumah baru mereka.
Begitulah juga visi kami di sini, untuk cawangan kedai pertama kami di Asia Tenggara.
Tetapi anda mungkin perasan dengan setiap kali kedatangan anda, bahawa semakin banyak buku kami kini dibungkus dengan plastik lutsinar.
Sebagai pencinta buku, untuk melakukan keputusan ini benar-benar menyedihkan tetapi kami tiada pilihan. Sepanjang beberapa bulan, kakitangan kami telah ketepikan begitu banyak buku yang telah rosak, dengan sengaja – halaman buku yang koyak, kulit buku yang koyak, buku pop-up kanak-kanak yang tidak lagi “pop-up”. Perkara ini sangat menyedihkan dan mengecewakan.
Tiada apa yang kami suka melainkan untuk kembali kepada keadaan ketika kami mula-mula membuka kedai – rak yang disusun rapi dengan buku-buku seperti sedia ada. Sungguh indah pemandangan itu (seperti dalam foto).
Dan kami mempunyai harapan untuk memulihkan tradisi BUKU TSUTAYA ini dengan kerjasama yang baik daripada anda. Walaupun kami bukanlah sebuah perpustakaan, namun kami sebagai kedai buku mempunyai peranan sosial untuk menggalakkan amalan membaca dan mempertingkatkan celik huruf.
Buat masa ini, sekiranya anda ingin menyelak helaian buku yang telah dibalut, sila minta mana-mana kakitangan jualan kami untuk membantu anda – mereka akan gembira untuk berbuat demikian. Kendalikanlah buku dengan berhati-hati.
Bagi mereka yang gatal tangan dan tidak dapat melihat benda-benda baharu yang baik, sila berhenti merosakkan apa yang bukan milik anda. Ia adalah perbuatan yang tidak baik.
Dengan bantuan anda, kami berharap untuk dapat membebaskan buku-buku kami daripada dipenjarakan dalam bungkusan plastik. Bukan sahaja di kedai buku kami, tetapi di semua kedai buku – dan perpustakaan juga, untuk perkara itu.
Terima kasih kerana membaca kiriman ini sehingga habis. Hanya sedikit peringatan bahawa #bukujugapunyaiperasaan
Sememangnya tindakan yang terpaksa diambil ini adalah keputusan yang tepat, tetapi dalam masa yang sama agak menyedihkan buat pencinta buku. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbaiki adab dan tingkah laku kita ketika berada di kedai buku supaya perkara ini tidak berlarutan dan suasana kedai buku yang asal dapat dikembalikan.
GEORGE TOWN – Seorang remaja berusia 18 tahun maut selepas melanggar lampu isyarat merah dan merempuh sisi sebuah kereta Proton Persona dalam satu kejadian di Lebuhraya Tun Dr. Lim Choong Eu berhampiran Astaka Seagate di Bayan Lepas kira-kira jam 4.30 pagi pada 4 Jun lalu.
Menurut laporan, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Kamarul Rizal Jenal dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa mangsa pada ketika itu sedang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ ketika cuaca hujan dan berdasarkan rakaman Kamera Litar Tertutup dan beberapa saksi bebas, mangsa didapati sedang bersaing dengan seorang lagi rakannya sebelum mangsa merempuh sebuah kereta yang sedang membelok ke kanan di laluan berkenaan.
Berikutan kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu kereta itu cedera di tangan kiri. Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, beberapa buah video berkenaan kemalangan itu telahpun tular di media sosial dan berdasarkan video, mangsa dilihat menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya iaitu dengan melakukan aksi ‘Superman’ sambil menunggang dengan laju.
Hampir semua individu di Amerika Syarikat menikmati beberapa bentuk perlindungan terhadap COVID-19, menurut kajian terbaharu ke atas mereka yang telah menderma darah.
Kira-kira 96.4 peratus individu berusia 16 tahun ke atas yang menderma darah mempunyai bukti antibodi terhadap COVID-19, penyelidik merumuskan semasa menganalisis sampel darah antara Julai dan September 2022.
Peratusan individu yang mempunyai antibodi meningkat daripada 93.5 peratus pada Januari hingga Mac 2022 dan daripada 68.4 pada pertengahan 2021.
Imej mikroskop elektron menunjukkan SARS-CoV-2 (objek emas bulat), yang menyebabkan COVID-19, muncul daripada sel kultur. (Gambar NIAID / The Epoch Times)
Mereka mempunyai antibodi daripada jangkitan sebelumnya, vaksinasi, atau kedua-duanya.
Kira-kira 26 peratus orang mempunyai antibodi daripada vaksin, 22.6 peratus mempunyai antibodi daripada jangkitan, dan 47.7 peratus mempunyai antibodi daripada kedua-duanya, para penyelidik mendapati.
Imuniti yang disebabkan oleh jangkitan adalah lebih biasa di kalangan mereka yang tidak divaksinasi dalam kohort.
