SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya 10 mangsa terkorban dalam nahas pesawat sewa khas yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Bandar Elmina dalam kejadian pada jam 2:48 petang, 17 Ogos.
Pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantu dikatakan gagal dikawal sebelum terhempas di Bandar Elmina, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.48 petang.
Situasi di berhampiran kawasan pesawat terhempas di bandar Elmina, Shah Alam petang ini.
“Namun pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.
“Ketika terhempas, pesawat berkenaan dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing seorang individu dalam setiap kenderaan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.
Hussein berkata pada masa ini pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 10 mangsa telah terkorban.
Polis mengesahkan kejadian pesawat terhempas di bandar Elmina, Shah Alam petang ini – OCPD Shah Alam pic.twitter.com/gSzvkViXZJ
Pesawat malang berkenaan adalah jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) bernombor pendaftaran N28JV dengan kapasiti 8 orang penumpang, menurut kenyataan media Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
CAAM turut mengesahkan seramai enam penumpang dan dua kru berada dalam pesawat berkenaan, namun keadaan kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 9 Ogos mengklasifikasikan strain baru EG.5 atau varian ‘Eris’ yang di kesan di Amerika Syarikat dan China sebagai “varian dalam perhatian” tetapi berkata ia nampaknya tidak lebih mengancam kesihatan awam berbanding varian lain.
Varian yang cepat merebak, yang paling lazim di Amerika Syarikat dengan anggaran lebih daripada 17% kes, juga telah dikesan di China, Korea Selatan, Jepun, United Kingdom, Palestin dan Kanada serta beberapa negara lain.
“Secara kolektif, bukti yang ada tidak menunjukkan bahawa EG.5 mempunyai risiko kesihatan awam tambahan berbanding subvarian Omicron yang sedang beredar,” kata jurucakap WHO dalam penilaian risiko.
Penilaian yang lebih komprehensif tentang risiko yang ditimbulkan oleh EG.5 diperlukan, tambah WHO.
COVID-19 telah membunuh lebih 6.9 juta orang di seluruh dunia, dengan lebih 768 juta kes disahkan sejak virus itu muncul. WHO mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik pada Mac 2020 dan menamatkan status kecemasan global untuk COVID-19 pada Mei tahun ini.
Maria Van Kerkhove, pengarah teknikal WHO mengenai COVID-19, berkata EG.5 mempunyai peningkatan kebolehjangkitan tetapi tidak lebih teruk berbanding varian Omicron yang lain.
“Kami tidak mengesan perubahan dalam keterukan EG.5 berbanding subvarian Omicron yang telah beredar sejak lewat 2021,” katanya.
Gejala varian EG.5 tidak banyak berbeza dengan varian sebelum ini di mana pesakit akan mengalami selesema, hidung tersumbat, sakit kepala, keletihan, kerap bersin, sakit tekak dan batuk. Pesakit juga akan mengalami perubahan dalam deria bau dan rasa.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tedros Adhanom Ghebreyesus kesal kerana banyak negara tidak melaporkan data COVID-19 kepada WHO.
Beliau berkata hanya 11% telah melaporkan kemasukan ke hospital dan kemasukan ke ICU berkaitan virus itu.
Sebagai tindak balas, WHO mengeluarkan satu set cadangan tetap untuk COVID-19, di mana akan menggesa negara untuk terus melaporkan data COVID-19, terutamanya data kematian dan data morbiditi untuk terus menawarkan vaksinasi.
Van Kerkhove berkata ketiadaan data dari banyak negara telah menghalang usaha untuk memerangi virus itu.
“Kira-kira setahun yang lalu, kami berada dalam keadaan yang lebih baik untuk sama ada menjangka atau bertindak atau menjadi lebih tangkas.
“Dan kini kelewatan dalam keupayaan kami untuk melakukan perkara itu semakin meningkat. Dan keupayaan kami untuk bertindak semakin berkurangan,” kata Van Kerkhove.
Tinjauan baru-baru ini oleh platform berita pilihan raya MyUndi mendapati isu utama yang dibimbangkan pengundi Malaysia adalah peluang pekerjaan dan kestabilan ekonomi negara.
19 peratus responden dari semua enam negeri berkata isu ini mesti ditangani oleh calon-calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan masing-masing.
Isu-isu lain termasuk pembangunan kawasan (18.8%), kebajikan (17.5%), infrastruktur dan kemudahan awam (16.7%), keperluan asas (14.1%), serta pengurusan sampah dan sisa pepejal (13.8%).
