25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, August 22, 2025
Utama Blog Laman 45

Jasa Najib kepada negara antara asas pengurangan hukuman

0

PUTRAJAYA: Jasa Datuk Seri Najib Razak kepada negara antara asas pengurangan hukuman yang diambil kira yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.

Harian Metro

Hal ini dikatakan demikian oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Jelas Anwar, perkara itu diambil kira dalam perbincangan mesyuarat Lembaga Pengampunan termasuk kaedah lain yang diperincikan.

“Pertama, apa asas rayuan, selalunya memikirkan peranan dia, perjalanan hidup dia sebelum itu, peranan kepada keluarga dia, kehidupan di penjara, jasa dan khidmat dia, peranan kepada keluarga atau masyarakat dan dalam kes Najib, kepada negara.

“Jadi diberikan juga mengenai proses badan kehakiman, apa kesnya, apa hukumannya, kemudian kalau ada kes dalam proses, itu semua dijelaskan sebelum masing-masing (ahli lembaga) beri pandangan dan akhirnya Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” katanya.

Tambah Anwar, beliau dipersoal mengenai permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan yang dibincangkan terlalu awal, sedangkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu baharu sahaja menjalani hukuman.

Anwar bagaimanapun menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang sudah dijatuhkan hukuman boleh mengemukakan permohonan pengampunan.

Harian Metro

“Saya mengakui tanggungjawab itu, jadi kenapa ditanya Perdana Menteri ambil sikap kemukakan rayuan Najib begitu awal, saya kata sebaik sahaja saya dapat mana-mana rayuan, saya mohon supaya Lembaga Pengampunan bicarakan.

“Mesyuarat pertama 9 Disember (tahun) lalu, saya hadir kerana saya masih bertanggunjawab terhadap Wilayah Persekutuan dan berikutnya (adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Dr Zaliha Mustafa,” katanya.

Kata Anwar, tidak wajar untuk menyalahkan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Peguam Negara atau Lembaga Pengampunan kerana keputusan itu diputuskan oleh baginda.

Jelas Anwar, sesiapa sahaja tidak boleh menuntut penjelasan daripada Lembaga Pengampunan yang dipengerusi dan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Itu kena faham, ia bukan diputuskan Lembaga Pengampunan, kalau nak tanya, sila buat memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sementara itu, Anwar meminta supaya semua perbahasan, perbincangan dan pandangan berhubung isu Lembaga Pengampunan membabitkan Najib, dihentikan.

Harian Metro

Hal yang demikian kerana keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman kepada Najib Razak dibuat atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong itu adalah muktamad dan dibuat atas pertimbangan baginda sebagai mercu keihsanan jelas Anwar.

KKM bakal ambil tindakan segera penjualan ‘Energy Stick’

0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bakal mengambil tindakan segera berkenaan penjualan produk penyedut hidung atau ‘energy stick’ yang sedang berleluasa di kalangan golongan muda dan pelajar sekolah.

Ia susulan produk tersebut tular di media sosial dan didakwa boleh memberi tenaga serta kesegaran kepada pengguna.

Gambar TikTok

Sinar Harian melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sebelum ini mendedahkan telah menerima aduan dan amaran berkaitan produk penyedut hidung itu.

“Saya sudah awal terima alert ini dan terus beritahu kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan serta timbalannya.

“KKM akan ambil tindakan segera berhubung perkara tersebut,” katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad / Facebook

Media sebelum ini melaporkan berlaku peningkatan penggunaan ‘energy stick’ atau penyedut hidung (nasal inhaler) dalam kalangan pelajar sekolah.

Public Health Malaysia dalam hantarannya juga telah memaklumkan kepada orang ramai supaya berwaspada dengan penggunaan bahan itu.

Difahamkan, produk itu dijual secara berleluasa antara RM2.50 sehingga RM10.

Public Health Malaysia / X

‘Sedut dahulu, baru pergi sekolah’ atau ‘sedut dulu baru mulakan kerja’ antara tagline yang digunakan oleh sesetengah penjual bagi ‘melariskan’ produk yang kononnya memberi  tenaga dan kesegaran kepada pengguna.

‘Energy stick’ ini mempunyai saiz seperti pemetik api, berwarna-warni dan pelbagai perisa yang dipromosikan. Pada bahagian atas, terdapat, dua corong yang muat ke dalam lubang hidung dan membolehkan ia disedut masuk ke paru-paru.

Menurut Public Health, kaedah penggunaannya tidak ubah seperti dadah kerana menggunakan kaedah hidung atau snorting. Secara psikologi, ia sangat buruk disebabkan mempromosikan bahan lain untuk dicuba oleh pengguna.

