Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bakal mengambil tindakan segera berkenaan penjualan produk penyedut hidung atau ‘energy stick’ yang sedang berleluasa di kalangan golongan muda dan pelajar sekolah.
Ia susulan produk tersebut tular di media sosial dan didakwa boleh memberi tenaga serta kesegaran kepada pengguna.
Sinar Harian melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sebelum ini mendedahkan telah menerima aduan dan amaran berkaitan produk penyedut hidung itu.
“Saya sudah awal terima alert ini dan terus beritahu kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan serta timbalannya.
“KKM akan ambil tindakan segera berhubung perkara tersebut,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan berlaku peningkatan penggunaan ‘energy stick’ atau penyedut hidung (nasal inhaler) dalam kalangan pelajar sekolah.
Public Health Malaysia dalam hantarannya juga telah memaklumkan kepada orang ramai supaya berwaspada dengan penggunaan bahan itu.
Difahamkan, produk itu dijual secara berleluasa antara RM2.50 sehingga RM10.
‘Sedut dahulu, baru pergi sekolah’ atau ‘sedut dulu baru mulakan kerja’ antara tagline yang digunakan oleh sesetengah penjual bagi ‘melariskan’ produk yang kononnya memberi tenaga dan kesegaran kepada pengguna.
‘Energy stick’ ini mempunyai saiz seperti pemetik api, berwarna-warni dan pelbagai perisa yang dipromosikan. Pada bahagian atas, terdapat, dua corong yang muat ke dalam lubang hidung dan membolehkan ia disedut masuk ke paru-paru.
Menurut Public Health, kaedah penggunaannya tidak ubah seperti dadah kerana menggunakan kaedah hidung atau snorting. Secara psikologi, ia sangat buruk disebabkan mempromosikan bahan lain untuk dicuba oleh pengguna.
Public Health Malaysia memohon agar penjualan dan pembelian produk ‘energy stick’ dihentikan dengan kadar segera.