30.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 16, 2025
Utama Blog Laman 76

J-KOM akui kesilapan selepas terima kritikan ramai gara-gara infografik belanja dapur bulanan tidak logik

0

Beberapa hari lalu, tular di Facebook dan Twitter mengenai infografik atau poster yang di muat naik oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) berkaitan isi rumah bersama dua anak mampu menampung hidup pada kadar RM391 sebulan bagi perbelanjaan dapur yang mendapat kritikan ramai.

Dalam infografik berkenaan, J-KOM menyenarai enam barang dapur yang boleh dibeli isi rumah itu dengan bergantung kepada gaji minimum RM1,500.

Perkara tersebut dengan pantas mendapat perhatian dan sindiran warganet kerana menurut infografik yang disediakan, barangan yang meliputi dua ayam seberat 2kg berharga RM37.60; beras (RM38/10kg); dua minyak masak (RM6.90/1kg); telur sepapan 30 biji (RM14); dua roti buku jumbo RM8.60, dan satu tong gas RM19 untuk kegunaan sebulan dikatakan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Sebagai contoh, tong gas tidak dibeli secara bulanan selain infografik tersebut juga tidak menyenaraikan lebih banyak barangan seperti barangan runcit basah dan kering atau rencah untuk memasak.

Susulan hantaran berkenaan, Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusuff tampil mengakui terdapat kesalahan daripada pihaknya yang mencetuskan kritikan tersebut selain mengakui tajuk dan penjelasan yang ada pada poster berkenaan agak mengelirukan.

Jelasnya lagi, perkara yang disenaraikan dalam infografik berkenaan adalah tidak logik sekiranya ia merupakan senarai pembelian sekeluarga yang terdiri daripada 4 orang.

Menurutnya, pihaknya mengetengahkan harga enam barangan keperluan bagi menjawab dakwaan laporan dan kritikan sesetengah pihak menyatakan harga barangan berkenaan naik mendadak sehingga membabitkan kos daripada RM200 hingga RM500 sebulan.

“Simulasi itu dibuat berdasarkan enam barangan utama yang dikatakan harganya telah naik mendadak menyebabkan kos perbelanjaan meningkat daripada RM200 kepada RM500 sebulan.

Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusuff ( Gambar The Star)

Jadi J-KOM membuat rujukan mengenai harga barangan tersebut termasuk dengan merujuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selain pasukan J-KOM turun membuat tinjauan dan temubual bersama pengguna.

“J-KOM hanya merujuk kepada enam harga barang sama ada barangan kawalan, bersubsidi atau tidak itu untuk dibandingkan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas mengenai kenaikan harganya,” jelas Agus.

J-KOM kemudian membuat pindaan di Facebook dengan mendakwa belanja dapur untuk satu keluarga adalah sebanyak RM397.80 sebulan atau RM99.45 seminggu.

J-KOM menjawab persoalan benarkah belanja dapur meningkat dari RM200 ke RM500 sebulan dengan kemas kini infografik yang memasukkan perkataan ‘simulasi anggaran belanja dapur untuk satu bulan’.

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) / Facebook

Tetapi pihak mereka masih mengekalkan keluarga yang mempunyai empat orang mampu  bertahan dengan barangan runcit bernilai kurang daripada RM400 sebulan, dan bagi mereka yang bujang, perbelanjaan akan hanya menjadi RM234.60 sebulan.

Bagaimanapun, J-KOM berkata, pengiraan infografik itu hanya mengambil kira “barang-barang yang merupakan barang dapur asas serta barangan yang harganya dikawal dan disubsidi oleh kerajaan, dan ia tidak termasuk barangan lain”.

J-KOM membariskan contoh perbelanjaan sekeluarga melibatkan enam barangan – ayam, beras, minyak masak, telur, roti dan gas masak.

Berdasarkan infografik yang dikeluarkan J-KOM, harga ayam dianggarkan sekitar RM18.80 satu ekor dan dengan anggaran satu keluarga membeli dua ekor seminggu, bersamaan dengan RM37.60.

Barangan mingguan lain adalah minyak masak botol yang berharga RM6.90 sekilogram (dua botol seminggu, RM13.80), roti Gardenia RM4.30 (dua paket seminggu, RM8.60) dan telur sepapan RM14.

