Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian berkenaan turut tular di media sosial.
Menerusi rakaman tersebut, kelihatan dua orang lelaki meluru masuk ke dalam premis.
Salah seorang daripada mereka terus menyembur dua jurujual wanita dengan alat pemadam api.
Seorang lelaki lagi melarikan sejumlah wang tunai dari mesin wang di kaunter bayaran.
Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7.25 malam ketika dua jurujual wanita berada di dalam kedai.
Susulan kejadian terbabit, pemilik kedai mengalami kerugian sebanyak RM2,800 selepas peti mesin duit dilarikan oleh dua suspek itu.
“Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan melibatkan mangsa dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.
Pasangan YouTuber popular dari United Kingdom, yang sedang dalam pengembaraan merentasi dunia, berhadapan dengan sisi gelap penguatkuasaan undang-undang Malaysia dalam video terbaru mereka yang dimuat naik pada 28 Januari.
Chris dan Marianne Fisher, dari Shropshire dan terkenal dengan saluran YouTube mereka ‘TREAD the globe’, dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Ipoh apabila telah ditahan oleh polis trafik di sebuah lokasi di Ipoh, Perak, yang meminta RM100 daripada mereka.
Video interaksi itu dimuat naik di saluran YouTube pasangan berkenaan.
Klip video berdurasi 51 saat itu memaparkan pasangan itu memberhentikan campervan mereka di tepi jalan sebelum seorang anggota polis trafik muncul di tingkap pemandu.
Kedua-dua pihak kedengaran berbalas salam dalam suasana ceria, sebelum anggota polis memberitahu pasangan itu bahawa mereka telah memandu melebihi had laju.
Polis trafik berkenaan kedengaran memberitahu mereka bahawa had laju adalah 60km/j semasa mereka telah memandu pada 70.5km/j.
Marianne, yang kelihatan terkejut, memohon maaf kerana tidak melihat had laju dan bertanya kepada polis mengenai apa langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh mereka.
Polis itu memberitahu dia akan mengeluarkan saman dan mereka perlu membayarnya di balai polis berhampiran, dan Marianne bersetuju.
Bagaimanapun, polis itu kemudian secara beraninya membuat tawaran dengan dua pilihan kepada mereka.
“Saya akan keluarkan saman dan kamu bayar di balai polis. Kalau bayar di balai RM300. Bayar sini sekarang RM100. Boleh kah?,” kedengaran anggota polis itu berkata.
Disebabkan perbezaan jumlah bayaran yang besar, pasangan berkenaan membuat keputusan membayar sebanyak RM100 kepada anggota polis trafik terbabit pada waktu sama di lokasi mereka ditahan.
Chris kemudian dilihat menyerahkan wang RM100 kepadanya dan Marianne bertanya kepada anggota polis itu jika dia perlu memeriksa dokumen perjalanan mereka.
Anggota polis itu menjawab “tidak” dan berlalu pergi, sambil berkata “okay, settle.”
Polis itu dilihat menghubungi rakan sekerjanya untuk memberitahu nombor pendaftaran van itu sebelum beredar dengan wang yang dilipat di tapak tangannya.
Chris, kemudian menceritakan apa yang mereka fikirkan selepas ditahan pihak berkuasa trafik Malaysia dalam video berkenaan.
“Kami duduk di sana memproses apa yang baru berlaku. Adakah kami memandu laju? Mungkin juga..
“Saya rasa jika kami berpeluang membayar tunai dengan kadar lebih rendah dan tidak memandu ke balai polis untuk membayar denda lebih tinggi adalah pilihan yang baik.
“Tetapi adakah kami benar-benar memandu laju? Saya rasa itu hanya satu perkara yang kami tidak akan pernah tahu.”
Video perjalanan pasangan ini di Malaysia kini tular dengan meraih lebih 130,000 tontonan dalam masa kurang 24 jam di YouTube dan lebih 2.5 juta tontonan di platform X susulan insiden ‘bayar saman trafik’ itu.
Pasangan Fishers telah menghabiskan lima tahun terakhir kehidupan mereka dengan mengembara ke seluruh dunia bersama van Fiat Ducato yang mereka namakan Trudy.
