Kadangkala, kerja keras dan kesetiaan pekerja perlu dihargai dengan sesuatu yang lebih bernilai selain wang tunai.
Buat seorang petugas pembersihan di Singapura yang telah bekerja di sebuah syarikat selama 10 tahun, dirinya rasa bertuah mendapat lebih daripada apa yang dijangkakan.
Tan Ai Tee menerima kejutan dalam hidupnya apabila dia diberikan jam tangan Rolex bernilai SGD10,000 ( RM34,400) semasa majlis makan malam tahunan di tempat kerjanya baru-baru ini.
Bukan Ai Tee seorang sahaja yang menerima ganjaran tersebut tetapi sejumlah 98 jam tangan Rolex diberikan kepada pekerja yang telah lama berkhidmat dengan syarikat itu, tanpa mengira jawatan mereka.
Ini benar-benar ganjaran syarikat yang jarang berlaku untuk diberikan sebagai menghargai usaha, jasa dan bakti pekerja.
Ai Tee yang telah bekerja sejak berusia 16 tahun memberitahu pekerjaan di tempat kerjanya kini, Paradise Group Holdings bukanlah tugas pertamanya.
Menurut The Straits Times, Ai Tee pernah bekerja sebagai penjual nasi ayam, memasang aksesori komputer dan menyertai industri jualan. Ai Tee mula bekerja di sebuah restoran di bawah Paradise Group pada 2013 sebagai kakitangan dapur sehingga ditutup pada 2016, sebelum dia mula bekerja sambilan sebagai tukang cuci di bawah syarikat yang sama sehingga hari ini.
Dengan pelbagai pengalaman dalam industri yang berbeza, Ai Tee pastinya mempunyai resume yang menarik.
Terdapat banyak cara untuk memberitahu anda gembira di mana anda berada, tanpa benar-benar memberitahu bahawa anda memang gembira di mana anda berada. Bagi Ai Tee, tempat kerjanya seperti rumah sendiri dan semua orang di dalamnya seperti ahli keluarganya.
“Saya pernah terfikir untuk meninggalkan syarikat untuk menjaga keluarga selepas suami saya berhenti bekerja tetapi saya tidak dapat meninggalkan tempat ini.”
Ai Tee juga mendedahkan jam tangan Rolex bukanlah hadiah pertamanya daripada Paradise Group.
“5 tahun lalu, saya menerima 2.5 gram jongkong emas, dan satu lagi 2 tahun lalu, yang seberat 5 gram,” katanya.