Public Health Malaysia memohon agar penjualan dan pembelian produk ‘energy stick’ dihentikan dengan kadar segera.

Eskalator di Indonesia ini terima kalungan bunga ucapan takziah selepas ia gagal dibaiki masuk ke 100 hari

0

Ingatkan hanya di Malaysia macam zaman sebelum Anthony Loke jadi Menteri Pengangkutan apabila eskalator di stesen LRT rosak melebihi 100 hari, tetapi di Indonesia juga terjadi perkara yang sama.

Seorang pengguna tren di Stesen Kereta Api Bekasi @/PernebangRoket memutuskan untuk mengambil tindakan dengan memuat naik gambar dan hebahan eskalator rosak itu di platform X.

@/PernebangRoket / X

Pada hari ke-100 eskalator tidak berfungsi tanggal 31 Januari lalu, pengguna kereta api yang bosan itu membawa kalungan bunga putih dan nisan yang diperbuat daripada kadbod untuk eskalator berkenaan.

“Turut berduka cita atas wafatnya eskalator Stesen Bekasi, warga Bekasi.” tulis di kalungan bunga itu.

@txtfromIR/X

Di pusara palsu yang diperbuat daripada kadbod dan dipenuhi dengan bunga, mereka juga menulis, “RIP eskalator Stesen Bekasi, Lahir: 2022, Meninggal: Oktober 2023.”

Melihat perkara ini, beberapa pengguna kereta api mengambil kesempatan untuk merakam gambar dalam pose berdoa seperti yang dilakukan seseorang ketika menziarah pusara.

@txtdrbekasy/X

Selepas ia menjadi tular, mereka yang bertanggungjawab telah berjanji untuk mendapatkan alat ganti untuk membaiki eskalator itu, yang katanya akan tiba pada 3 Februari 2024.

Bagaimanapun, selepas tarikh yang dijanjikan, eskalator itu masih belum dibaiki.

@PernebangRoket / X

Dan kalungan bunga juga telah diambil, dengan notis mengatakan bahawa kerja-kerja pembaikan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Beberapa netizen berkata eskalator itu mungkin mencapai 200 hari untuk terus tidak berfungsi.

Kemalangan 7 kenderaan di Lebuhraya PLUS: Dua pemandu lori maut, seorang cedera

0

Dua maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori dan empat kereta di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara dekat Kampung Tersusun Tekah, Simpang Pulai, hari ini, 3 Februari.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, laporan awal mendapati mangsa yang maut merupakan pemandu dari dua lori yang terbabit.

Gambar Bernama / Facebook

Masing-masing merupakan pemandu lori muatan gula dan muatan barangan logam.

Empat kereta yang terbabit pula adalah dari jenis dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua kereta sedan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.46 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dengan dibantu BBP Gopeng bergegas ke lokasi.

Gambar Bernama / Facebook

Menurutnya, setibanya jentera di lokasi mendapati dua pemandu lori meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa dari lori kontena selamat.

“Didapati terdapat muatan gula yang tumpah di atas lebuh raya.

“Kerja- kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dipercayai meninggal dunia telah dilaksanakan oleh pihak bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Gambar PLUS

“Selain itu bagi mangsa dari kereta pula, terdapat seorang mengalami kecederaan patah tangan dan dibawa ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata Sabarodzi.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan trafik sepanjang beberapa kilometer dari kedua-dua arah lebuh raya, dengan tumpahan muatan gula daripada lori terbabit memenuhi kawasan sekitar kejadian. 

PLUS melalui ciapan di X berkata, semua lorong arah utara serta lorong kanan arah selatan di situ sudah dibuka sejak jam 3.53 petang tadi, dengan laluan kontra juga sudah dinyahaktifkan.

Gambar Bernama / Facebook

Bagaimanapun, keadaan trafik semasa masih perlahan sepanjang 19 kilometer arah utara serta empat kilometer arah selatan, iaitu selepas semua laluan ditutup sepenuhnya sejak jam 7.38 pagi tadi susulan nahas itu.

Trafik dilaporkan tidak bergerak di kedua-dua arah sejak jam 8.05 pagi sehingga jam 1.51 tengah hari apabila semua lorong arah utara ditutup dan laluan kontra mula diaktifkan.

Semua lorong arah lorong arah mula dibuka jam 3.42 petang menyaksikan laluan kontra juga dinyahaktifkan namun keadaan trafik masih sesak bagi kedua-dua arah.