Merakam perjalanan mereka melalui saluran YouTube ‘TREAD the globe’, pasangan itu telah menghiburkan jutaan penonton dengan pengembaraan mereka ketika memandu melalui Alaska, Amerika Utara, Eropah, Asia dan kini berada di Asia Tenggara.
Sebagai maklum balas, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata polis dimaklumkan mengenai video itu pada 4.30 petang 28 Januari dan telah memulakan siasatan.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan terbabit dan pihak kami tidak akan bertoleransi ke atas anggota atau pegawai terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang kononnya menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan UK itu ketika mereka ditahan di lokasi kejadian.
Tonton video di bawah:
There's a UK couple doing a van tour around the world. They're in Malaysia now.
Baru kena saman dengan polis sebab speeding. Ada option nak bayar kat balai polis rm300 atau bayar RM100 kat polis on the spot.
Malaysia sekali lagi akan menyaksikan momen yang amat bermakna dalam catatan sejarah Raja Berperlembagaan di negara ini dengan berlangsungnya dua istiadat penting dalam tempoh 48 jam, sekali gus menonjolkan keunikan sedia ada sistem penggiliran raja-raja Melayu yang telah diamalkan sejak 1957.
Pada 30 Januari, Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menamatkan pemerintahan selepas memenuhi tempoh lima tahun di atas takhta sebagai Ketua Utama Negara bermula 31 Januari 2019.
Gambar Bernama
Tampuk pemerintahan negara bakal mencatat era baharu di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang akan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara pada 31 Januari 2024.
Mengikut konvensyen penggiliran senarai sembilan negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Pada 1994, penggiliran ini mula memasuki pusingan kedua apabila bekas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-10.
Kedua-dua peristiwa penting yang akan berlangsung dalam tempoh 48 jam ini pastinya dinantikan rakyat Malaysia dengan perasaan bercampur. Rasa sedih dan sebak pastinya mengiringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pahang.
Gambar JPM
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat dari Istana Negara pada 8 pagi, 30 Januari ke Dataran Parlimen bagi istiadat rasmi perpisahan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memaklumkan tujuh laluan akan terlibat dengan penutupan penuh manakala 13 laluan di sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat sempena istiadat keberangkatan balik berkenaan.
Pasangan diraja itu dijadual berangkat balik dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi sebelum berlepas pulang ke pangkuan rakyat Pahang.
Dalam pada itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 menerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada 27 Oktober 2023 akan dimasyhurkan bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar / Facebook
Baginda dijadual menyempurnakan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara yang akan turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tempoh lima tahun bermula 31 Januari ini.
Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dijadual berangkat dari Istana Bukit Serene, Johor pada pukul 7 pagi dan berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru sejam kemudian.
Pasangan diraja itu dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang pada kira-kira 10.30 pagi sebelum berangkat ke Istana Negara bagi menyempurnakan istiadat berkenaan.
Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebak sehingga menitiskan air mata ketika bertitah pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahan baginda 27 Januari.
Dalam titah tersebut, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sudi menerima kehadiran Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Lumrah dunia, setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan.
“Justeru, sudah sampai masanya untuk saya dan Raja Permaisuri Agong mengundur diri.
“Saya akan berangkat pulang ke Pahang dengan satu perasaan yang sedih dan gembira dan bersyukur kerana amanah ini telah saya laksanakan dengan sepenuh kudrat keupayaan dan keikhlasan hati saya.
“Persoalan sama ada saya berjaya ataupun tidak bukanlah saya untuk membuat penilaian diri sendiri.
“Biarlah helaian sejarah yang menjadi bukti,” titah Seri Paduka pada majlis itu.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya seluruh rakyat Malaysia menjaga perpaduan dan semangat hidup bermasyarakat di negara ini sepenuh hati.
“Saya akan merasa amat bersedih seandainya perpaduan yang telah dibentuk ini runtuh kembali akibat kelemahan dan kealpaan kita.
