Seorang pemilik rumah di Atlanta, Georgia, berasa bosan dan sedih memerhatikan pekerja penghantaran melempar bungkusan yang dipesan ke pintu rumahnya dengan tanpa rasa bertanggungjawab.
Semacam barangan yang dibelinya tidak pernah bernilai.

Walaupun hatinya agak sakit dan mahu menegur mereka, dia mendapat idea untuk membalasnya dengan menggunakan kebaikan bagi mengatasi perkara tersebut.
Pengguna Instagram @OrangeKing26 pada mulanya merakam video yang tular dan memuat naiknya di laman media sosial itu dengan menunjukkan beberapa klip pekerja penghantaran yang tertekan telah melambung bungkusan ke arah pintu hadapan rumahnya.

“Saya ada isu dengan pekerja UPS dan FedEx yang membuang bungkusan saya apabila mereka menghantarnya dan ia kelihatan sangat mengecewakan melihat wajah mereka menghantar bungkusan saya,” katanya.
“Jadi daripada memadam api dengan api, saya memutuskan untuk melakukan sesuatu yang baik untuk mereka dengan menunjukkan saya lebih memahami situasi yang dihadapi…dan ia berjaya,” kata @OrangeKing26.

Lelaki ini telah meletakkan kotak bekalan berisi air sejuk dan keropok di anjung rumahnya supaya mereka boleh mengambilnya secara percuma.
Dengan harapan semua pekerja penghantaran itu dapat mengisi semula emosi mereka yang lesu dengan semangat kegembiraan dan ia terus menjadi segar dengan sedikit oleh-oleh yang diberinya, selepas terpaksa bekerja dalam keadaan cuaca yang panas.

Keadaan serta-merta berubah selepas itu, bila mereka tidak lagi marah-marah malahan lebih ceria semasa menghantar bungkusan apabila mendapat air sejuk dan keropok percuma.

Satu siri klip menunjukkan pekerja itu kini lebih berhati-hati semasa menghantar bungkusan.

Sehinggakan ada yang tersenyum dan mengucapkan “terima kasih” kepada kamera CCTV yang diletakkan di loceng pintu.

Memang tidak rugi apabila seseorang melakukan kebaikan terhadap seorang yang lain, walaupun kadangkala orang itu sebelum ini telah menyakitkan hati kita.
Tonton video di sini.