25.8 C
Kuala Lumpur
Monday, July 21, 2025
Utama Blog Laman 40

“10 tahun berlalu, orang ramai masih salahkan saya” – Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman

0

KUALA LUMPUR: “10 tahun berlalu, orang ramai masih mempersoalkan dan menyalahkan saya berhubung kehilangan MH370,” kata Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Sinar Harian

Bekas Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ini juga dituduh menyembunyikan maklumat mengenai kehilangan pesawat MH370 tersebut.

Pesawat MH370 hilang tanpa jejak sebaik berlepas pada awal pagi 8 Mac 2014 dalam perjalanan menuju ke Beijing.

Insiden berkenaan mencetuskan misteri global malah persoalan mengenai mengapa pesawat itu berpatah balik ke Semenanjung Malaysia masih belum terjawab hingga ke hari ini.

Azharuddin menyifatkan kehilangan 239 penumpang dan anak kapal dalam tragedi MH370 sebagai kes paling mencabar yang pernah beliau kendalikan.

Tragedi MH370 itu juga merupakan misteri penerbangan terbesar setakat ini.

Bagi Azharuddin sendiri, memori duka itu tetap membelenggunya selaku individu penting yang mengetuai dan menguruskan pencarian pesawat dalam tempoh yang sangat sukar.

Terdahulu, CAAM dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam (DCA), menyelia operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur dan Azharuddin mengetuai DCA ketika insiden tragis itu berlaku.

Menurut Azharuddin, masyarakat masih ingin tahu dan sering bertanya kepadanya mengenai misi pencarian yang dijalankan.

Namun, sesetengah keluarga masih tidak percaya kepada (CAAM) selepas sedekad, katanya dalam nada sedih.

“Setiap kali saya menghadiri majlis perkahwinan atau aktiviti surau, orang ramai akan bertanya kepada saya apa yang sebenarnya berlaku,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

“Berdasarkan cara pesawat itu berpatah balik, terbang ke Pulau Pinang, Langkawi dan Sumatera, kemudian kembali semula, ia sudah pasti dikendalikan oleh juruterbang yang tahu apa yang dilakukannya dan individu yang pernah menerbangkan pesawat Boeing 777 kerana juruterbang mengikut jejak atau laluan penerbangan syarikat penerbangan komersial.”

“Tetapi siapakah juruterbang itu, tiada siapa tahu.”

“Adakah beliau Kapten Zaharie Ahmad Shah? Atau adakah individu lain? Sekiranya Zaharie, di manakah pembantu juruterbang?,” jelasnya.

Menurut Azharuddin lagi, pesawat MH370 tidak mempunyai perlindungan seperti peralatan yang menghalang individu yang tidak berkenaan daripada mengawal pesawat itu.

MH370 yang sepatutnya mendarat di Beijing pada 8 Mac 2014, dilaporkan hilang daripada skrin radar kira-kira dua jam selepas berlepas.

Bernama

Azharuddin menyangkal teori yang dibentangkan menerusi tiga episod bertajuk, MH370: The Plane that Disappeared yang ditayangkan oleh Netflix pada Mac tahun lalu.

“Saya tidak berpuas hati dengan hasil siri itu sehingga saya menulis surat kepada mereka (penerbit) berhubung ketidakpuasan saya.”

“Pada mulanya mereka memaklumkan penekanan siri itu adalah berhubung tema kesedihan dan mengadakan temu bual selama lapan jam dengan saya,” katanya.

Susulan kehilangan MH370, operasi besar-besaran melibatkan beberapa negara telah dijalankan di selatan Lautan Hindi namun pesawat mahupun serpihannya tidak ditemukan.

Operasi pencarian yang meluas membabitkan 120,000 meter persegi lokasi pencarian merangkumi udara, permukaan laut dan dasar laut dijalankan oleh Malaysia dan sebahagian syarikat antarabangsa.

Pada 4 Mac 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk membuka semula siasatan kehilangan pesawat MH370 sekiranya terdapat bukti baharu dah kukuh.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula memberi jaminan bahawa kementeriannya komited untuk mendapatkan kelulusan Kabinet bagi memeterai kontrak baharu dengan Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian pesawat MH370 terbabit.

Menurut Anthony sebaik selesai cadangan Ocean Infinity, Malaysia akan menghubungi kerajaan Australia untuk mendapatkan kerjasama negara itu bagi memudahkan operasi pencarian.

Ahli keluarga kepada mangsa MH370 masih berharap agar perkara ini menemukan penyelesaian.