Kohort yang dikaji menampilkan 142,748 individu yang telah menderma darah sekurang-kurangnya dua kali pada tahun sebelumnya.
Darah yang didermakan telah diuji untuk antibodi terhadap spike protein yang dimiliki oleh kedua-dua COVID-19 dan vaksin, serta nukleocapsid protein yang dihasilkan apabila seseorang itu dijangkiti.
Penyelidik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat bekerja dengan pegawai dari American Red Cross, Creative Testing Solution, Vitalant, dan Westat untuk penyelidikan itu, yang diterbitkan oleh jurnal kuasi CDC A.S pada 2 Jun.
Hasilnya sejajar dengan data sebelumnya daripada populasi yang lebih meluas.
Kajian berkenaan, termasuk kertas CDC terdahulu, yang dikumpulkan dalam pangkalan data Institut Kesihatan Nasional (NIH) A.S. menunjukkan tahap antibodi yang tinggi di kalangan populasi Amerika Syarikat.
“Pada asasnya, data ini dan data serohub NIH menunjukkan prinsip yang sudah kita ketahui dalam penyakit berjangkit, iaitu sukar untuk mengelakkan virus pernafasan yang sangat mudah berjangkit dan terdapat imuniti populasi yang tinggi pada ketika ini,” kata Dr. Monica Gandhi, pengarah Pusat Penyelidikan AIDS Universiti California San Francisco-Bay, yang tidak terlibat dalam kajian itu, kepada The Epoch Times melalui e-mel.
Peningkatan antibodi, atau ‘seroprevalence’, “kemungkinan menyumbang kepada kadar penyakit teruk dan kematian yang lebih rendah daripada COVID-19 pada 2022-2023 berbanding semasa pandemik awal,” kata penyelidik CDC yang menjalankan kajian itu.
Banyak kajian mendapati imuniti semula jadi adalah serupa atau lebih baik daripada perlindungan yang diberikan oleh vaksin, termasuk kertas kajian baru-baru ini yang dibiayai oleh CDC. Keberkesanan vaksin telah menurun apabila strain yang lebih baru telah muncul, menurun kepada hampir sifar terhadap jangkitan selepas beberapa bulan dan hanya 24 peratus terhadap kemasukan ke hospital dalam kalangan orang yang sihat selepas 120 hari.
Tetapi penyelidik CDC menegaskan kajian baru itu memberikan bukti bahawa vaksinasi masih melindungi daripada jangkitan.
Mereka menekankan bagaimana individu yang tidak divaksinasi mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi daripada orang yang telah divaksinasi, walaupun mereka mengakui bahawa faktor lain boleh memainkan peranan.
“Perbezaan dalam insiden juga mungkin disebabkan oleh perbezaan sistematik antara individu yang divaksinasi dan yang tidak divaksinasi dari segi kelaziman mengamalkan tingkah laku pencegahan seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Perbezaan relatif dalam kadar jangkitan mengecil dalam beberapa bulan terakhir, mungkin kerana berkurangnya perlindungan yang disebabkan oleh vaksin terhadap jangkitan dalam keadaan peningkatan masa selepas vaksinasi atau pengelakan imun oleh varian SARS-CoV-2 Omicron,” tulis mereka.
“Pengecilan perbezaan dalam kadar jangkitan mungkin juga disebabkan oleh peningkatan persamaan tingkah laku dalam kalangan individu yang divaksinasi dan yang tidak divaksinasi pada akhir 2022,” tambah mereka.
Had penyelidikan termasuk tiada maklumat tersedia tentang bilangan dos vaksin yang telah diterima oleh penderma darah, pada masa sejak vaksinasi terakhir mereka, dan sebarang jangkitan semula.
Kajian terbaru yang lain juga mendapati ramai individu mempunyai bukti jangkitan atau vaksinasi terdahulu.
Penyelidik di Uganda, misalnya, melaporkan pada Mei bahawa analisis lebih daripada 5,000 sampel darah yang diuji pada awal 2022 menunjukkan 82.5 peratus mempunyai bukti jangkitan terdahulu, vaksinasi, atau kedua-duanya. Ia meningkat sembilan kali ganda dari permulaan pandemik itu.
“Walaupun sebelum ini melaporkan bilangan kes COVID-19 yang rendah dan kematian berkaitan di Uganda, ‘seroprevalence’ SARS-CoV-2 yang tinggi dan paras antibodi yang meningkat dalam kalangan penderma darah menunjukkan bahawa negara itu mengalami tahap jangkitan yang tinggi sepanjang tempoh wabak itu,” para penyelidik berkata.
Penyelidik Itali juga baru-baru ini berkata pada 2020, 47.8 peratus daripada lebih 25,000 penderma darah sukarela di bandar Modena telah diuji positif untuk antibodi terhadap nucleocapsid protein tetapi peratusan itu melonjak kepada 66 peratus menjelang Mac 2021 dan 68 peratus menjelang Julai 2022.