Belanja untuk beras 10 kilogram (RM38) dan tong gas 12 kilogram (RM25.80) sebulan.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Agus mengakui terdapat kesilapan dalam hantaran infografik tersebut pada awalnya dan pihaknya telah membuat kemas kini sebaik menyedari kesilapan itu.

Jelasnya lagi, J-KOM sedaya mungkin memberi penjelasan yang tepat kepada rakyat namun keadaan sebaliknya berlaku apabila fakta diatasi emosi dan sentimen.

“Kami menyambut baik segala kritikan, teguran dan nasihat disampaikan masyarakat dan saya mahu buat kenyataan balas bagi memberi kefahaman kepada semua.

Twitter
Twitter

“Berdasarkan simulasi tersebut memang kita tidak mengambil kira lebih banyak lagi barangan keperluan lain seperti ikan, sayur dan sebagainya. Ini kerana penjelasan yang dibuat itu merujuk kepada enam barangan berkenaan sahaja.

“Saya akui wujud kekeliruan yang kita sudah perbetulkan, namun emosi dan sentimen menjadikan tanggapan tidak betul. Saya hendak tarik perhatian kepada enam harga barang itu, memanglah tidak cukup,” katanya.

Tambah Agus pihaknya faham rakyat menjadi begitu sensitif apabila perkara itu berkait dengan kos sara hidup namun perlu yakin bahawa kerajaan akan memastikan yang terbaik untuk rakyat.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

“Inilah reaksinya, tetapi saya yakin satu perkara, kerajaan Madani sama sekali tidak akan biarkan perut rakyat lapar, yang ini kita angkat dan utamakan.

“Kita juga sedar menteri KPDN begitu bekerja keras dalam menangani isu kos sara hidup dengan pelbagai insentif dilaksanakan untuk kemudahan dan meringankan beban rakyat.

“Saya harap penjelasan ini akan beri kefahaman kepada semua dan bagi pihak J-KOM memohon maaf atas kekeliruan yang timbul dan kelemahan yang ada akan terus diperbaiki,” katanya kepada Malaysiakini.

Perkhidmatan Feri Pulau Pinang percuma selama sebulan mulai 7 Ogos: Anthony Loke

0

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada 9 Julai mengumumkan warga Pulau Pinang dan pelancong boleh menikmati perkhidmatan feri ulang-alik percuma di Pulau Pinang selama sebulan mulai 7 Ogos 2023.

Perkhidmatan feri percuma adalah antara Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU – terminal pelayaran Jeti Swettenham) dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth. 

Twitter

Anthony Loke mengumumkan empat feri baharu yang bernilai RM15 juta setiap satu, telah tiba di Pulau Pinang, dan Penang Port Sdn Bhd akan menggunakannya selama empat minggu sebagai tempoh percubaan untuk menjalankan pelbagai latihan.

“Proses percubaan selama empat minggu ini antara lain melibatkan pengemudi feri dan pada masa sama untuk mendapatkan tauliah daripada Jabatan Laut sebelum dapat beroperasi sepenuhnya.

Twitter

“Perkhidmatan feri baharu ini akan beroperasi mulai 7 Ogos, bermula 6 pagi hingga 8.30 malam setiap hari, manakala kekerapan pada waktu puncak adalah setiap 30 minit, di mana masa yang diambil untuk perjalanan sehala ialah 10 minit (feri lama 20 minit),” katanya.

Apabila perkhidmatan feri mula beroperasi pada 7 Ogos, semua penumpang termasuk bukan warganegara boleh menikmati perkhidmatan tersebut secara percuma selama sebulan. 

Twitter

Dari segi kapasiti, feri pengangkut penumpang dan kenderaan dua tayar jenis katamaran itu mampu memuatkan 150 penumpang pejalan kaki serta 50 motosikal dan basikal pada satu-satu masa.

Menteri Pengangkutan menambah, bagaimanapun hanya tiga feri akan beroperasi setiap hari dengan satu feri diletakkan dalam keadaan siap sedia. 

Semua feri dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terkini dan penuh termasuk kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh dipantau oleh jurumudi serta di terminal.

Twitter

Mengenai tambang perkhidmatan feri selepas tempoh percuma tamat, Anthony Loke berkata perkara itu akan diumumkan kemudian, susulan perbincangan dan persetujuan dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC). 

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan harga tambang yang akan diperkenalkan kelak adalah berpatutan.

