HONG KONG—Polis Hong Kong menahan lapan orang, termasuk aktivis dan artis, pada malam ulang tahun ke-34 memperingati pembunuhan beramai-ramai Dataran Tiananmen, satu langkah yang menandakan kebebasan bersuara di wilayah autonomi itu semakin mengecil.
Polis dalam satu kenyataan lewat Sabtu, 3 Jun berkata empat orang telah ditahan kerana didakwa mengganggu ketenteraman di kawasan awam atau melakukan perbuatan dengan niat untuk menghasut. Empat lagi dibawa pihak berkuasa untuk siasatan kerana disyaki melanggar keamanan awam.
Selama berdekad-dekad, berpuluh-puluh ribu rakyat Hong Kong mengadakan upacara menyalakan lilin tahunan di Victoria Park pada setiap 4 Jun untuk memperingati pembunuhan beramai-ramai penunjuk perasaan pro-demokrasi 1989, di mana kereta kebal merempuh dan menggilis ke tengah-tengah himpunan Beijing dan ratusan, mungkin ribuan, orang awam telah terbunuh.
Semasa pandemik, protes di Hong Kong tidak dapat diadakan ekoran sekatan COVID-19. Di samping itu, ramai aktivis di sana telah didiamkan atau dipenjarakan selepas Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh berikutan protes besar-besaran pada 2019.
Apabila British menyerahkan Hong Kong kepada Beijing pada 1997, wilayah itu dijanjikan 50 tahun pemerintahan sendiri dan kebebasan berhimpun, ucapan, dan akhbar yang tidak dibenarkan di Tanah Besar China, tetapi para pengkritik mengatakan kebebasan tersebut semakin beransur-ansur terhakis.
Hari memperingati Tiananmen tahun ini dijangka disenyapkan. Ramai warga Hong Kong cuba menandakan acara itu secara peribadi kerana tidak jelas apa yang pihak berkuasa mungkin menganggapnya sebagai subversif.
Terdahulu pada 3 Jun, aktivis Kwan Chun-pong dan Lau Ka-yee telah ditahan selepas muncul berhampiran bekas lokasi perhimpunan menyalakan lilin untuk mengatakan mereka tidak akan makan selama 24 jam untuk meratapi mangsa.
“Kami sekarang akan mula berpuasa pada 6:04 petang,” kata Lau dengan bunga di tangannya, merujuk tarikh 4 Jun pembunuhan beramai-ramai. Mereka juga memegang kertas yang mengatakan mereka sedang berpuasa dan berkabung mengenang mereka yang terbunuh di Tiananmen.
Tindakan protes yang agak ringan ini bagaimanapun mendorong pegawai polis untuk tiba dalam beberapa minit dan mengepung pasangan itu, yang kemudiannya meletakkan pita merah pada mulut mereka.
Seorang pegawai memberi amaran bahawa mereka mungkin melanggar undang-undang kerana mempunyai niat menghasut, dan mengarahkan untuk menghentikan aktiviti itu atau mereka mungkin ditahan.
Beberapa minit kemudian, mereka dibawa pergi oleh sepasukan polis. Tidak jelas sama ada pasangan itu telah ditahan secara rasmi.
Pada malam menjelang memperingati peristiwa 4 Jun, polis menahan lima yang lain, termasuk dua artis, Sanmu Chen dan Chan Mei-tung.
Dikelilingi oleh pegawai polis, Samnu Chen melaungkan, “Warga Hong Kong, jangan takut. Jangan lupa esok 4 Jun.” Chan Mei-tung telah berdiri dan berjalan di jalanan Causeway Bay sebelum dikepung oleh polis.
Polis pada 4 Jun berkata mereka telah menahan seorang wanita kerana didakwa menghalang pegawai polis dalam menjalankan tugas mereka dan membawa 23 yang lain kerana disyaki melanggar ketenteraman awam untuk siasatan lanjut. Ramai daripada mereka telah ditahan oleh pegawai di sekitar Victoria Park.
Di Victoria Park, adegan orang awam yang berhimpun untuk demokrasi telah digantikan dengan karnival yang dianjurkan oleh kumpulan pro-Beijing untuk menandakan penyerahan bandar itu kepada China pada 1997.
Menjelang kira-kira 8:30 malam, 14 orang lagi, termasuk aktivis dan bekas ketua Persatuan Wartawan Hong Kong, telah dibawa oleh polis di Causeway Bay, di mana Victoria Park terletak.
Dalam pada itu, upacara peringatan telah diadakan di Taipei, Taiwan yang didakwa oleh PKC sebagai wilayahnya sendiri. Lebih 500 peserta menyalakan lilin, mendengar ucapan, dan melaungkan slogan ketika hujan turun dengan lebat.
Kacey Wong, seorang artis yang merupakan antara ramai penduduk Hong Kong yang telah berhijrah ke Taiwan, berkata beliau sudah lebih 30 tahun memperingati protes 1989 yang menjadikannya sebahagian daripada kehidupan.
“Jadi, semuanya sudah tertanam dalam fikiran bawah sedar yang kita perlu mengambil berat dan mengamalkan simpati terhadap orang lain yang dambakan demokrasi dan kebebasan,” kata Wong.
Pilihan Editor: