KOTA BHARU: Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan isu air dihadapi rakyat negeri itu terutama di kawasan kampung bukannya satu masalah besar untuk PAS terus menerajui kerajaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, ini berikutan di kampung mereka mempunyai pilihan apabila boleh membina air telaga tiub atau perigi.
Katanya, penduduk kampung faham dengan masalah air itu apabila mereka mencari jalan penyelesaian sendiri.

“Kita juga menjelaskan dengan cara yang baik apa masalahnya. Macam isu air kita cerita (masyarakat), jadi setakat ini berdasarkan pengalaman kita sendiri berjumpa orang ramai, mereka boleh faham.
“Tetapi yang jadi kecoh sebab ini politik dan yang sensasi politik. Benda kecil pun jadi besar. Itu masalahnya.
“Orang kampung sendiri dia faham dan kadang-kadang kes air dia selesai sendiri. Contoh kalau tidak ada air kerajaan, dia bina telaga tiub, gali perigi. Masyarakat cari penyelesaian sendiri. Sebab itu bagi di kampung ini bukan perkara besar, bukan isu yang besar masalah air,” katanya.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS, mengakui ada tempat memang ada masalah air dan ada sesetengah tempat akan dihantar bekalan air dengan lori tangki.
“Ada tempat kita selesai masalah air, cuma mungkin kelemahan kita ini kurang menyampaikan apa yang kita buat kepada masyarakat.
“Contoh, di Teluk Mesira, Bachok yang mengalami masalah air sebelum saya jadi wakil rakyat. Alhamdulillah sekarang air sudah selesai apabila kita buat loji rawatan air mini.
“Kita buat khusus di kawasan Teluk Mesira dengan menggunakan teknologi yang dicipta oleh anak Kelantan sendiri dia panggil teknologi oksigen untuk membersihkan air. Saya tengok masa kita buat, air boleh minum terus dari paip kerana air itu bersih,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu tidak disebar dengan secara meluas. Apa yang positif yang dibuat kerajaan tidak diambil, dicari yang negatif. Itu jadi masalah dan sekarang kita berdepan dengan serangan politik bukan isu sebenar.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bimbang dengan kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Menteri Besar Kelantan itu.
“Dalam setiap lawatan ke Kelantan, saya terpaksa berhadapan dengan aduan penduduk mengenai bekalan air di kawasan mereka dan keadaan ini sudah menjadi lebih teruk kebelakangan ini,” katanya.
Tegasnya, kerajaan negeri sepatutnya menggunakan pendekatan yang lebih holistik dan proaktif bagi menangani isu keperluan asas rakyat dan bukannya membiarkan ia menjadi tanggungjawab rakyat itu sendiri.

“Perlu saya ingatkan bahawa sebarang pembinaan telaga untuk tujuan pengambilan air bawah tanah harus mematuhi keperluan undang-undang dan garis panduan pihak berkuasa kerana risiko kandungan logam yang tinggi yang membahayakan kesihatan,” kata Nik Nazmi.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata kenyataan Mohd Amar yang membayangkan kerajaan PAS lebih rela membiarkan rakyat menanggung beban kewangan menggali air bawah tanah yang akan membahayakan kesihatan sendiri amatlah tidak patut bagi seorang wakil pegawai tinggi kerajaan dan berpendidikan tinggi dalam agama.
Nik Nazmi turut mengulangi komitmen kerajaan pusat untuk menyelesaikan isu bekalan air di negeri itu sebagaimana kelulusan suntikan dana jangka masa pendek dan reformasi struktur pengendali air di Kelantan.