Gambar Bernama
Tinjauan dikenali Suara Kita, bertujuan untuk mendapatkan suara rakyat Malaysia berkenaan pendapat mereka dalam pilihan raya negeri di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang telah rasmi diumumkan pada 12 Ogos.
Sehingga 10 Ogos, 2,674 responden telah membuat tinjauan dengan pengundi Selangor membentuk majoriti responden kaji selidik berkenaaan sebanyak 43.9 peratus.
Dalam tinjauan itu, 94% responden berkata mereka akan pulang ke negeri asal masing-masing untuk mengundi dalam pilihan raya negeri.
Gambar Borneo Post Online
Di Kedah, hampir separuh daripada responden mahu kerajaan negeri yang dipilih mereka mengambil tindakan segera dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dengan membina kemudahan awam yang lebih baik.
Bagi pengundi Kelantan pula, 57.3% daripada mereka percaya kerajaan sebelum ini tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam mentadbir negeri, dan mahukan perubahan dalam pentadbiran.
Sementara itu, 45% pengundi Negeri Sembilan berkongsi keutamaan terhadap kebajikan rakyat telah menunjukkan prestasi yang lebih baik oleh kerajaan negeri mereka.
52 peratus pengundi Selangor percaya adalah menjadi keutamaan bagi setiap calon dari kalangan anak jati negeri itu, dan seterusnya menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Sementara di Terengganu, 59.2 peratus pengundi berkata ciri terbaik calon yang bertanding dalam pilihan raya negeri ialah prestasi kerja yang cemerlang.
Selain tinjauan Suara Kita, MyUndi berfungsi sebagai direktori untuk berita pilihan raya terkini, tajuk utama, maklumat grafik interaktif, video, maklumat tentang calon dan pelbagai lagi.
Dibawakan oleh REV Media Group, portal itu menampilkan laporan berita terkini daripada akhbar terkemuka Malaysia — Harian Metro, Berita Harian, Free Malaysia Today, dan New Straits Times, serta laporan dan analisis daripada TV3 dan 8TV.
Anda boleh mengakses portal MyUndi melalui telefon, tablet atau komputer anda pada bila-bila masa, di mana sahaja anda berada.
Isu berkenaan bilik sewa yang kecil dan sempit diwujudkan daripada ‘partition’ tambahan sudah lama dibincangkan dalam kalangan netizen. Bilik sempit dengan bayaran sewa yang tidak masuk akal bukan perkara baru.
Tindakan yang bukan sahaja tidak munasabah, malahan mencerminkan sifat tamak pemilik rumah sewa yang hanya mahu mengaut keuntungan.
Terbaharu, satu iklan bilik sewa di Ipoh, Perak menimbulkan perbincangan hangat para netizen di media sosial apabila sebuah ‘bilik’ yang hendak disewa kepada orang ramai merupakan bahagian dapur yang telah diubah suai.
Sementara itu, tindakan menambah partition di bilik bagi membina bilik baharu adalah dilarang di Kuala Lumpur.
Terdapat pekeliling yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur yang menyatakan sekatan dinding dalaman untuk dijadikan bilik dalam petak kediaman adalah tidak dibenarkan.
Lepas ni kalau landlord jenis kapitalis buat partitions bilik kecil sebab nak sewa banyak bilik.
Pekeliling itu telah berkuatkuasa sejak 1 Ogos lalu. Jadi, jika anda ada terkena dengan tuan rumah yang macam ini di Kuala Lumpur, boleh laporkan sahaja kepada pihak berkuasa.
Hiburan dalam penerbangan membawa makna baharu apabila beberapa selebriti melayan penumpang dengan ‘konsert’ mini melalui sistem PA semasa penerbangan AirAsia baru-baru ini.
Komposer, penerbit, dan pemuzik yang juga pemenang Anugerah Grammy David Foster, diiringi penyanyi Michael Bolton, Peabo Bryson, Katherine McPhee, Loren Allred, dan penyanyi tersohor ikon Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza berada dalam penerbangan ke Singapura baru-baru ini untuk konsert amal ‘sold-out’ David Foster and Friends.
Mengambil alih sistem PA, David Foster melayan para penumpang dengan menyerahkannya kepada rakan artis di dalam pesawat, untuk menyanyikan sedikit daripada lagu popular mereka.