Lelaki mengadu sukar menelan dan muntah, doktor terkejut temui sotong tersangkut di kerongkongnya

0

Sepasukan doktor di Hospital Tan Tock Seng, Singapura mengalami kejutan dalam hidup selepas menemui keseluruhan sotong tersangkut di dalam kerongkong pesakitnya.

Pesakit itu seorang lelaki Singapura berusia 55 tahun, mengadu mengalami masalah menelan dan rasa tidak selesa di tekak sebelum bergegas ke hospital.

Dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila mula muntah setelah menikmati beberapa hidangan makanan laut yang termasuk sotong.

Gambar New York Post

New York Post melaporkan doktor di hospital itu menjalankan imbasan CT ke atas pesakit dan mendapati imej pelik dan padat di esofagus lelaki itu.

Selepas itu, pesakit menjalani prosedur esophagogastroduodenoscopy, atau pemeriksaan gastrousus yang melibatkan tiub kecil yang fleksibel dengan kamera, yang mendedahkan terdapat tentakel sotong yang tersepit 2 inci (5cm) dari sempadan esofagus dan perut.

Gambar New York Post

Percubaan awal untuk menolak atau mengeluarkan sotong itu tidak berjaya, yang mendorong pasukan perubatan untuk menavigasi endoskop melepasi sotong ke dalam perut dan membengkokkannya. 

Doktor kemudian menggunakan forsep untuk memegang kepala sotong itu dan berjaya mengeluarkannya daripada pesakit.

Gambar New York Post

Pesakit itu dilaporkan telah pulih dengan baik selepas menjalani prosedur berkenaan dan dibenarkan discaj dua hari kemudian.

Pasukan perubatan berkata sekatan makanan adalah salah satu masalah paling biasa yang mereka hadapi di hospital.

Kata mereka, pengurusan endoskopik akan diperlukan dalam 10 dan 20 peratus manakala kurang daripada satu peratus memerlukan pembedahan.

Pilihan Editor:

Bayi lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ketika berkayak bersama bapa

0

BALING: Seorang bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan dilaporkan lemas selepas dipercayai terjatuh dari pelampung kayak yang dinaiki bersama bapanya.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.51 pagi 8 Julai di Sungai Ketil, Lubuk Pedati, Baling, Kedah.

Menurut Sinar Harian, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa bersama bapanya dan seorang lagi kanak-kanak sedang menaiki pelampung kayak ketika aktiviti riadah di kawasan berkenaan.

Gambar Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling

“Bagaimanapun, pelampung berkenaan dikatakan terlanggar perdu buluh menyebabkan mangsa terjatuh,” kata saksi.

Dalam pada itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun yang menaiki pelampung yang sama berjaya diselamatkan. Manakala mangsa pula telah dihanyutkan arus Sungai Ketil.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.04 tengah hari.

Menurut Mohd Jamil, sepasukan anggota dari BBP Baling telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Operasi menyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Jusoh Abdul Wahab.

“Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang bayi lelaki hanyut ke dalam sungai berhampiran sebuah tapak perkhemahan.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah turut meminta maklumat dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

“Operasi turut dibantu malim gunung dan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Persatuan Rekreasi Luar dan orang awam,” katanya.

Gambar Sinar Harian

Mohd Jamil berkata mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira 3.3 kilometer dari tempat dilaporkan hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat bayi lelaki dikenali Adryan Mikhael Muhammad Afiq telah ditemui penduduk kampung di Sungai Limau.

“Ketika ditemui mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Mayat telah dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat. 

Kata Shamsudin, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kanak-kanak perempuan 3 tahun lumpuh akibat kecuaian hospital terima pampasan RM5.6 juta

0

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun dianugerahkan wang pampasan berjumlah RM5.6 juta selepas hakim mendapati sebuah hospital awam melakukan kecuaian sehingga mengakibatnya lumpuh semasa melalui kelahiran secara pembedahan Caesarean.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir mengarahkan hospital terbabit membayar RM5.6 juta kepada Nur Adeena Mohd Syahmir susulan saman yang difailkan melalui bapanya, Mohd Syahmir Mohd Kamal terhadap kerajaan dan doktor yang terbabit dengan dakwaan mereka telah cuai serta gagal bertindak demi kepentingan mangsa.

Sekadar Gambar Hiasan

Nur Adeena dilahirkan pada 12 Mei 2020, didapati mengalami kecederaan saraf tunjang berikutan komplikasi pembedahan Caesarean yang menyebabkannya lumpuh dari leher ke bawah, lapor Berita Harian.