Lelaki ‘turap jalan pokok pisang’ dapat perhatian segera pihak berkuasa untuk lakukan kerja pembaikan

0

Seorang lelaki jenuh menunggu jalan berlubang di sepanjang jalan utama berhampiran kampungnya di Sabah untuk mendapat perhatian dan tindakan pihak berkuasa.

Sehinggalah pada suatu hari, dia telah menanam pokok pisang di situ untuk memberi amaran kepada pemandu lain, yang mana akhirnya mendapat perhatian pihak berwajib.

Mahathir Aripin memuat naik gambar ‘jalan berturap pokok pisang’ itu yang terletak di Jalan Sandakan-Lahad Datu, Sabah.

Mahathir Aripin/Facebook

Mahathir meletakkan tanah di jalan berlubang dan mencacakkan pokok pisang demi memastikan pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui kawasan itu.

“Saya kasihan dengan pengguna jalan raya. Kalau sudah ada hasil nanti saya beli tar sendiri untuk tutup lubang itu,” katanya dalam hantarannya pada 29 Januari.

Beberapa jam selepas hantaran itu, inisiatif berani Mahathir telah mendapat perhatian pihak berkuasa dan mereka telah menurap jalan berlubang itu dengan tar yang sepatutnya.

Perkara ini telah disahkan oleh Jabatan Kerja Raya Sabah, yang berkata pihak mereka telah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan telah menurap jalan berlubang yang berkenaan.

Jabatan Kerja Raya Sabah/Facebook

Walau bagaimanapun, mereka mengingatkan orang ramai bahawa hujan yang turun berterusan di kawasan itu mungkin akan menjejaskan kerja-kerja menampal.

Tambah mereka, kementerian memberi jaminan kepada pengguna jalan raya bahawa syarikat konsesi akan berusaha untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Difahamkan kawasan terbabit berada kira-kira 500 meter dari lokasi kemalangan maut membabitkan seorang kanak-kanak perempuan baru-baru ini. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi pada hari itu, mangsa yang berusia 4 tahun meninggal dunia selepas kereta yang dinaiki dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 117 Jalan Sandakan-Lahad Datu.

Jabatan Kerja Raya Sabah/Facebook

Tindakan Mahathir yang telah mendapat perhatian pihak JKR menerima pujian dan sokongan daripada pengguna jalan raya lain dengan komen mereka:

“Mantap adikku!”

“Mau kasi begini semua supaya JKR nampak..”

“Lubang dekat bell tu kita tanam musang king la kan..”

“Mantaplah, Sabah maju jaya ada pisang tumbuh di atas jalan raya..”

Gara-gara GPS, kereta tersangkut di jambatan gantung

0

PHRAE: Gara-gara GPS, seorang wanita Thailand berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya tersangkut di jambatan gantung pada Isnin lalu.

The Pattaya News

En. Makun Inchan, 38, penduduk Wiang Thong, wilayah Phrae ketika itu hendak menyeberangi Sungai Yom terkejut apabila mendapati sebuah kereta tersangkut di jambatan gantung berkenaan.

Menurut laporan tempatan, jambatan gantung sepanjang 120 meter itu dibina untuk pejalan kaki dan penunggang motosikal sahaja.

Mendengarkan suara wanita daripada kereta sedan Honda City putih itu meminta bantuan, En. Makun segera mendapatkan bantuan kecemasan.

Kereta itu dianggarkan berada 15 meter di tengah jambatan dengan tayar depan kiri kereta termasuk ke dalam lubang yang terdapat di jambatan tersebut.

Mujurlah penyelamat berjaya mengeluarkan tayar dan seterusnya mengalihkan kereta berkenaan dengan menggunakan dua buah traktor.

Difahamkan, wanita yang tidak dikenal pasti itu datang dari daerah Nong Muang Khai untuk menziarahi kawannya di Sung Men.

Menurut wanita itu, dia tidak pernah ke sana. Oleh yang demikian, dia hanya bergantung sepenuhnya pada GPS untuk tiba ke lokasi yang dikongsikan oleh kawannya itu.

Pexels

Wanita tersebut memutuskan untuk menurut arahan GPS tanpa mengetahui keadaan sebenar Jambatan Wiang Thong.

“Saya fokus pada GPS dan tidak melihat keadaan sekeliling. Saya anggap jambatan tersebut kukuh dan sering digunakan orang.

“Namun apabila tersekat, saya berasa sangat takut kerana saya berada di tengah-tengah Sungai Yom.

“Saya bimbang kereta mungkin akan terjatuh ke dalam sungai, jadi saya perlu keluar daripada kereta untuk mendapatkan bantuan,” kata wanita itu kepada media tempatan.