“Dengan penuh rasa keinsafan dan tawaduk saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat, keafiatan dan kemuliaan yang telah Allah SWT kurniaan kepada hambu-Mu ini,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri yang baharu.
Dalam pada itu, momen ucapan Yang di-Pertuan Agong menyentuh perasaan Tunku Azizah turut dirakamkan apabila Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan yang teristimewa buat Raja Permaisuri.
Titah Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah sentiasa bersama Seri Paduka ketika berkunjung ke setiap pelosok negara dan tidak pernah lekang daripada menyantuni rakyat jelata.
“Buat Adinda Raja Permaisuri Agong, kekanda amat bertuah kerana telah berjaya menawan hati adinda 38 tahun yang lalu dan kekanda turut bersyukur serta berbangga kerana adinda telah turut berjaya menambat hati rakyat Malaysia sepanjang lima tahun yang lalu.
“Bagaikan Khadijah yang memberi sepenuh hidup baginda untuk menyokong perjuangan Rasuluulah, begitulah juga adinda yang tidak lekang memberi perangsang dan semangat kepada kekanda untuk terus memikul amanah yang berat ini,” titah Seri Paduka.
Majlis Jamuan Negara itu turut dihadiri Perdana Menteri Datu Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Perjalanan hidup dengan pelbagai pahit manis dan liku tanpa disedari mungkin membawa kepada kejadian tertentu sebagai satu kebetulan semata-mata, sementara yang lain menganggap ia sebagai takdir yang membawa mereka kepada hikmah dan ketentuan.
Percaya atau tidak, anda mungkin terkejut apabila melihat betapa sesuatu yang kebetulan itu mengubah kehidupan seseorang buat selama-lamanya.
Perkara itu telah dikongsikan oleh pencipta kandungan dan pempengaruh popular Jenn Chia, yang juga dikenali dalam talian sebagai SoImJenn.
Dalam klip video yang dikongsikan menerusi laman TikToknya @soimjenn.official, Chia berkongsi penemuan luar biasa yang baru diketahuinya, iaitu suami tersayangnya kini, pernah muncul di latar belakang gambarnya beberapa tahun terdahulu, sebelum mereka bertemu dan saling mengenali.
Berkongsi gambar itu ketika dirinya sedang makan di sebuah restoran pada 10 Oktober 2012, Chia mendedahkan suaminya sedang berdiri di latar belakang, sedang menunggu mencari tempat kosong.
Apa yang mengejutkan, kedua-duanya tidak mengenali antara satu sama lain pada masa itu, kerana Chia mendedahkan mereka bertemu dan menjadi pasangan secara rasmi hanya dua tahun kemudian pada 2014.
Hubungan percintaan itu akhirnya mengikat tali pertunangan pada 2023, sembilan tahun selepas gambar asal diambil.
“Saya masih menggigil melihat gambar ini. Kami berada di tempat yang sama tetapi tidak mengetahui kewujudan satu sama lain,” tulisnya dalam kapsyen di TikTok.
Memuat naik klip yang sama di laman Instagramnya @soimjenn, katanya walaupun terkejut menemui gambar itu, Chia percaya bahawa mereka bertemu pada masa yang tepat.
“Jodoh yang tepat akan sentiasa menemui anda pada masanya yang sesuai,” tulisnya di bawah hantaran itu.
Berkongsi kejutan Chia, beberapa warganet mengulas dalam hantaran Chia, dengan pendapat mereka yang berkata satu-satunya penjelasan logik pertemuan pasangan itu adalah disebabkan “The Invisible String Theory”. Menurut idea ini, seseorang individu itu percaya bahawa alam semesta itu sendiri “dijahit” bersama-sama dengan benang yang tidak kelihatan, yang akhirnya membawa manusia ke takdir utama mereka.
Sementara yang lain memberi komen tentang bagaimana takdir dan jodoh pertemuan telah menentukan masa depan Jenn Chia dan pasangannya, sambil menambah bagaimana mereka berharap perkara yang sama akan berlaku kepada mereka pada suatu hari nanti.
Menurut Cik Apple (bukan nama sebenar), kenalannya menghantar bayinya seperti biasa ke tempat pengasuhan.
Namun tidak lama kemudian, kenalannya menerima panggilan daripada pengasuh yang mengatakan bahawa si kecil tidak bernafas dan jantungnya terhenti.
Bayi tersebut terus dikejarkan ke hospital untuk dirawat.
Doktor tertanya-tanya mengapa bayi yang sedang baring tiba-tiba tidak bernafas dan jantungnya terhenti.
Selepas pemeriksaan, doktor mendapati jantung bayi tiada masalah. Lalu dia menjalankan pemeriksaan genetik namun tidak menjumpai apa-apa petunjuk.
Susulan itu, mereka mencari bukti lain dan akhirnya menemukan jawapan menerusi rakaman kamera litar tertutup.
Bayi tersebut rupa-rupanya meninggal dunia kerana lemas akibat pelitup yang basah disebabkan air matanya.
Perkara ini terjadi apabila pelaksanaan pemakaian pelitup muka dikuatkuasakan bermula minggu ini lantaran wabak penyakit yang kembali menular.
Di tempat pengasuhan, guru-guru membantu kanak-kanak termasuk bayi memakai pelitup muka.
Biarpun bayi menangis kerana tidak selesa dipakaikan pelitup namun pengasuh tetap memaksa bayi memakai pelitup.
Bayi berkenaan terus menangis namun tidak dihiraukan pengasuh. Malah pengasuh menganggap bayi berhenti menangis kerana kepenatan lalu tertidur.
Selepas 20 minit, pengasuh cuba mengalihkan bayi tersebut namun alangkah terkejutnya dia apabila mendapati bayi tidak bernafas dan jantungya terhenti.
Pengasuh berkenaan cuba mendapatkan pertolongan cemas namun semuanya sudah terlewat.
Cik Apple berkongsi kisah tersebut agar semua orang cakna akan risiko memakaikan pelitup pada bayi.
Katanya, tiada guna menyalahkan mana-mana pihak kerana kemalangan sudah pun terjadi.
Namun Cik Apple mengingatkan agar pengasuh lebih berhati-hati dan memberi perhatian kepada bayi yang tiada pergerakan.
5 sebab mengapa bayi tidak perlu dipakaikan pelitup muka
Saluran udara bayi kecil. Pemakaian pelitup muka akan menyukarkan bayi bernafas melaluinya.
Risiko lemas meningkat. Bernafas melalui pelitup muka adalah sukar. Jika pelitup dipakai dengan ketat, udara sukar melaluinya namun pemakaian yang longgar tidak akan memberikan pelindungan maksimum.
Bayi tidak mampu menanggalkan pelitup sendiri. Jika bayi mengalami kesukaran bernafas, mereka tidak mampu menanggalkan pelitup sendiri dan boleh menyebabkan mereka tercekik.
Tiada pelitup N95 yang diluluskan untuk anak kecil.
Bayi atau anak kecil tidak suka memakai pelitup. Mereka akan cuba menanggalkannya. Hal ini akan menyebabkan mereka menyentuh muka dengan lebih kerap.
Anda pasti pernah melalui kesukaran dalam memastikan anak-anak kecil memakai pelitup muka bukan?
Jadi, inilah yang boleh anda lakukan untuk melindungi anak anda.
7 langkah terbaik untuk melindungi anak anda
Hadkan pendedahan dan elakkan sentuhan awam yang tidak perlu.
Jika perlu keluar, tutup pembawa bayi (baby carrier) dam bukannya bayi dengan selimut. Ini akan membantu melindungi bayi. Namun harus memastikan bayi dapat bernafas dengan selesa. Jangan tinggalkan selimut di pembawa bayi dalam kereta atau bila-bila masa tanpa pengawasan.
Pastikan tangan sentiasa bersih. Kekerapan membasuh tangan dengan sabun dan air selama 20 saat adalah yang terbaik, namun pensanitasi tangan (hand sanitizer), dengan sekurang-kurangnya 60% alkohol adalah pilihan lain yang terbaik.
Kerap membersihkan kawasan yang sering disentuh seperti tombol pintu, pemegang, suis lampu dan barangan elektronik.
Ajar anak-anak yang lebih tua supaya tidak menyentuh wajah mereka.
Jika ibu bapa tidak dapat meninggalkan anak kecil mereka di rumah dan terpaksa pergi ke tempat awam, selesaikan tugas tersebut dengan segera dan sentiasa ikut peraturan penjarakan enam kaki.
Mesti ingat untuk selalu membasuh tangan anak-anak sebaik sahaja tiba di rumah.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah mencadangkan supaya orang awam memakai pelitup muka kain di tempat awam sekiranya sukar mengekalkan langkah-langkah penjarakan sosial lain.
Walau bagaimanapun, CDC dengan tegas mengingatkan bahawa “anak-anak kecil berusia dua tahun ke bawah tidak perlu dipakaikan pelitup kain”.
Selain itu, mereka yang menghadapi kesukaran bernafas, atau tidak sedarkan diri, atau tidak berupaya menanggalkan pelitup sendiri juga dinasihatkan untuk tidak memakai pelitup kain.
Semoga kisah dan pedoman berkaitan pelitup muka dalam kalangan bayi ini dijadikan iktibar demi mengelakkan bayi meninggal dunia kerana pelitup muka.
KUANTAN: Kesemua mangsa kejadian tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands disahkan warga Myanmar, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands.
Kelima-lima mereka ialah Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey, 36, dan Thang Moung, 25 tahun.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands menerima laporan pada 2.10 pagi Jumaat, 26 Januari dan bergegas ke lokasi bagi pemeriksaan serta mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Pemeriksaan mendapati tempat kejadian telah terputus hubungan dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi,” menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata pihaknya telah menggerakkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan unit anjing pengesan (K9) ke lokasi kejadian.
Wan Mohammad Zaidi berkata dua daripada mangsa ditemukan meninggal dunia, namun setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya juga menerima laporan kes tanah runtuh di Ulu Sungai Palas, Cameron Highlands pada 9.33 malam tadi, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kemusnahan harta benda.
Konfrontasi antara sekumpulan warga China dengan seorang pemain piano merangkap YouTuber popular ketika berada di salah satu stesen kereta api London bertukar luar biasa dan disifatkan sebagai tidak masuk akal, kini terus menjadi tular di YouTube.
Pemain piano Brendan Kavanagh, yang mempunyai kira-kira 2.19 juta pengikut di YouTube, memulakan penstriman langsung seperti biasa dengan jurukameranya pada Jumaat lalu, 19 Januari di piano awam yang terletak di stesen Antarabangsa St. Pancras, London.
“Sangat sangat sejuk di London hari ini, tetapi seseorang meletakkan belon ungu pada piano supaya semuanya baik-baik saja,” sindir Kavanagh sebelum mula bermain.
Sekumpulan kira-kira enam orang boleh dilihat di latar belakang video, memegang bendera Republik Rakyat China dan helaian kertas kuning. Salah seorang daripada mereka, seorang wanita, melangkah ke hadapan dengan telefonnya untuk merakam Kavanagh ketika dia bermain seiring dengan pemain piano yang lain.
Semasa rakan pianonya mengambil alih untuk bermain solo, Kavanagh bertanya kepada wanita lain dalam kumpulan itu sama ada dia mahu menari mengikut rentak muzik, tetapi wanita itu menolak.
Beberapa minit kemudian, Kavanagh didatangi kumpulan itu. Interaksi selama 10 minit yang berikutnya semuanya dirakam dan disiarkan secara langsung dalam YouTube Kavanagh.
“Kami di sini membuat penggambaran untuk TV China, adakah anda merakam kami semua dalam kamera anda?” tanya wanita yang telah merakam aksi Kavanagh.
Dakwaannya bahawa kumpulan itu bekerja untuk TV China tidak dapat dipastikan.
Kavanagh berkata dia tidak pasti sama ada kameranya telah merakam wajah mereka. “Kami tidak dibenarkan merakam kamu semua?” soal Kavanagh.