Selepas siasatan dalaman dijalankan oleh pihak hospital, mereka mendapati pegawai perubatan yang menjalankan pembedahan itu tidak mempunyai pengalaman terdahulu dan melakukannya tanpa pengawasan pakar obstetrik dan ginekologi.

Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, doktor pakar menerangkan bahawa berdasarkan keadaan, Nur Adeena berkemungkinan hidup sehingga usia 23 tahun, justeru mahkamah memutuskan mangsa layak mendapat pampasan yang secukupnya.

Sekadar Gambar Hiasan

“Tiada jumlah wang yang boleh mengurangkan kesakitan dan penderitaan kanak-kanak itu. Oleh itu, mahkamah hanya boleh memberikan jumlah mencerminkan kerugian dialami serta jumlah itu tidak boleh terlalu tinggi sebaliknya munasabah.

“Mahkamah juga berpandangan jumlah ganti rugi diberikan mesti mengimbangi sebaik mungkin perbelanjaan tambahan yang akan ditanggung penjaga plaintif (kanak-kanak itu),” kata Hakim Akhtar.

Selain itu, mahkamah berpendirian pihaknya tidak diberi kuasa untuk menentukan tempat terbaik untuk rawatan atau cara rawatan dan perkara itu mesti ditentukan oleh penjaga iaitu ibu bapa mangsa.

Gambar ihsan Facebook Nurul Khairiyah

“Ibu bapa tidak boleh dibelenggu dengan beban memilih rawatan yang lebih murah berbanding rawatan yang lebih baik dan tepat pada masanya.

“Oleh itu, mahkamah tidak boleh menerima dakwaan defendan (kerajaan) bahawa tempat rawatan terbaik adalah di kemudahan kerajaan yang percuma atau murah. Ini mungkin benar, tetapi faktor lebih penting dalam pandangan mahkamah ialah memutuskan rawatan terbaik.

“Yang terbaik mungkin bukan yang termurah,” kata Hakim Akhtar.

Pilihan Editor:

Anak kucing berani keluar bermain seorang diri tanpa pengetahuan ibunya yang cemas, dapat ‘penampar dulu’ sebelum dikutip kembali ke rumah

0

Semua orang ada pengalaman dipukul ibu bapa sebab mereka nakal bukan? Situasi ilmu keibubapaan yang bukan sahaja berlaku di kalangan manusia malahan dalam keluarga haiwan kucing juga.

Tular di Weibo baru-baru ini satu perkongsian video memaparkan adegan lucu antara ibu kucing dan anak kecilnya yang nakal.

Dalam video itu, dapat dilihat seekor anak kucing berwarna jingga putih sedang duduk di satu sudut seolah-olah sedang melakukan sesuatu yang salah.

Weibo

Tidak berani untuk bergerak sama sekali, ibu kucing berada tidak jauh dari situ seperti telah melihat dan memanggil anak kucing itu.

Si ibu dengan pantas berjalan menuju ke arah anaknya, nampak macam marah benar dia bila mendengar cara leterannya kepada anak kucing itu.

Weibo

Kemudian melangkah ke hadapan untuk menghidu dan memastikan bahawa si kecil memang anaknya yang tiba-tiba hilang daripada pandangannya tadi. 

Weibo

Selepas ibu kucing itu yakin, dia terus mengangkat kaki hadapannya memberi tamparan comel sehingga kelihatan anak kucing itu tersungkur kepalanya menghala ke lantai dek terasa pening terkena ‘penampar ibu’.

Weibo

Lantas sambil marah-marah, ibu kucing mengutip anaknya itu dengan menggonggong ke dalam mulutnya, dan dia berlari dengan langkah kecil kembali semula ke dalam rumah.

Video comel yang membuat ramai netizen ketawa terbahak-bahak, “Anak kucing itu berlari keluar seorang diri. Selepas ibu kucing menemuinya, dia meleter tidak henti, mengajarnya jangan nakal dan terlalu berani, dan pantas mengutipnya kembali ke dalam.”

Weibo

Video ibu mengajar anaknya yang nakal ini telah mendapat perhatian netizen dengan komen mereka:

“Ibu kucing jadi cemas dan bimbang bila dia tidak melihat anaknya di sisi..”

“Ibu kucing: Kamu tunggu seseorang menculik kamu dan tengok macam mana kamu menangis nanti!”

“Mulut membebel sama seperti ibu saya..”

