Pada 4 Oktober lalu, TikTok Indonesia membuat keputusan rasmi untuk menamatkan urus niaga di pasaran e-dagangnya, TikTok Shop, untuk mematuhi peraturan tempatan baharu.
Menurut CNBC, langkah itu dibuat selepas Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa diadakan peraturan di media sosial. Beliau berkata kemasukan platform sedemikian telah menyumbang kepada penurunan jualan untuk perniagaan domestik dengan kebanjiran pasaran import asing.
Kementerian Perdagangan Indonesia telah menetapkan tarikh akhir seminggu untuk TikTok menjadi aplikasi kendiri, tanpa sebarang ciri e-dagang, atau ditutup. TikTok membalas dalam satu kenyataan dengan mengatakan bahawa keutamaan mereka adalah untuk terus mematuhi peraturan dan undang-undang tempatan.
“Oleh itu, kami tidak lagi akan menyediakan transaksi e-dagang di TikTok Shop Indonesia menjelang 17:00 GMT +7, 4 Oktober, dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan di masa hadapan,” kata TikTok.
Ia dinyatakan dalam artikel oleh The New York Times bahawa Indonesia adalah pasaran kedua terbesar TikTok di dunia, dengan kira-kira 125 juta pengguna.
Pada hari Sabtu, 7 Oktober, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan Malaysia akan meneliti langkah pengharaman yang diambil oleh kerajaan Indonesia.
Bagaimanapun, menurut Bernama, Fahmi berkata pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang melahirkan kebimbangan mengenai tindakan itu. Pada masa sama, beberapa kedai besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga bagi produk yang dijual melalui platform tersebut.
“Ramai rakyat Malaysia menggunakan platform TikTok Shop untuk menjual barangan, jadi saya akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kementerian melihat asas tindakan yang diambil oleh kerajaan Indonesia.
“Saya rasa TikTok perlu tampil memberi penjelasan, kerana antara sebab TikTok Shop diharamkan di Indonesia adalah kerana isu harga pemangsa yang mengancam usahawan tempatan di Indonesia,” kata Fahmi.
Selain itu, Menteri itu juga menyatakan TikTok perlu memberikan penjelasan mengenai isu perlindungan data peribadi yang menjadi kebimbangan orang ramai ketika membeli-belah di platform tersebut.
“Saya rasa semua platform media sosial akan mengkaji gelagat pengguna, bermula daripada perkara yang kita suka, perkara yang kita kongsi, perkara yang kita beli dan perkara yang kita tonton.
“Jadi ada beberapa isu yang perlu diteliti oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD) dan SKMM terutama berkaitan aspek kepenggunaan atau perlindungan data peribadi.
“Oleh itu, saya akan menghubungi TikTok tidak lama lagi untuk membincangkan isu ini,” kata Fahmi.