“Kami tidak dibenarkan kerana kami dari TV China,” jawab wanita itu.
Kavanagh membantah dengan mengatakan dia sedang melakukan penstriman langsung di tempat awam.
Seorang lelaki dalam kumpulan negara China itu memberitahunya mereka melindungi hak mereka untuk “imej dan suara”, kemudian menambah kumpulan itu mempunyai “perjanjian dengan orang lain” untuk tidak menunjukkan wajah mereka dalam talian [Kavanagh tidak tahu menahu ‘hak’ itu wujud di negara lain kerana dia sedang berada di negaranya sendiri].
Lelaki itu terus mengancam untuk meneruskan tindakan undang-undang.
Kavanagh terus bertengkar. “Kami berada di negara bebas, kami tidak berada di negara Komunis China sekarang, anda tahu tak?” katanya.
“Saya minta maaf, ini adalah perkauman,” lelaki itu menjawab.
Apabila Kavanagh cuba mencapai bendera yang dibawa oleh salah seorang wanita, lelaki itu mula menjerit kepadanya supaya tidak menyentuh wanita itu.
Tidak lama kemudian, dua orang pegawai polis tiba, dan kumpulan itu menjelaskan rungutan dan rasa tidak puas hati mereka.
“Anda berada di tempat awam. Jika mereka membuat penggambaran, mereka juga mempunyai hak untuk melakukannya di tempat awam,” salah seorang pegawai polis kedengaran memberitahu mereka dalam siaran langsung.
Kemudian pegawai yang lain memberitahu Kavanagh untuk menghentikan penggambaran dan dia “tidak dibenarkan meletakkan siaran itu di saluran YouTube kerana ia telah menjadi perkara polis.” Namun jurukamera Kavanagh meneruskan penggambaran.
Polis kemudian bercakap dengan kumpulan itu jauh dari kamera. Kemudian, seorang pegawai memberitahu Kavanagh untuk menutup siaran langsungnya sekali lagi.
Dia berkata kumpulan itu telah meminta agar Kavanagh tidak menggunakan rakaman mereka di saluran YouTube. “Oleh kerana ada wang yang terlibat, mereka bekerja untuk sebuah syarikat, dan wajah mereka tidak boleh ditayangkan di TV atau saluran seseorang,” kata pegawai itu.
Kavanagh menolak sambil berkata, “Anda bukan ejen keselamatan peribadi mereka..”
Polis itu juga berkata kumpulan itu menuduh Kavanagh membuat komen perkauman dan menambah dia cuba menyentuh salah seorang daripada mereka secara tidak senonoh.
“Dengar sini, mereka mengibarkan bendera komunis dan saya berkata anda mengibarkan bendera komunis, adakah itu perkauman?” soal Kavanagh.
Menyebabkan pertemuan Kavanagh dengan kumpulan itu kini menjadi tular di seluruh dunia.
Kavanagh memberitahu media selepas videonya menjadi tular, kumpulan itu mungkin tersinggung apabila dia tersilap memanggil mereka kru TV Jepun pada awal strim langsungnya.
YouTuber itu berkata dia mengenali rakan yang sedang membuat penggambaran berdekatan dengan stesen TV Jepun dan pada mulanya menganggap kumpulan dari China itu juga dari bawah pasukan yang sama.
Videonya telah ditonton hampir 8 juta kali setakat hari ini selepas penstriman langsung tamat. Ia juga telah menjadi viral di X dan Facebook.
Klip pertemuan itu turut disiarkan di Weibo, platform media sosial popular di China, di mana kumpulan itu turut telah dikritik.
Kavanagh berkata adalah ironis dengan cuba mengeluarkan imej mereka daripada videonya, kumpulan itu telah menjadi tular. “Ini adalah video kesan Streisand klasik, ” katanya, merujuk kepada apabila seseorang yang cuba bersembunyi dari pandangan umum menjadi lebih menonjol melalui usaha mereka.
Kavanagh berkata tindak balas dalam talian juga telah ditujukan kepada pegawai polis stesen kereta api yang menyuruhnya menghentikan penggambaran.