Susulan kejadian itu, En. Makun menggesa pihak berkuasa untuk meletakkan papan tanda untuk memberi amaran kepada pengguna jambatan yang lain.

Hal ini dikatakan demikian kerana jambatan gantung yang sudah terbina sejak 40 tahun lalu hanya sesuai untuk pejalan kaki dan pengguna motosikal sahaja.

Pukul nenek, lelaki OKU didakwa

0

MELAKA: Pukul nenek, seorang lelaki OKU didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan tindakannya itu pada minggu lalu.

Harian Metro

Tertuduh, Muhammad Amirul Fathi Mohd Noor, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Tan Soo Ee,77.

Kesalahan memukul menggunakan tangan didakwa dilakukan di belakang sebuah rumah di Batu 9, Pantai Kundor, Tanjung Kling kira-kira pukul 1.20 tengah hari, 28 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin.

Tertuduh diwakili peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta memohon syarat tambahan dikenakan.

Nur Aminahtul Mardiah bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kerana terlalu tinggi.

Hal ini dikatakan demikian kerana tertuduh tidak mampu lantaran hanya membantu neneknya membersihkan tapak ‘glamping’ dan tiada pekerjaan tetap.

Menurutnya, anak guamnya pernah terbabit dalam kemalangan ketika berusia tujuh tahun yang menyebabkan keretakan di kepalanya.

“Walaupun bersekolah, dia tidak boleh menduduki peperiksaan dan mempunyai kad orang kurang upaya (OKU).

“Tertuduh tiada risiko melarikan diri kerana tinggal dengan nenek dan ibunya selepas bapanya meninggal dunia akibat kanser limfoma pada November 2023 selain memberi kerjasama penuh dalam siasatan polis,” katanya.

Mahkmah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh berjumpa atau menghubungi mangsa melalui apa juga medium.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Mac depan bagi serahan dokumen.

Bomba ambil masa 2 hari padam kebakaran hutan lebih 600 hektar di Beaufort dan Kuala Penyu

0

Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu mengambil masa 12 jam bagi memadam kebakaran hutan seluas 602 hektar di daerah Beaufort dan Kuala Penyu di Sabah.

Berikutan angin kuat, keadaan hutan yang kering dan kawasan tanah gambut, kebakaran sejak jam 2.16 petang 31 Januari itu merebak ke beberapa kawasan kampung iaitu Kampung Purun Ulu, Nukahan dan Melawaring.

Gambar BBP / Berita Harian

Ketua BBP Kuala Penyu, Penolong Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, operasi memadam kebakaran dijalankan dengan mengambil masa selama dua hari berturut-turut oleh lima pegawai dari BBP Kuala Penyu yang diketuainya sendiri.

Katanya, operasi turut dibantu lima lagi pegawai masing-masing dari Unit Drone serta BBP Kimanis dan BBP Beaufort.

“Kebakaran membabitkan kawasan hutan seluas 602 hektar itu dipercayai bermula jam 2 petang di tiga kampung iaitu Kampung Purun Ulu, Nukahan dan Melawaring.

“Pasukan bomba terpaksa mengambil masa selama kira-kira 12 jam bagi memadamkan kebakaran berikutan keadaan api yang terlalu cepat merebak disebabkan angin kuat.

Gambar BBP / Berita Harian

“Kebakaran juga sukar dikawal berikutan keadaan hutan yang kering serta kawasan tanah gambut, tetapi usaha gigih semua pegawai berjaya mengawal dan memadam api daripada merebak ke kawasan lebih luas,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi.

Beliau berkata, operasi memadam pada hari pertama di lokasi sejauh 20 kilometer dari jarak balai itu dilaksanakan menggunakan satu aliran 200 kaki, dua pancutan.

Katanya, kerja memadam menggunakan sumber air terbuka yang diperoleh dari tali air dengan dibantu floating pump dan pemerap api sehingga berjaya mengawal 40 peratus kebakaran membabitkan 240.79 hektar daripada keluasan keseluruhan hutan berkenaan.

“Operasi hari kedua diteruskan menggunakan kaedah sama sebelum berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran dan menamatkan operasi pada jam 1.15 petang.

Gambar BBP / Harian Metro

“Tiada kecederaan serta kemalangan dilaporkan sepanjang kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, pasukan bomba turut mendapatkan bantuan Unit Drone bagi membuat tinjauan di kawasan sekitar kebakaran selain usaha mencari laluan masuk ke lokasi kebakaran bagi membolehkan operasi memadam kebakaran dijalankan.

Derrick Gan ditawarkan 5 buah motosikal selepas pulang dari Qatar

0

Penyokong fanatik Harimau Malaya, Derrick Gan yang tular di media sosial terus dilimpahi rezeki apabila sehingga kini sudah ditawarkan lima buah motosikal daripada beberapa individu dan syarikat.