Walaupun ketidakpastian masih menyelubungi, mari kita terus optimis bahawa percubaan baharu ini akhirnya akan memberikan keadilan dan jawapan.

Pencipta komik Dragon Ball, Akira Toriyama meninggal dunia

0

Pencipta komik Dragon Ball, Akira Toriyama disahkan meninggal dunia pada usia 68 tahun oleh pasukan produksinya, Bird Studio pada Jumaat.

The Japan Times

Menurut Bird Studio menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman web rasmi Dragon Ball, mendiang Akira meninggal dunia pada 1 Mac.

“Kami sangat berdukacita untuk memaklumkan kepada anda bahawa pencipta komik Akira Toriyama meninggal dunia pada 1 Mac akibat hematoma subdural akut.”

Tarikh upaca pengebumian belum diumumkan namun yang pasti hanya akan dihadiri oleh ahli keluarga dan saudara terdekat.

Bird Studio turut mengingatkan orang ramai agar tidak menghantar bunga, hadiah serta menemu bual keluarga mendiang sebagai tanda penghormatan.

Dragon Ball Official Site

Pencipta komik Dragon Ball ini lahir di Nagoya, Jepun pada tahun 1955. Beliau mula melukis sejak kecil lagi. Selepas tamat sekolah menengah, mendiang Akira tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sebaliknya mula bekerja di sebuah agensi pengiklanan dengan mereka poster.

Kali pertama mendiang Akira terlibat dengan industri manga ialah pada usia 23 tahun. Beliau menghantar karyanya untuk satu pertandingan yang diadakan oleh sebuah majalah manga mingguan, namun tidak berjaya.

Selepas itu, mendiang Akira mula menghantar lukisan ke sebuah penerbitan lain iaitu Weekly Shōnen Jump.

Pada 1978, Weekly Shōnen Jump menerbitkan karya pertama mendiang Akira yang bertajuk Wonder Island. Walau bagaimanapun karya tersebut termasuk Dirty Harry dan siri sains-fiksyen Ultraman tidak mendapat sambutan daripada pembaca.

Mendiang Akira tidak berputus asa dan terus melukis. Pada tahun 1980, beliau mencapai kejayaan besar menerusi siri komedi, Dr Slump.

Dr Slump diterbitkan secara bersiri dalam Weekly Shōnen Jump sehingga tahun 1984. Apabila adaptasi anime mula disiarkan di televisyen, mendiang Akira menubuhkan Bird Studio sempena kejayaan awalnya.

Pada tahun 1982, mendiang Akira berkahwin dengan rakan seperjuangannya Yoshimi Katō. Mereka dikurniakan dua orang anak.

Dragon Ball pula dihasilkan pada tahun 1984. Hasil karya ini telah membawa mendiang Akira ke peringkat antarabangsa dan menjadikannya salah seorang penulis manga terlaris di Jepun.

The Guardian

Watak Son Goku dalam Dragon Ball amat diingati. Mendiang Akira mengambil inspirasi daripada filem-filem aksi China dan Hong Kong serta budaya rakyat Jepun untuk menghasilkan siri kegemaran ramai ini.

Dalam pada itu Bird Studio menyatakan masih ada beberapa karya yang sedang disiapkan oleh mendiang Akira. Mereka belum memutuskan apa-apa rancangan akan datang dan akan mengumumkan apabila semuanya telah disahkan.

Bird Studio mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang sudah menyokong mendiang Akira. Atas sokongan orang ramai, mendiang dapat terus berkarya lebih 45 tahun. Mereka juga berharap agar orang ramai terus menyokong karya unik mendiang Akira.

Majlis perkahwinan pasangan pengantin Melayu dan Cina meriah

0

Perkahwinan berlainan bangsa dan agama bukan lagi perkara asing dalam kalangan rakyat Malaysia contohnya pasangan pengantin Melayu dan Cina.

Sin Chew

Pasangan Elyia Rahman dan Wong Hong Sheng baru-baru ini mengikat janji setia menerusi perkahwinan yang diraikan dengan begitu meriah sekali.

Video majlis perkahwinan pengantin Melayu dan Cina ini dimuat naik oleh saudara pengantin perempuan, Mohd Faizal Fuad di Facebook pada 27 Februari lalu mendapat 1.7 juta views dan 2.3 ribu shares.

Majlis perkahwinan tersebut bertambah seri dengan berlatarbelakangkan pelamin yang menggabungkan konsep dua budaya iaitu Melayu dan Cina.

NST

Selain bergambar mesra bersama ahli keluarga, pasangan pengantin turut melakukan upacara minum teh China yang dikenali sebagai cha dao.

Menerusi upacara minum teh China ini, pasangan pengantin akan menghidangkan teh kepada ahli keluarga.

Selain ibu bapa, pasangan pengantin turut menghidangkan teh kepada datuk nenek, mak cik, pak cik, dan orang yang lebih tua lain sebagai tanda penghormatan.

Sin Chew

Dalam pada itu, pengantin turut bersalam sambil mencium tangan ibu bapa masing-masing serta ibu bapa mentua.

Amalan bersalam sambil mencium tangan yang sudah sebati dengan masyarakat Melayu ini merupakan lambang penghormatan atau kepatuhan kepada orang yang lebih tua.

Situasi yang sering dilihat bagi amalan mencium tangan adalah antara anak dan ibu bapa, anak murid dan guru, antara suami dan isteri atau antara orang bawahan dan pemimpin.

Sin Chew

Sementara itu, menurut kakak pengantin perempuan, Farah Jehan perkahwinan adiknya itu telah menyatukan dua buah keluarga.

Farah juga percaya pasangan pengantin mampu menjaga kedua-dua buah keluarga.

“Sebagai kakak, saya berbangga dengan mereka berdua kerana menjaga kedua-dua ibu bapa.”

“Malah sebelum berkahwin, mereka saling mengambil berat akan tanggungjawab terhadap keluarga. Jangan bimbang, dengan ikatan ini saya percaya mereka akan lebih menyayangi ibu bapa, menghormati dan menghargai semua ahli keluarga,” kata Farah.

Sin Chew

Video majlis perkahwinan tersebut telah menyentuh banyak hati warga siber terutamanya di Facebook.

“Semoga mereka bahagia selamanya dan tahniah kepada pasangan pengantin,” kata salah seorang warga siber.

Melaka bawa pulang artifak, dokumen berkaitan Hang Tuah Mei ini

0

MELAKA: Kerajaan Melaka akan membawa pulang beberapa artifak dan dokumen berkaitan Hang Tuah untuk dipamerkan kepada pengunjung Mei ini.

Bernama

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah melaksanakan Kajian Penyelidikan Mengukuh Kewujudan Hang Tuah di beberapa negara di Eropah dan Asia.

Menurut Ab Rauf, misi itu dilaksanakan kerajaan negeri bagi merungkai kewujudan Hang Tuah dan meluruskan ‘kebengkokan’ sejarah Melaka oleh penjajah.

“Antara artifak yang ditemukan semasa misi berkenaan adalah manuskrip Hikayat Hang Tuah tertua di dunia yang bertarikh 1758.”

“Hikayat Hang Tuah yang diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa asing di Leiden University, Belanda.”

“Selain itu, Peca de Malaca di Museu Militar de Lisbao iaitu selaras meriam yang dihadiahkan oleh Raja Calicut, India kepada Sultan Melaka semasa menentang serangan Portugis,” katanya.

Turut ditemukan dalam misi itu adalah peta lama Planisfera Cantino yang tercatat nama Malaqua bertarikh 1502 di Museu Marinha, Lisbon.

Keris lok sembilan dan dokumen rekod rasmi “Rekidai Hoan’, kerajaan Ryukyu ditemui di Pusat Arkeologi Okinawa, Jepun menerusi misi tersebut.

Dokumen rekod rasmi tersebut mengandungi 19 surat kerajaan Ryukyu kepada kerajaan Melaka serta 11 surat daripada kerajaan Melaka sekitar tahun 1480.

Antara surat yang ditemukan tersebut tertera nama Laksamana Hang Tuah.

Justeru, kerajaan Melaka telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk membawa pulang artifak dan dokumen berkaitan Hang Tuah daripada beberapa negara berkenaan.

Kemudian, kerajaan negeri akan mempamerkan barangan tersebut kepada rakyat Melaka pada Mei ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Kata Ab Rauf lagi, bagi menyokong usaha berkenaan, Institut Kajian Tuah (IKAT) ditubuhkan di bawah Universiti Islam Melaka (UNIMEL) sebagai pusat rujukan sehenti dan pengumpulan maklumat berkaitan sejarah Hang Tuah.

Pasangan cedera selepas tercampak dari permainan ‘sotong ride’ di pesta ria Sabah

0

KOTA KINABALU – Dua pengunjung cedera di kepala selepas terjatuh dan tercampak keluar dari salah satu permainan di pesta ria (funfair) berhampiran Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu, Sabah dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, 6 Mac.

Dua mangsa lelaki dan wanita dewasa dipercayai terjatuh dari alat permainan ‘sotong ride’ atau ‘sotong-sotong’ yang sedang bergerak.

Facebook

Beberapa video dan gambar mengenai kejadian itu kini tular di beberapa platform media sosial.

Salah seorang pengguna Facebook memaklumkan dia turut berada di lokasi kejadian dan terkejut melihat insiden dua mangsa berada dalam keadaan terbaring berlumuran darah di bahagian kepala.

Dia turut merakam video kejadian itu dan menzahirkan rasa simpati buat kedua-dua mangsa.

@mynewshub/X

“Mangsa jatuh betul-betul di sebelah kami, keadaan ini sangat seram dan faktor keselamatan tidak terjamin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.58 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Kota Kinabalu tiba di lokasi kejadian dan mendapati seorang mangsa wanita mengalami kecederaan di kepala selepas tercampak keluar dari permainan di funfair tersebut.

Facebook

“Mangsa telah diberikan rawatan awal oleh anggota pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya dihantar ke hospital Queen Elizabeth II menggunakan jentera EMRS bomba,” katanya dalam kenyataan pada 7 Mac.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, dalam kejadian sama, seorang lagi mangsa lelaki telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Queen Elizabeth II sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

Facebook

“Dan hasil daripada maklumat yang perolehi bomba, mangsa lelaki tersebut juga mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya.

“Operasi keseluruhan ditamatkan pada jam 9.40 malam,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Kebakaran dan Penyelamat Sabah Hamsa Isnurdini memaklumkan dua mangsa yang difahamkan pasangan lelaki (nama tidak tersedia) dan wanita, Junaidah Tarasan, 29, mengalami kecederaan serius selepas tercampak keluar dari mesin permainan “sotong ride”.

“Wanita itu cedera di kepalanya sementara mangsa lelaki lebih serius,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa masih dirawat di zon kritikal Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Zaidi Abdullah berkata Pesuruhjaya Polis Sabah telah mengarahkan pengendali Pesta Ria (Fun Fair) berkenaan untuk menghentikan operasi bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas semua mesin permainannya.

“Apabila semua langkah keselamatan dan semua mesin didapati telah berada dalam keadaan yang baik, mereka boleh buka dan beroperasi semula,” katanya.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Helikopter Maritim Malaysia terhempas, semua mangsa terselamat

0

KUALA LUMPUR: Sebuah helikopter jenis Agusta Westland AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terhempas dekat Pulau Angsa, Kuala Selangor.

BH Online

Empat penumpang termasuk juruterbang dilaporkan selamat dalam nahas tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 10 pagi.

“Maklumat awal yang diterima terdapat empat orang mangsa dan diselamatkan nelayan,” katanya.

BH Online

Menurut Maritim Malaysia, pasukannya melakukan pendaratan cemas ketika latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada pukul 9.55 pagi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata operasi mencari dan menyelamat diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Selain itu, Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Putrajaya turut turun padang selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada pemancing.

Jelas Datuk Hamid dalam satu kenyataan, pesawat itu diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran 1 (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

“Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah Bot Pengawal 25 dari Maritim Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 dari Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS 365 N3 Dauphine Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang.”

“Semua kru AW139 diselamatkan oleh pesawat As 365 N3 dan diterbangkan ke Stesen Udara Maritim Subang.”

Kata Datuk Hamid lagi, sebelum itu, bot pemancing di tempat kejadian memberi bantuan awal kepada kru terbabit.

Manakala 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) serta KM Bagan Datuk turut diatur gerak bagi melakukan kawalan keselamatan.

Menurut Datuk Hamid lagi, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 11.15 pagi dan Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kejadian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud turut mengeluarkan kenyataan.

BH Online

“Helikopter berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 9.10 pagi bagi latihan penerbangan.”

“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan tradik udara dilaporkan pada 9.20 pagi, namun tiada panggilan kecemasan diterima.”

“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenalpasti lokasi helikopter.”

Jelas Datuk Kapten Norazman lagi, semua mangsa diselamatkan dengan helikopter penyelamat yang kemudian mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada pukul 10.58 pagi.

