Atlet berkumpulan Korea Selatan dalam acara luncur kasut roda 3 kilometer (km) terpaksa berpuas hati dengan pingat perak sebaik tamat perlumbaan akhir yang mencuri perhatian di temasya Sukan Asia 2023.
Pelumba akhir, Jung Cheol-won dilaporkan tewas dengan perbezaan masa 0.01 saat kepada pelumba Taiwan, Huang Yu-lin apabila meraikan kemenangan terlalu awal.
Atlet terbabit dilihat berdiri sambil meraikan kedudukannya yang berada di hadapan, sekali gus membolehkan pesaingnya melunjurkan kaki ke arah garisan penamat.

Berdasarkan catatan akhir, kontinjen daripada Korea Selatan mencatatkan masa 4:05:702 sementara lawan mereka merekodkan masa perlumbaan 4:05:692.
Perbezaan berkenaan menyaksikan atlet Korea Selatan, iaitu Cheol-won, Choi In-ho dan Choi Gwang-ho gagal membawa pulang pingat emas.
Cheol-won mengakui dirinya sudah melakukan kesilapan sehingga merugikan pasukannya serta negaranya dalam acara itu, lapor Yonhap News.
“Saya meminta maaf kepada rakan sepasukan serta penyokong yang tidak berhenti memberikan sorakan kepada kami. Kami sudah berusaha keras dengan sedaya upaya, tetapi ini adalah salah saya,” katanya.

Kegagalan untuk muncul sebagai pemenang pingat emas menyaksikan ketiga-tiga wakil Korea Selatan itu terpaksa menjalani latihan ketenteraan mandatori.
Bagaimanapun, ia sama sekali tidak memberi kesan terhadap jumlah pengumpulan pingat buat Korea Selatan yang berjaya meraih 42 pingat emas, 59 perak dan 89 gangsa secara keseluruhan di tempat ketiga pada akhir temasya.
Sukan Asia Hangzhou 2022 melabuhkan tirainya pada Ahad, 8 Oktober dengan menyaksikan China muncul juara buat kali ke-11 berturut-turut dengan pungutan 201 pingat emas. Jepun yang menduduki tempat kedua dengan 52 emas akan menjadi tuan rumah seterusnya di Aichi-Nagoya pada 2026.