Membeli-belah secara dalam talian pada hari ini sudah menjadi perkara kebiasaan, dan sebagai pembeli dan penjual dalam platform itu, terdapat beberapa etika yang perlu diamalkan serta dihormati.
Baru-baru ini tular sebuah video di TikTok memaparkan seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan kelakuan pembeli dalam talian yang selamba meninggalkan ‘review’ produk yang tiada kaitan.
Lelaki ini mengeluh sambil berpesan tolonglah ulas produk yang dibeli, bukan main komen saja hal lain yang tidak berkaitan.
Kebiasaannya, kita perlu meninggalkan ulasan atau ‘review’ produk berserta gambar atau video selepas menerima barang yang dibeli. Namun, ramai dilihat memberi ‘review’ dengan perkara yang tidak berkaitan.
Malah, lelaki itu juga mengatakan ramai yang suka ‘review’ bungkusan dan penghantaran berbanding produk yang dibeli.
“Boleh tak kalau beli barang online dalam aplikasi macam Shopee ke apa, kau review elok-elok boleh tak? Kalau kau beli baju, kau review bajulah. Bukan yang plastik postage tu, pakai baju ambil gambar, ataupun komen baju kain tebal sama macam dalam gambar, warna sama.”
“Kalau beli kasut, test ok size ngam, material cantik, ringan sedap pakai. Bukannya ambil gambar telinga kau, ambil gambar meja tempat kerja, kau faham tak apa itu review?”
“Kalau beli seluar, pakai di kaki tu ambil gambar. Selesa kain sedap. Bukan ambil gambar plastik komen barang dah sampai, thank you cepat sangat. Kau ni review barang ke review courier? Aku tak faham lah,” katanya.
Dia juga menasihati kepada penjual supaya membalas komen negatif dengan cara yang baik.
Tambahan lagi, dia juga tidak berpuas hati kerana seluar yang baru dibeli sangat nipis dan panas bila dipakai.
“Brother ni mewakili semua rakyat Malaysia,” komen seorang pengguna TikTok selepas video itu menjadi tular dengan lebih 4.8 juta tontonan.
Setuju dengan pendapat dan saranannya, pembeli patut meninggalkan ulasan produk yang baik, bersama rating jujur yang berkaitan barang dibeli supaya mereka sama-sama dapat menambah baik, membantu serta membangun dunia perniagaan.