Pasti ramai yang mempunyai haiwan peliharaan kucing dan anjing, dan memelihara haiwan itu bukan sekadar sebab dia comel.
Ada fungsi lain macam anjing yang bijak pandai ini, boleh diharap bila tuannya tiada di rumah.

Perkara biasa apabila setiap hari akan ada parcel yang dihantar di depan rumah bila kita membeli barangan dalam talian.
Namun, jika pelanggan tiada di rumah pekerja penghantaran pasti akan hubungi terlebih dahulu ataupun meletakkan barang itu di dalam kawasan rumah jika dia sudah biasa kenal pelanggan dan pasti alamatnya.
Seorang pekerja penghantaran terkejut baru-baru ini apabila melihat kecerdikan anjing peliharaan pelanggannya yang menyimpan parcel dengan baik bagi pihak tuannya.

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik, kelihatan pekerja penghantaran memberitahu melalui pesanan WhatsApp pada pelanggannya untuk menghantar barang yang dipesan.
Namun, difahamkan pelanggan itu tiada di rumah ketika barang dihantar. Dia kemudian meminta pekerja penghantaran tersebut untuk memberikan saja kepada anjingnya.
Walaupun pada permulaan pekerja tersebut seperti risau, tetapi pelanggan tersebut memberitahu anjingnya itu sudah dilatih untuk menyimpan parcel yang diterima.

Situasi itu membuatkan pekerja tersebut terkejut melihat kebijaksanaan haiwan tersebut yang terus menggonggong dan menyimpan parcel itu elok-elok ke dalam sangkar.
Banyak fungsi rupanya membela anjing ni, tak perlu risaulah sebab dia jaga parcel tu dengan baik untuk tuannya.