“Beri kamu penampar, haha, macam tu betul.”

“Ia sama seperti bagaimana ibu saya mendidik saya semasa kecil.”

“Ibu kucing: Anak bertuah! Nasib baik jumpa kamu, buat ibu kamu cemas! Mari pulang!”

“Semua ibu mendidik anak ikut cara sama.”

“Kenapa saya rasa macam masa kecil dulu, saya tak berani masuk rumah lepas keluar bermain.”

“Meleter beberapa perkataan terlebih dahulu, bau jika dia ni anak saya, kemudian pukul dia, dan akhirnya bawa pulang ke rumah sambil marah-marah.”

Weibo

Tidak mengapa, anak sudah jumpa dan anak sudah selamat. Yang penting ibu sangat sayang kamu!

Pilihan Editor:

Bila si puteh jadi harapan pemilik sebagai penangkap tikus, tapi dia pula meraung minta tolong pintu dapur dibuka sebab takut

0

Kata kebanyakan orang secara semula jadinya, haiwan peliharaan kucing bernaluri pemburu jadi pemilik menyayanginya bukan semata kerana si bulus itu comel, tetapi dia juga mempunyai tugas sebagai penangkap tikus dan lain-lain.

Namun sesuai dengan peredaran zaman, kebanyakan makhluk tidak kira manusia mahupun haiwan hari ini kian menjadi manja dan tidak lagi kisah dengan peranan masing-masing.

Facebook

Contohnya, tugas sebagai penangkap tikus tidak lagi diberikan bulat-bulat kepada kucing kerana ada antara mereka hanya mahu digelar si comel yang manja, senang-lenang makan tidur dan tidak boleh diharap.

Seperti si puteh dalam rakaman video tular di platform media sosial di China ini.

Facebook

Dalam paparan video berdurasi 24 saat perkongsian di Facebook itu, kelihatan pemilik dan kucing berwarna putih gebu comel berada di dalam dapur untuk menangkap seekor tikus yang menceroboh.

Facebook

Pemilik memegang penyapu untuk membunuh tikus itu sambil meminta kerjasama si puteh untuk menangkap dengan kaki berkuku tajamnya yang tangkas dan taringnya yang garang.

Malang terjadi sebaliknya, apabila si tikus itu mengejar si puteh dan dia menggunakan kaki berkuku tajamnya untuk melompat dan berpaut di tepi pintu dan mulutnya terbuka menunjukkan taring sambil mengeluarkan suara ngiau meraung.

Facebook

Rupanya si puteh jadi takut, dengan tangkas cuba meminta tolong supaya pintu dapur boleh dibuka dan dia dapat keluar dari situ.

Sambil pemilik kelihatan di belakangnya sedang bersungguh-sungguh untuk menangkap dan menghapuskan tikus yang seekor itu.

Facebook

Baru seekor tikus, kucing putih sudah takut. Macam mana reaksinya bila berdepan beberapa ekor tikus agaknya ya?

Memang si puteh tidak boleh diharap, penakut tikus lagi ada..

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Rasa diri tak beruntung, lelaki ‘merajuk’ selepas atendan minyak tersilap isi RON97 dalam motosikalnya

0

Tular satu video di media sosial, yang memaparkan seorang lelaki membuat protes senyap apabila seorang atendan stesen minyak tersilap mengisi pembelian minyak motosikalnya daripada RON 95 kepada RON 97.

Dengan kapsyen yang berbunyi, “Lelaki ini ‘merajuk’ sebab pekerja pam minyak tersalah isi minyak motosikalnya, dia minta RON95 tapi yang dapat RON97..”

Twitter

“Ada sesiapa yang boleh tolong ‘pujuk’ dia tak?”

Dalam video itu, seorang atendan boleh dilihat menolak motosikalnya ke tepi selepas mengepam minyak RON97, tetapi lelaki itu terus berdiri di situ, dan enggan berganjak sambil memerhati pam minyak.

Twitter

Dan dia terus merajuk di situ, sambil puas dipujuk pekerja stesen minyak, yang memintanya beredar untuk memberi laluan kepada pelanggan lain.

Siap menepis tangan abang atendan tu lagi..

Twitter

Video yang menarik perhatian netizen dengan komen mereka:

“Untung dia isi RON97.. Kalau dia isi diesel?”

“Bagi je dia duit balik, nanti dia okaylah. Salah pekerja.”

