Sepasukan doktor di Hospital Tan Tock Seng, Singapura mengalami kejutan dalam hidup selepas menemui keseluruhan sotong tersangkut di dalam kerongkong pesakitnya.
Pesakit itu seorang lelaki Singapura berusia 55 tahun, mengadu mengalami masalah menelan dan rasa tidak selesa di tekak sebelum bergegas ke hospital.
Dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila mula muntah setelah menikmati beberapa hidangan makanan laut yang termasuk sotong.
New York Post melaporkan doktor di hospital itu menjalankan imbasan CT ke atas pesakit dan mendapati imej pelik dan padat di esofagus lelaki itu.
Selepas itu, pesakit menjalani prosedur esophagogastroduodenoscopy, atau pemeriksaan gastrousus yang melibatkan tiub kecil yang fleksibel dengan kamera, yang mendedahkan terdapat tentakel sotong yang tersepit 2 inci (5cm) dari sempadan esofagus dan perut.
Percubaan awal untuk menolak atau mengeluarkan sotong itu tidak berjaya, yang mendorong pasukan perubatan untuk menavigasi endoskop melepasi sotong ke dalam perut dan membengkokkannya.
Doktor kemudian menggunakan forsep untuk memegang kepala sotong itu dan berjaya mengeluarkannya daripada pesakit.
Pesakit itu dilaporkan telah pulih dengan baik selepas menjalani prosedur berkenaan dan dibenarkan discaj dua hari kemudian.
Pasukan perubatan berkata sekatan makanan adalah salah satu masalah paling biasa yang mereka hadapi di hospital.
Kata mereka, pengurusan endoskopik akan diperlukan dalam 10 dan 20 peratus manakala kurang daripada satu peratus memerlukan pembedahan.
Pilihan Editor: