Pada 10 Februari lalu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan pelekat cukai jalan fizikal mereka.
Langkah itu, yang merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk mendigitalkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dilakukan secara berperingkat untuk kenderaan persendirian dan motosikal.

Menurut Bernama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia akan mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk pendigitalan sepenuhnya.
Tambahnya, kementerian belum menetapkan tarikh akhir peralihan penuh kepada cukai jalan digital, jadi pemilik kenderaan masih boleh memilih untuk terus menggunakan pelekat fizikal itu.

Menurut JPJ, kira-kira 30 peratus pemilik kenderaan sudah pun beralih kepada kaedah digital.
Jika anda ingin bertukar kepada kaedah digital, berikut ialah cara anda boleh bermula:
1. Untuk bertukar kepada format digital, anda perlu memuat turun aplikasi MyJPJ pada telefon pintar menerusi App Store atau Google Play, semasa pembaharuan cukai jalan yang seterusnya.

2. Selepas anda memuat turun aplikasi MyJPJ, daftar akaun baharu dan log masuk. Kemudian, perbaharui cukai jalan anda secara dalam talian atau di kaunter JPJ.

3. Setelah anda log masuk dan memperbaharui cukai jalan, profil anda pada aplikasi akan tertera butiran cukai jalan dan lesen memandu anda yang dikemas kini.

4. Aplikasi juga harus menunjukkan cukai jalan anda adalah aktif (berkuatkuasa).

Langkah yang mudah! Kini anda tidak perlu lagi berurusan dengan pelekat cukai jalan fizikal yang menjengkelkan.
Namun begitu, format digital ini bukan diwajibkan. Anda masih boleh mendapatkan pelekat cukai jalan dan lesen memandu fizikal dari JPJ sekiranya perlu.