Hanya kerana minum 1.8 liter air dalam tempoh 20 minit, seorang wanita dari Indiana, Amerika Syarikat telah tidak sedarkan diri dan meninggal dunia.
Ibu kepada dua orang anak bernama Ashley Summers, 35 tahun sedang menikmati percutian hujung minggu di Tasik Freeman apabila memberitahu orang di sekelilingnya bahawa dia mengalami “dehidrasi, sakit kepala yang teruk, dan berasa haus seperti tidak minum air yang mencukupi”.
Selepas meminum empat botol air dalam masa yang singkat, Ashley pulang ke rumah dan pengsan di garajnya.
Menurut laporan Agensi, Ashley dikejarkan ke Hospital Universiti Kesihatan Arnett. Bagaimanapun, wanita itu tidak sedarkan diri dan akhirnya meninggal dunia akibat ketoksikan air (hyponatremia).
“Ashley mengalami bengkak otak, mereka tidak tahu apa puncanya dan tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk menurunkannya dan ia kelihatan tidak baik. Dia tidak sedarkan diri sehingga kematiannya,” kata abang Ashley, Devon Miller.
Devon memberitahu kematiannya mengejutkan keluarga. “Apabila mereka bercakap mengenai ketoksikan air, ia bagai tidak percaya adakah pernah terjadi perkara sebegini?” katanya.
“Seseorang berkata dia minum empat botol air dalam masa 20 minit. Maksud saya, purata air botol adalah seperti 16 auns (setengah liter), jadi itu adalah 64 auns (1.8 liter) yang dia minum dalam tempoh 20 minit. Itu setengah gelen. Itulah yang anda sepatutnya minum dalam satu hari,” tambahnya, lapor The Independent.
Sementara itu, pakar toksikologi A.S Dr. Blake Froberg memaklumkan punca kematian yang jarang berlaku ini lebih berkemungkinan terjadi ketika musim panas atau jika seseorang bekerja di luar atau kerap bersenam.
“Ada perkara tertentu yang boleh membuat seseorang lebih berisiko untuknya, tetapi perkara keseluruhan yang berlaku adalah badan mempunyai terlalu banyak air dan natrium tidak mencukupi di dalam badan anda,” jelasnya.
Bagaimanapun, ini bukan kes kematian pertama akibat ketoksikan air. Ketoksikan air boleh menyebabkan sawan, kerosakan otak, koma, dan kematian, dalam kes yang serius seperti kes Ashley.