Elon Musk mengumumkan Twitter mengehadkan jumlah ciapan yang boleh dibaca dalam sehari buat sementara waktu, susulan beribu-ribu pengguna menghadapi masalah untuk mengakses laman sesawang itu.
Musk, yang mengambil alih Twitter pada Oktober lalu selepas membelinya dengan harga US$44 bilion, mengumumkan pada 2 Julai bahawa akaun yang disahkan telah dihadkan untuk membaca hanya 6,000 hantaran sehari, lapor Bernama.
Akaun yang tidak disahkan hanya boleh membaca 600 hantaran sehari, manakala akaun baharu yang belum disahkan terhad kepada hanya 300 hantaran, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu berkata Twitter telah melaksanakan tindakan itu untuk “mengatasi tahap data scraping dan manipulasi sistem yang melampau”.
Di United Kingdom, seramai 5,126 pengguna mengadu tentang masalah mengakses Twitter pada 4.12 petang Sabtu, menurut laman sesawang Downdetector, yang menjejaki gangguan dalam talian. Di Amerika Syarikat, kira-kira 7,461 pengguna mengadu tentang isu yang sama.
#Twitterdown dan RIP Twitter mula menjadi ‘trending’ sejak itu apabila pengguna yang kecewa menerima mesej yang berbunyi “Had kadar melebihi. Sila tunggu beberapa saat dan cuba lagi”.
Pilihan Editor: