Sepasukan saintis dari Australia memberi amaran mengenai kejadian ribut besar di angkasa lepas yang bakal berlaku dalam dekad akan datang dan mampu mencetuskan keadaan digelar ‘kiamat internet’.
Ramalan yang dibuat saintis itu telah dilaporkan oleh akhbar Daily Star pada 25 Oktober 2022.
Kejadian itu diramal akan menyebabkan gangguan talian selama berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun dengan merosakkan satelit dan kuasa talian, kata saintis.
“Berdasarkan data yang tersedia, terdapat kira-kira satu peratus peluang untuk melihat ribut lain dalam dekad akan datang.
“Namun, kami tidak tahu bagaimana untuk meramalkannya atau apa-apa kemudaratan yang mungkin berlaku disebabkannya. Kemungkinan ini agak membimbangkan, dan meletakkan asas untuk penyelidikan lanjut,” kata Dr. Benjamin Pope dari Universiti Queensland, Australia.
Pasukan saintis itu menggunakan lapisan pada batang kayu untuk meramalkan fenomena sedemikian.
“Letusan besar sinaran kosmik yang dikenali sebagai “Peristiwa Miyake” ini berlaku kira-kira sekali setiap 1,000 tahun tetapi puncanya tidak jelas.
“Teori utama adalah letusan suria yang besar. Kita perlu mengetahui lebih lanjut kerana jika salah satu daripadanya berlaku hari ini, ia akan memusnahkan teknologi termasuk satelit, kabel internet, talian kuasa jarak jauh dan transformer.
“Kesan ke atas infrastruktur global juga tidak dapat dibayangkan,” tambah Dr. Pope.
Pakar bimbang ribut itu akan melanda bumi dan manusia yang mendiaminya menjelang akhir abad ini.
Penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the Royal Society A Mathematical Physical and Engineering Sciences seperti yang dilaporkan Daily Star.