“Saya rasa kelakuannya benar-benar tidak mengikut peraturan,” kata Kavanagh.
Jabatan Polis Pengangkutan Britain tidak menjawab untuk memberi komen berkenaan insiden itu.
Undang-Undang United Kingdom membenarkan orang ramai membuat penggambaran di khalayak ramai dan polis tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka.
Kavanagh juga menggandakan pendiriannya bahawa dia tidak membuat kenyataan kontroversi terhadap kumpulan itu.
Hak imej peribadi baru-baru ini menjadi titik kilat di China selepas seorang bekas eksekutif perusahaan negara menjadi tular pada bulan Jun tahun lalu kerana dirakam berpegangan tangan di khalayak ramai dengan seorang wanita yang bukan isterinya.
Kod sivil China menyatakan bahawa setiap orang memegang hak undang-undang untuk imej dan rupa mereka, yang tidak boleh diterbitkan dalam talian tanpa persetujuan mereka. Tiada perlindungan di sebalik tabir berbentuk kod sedemikian yang wujud di UK.
Kavanagh mendedahkan di media, terdapat e-mel dari YouTube yang menyatakan aduan privasi dibuat terhadap videonya dan kandungannya akan disemak.
“Tetapi kini berjuta-juta orang telah melihatnya,” katanya.
Kedutaan China di London dan Google tidak menjawab permintaan untuk memberi komen.
Ibu bapa dan hadirin yang menyaksikan acara sukan tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Libang di Komples Sukan Ranau itu terhibur kerana rupa-rupanya pelari tiba-tiba hilang itu tidak hilang sebenarnya.
Namun mereka hanya tidak kelihatan akibat kehadiran kabus yang tebal.
Seorang bapa kepada salah seorang peserta larian merakam detik unik tersebut dan memuat naik video rakaman di Facebook.
Video tersebut kemudiannya tular dan mendapat perhatian ramai warga siber.
Menurut Adzlan Jeffery,44, dia bersama ibu bapa lain yang menonton pertandingan larian dari astaka tidak dapat melihat peserta di balapan selepas mereka memulakan larian.
Suasana balapan yang samar-samar.
Hanya kedengaran suara penonton yang menyebut ‘mana orangnya’ kerana semua peserta acara 4X100 meter itu tidak kelihatan akibat ditutupi kabus.
Anak Adzlan yang berusia 12 tahun bersama tiga rakan pasukan muncul sebagai juara menerusi acara yang dipertandingkan tersebut.
“Saya lebih merasa ‘kejadian’ itu sebagai lucu kerana keberadaan peserta tidak kelihatan.
“Menariknya semua penonton menunggu dengan debaran siapakah pelari yang akan muncul dahulu dari sebalik kabus berkenaan,”kata Adzlan.
Difahamkan, kedudukan Kompleks Sukan Ranau yang terletak di kawasan tanah tingggi menyebabkan kompleks sering diselimuti kabus tebal teutama pada waktu pagi dan selepas hujan.
Menurut Brother Nan, pada tahun ini dia membuat perubahan iaitu membatalkan acara makan malam tahunan yang biasa dilakukan oleh syarikatnya.
Tindakan itu sebenarnya tidak terhenti di situ sahaja.
Hal ini dikatakan demikian kerana Brother Nan telah memberikan NT$10,000 (hampir RM1509) kepada setiap pekerjanya sebagai ganti.
Brother Nan memberitahu pembatalan itu disebabkan pekerjanya berasa tertekan dengan acara makan malam tahunan bersama para majikan yang lain.
Katanya lagi, mungkin disebabkan pekerja sukar mendapat cabutan bertuah, mereka berasa tidak bertuah lantaran makan malam tahunan tersebut tidak perlu diadakan.
Brother Nan tidak mentah-mentah menolak setelah mendengar pendapat para pekerjanya.
Sebaliknya dia cuba melakukan perkara yang menggembirakan para pekerjanya.
Kata Brother Nan lagi, satu tindakan yang bagus apabila syarikat perlahan-lahan cuba melakukan sesuatu yang disukai oleh para pekerjanya.