BALING: Seorang bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan dilaporkan lemas selepas dipercayai terjatuh dari pelampung kayak yang dinaiki bersama bapanya.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.51 pagi 8 Julai di Sungai Ketil, Lubuk Pedati, Baling, Kedah.
Menurut Sinar Harian, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa bersama bapanya dan seorang lagi kanak-kanak sedang menaiki pelampung kayak ketika aktiviti riadah di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, pelampung berkenaan dikatakan terlanggar perdu buluh menyebabkan mangsa terjatuh,” kata saksi.
Dalam pada itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun yang menaiki pelampung yang sama berjaya diselamatkan. Manakala mangsa pula telah dihanyutkan arus Sungai Ketil.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.04 tengah hari.
Menurut Mohd Jamil, sepasukan anggota dari BBP Baling telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Operasi menyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Jusoh Abdul Wahab.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang bayi lelaki hanyut ke dalam sungai berhampiran sebuah tapak perkhemahan.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah turut meminta maklumat dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
“Operasi turut dibantu malim gunung dan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Persatuan Rekreasi Luar dan orang awam,” katanya.

Mohd Jamil berkata mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira 3.3 kilometer dari tempat dilaporkan hilang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat bayi lelaki dikenali Adryan Mikhael Muhammad Afiq telah ditemui penduduk kampung di Sungai Limau.
“Ketika ditemui mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Mayat telah dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat.
Kata Shamsudin, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.