Tular video menyentuh hati di TikTok baru-baru ini yang memaparkan seorang guru prihatin dan ketabahan murid orang kelainan upaya (OKU) untuk menamatkan larian 100 meter di trek mendapat perhatian ramai.
Dikongsi oleh pengguna TikTok @faridkamaruddin18, video berdurasi 48 saat itu telah mendapat lebih 635,000 tontonan di platform berkenaan.
Dalam video yang dirakam di sebuah stadium, kelihatan sekumpulan pelajar sekolah mengambil bahagian dalam larian trek 100 meter. Acara tersebut merupakan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut 2023.
Salah seorang pelajar yang mengambil bahagian dalam perlumbaan itu adalah seorang yang kudung kaki kirinya, dan berlari dengan bantuan tongkat ketiak bersama rakan-rakannya yang lain.
Walaupun berada dalam keadaan kurang upaya, pelajar itu tabah dan terus berlari, dengan berazam untuk menamatkan perlumbaan seperti rakan-rakannya yang lain.
Di pertengahan larian, pelajar itu boleh dilihat bergelut untuk mengekalkan rentak dan ketika itulah gurunya memberi sokongan kepadanya dari tepi trek.
Guru ini kemudian berlari bersama pelajarnya itu sambil memberinya kata-kata semangat dan memotivasinya untuk menamatkan perlumbaan.
Dia berbuat demikian sehingga mereka bersama-sama sampai ke garisan penamat yang mana kemudian meraikan pencapaian pelajarnya dan memeluknya.
Ramai yang tersentuh dengan tindakan guru itu dan memuji kesungguhan pelajar itu menamatkan perlumbaan.
Sementara itu, pelajar OKU berkenaan, Muhammad Aqil Naufal Zahiran, 11 tahun yang dihubungi Harian Metro berkata, meskipun menjadi peserta terakhir yang sampai ke garisan penamat, namun dia bersemangat kerana mendapat dorongan gurunya, Cikgu Intan Zulaikha Jusoh.
“Lega dan tak sangka apabila dapat juga ke garisan penamat. Gembira rasanya terutama apabila cikgu datang peluk dan ucap tahniah kepada saya,” kata anak yatim ini yang kudung kaki kiri sejak 2015 akibat jangkitan kuman.