Dalam pada itu, saksi kejadian Mohd Riduan Kulop Ahmad, 38, berkata ketika kejadian dia bersama tujuh lagi rakan sedang memancing tidak jauh dari lokasi kejadian.

Menurut Mohd Riduan, dia dan rakan-rakan terkejut serta cemas apabila melihat sebuah helikopter terbang rendah dan berpusing-pusing sebelum jatuh ke laut.

“Melihat kejadian itu saya terus menghubungi talian kecemasan 999, untuk memaklumkan pihak berkuasa mengenai kejadian itu.”

“Tidak lama kemudian saya lihat ada pihak yang datang menyelamatkan mereka yang berada di dalam helikopter tersebut,” katanya menerusi satu video ringkas bersama media.

Hannah Yeoh pernah tegur Joe Flizzow kerana berseluar ‘baggy’ dan baju sekolah selalu tak ‘tuck in’

0

Semasa Hannah Yeoh menjadi ketua pengawas di sekolah, beliau terpaksa berhadapan dengan pelajar bernama Joe Flizzow yang nakal.

Menteri Belia dan Sukan itu berkongsi pengalamannya menegur penyanyi rap dan ikon hip-hop terkenal Malaysia itu semasa menjadi ketua pengawas di SMK Subang Utama, Selangor.

TikTok

Dalam klip TikTok yang tular, Hannah Yeoh berkata Joe Flizzow lebih suka menonjolkan diri dengan penampilannya yang lain daripada pelajar lain melalui pilihan fesyennya.

“Uniform dia selalu sedikit berbeza daripada yang lain. Dia pakai seluar ‘baggy’ dan bajunya selalu tak ‘tuck in’ (dimasukkan ke dalam). 

Sebagai ketua pengawas, saya selalu tegur dia untuk membetulkan cara pemakaiannya,” katanya dalam klip video tular itu.

Joe kemudian membalas kenyataan Hannah dengan berkata lebih baik menjadi nakal berbanding jahat.

TikTok

“Nakal lagi elok berbanding jahat. Nakal tak apa. Degil tak apa, jangan jahat je,” balas pelantun lagu Satu Malam di Temasek dan ahli kumpulan Too Phat itu.

Klip tular itu merupakan antara ‘teaser’ dokumentari tentang kehidupan dan kerjaya Joe Flizzow, bertajuk This Is Johan yang kini boleh ditonton menerusi platform penstriman, Viu.

This Is Johan mengisahkan perjalanan kehidupan Joe Flizzow atau nama sebenarnya, Johan Ishak daripada budak sekolah nakal kepada legenda rap, memperincikan bagaimana beliau mengatasi pelbagai liku dan perjuangan sehingga memberi inspirasi kepada para peminatnya.

Tonton video di bawah:

Taman permainan udara China cetus kebimbangan keselamatan

0

CHINA: Sebuah taman permainan udara China cetus kebimbangan keselamatan kerana pengunjung langsung tidak dibekalkan dengan alat keselamatan.

South China Morning Post

Taman permainan ini dibina di sebuah tapak pelancongan di China timur dengan menggunakan sebuah jaring besar.

Jaring besar itu tergantung pada ketinggian 200 meter dari tanah yang dihubungkan melalui dua buah cenuram yang ditengahnya terdapat kolam.

Difahamkan jaring berkeluasan 1,500 meter persegi tersebut dibuat daripada bahan polietilena berketumpatan tinggi.

South China Morning Post

Pengusaha taman permainan ini menggunakan dua lapis jaring besar berkenaan sebagai satu langkah keselamatan.

Kanak-kanak, orang dewasa, remaja mahupun warga emas dibenarkan untuk bermain di situ.

Mereka bebas melakukan aktiviti seperti bermain dengan bola yang dibekalkan oleh pengusaha. Mereka juga boleh menikmati pemandangan indah secara santai.

South China Morning Post

Taman permainan berkenaan boleh memuatkan 50 orang dalam satu masa dengan maksimum berat badan 90 kilogram bagi seorang pengunjung.

“Bagi pengunjung dewasa, bersantai di atas jaring ini boleh membawa mereka mengenang kembali zaman kanak-kanak mereka.”

“Walaupun anda tidak mahu bergerak, dan hanya berehat di bawah sinaran matahari, ia masih menenangkan.”

South China Morning Post

“Kanak-kanak tidak mahu meninggalkannya sekali mereka memijaknya. Mereka terus melompat dan berkejaran antara satu sama lain dengan gembiranya,” kata pengurus taman mainan itu.