Dalam video Instagram yang disiarkan oleh kru penerbangan AirAsia Victor Wong, penumpang dihiburkan dengan persembahan hits, termasuk A Whole New World, I Have Nothing, When A Man Loves A Woman, I Swear, dan Never Enough.
Beberapa penumpang boleh dilihat merakam peristiwa yang jarang berlaku itu melalui telefon pintar masing-masing.
Menjelang penghujung video, David Foster mengucapkan terima kasih kepada AirAsia dan berjalan menuju ke bahagian belakang pesawat untuk mengucapkan ‘hai’ kepada penumpang lain.
KUALA LUMPUR: Pentadbiran kerajaan di enam negeri yang terbabit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 pada 12 Ogos 2023 kekal dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menguasai tiga negeri dan Perikatan Nasional (PN) juga tiga negeri.
Seperti menepati ramalan, PH-BN terus menguasai Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, manakala PN terus mempertahankan Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Di Selangor, berdasarkan statistik rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 33 daripada 54 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN (21).
Di Pulau Pinang, PH-BN menepati ramalan apabila berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi majoriti 29 daripada 40 kerusi DUN, manakala PN (11).
Dengan kejayaan itu, kerajaan negeri sebelum ini terus kekal mentadbir negeri berkenaan buat penggal keempat berturut-turut.
Di Negeri Sembilan, gabungan PH-BN mengekalkan penguasaan selepas memperoleh kemenangan majoriti 31 daripada 36 kerusi, manakala PN (5).
Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan, berdasarkan keputusan yang diperolehi pada jam 11 malam, tiada mana-mana parti yang berjaya memperolehi majoriti 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan.
Terengganu mencipta sejarah apabila Tan Sri Abdul Ghani Salleh, mengumumkan PN memenangi kesemua 32 kerusi DUN serta Parlimen Kuala Terengganu.
Di Kelantan, PN melalui Pas membentuk kerajaan negeri selepas menang 43 daripada 45 kerusi manakala PH-BN (dua kerusi).
Manakala di Kedah, PN juga melalui Pas menang besar apabila berjaya memperoleh 33 kerusi DUN manakala PH hanya mendapat tiga kerusi.
Gambar Hiasan (Suruhanjaya Pilihan Raya)
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta gabungan PH-BN menghormati keputusan PRN, yang menyaksikan kedudukan ‘status quo’ di enam negeri terbabit.
Beliau berkata keputusan itu diperoleh melalui sistem demokrasi, dan pilihan rakyat harus dihormati dengan baik, dan sebarang masalah perundangan yang timbul harus dibuat mengikut jalur hukum dan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tambahnya, apa jua keputusan yang diperolehi, semua parti baik menang atau kalah, harus kembali mengukuhkan silaturrahim, menumpu perhatian untuk mengangkat martabat negara, dan terus membela nasib rakyat.
“Bagi pihak Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Persekutuan, yang terus kekal dan kukuh selepas keputusan PRN ini, akan terus berkhidmat. Kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa, tetapi lebih tekun dan bekerja keras supaya Malaysia dapat mencipta kejayaan yang dibanggakan,” katanya.
Perdana Menteri menzahirkan rasa kesyukuran kerana proses PRN di enam negeri, termasuk PRK di Kuala Terengganu berjalan dengan aman dan teratur, dan merakamkan penghargaan kepada pengurusan dan petugas SPR, serta pihak Polis Diraja Malaysia.
Negara Jepun terkenal dengan kecanggihan teknologi dan inovasi, tidak mengira dalam bidang apa di samping mengekalkan budaya dan tradisi.
Tidak hairanlan mengapa negara Jepun lebih maju ke depan dengan inovasi baru dan canggih sehingga ramai orang dari negara asing yang mahu mencuba produk canggih keluaran mereka.
Contohnya baru-baru ini, sebuah video TikTok memaparkan seorang individu membancuh susu formula berbentuk kiub di dalam botol susu bayi telah menarik perhatian ramai.
Kini, ada pengusaha produk di Jepun telah mencipta susu formula berbentuk kiub yang memudahkan kerja ibu bapa apabila mereka mengembara bersama bayi atau anak kecil.
Perkongsian oleh pengguna TikTok bernama @noorusenpai memaparkan seorang individu yang berada di dalam kereta mengeluarkan sepeket kiub daripada sebuah kotak produk bertulisan Jepun dan memasukkan kiub berupa susu formula ke dalam botol susu.
Tiga kiub kemudian dibancuh dengan sukatan air panas dan seterusnya air sejuk.
Susu formula baru itu diolah dalam bentuk kiub untuk memudahkan ibu bapa terutama bagi mereka yang ingin mengembara dalam perjalanan jarak jauh atau melancong ke luar negara.
Tidak perlu keluarkan susu formula berbentuk serbuk yang biasa senang tertumpah dan bersepah. Jadi, inovasi dari negara Jepun ini amat membantu para ibu bapa.
Tak pernah terfikir pula susu formula boleh berbentuk kiub yang memudahkan kerja. Orang Malaysia mungkin boleh dapat inspirasi buat kiub susu formula begini dengan keluaran negara sendiri.
KOTA BHARU: Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan isu air dihadapi rakyat negeri itu terutama di kawasan kampung bukannya satu masalah besar untuk PAS terus menerajui kerajaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, ini berikutan di kampung mereka mempunyai pilihan apabila boleh membina air telaga tiub atau perigi.
Katanya, penduduk kampung faham dengan masalah air itu apabila mereka mencari jalan penyelesaian sendiri.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. (Gambar FMT)
“Kita juga menjelaskan dengan cara yang baik apa masalahnya. Macam isu air kita cerita (masyarakat), jadi setakat ini berdasarkan pengalaman kita sendiri berjumpa orang ramai, mereka boleh faham.
“Tetapi yang jadi kecoh sebab ini politik dan yang sensasi politik. Benda kecil pun jadi besar. Itu masalahnya.
“Orang kampung sendiri dia faham dan kadang-kadang kes air dia selesai sendiri. Contoh kalau tidak ada air kerajaan, dia bina telaga tiub, gali perigi. Masyarakat cari penyelesaian sendiri. Sebab itu bagi di kampung ini bukan perkara besar, bukan isu yang besar masalah air,” katanya.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS, mengakui ada tempat memang ada masalah air dan ada sesetengah tempat akan dihantar bekalan air dengan lori tangki.
“Ada tempat kita selesai masalah air, cuma mungkin kelemahan kita ini kurang menyampaikan apa yang kita buat kepada masyarakat.
“Contoh, di Teluk Mesira, Bachok yang mengalami masalah air sebelum saya jadi wakil rakyat. Alhamdulillah sekarang air sudah selesai apabila kita buat loji rawatan air mini.
“Kita buat khusus di kawasan Teluk Mesira dengan menggunakan teknologi yang dicipta oleh anak Kelantan sendiri dia panggil teknologi oksigen untuk membersihkan air. Saya tengok masa kita buat, air boleh minum terus dari paip kerana air itu bersih,” katanya.
Gambar Berita Harian
Beliau berkata, pencapaian itu tidak disebar dengan secara meluas. Apa yang positif yang dibuat kerajaan tidak diambil, dicari yang negatif. Itu jadi masalah dan sekarang kita berdepan dengan serangan politik bukan isu sebenar.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bimbang dengan kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Menteri Besar Kelantan itu.
“Dalam setiap lawatan ke Kelantan, saya terpaksa berhadapan dengan aduan penduduk mengenai bekalan air di kawasan mereka dan keadaan ini sudah menjadi lebih teruk kebelakangan ini,” katanya.
Tegasnya, kerajaan negeri sepatutnya menggunakan pendekatan yang lebih holistik dan proaktif bagi menangani isu keperluan asas rakyat dan bukannya membiarkan ia menjadi tanggungjawab rakyat itu sendiri.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad. (Gambar FMT)
“Perlu saya ingatkan bahawa sebarang pembinaan telaga untuk tujuan pengambilan air bawah tanah harus mematuhi keperluan undang-undang dan garis panduan pihak berkuasa kerana risiko kandungan logam yang tinggi yang membahayakan kesihatan,” kata Nik Nazmi.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata kenyataan Mohd Amar yang membayangkan kerajaan PAS lebih rela membiarkan rakyat menanggung beban kewangan menggali air bawah tanah yang akan membahayakan kesihatan sendiri amatlah tidak patut bagi seorang wakil pegawai tinggi kerajaan dan berpendidikan tinggi dalam agama.
Nik Nazmi turut mengulangi komitmen kerajaan pusat untuk menyelesaikan isu bekalan air di negeri itu sebagaimana kelulusan suntikan dana jangka masa pendek dan reformasi struktur pengendali air di Kelantan.
Seorang pengasuh wanita tanpa belas kasihan sanggup menendang, menampar dan menarik rambut seorang kanak-kanak di sebuah Taska di Luyang, Kota Kinabalu, Sabah.
Lebih memilukan, rakaman kamera rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu ditampar dan dipukul menggunakan pembaris di bahagian muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan.
Rakaman CCTV mengenai kejadian itu tular di media sosial.
Bapa kepada kanak-kanak terbabit yang enggan dikenali berkata, dia sendiri tidak sanggup melihat rakaman video daripada CCTV memaparkan anaknya didera.
“Saya sendiri tidak sanggup lihat rakaman video daripada CCTV anak saya ditendang dan ditampar di bahagian muka dan kepala. Ibu bapa mana tidak sedih anak diperlakukan sedemikian.
“Malah lebih memilukan saya, ketika hendak makan, anak saya turut ditampar dan dipukul guna pembaris berkali-kali,” katanya dalam nada sebak kepada Harian Metro.
Bapa kanak-kanak itu turut mendakwa sudah dua kali anaknya menjadi mangsa dera di taska berkenaan sejak Mac lalu.
Menurutnya, mereka berasa ada yang tidak kena selepas isterinya mengusap ubun-ubun anaknya dan terkejut melihat ada kesan luka di kepala anaknya.
Katanya, dia bertanya kepada pihak taska namun mereka tidak dapat memberi jawapan mengenai kesan luka itu lantas meminta untuk memeriksa CCTV di taska berkenaan sebelum melihat rakaman anaknya didera.
Bapa kepada kanak-kanak itu sudah membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Aru untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, anaknya kini mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi mengenal pasti kecederaan yang dialami kanak-kanak itu.
Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah pada 9 Ogos, beliau dilaporkan berkata, pihaknya menerima tiga laporan kes berhubung kejadian dera kanak-kanak di taska berkenaan.
Katanya, satu laporan dibuat oleh bapa kanak-kanak terbabit manakala dua lagi diterima daripada pengusaha taska serta pengasuh berusia 27 tahun yang mendakwa dikasari.
“Dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan adalah ke atas seorang lelaki yang didakwa mengasari dan memukul pengasuh taska berkenaan.
Kehadiran kucing popular bernama Oyen, yang berkawan dengan tikus gergasi ‘capybara’ telah melonjakkan kedatangan pengunjung ke Zoo Negara hingga melebihi 3,000 orang pada hujung minggu.
Naib Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata Oyen kini menjadi ‘Star of Zoo Negara’ kerana mempunyai populariti luar biasa susulan keunikan persahabatannya dengan capybara sejak tiga tahun lalu.
“Setiap hari 95 peratus daripada pengunjung yang datang hanya mahu melihat Oyen. Oyen sangat popular, sebab itu saya memanggilnya ‘The Star of Zoo Negara’, malah kedatangan pengunjung juga meningkat dua kali ganda terutamanya pada hujung minggu,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pemasangan papan tanda rasmi Oyen di hadapan kepungan tikus gergasi capybara di zoo berkenaan sempena Hari Kucing Sedunia yang disambut pada 8 Ogos setiap tahun.
Menurut Rosly papan tanda baharu itu menggantikan papan tanda sebelum ini yang rosak akibat ditendang pengunjung tanpa sengaja.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berhasrat untuk mencarikan pasangan buat Oyen agar kucing itu mempunyai anak.
“Kami sedang berusaha untuk mencari pasangan yang sama jenis dan seusia dengan Oyen. Jadi, jika Oyen sudah tiada, akan ada anaknya nanti di sini untuk tatapan pengunjung,” katanya.
Rosly berkata pihak zoo juga akan bertindak menjaga kebajikan kucing berkenaan termasuk memberi makanan bernutrisi selain memantau tahap kesihatannya.
“Berbanding dahulu, Oyen kini sudah jinak dan boleh didekati. Tujuan kami mahu rapat dengan Oyen supaya jika satu hari nanti Oyen jatuh sakit, mudah untuk kami pegang dan merawatnya,” katanya.
Persahabatan kedua-dua spesies ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan warga tempatan malahan sudah menjadi bualan hangat di media sosial luar negara.
Oyen kini setaraf selebriti popular kerana berjaya menarik ramai pengunjung untuk ke Zoo Negara demi melihatnya beraksi comel bersama rakan capybara, seterusnya berkunjung melihat pelbagai haiwan lain.