Kebanyakan penderma tidak mengalami gejala apabila mereka dijangkiti COVID-19, kata para penyelidik.
Dalam kajian di Amerika Syarikat yang lebih terpencil terhadap 2,584 pemohon insurans hayat yang dijalankan sepanjang dua hari pada April 2022, penyelidik mendapati 97.3 peratus daripada kumpulan itu adalah seropositif, dengan 63.9 peratus mempunyai antibodi yang menandakan jangkitan terdahulu dan 33.7 peratus telah diberi vaksin tanpa tanda jangkitan sebelumnya.
Jika dirujuk kepada hukum alam semula jadi, lazimnya kucing adalah pemangsa kepada tikus. Hal ini adalah kerana kucing dikurniakan dengan naluri memburu yang kuat, dan kucing juga mempunyai kemahiran yang baik dalam memburu mangsa-mangsanya, seperti tikus.
Walau bagaimanapun, nampaknya pada masa ini, naluri memburu yang sepatutnya ada dalam kucing-kucing kini sudah semakin pudar. Mana tidaknya, jika kita saksikan sebuah video yang dimuat naik oleh @errsunday di laman TikTok, kedua-dua ekor kucing peliharaannya menunjukkan reaksi yang ‘tidak sepatutnya’ dilakukan oleh kucing pemangsa disaat berdepan dengan mangsa.
Menerusi video, kelihatan seekor kucing yang berwarna kelabu seolah-olah berasa takut dengan kehadiran seekor tikus yang sedang ‘meneroka’ sebuah kotak di dalam rumah, manakala yang seekor kucing yang berwarna oren pula memaparkan wajah tidak peduli dengan kehadiran tikus berkenaan.
Yang lucunya, wajah kucing berwarna kelabu sememangnya kelihatan sangat takut dengan tikus tersebut, matanya membulat seolah-olah tidak percaya dengan apa yang sedang disaksikannya itu.
Berbeza pula dengan kucing yang berwarna oren, jelas dapat dilihat bahawa ia memang langsung tidak hairan dengan mangsa yang berada dihadapannya itu. Comel betul!
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman video yang comel ini telah meraih sehingga lebih dari 7.1 juta tontonan, lebih dari 928,000 sukaan, lebih dari 20,400 kongsian dan lebih dari 25,800 komen warganet yang terhibur dengan gelagat terkejut dua ekor kucing ‘manja’ ini.
NEW DELHI: Punca dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan kereta api terburuk di India dalam beberapa dekad telah dikenal pasti, merujuk kepada kelemahan sistem isyarat elektronik tanpa memberikan butiran lanjut, kata Menteri Kereta Api India dalam satu kenyataan pada 4 Jun.
“Kami telah mengenal pasti punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab atasnya,” kata Menteri Kereta Api India Ashwini Vaishnaw kepada agensi berita ANI, tetapi berkata ia adalah “tidak wajar” untuk memberikan butiran sebelum laporan penyiasatan akhir.
Angka kematian pada Jumaat, 2 Jun dalam nahas kereta api berhampiran Balasore, di negeri timur Odisha meningkat melebihi 288 orang.
Ashwini berkata “perubahan yang berlaku semasa ‘interlock’ elektronik, kemalangan berlaku kerana itu”, istilah teknikal yang merujuk kepada sistem isyarat kompleks yang direka untuk menghentikan kereta api berlanggar dengan mengatur pergerakan mereka di landasan.
“Sesiapa yang melakukannya, dan bagaimana ia berlaku, akan diketahui selepas siasatan yang sewajarnya,” tambahnya.
Terdapat kekeliruan mengenai urutan kejadian yang tepat tetapi laporan memetik pegawai kereta api sebagai berkata bahawa ralat isyarat telah menyebabkan Coromandal Express berjalan ke selatan dari Kolkata ke Chennai ke landasan sebelah.
Ia merempuh sebuah kereta api barang dan serpihan itu menggelincirkan sebuah ekspres yang bergerak ke utara dari hab teknologi India Bengaluru ke Kolkata yang juga melalui tapak itu.
Ketua Setiausaha Negara Odisha Pradeep Jena mengesahkan bahawa kira-kira 900 orang yang cedera telah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Bomba Odisha, Sudhanshu Sarangi berkata jumlah kematian yang disahkan adalah 288 orang, namun ia dijangka terus meningkat dan berpotensi mencapai 380 orang.
Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika melawat lokasi nahas dan mangsa di hospital berkata, “Tiada sesiapa yang sepatutnya bertanggungjawab akan terlepas.”
“Saya berdoa agar kita keluar daripada detik sedih ini secepat mungkin,” katanya kepada pemberita.