“Pertama kali ada isu yang sangat comel macam ni..”

Twitter

Macam-macam perkara kecil orang dewasa boleh buat merajuk jadi macam budak kecil sekarang.

Tonton video di bawah:

Syarikat hadiah mak cik ‘cleaner’ jam Rolex RM34K sebagai tanda penghargaan berkhidmat 10 tahun

0

Kadangkala, kerja keras dan kesetiaan pekerja perlu dihargai dengan sesuatu yang lebih bernilai selain wang tunai.

Buat seorang petugas pembersihan di Singapura yang telah bekerja di sebuah syarikat selama 10 tahun, dirinya rasa bertuah mendapat lebih daripada apa yang dijangkakan.

Tan Ai Tee menerima kejutan dalam hidupnya apabila dia diberikan jam tangan Rolex bernilai SGD10,000 ( RM34,400) semasa majlis makan malam tahunan di tempat kerjanya baru-baru ini.

Gambar The Straits Times

Bukan Ai Tee seorang sahaja yang menerima ganjaran tersebut tetapi sejumlah 98 jam tangan Rolex diberikan kepada pekerja yang telah lama berkhidmat dengan syarikat itu, tanpa mengira jawatan mereka.

Ini benar-benar ganjaran syarikat yang jarang berlaku untuk diberikan sebagai menghargai usaha, jasa dan bakti pekerja.

Ai Tee yang telah bekerja sejak berusia 16 tahun memberitahu pekerjaan di tempat kerjanya kini, Paradise Group Holdings bukanlah tugas pertamanya.

Gambar The Straits Times

Menurut The Straits Times, Ai Tee pernah bekerja sebagai penjual nasi ayam, memasang aksesori komputer dan menyertai industri jualan. Ai Tee mula bekerja di sebuah restoran di bawah Paradise Group pada 2013 sebagai kakitangan dapur sehingga ditutup pada 2016, sebelum dia mula bekerja sambilan sebagai tukang cuci di bawah syarikat yang sama sehingga hari ini.

Dengan pelbagai pengalaman dalam industri yang berbeza, Ai Tee pastinya mempunyai resume yang menarik.

Terdapat banyak cara untuk memberitahu anda gembira di mana anda berada, tanpa benar-benar memberitahu bahawa anda memang gembira di mana anda berada. Bagi Ai Tee, tempat kerjanya seperti rumah sendiri dan semua orang di dalamnya seperti ahli keluarganya.

Gambar The Straits Times

“Saya pernah terfikir untuk meninggalkan syarikat untuk menjaga keluarga selepas suami saya berhenti bekerja tetapi saya tidak dapat meninggalkan tempat ini.”

Ai Tee juga mendedahkan jam tangan Rolex bukanlah hadiah pertamanya daripada Paradise Group.

“5 tahun lalu, saya menerima 2.5 gram jongkong emas, dan satu lagi 2 tahun lalu, yang seberat 5 gram,” katanya.

Twitter had bilangan ‘Tweets’ boleh dibaca dalam sehari

0

Elon Musk mengumumkan Twitter mengehadkan jumlah ciapan yang boleh dibaca dalam sehari buat sementara waktu, susulan beribu-ribu pengguna menghadapi masalah untuk mengakses laman sesawang itu.

Musk, yang mengambil alih Twitter pada Oktober lalu selepas membelinya dengan harga US$44 bilion, mengumumkan pada 2 Julai bahawa akaun yang disahkan telah dihadkan untuk membaca hanya 6,000 hantaran sehari, lapor Bernama.

Akaun yang tidak disahkan hanya boleh membaca 600 hantaran sehari, manakala akaun baharu yang belum disahkan terhad kepada hanya 300 hantaran, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu berkata Twitter telah melaksanakan tindakan itu untuk “mengatasi tahap data scraping dan manipulasi sistem yang melampau”.

Di United Kingdom, seramai 5,126 pengguna mengadu tentang masalah mengakses Twitter pada 4.12 petang Sabtu, menurut laman sesawang Downdetector, yang menjejaki gangguan dalam talian. Di Amerika Syarikat, kira-kira 7,461 pengguna mengadu tentang isu yang sama.

#Twitterdown dan RIP Twitter mula menjadi ‘trending’ sejak itu apabila pengguna yang kecewa menerima mesej yang berbunyi “Had kadar melebihi. Sila tunggu beberapa saat dan cuba lagi”.

Pilihan Editor: