Hiburan dalam penerbangan membawa makna baharu apabila beberapa selebriti melayan penumpang dengan ‘konsert’ mini melalui sistem PA semasa penerbangan AirAsia baru-baru ini.
Komposer, penerbit, dan pemuzik yang juga pemenang Anugerah Grammy David Foster, diiringi penyanyi Michael Bolton, Peabo Bryson, Katherine McPhee, Loren Allred, dan penyanyi tersohor ikon Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza berada dalam penerbangan ke Singapura baru-baru ini untuk konsert amal ‘sold-out’ David Foster and Friends.

Kumpulan selebriti itu baru sahaja menamatkan persembahan sama di Mega Star Arena di Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu.

Mengambil alih sistem PA, David Foster melayan para penumpang dengan menyerahkannya kepada rakan artis di dalam pesawat, untuk menyanyikan sedikit daripada lagu popular mereka.

Dalam video Instagram yang disiarkan oleh kru penerbangan AirAsia Victor Wong, penumpang dihiburkan dengan persembahan hits, termasuk A Whole New World, I Have Nothing, When A Man Loves A Woman, I Swear, dan Never Enough.

Siti Nurhaliza turut menyanyikan lagu lagu popularnya, Aku Cinta Padamu yang mendapat tepukan gemuruh dalam penerbangan itu.

Beberapa penumpang boleh dilihat merakam peristiwa yang jarang berlaku itu melalui telefon pintar masing-masing.
Menjelang penghujung video, David Foster mengucapkan terima kasih kepada AirAsia dan berjalan menuju ke bahagian belakang pesawat untuk mengucapkan ‘hai’ kepada penumpang lain.