Jurutera program berusia 30 tahun berasal di Melaka itu berkata, selain itu terdapat lebih 1,000 lagi mesej di Facebook dan Instagram yang masih belum dibuka.

“Sebenarnya sejak kisah saya itu tular terlalu ramai yang mengucapkan tahniah termasuk ada yang menawarkan saya motosikal bagi menghargai pengorbanan saya itu.

Gambar Astro Arena

“Setakat ini, saya boleh katakan ada lima pihak yang menghubungi saya untuk memberikan motosikal namun saya tiada maklumat lanjut kerana tidak sempat menghubungi semula mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang penyokong Harimau Malaya mencuri tumpuan selepas dilihat menangis ketika meraikan gol kedua pasukan negara menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub.

Pada aksi perlawanan terakhir terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 itu, Malaysia mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya mengikat pasukan ketiga terbaik Asia itu dengan keputusan 3-3.

Derrick Gan / Facebook

Tangisan Derrick Gan, mendapat perhatian apabila disebalik itu, turut tular kisahnya yang menjual motosikal kesayangan yang telah digunakan sejak 10 tahun lalu pada harga RM4,500 semata-mata untuk menyaksikan penampilan Harimau Malaya di Qatar.

Mengulas lanjut, Derrick berkata, dia tidak menyangka tindakannya itu akan tular dan mendapat liputan meluas di seluruh negara.

Gambar Astro Awani

“Saya sebenarnya seorang yang sangat pendiam sebab itu saya berharap kisah ini akan segera berakhir namun amat berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin.

“Setakat ini saya belum dapat membalas semua mesej satu persatu tapi saya akan berbincang dengan sepupu untuk memberikan satu kenyataan rasmi tidak lama lagi,” katanya.

Media melaporkan Derrick menerima menerima sebuah motor skuter Modenas Karisma bernilai RM5,400 daripada Modenas dengan kerjasama stesen radio, Era sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pemain negara, Faisal Halim turut telah menghadiahkan sebuah motosikal kepada Derrick Gan atas pengorbanannya itu.

Bapa ditahan polis selepas mengamuk dan ugut guru yang menangkap anaknya merokok dalam tandas sekolah

0

Seorang lelaki ditahan polis selepas memaki hamun dan mengugut seorang guru kerana mengambil tindakan terhadap anaknya yang didakwa merokok di kawasan sekolah menengah di Kota Kinabalu, Sabah pada pagi 29 Januari.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi, yang membawa kepada penahanan lelaki berusia 49 tahun selepas laporan polis yang dibuat oleh guru yang terbabit.

Facebook

Sumber berkata, guru itu telah menangkap seorang pelajar berusia 17 tahun, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ketika dia sedang merokok di dalam tandas sekolah.

Bagaimanapun, dikatakan remaja berusia 17 tahun itu menghubungi bapanya, yang kemudian tiba di sekolah dan cuba menyerang guru itu secara fizikal.

“Ketegangan memuncak apabila bapa itu tiba, yang menuduh guru itu menyerang anaknya.

“Guru itu menjelaskan kejadian sebenar melibatkan pelajar itu tetapi bapa pelajar terbabit tidak dapat menerimanya dan terus memaki hamun guru itu lalu mengamuk dan mencetuskan kekecohan di dalam kawasan sekolah,” menurut sumber.

Facebook

Bapa pelajar itu turut didakwa bertindak agresif apabila menolak dan mencekik guru berkenaan sehingga hampir terjatuh.

Sumber berkata, beberapa guru lain di sekolah itu campur tangan untuk menenangkan keadaan namun kejadian itu sempat dirakam individu lain di kawasan sekolah dan kemudiannya ia menjadi tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan kejadian berkenaan ketika dihubungi.

Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan ugutan terhadap guru sekolah berkenaan yang berusia 40 tahun.

Facebook

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidi berkata pelajar itu masih dibenarkan mengambil peperiksaan SPM walaupun sudah dibuang sekolah.

Beliau turut mengesahkan kejadian pelajar itu merokok di tandas sekolah.

“Setiap calon SPM hendaklah akur dan mematuhi peraturan sedia ada di sekolah selain menjaga tingkah laku yang baik bagi memastikan perjalanan peperiksaan awam tidak terganggu.

“Jabatan Pendidikan Sabah komited dalam memastikan peperiksaan awam berjalan lancar dan semua calon SPM berada dalam keadaan tenang dan selesa semasa menjawab soalan peperiksaan,” katanya.