Mayur Shelke menerima pujian dan digelar wira sebenar yang berani mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.
Pada hari kejadian, kanak-kanak itu sedang memimpin ibunya yang buta apabila secara tiba-tiba dia telah terjatuh ke landasan kereta api di Stesen Keretapi Vangani di Thane, India.
Rakaman CCTV menunjukkan budak lelaki itu berjalan di sepanjang platform bersama ibunya yang OKU cacat penglihatan.
Ketika mereka menghampiri trek untuk melihat kereta api yang akan tiba, budak lelaki itu tiba-tiba terjatuh dari platform.
Ibunya kelihatan terpinga-pinga dan terkejut sambil tercari-cari anaknya ketika kereta api dilihat semakin menghampiri dan kanak-kanak itu menjerit cuba bergegas keluar dari landasan.
Namun syukur, jeritan cemas kedua ibu dan anak ini didengari pekerja kereta api Mayur Shelke yang kemudian melihat budak itu telah terjatuh ke landasan, dan tanpa berfikir panjang dengan pantas berlari ke arahnya.
Sambil memecut menuruni trek, dia segera merangkul budak itu dan menolaknya semula ke atas platform.
Lelaki itu kemudian berjaya menarik dirinya ke platform beberapa saat sebelum kereta api berlalu laju, lantas dengan penuh kesyukuran telah menyelamatkan mereka berdua daripada kejadian membabitkan nyawa yang tidak diingini.
Mereka dibawa pergi ke tempat yang selamat oleh orang ramai yang turut berlari ke platform itu untuk membantu.
Mujur, tiada siapa yang cedera dalam kejadian hampir tragis itu.
Kisah Mayur Shelke menjadi wira telah mendapat perhatian Kementerian Keretapi India kerana keberaniannya. Insiden itu berlaku beberapa tahun lalu, tetapi telah menjadi tular semula pada bulan Mac tahun ini selepas bekas pemain kriket India VVS Laxman memuat naik rakaman CCTV itu di platform X.
Kementerian Keretapi India telah mengumumkan hadiah wang tunai untuk Mayur kerana keberaniannya, namun dia telah mendermakan sebahagian daripadanya untuk pendidikan kanak-kanak itu.
“Saya mendapat tahu bahawa budak itu dari latar belakang miskin dan mereka tidak mampu untuk memberinya pendidikan. Memandangkan saya menyelamatkan budak itu, saya memutuskan untuk menderma separuh daripada wang anugerah untuk masa depannya yang cerah,” kata Mayur Shelke.
Tonton video di sini.