“Taman permainan ini betul-betul melebihi jangkaan kami.” kata salah seorang pengunjung.

Namun demikian, pengunjung tidak dibekalkan dengan sebarang alat kesalamatan.

“Kami mementingkan nyawa semua orang. Jika ia tidak selamat, ia tidak akan beroperasi,” kata pengusaha. Bagi mengusir kebimbangan orang ramai, pengusaha mendakwa mereka melakukan pemeriksaan harian terhadap taman permainan tersebut.

Sebenarnya, ramai orang tidak tertarik hati dengan taman permainan tersebut.

South China Morning Post

“Tak bolehkah kalau main di atas tanah sahaja? Jika berlaku kemalangan, macam mana nak selamatkan diri?” kata salah seorang warga siber.

Ada juga individu yang mengatakan dia tidak berdaya untuk berdiri di atas jaring tersebut biarpun dibayar untuk melakukannya.

Selepas menyaksikan sendiri video yang dikongsi oleh South China Morning Post, adakah anda berani untuk bermain di taman permainan udara China ini?

Remaja ditahan susulan tular gambar pegang senjata api

0

KOTA KINABALU: Seorang remaja ditahan susulan gambarnya memegang alat seakan-akan senjata api di tingkap blok sebuah kondominium di sini tular di WhatsApp.

BH Online

Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan remaja berusia 15 tahun itu di rumahnya pada pukul 5.36 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai gambar tular di kumpulan WhatsApp.

Gambar tersebut memaparkan seorang remaja memegang alat menyerupai senjata api di tingkap kondominium di Jalan Kayu Madang.

Menurut Mohd Zaidi, menerusi pemeriksaan yang dijalankan sepasukan polis menemui selaras senjata api tiruan menyerupai AK47 serta sepucuk pistol tiruan.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatannya pada jam 9 pagi Sabtu lalu bertempat di tangga, dengan menggunakan senjata api terbabit untuk menembak ke arah beberapa objek yang dijadikan sasaran.”

“Suspek juga mengaku membeli dua senjata api tiruan di sebuah kedai di bandar raya ini dengan harga RM158 dan RM54,” katanya ketika dihubungi media.

Jelas Mohd Zaidi lagi, pasukan polis kemudiannya membuat serbuan di kedai menjual senjata api tiruan yang terletak di sebuah kompleks beli-belah di sini.

“Sejumlah senjata tiruan dirampas dan menahan seorang lelaki dan wanita berusia 15 dan 19 tahun yang bekerja di premis berkenaan.”

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” kata Mohd Zaidi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Gara-gara pisang goreng, kanak-kanak di Jepun mahu ke Malaysia

0

Gara-gara pisang goreng, sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di Jepun menyatakan hasrat mereka untuk datang ke Malaysia.

TikTok

Menurut pemilik akaun TikTok @tinggalkatjepun, beliau ingin berkongsi cara-cara menyediakan pisang goreng dengan sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di bandar Hioki.

Kanak-kanak berkenaan kelihatan begitu teruja dengan program pada hari tersebut. Mereka mendengar taklimat yang disampaikan oleh @tinggalkatjepun dengan penuh tekun.

Selepas taklimat diberikan, kanak-kanak tersebut berpeluang melakukan sendiri penyediaan pisang goreng langkah demi langkah dengan pengawasan orang dewasa.

TikTok

Bermula dengan menimbang tepung, menyediakan adunan tepung, menggoreng pisang sehinggalah menghias pisang goreng, semuanya dilakukan oleh kumpulan kanak-kanak yang bertuah itu.

Sepanjang program dijalankan, mereka sangat teruja dan kelihatan tidak sabar untuk melihat hasilnya.

TikTok

Sebaik sahaja mereka merasai pisang goreng tersebut jelas terpancar rasa kagum pada wajah mereka terhadap menu petang kebiasaan rakyat Malaysia itu. Menurut mereka pisang goreng itu sangat sedap.

Selain itu, kanak-kanak ini turut menyatakan hasrat untuk datang ke Malaysia bagi menikmati lagi pisang goreng.

TikTok

Pada akhir video, @tinggalkatjepun yang bekerja sebagai koordinator hubungan antarabangsa di Jepun menyatakan hasrat untuk memperbanyakkan lagi program seumpama itu bagi memperkenalkan budaya Malaysia kepada rakyat Jepun.

Siapa sangka, gara-gara pisang goreng Malaysia bakal menerima kunjungan daripada pelancong luar negara.