Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 9 Ogos mengklasifikasikan strain baru EG.5 atau varian ‘Eris’ yang di kesan di Amerika Syarikat dan China sebagai “varian dalam perhatian” tetapi berkata ia nampaknya tidak lebih mengancam kesihatan awam berbanding varian lain.
Varian yang cepat merebak, yang paling lazim di Amerika Syarikat dengan anggaran lebih daripada 17% kes, juga telah dikesan di China, Korea Selatan, Jepun, United Kingdom, Palestin dan Kanada serta beberapa negara lain.
“Secara kolektif, bukti yang ada tidak menunjukkan bahawa EG.5 mempunyai risiko kesihatan awam tambahan berbanding subvarian Omicron yang sedang beredar,” kata jurucakap WHO dalam penilaian risiko.
Penilaian yang lebih komprehensif tentang risiko yang ditimbulkan oleh EG.5 diperlukan, tambah WHO.
COVID-19 telah membunuh lebih 6.9 juta orang di seluruh dunia, dengan lebih 768 juta kes disahkan sejak virus itu muncul. WHO mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik pada Mac 2020 dan menamatkan status kecemasan global untuk COVID-19 pada Mei tahun ini.
Maria Van Kerkhove, pengarah teknikal WHO mengenai COVID-19, berkata EG.5 mempunyai peningkatan kebolehjangkitan tetapi tidak lebih teruk berbanding varian Omicron yang lain.
“Kami tidak mengesan perubahan dalam keterukan EG.5 berbanding subvarian Omicron yang telah beredar sejak lewat 2021,” katanya.
Gejala varian EG.5 tidak banyak berbeza dengan varian sebelum ini di mana pesakit akan mengalami selesema, hidung tersumbat, sakit kepala, keletihan, kerap bersin, sakit tekak dan batuk. Pesakit juga akan mengalami perubahan dalam deria bau dan rasa.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tedros Adhanom Ghebreyesus kesal kerana banyak negara tidak melaporkan data COVID-19 kepada WHO.
Beliau berkata hanya 11% telah melaporkan kemasukan ke hospital dan kemasukan ke ICU berkaitan virus itu.
Sebagai tindak balas, WHO mengeluarkan satu set cadangan tetap untuk COVID-19, di mana akan menggesa negara untuk terus melaporkan data COVID-19, terutamanya data kematian dan data morbiditi untuk terus menawarkan vaksinasi.
Van Kerkhove berkata ketiadaan data dari banyak negara telah menghalang usaha untuk memerangi virus itu.
“Kira-kira setahun yang lalu, kami berada dalam keadaan yang lebih baik untuk sama ada menjangka atau bertindak atau menjadi lebih tangkas.
“Dan kini kelewatan dalam keupayaan kami untuk melakukan perkara itu semakin meningkat. Dan keupayaan kami untuk bertindak semakin berkurangan,” kata Van Kerkhove.