Pencipta komik Dragon Ball, Akira Toriyama disahkan meninggal dunia pada usia 68 tahun oleh pasukan produksinya, Bird Studio pada Jumaat.
Menurut Bird Studio menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman web rasmi Dragon Ball, mendiang Akira meninggal dunia pada 1 Mac.
“Kami sangat berdukacita untuk memaklumkan kepada anda bahawa pencipta komik Akira Toriyama meninggal dunia pada 1 Mac akibat hematoma subdural akut.”
Tarikh upaca pengebumian belum diumumkan namun yang pasti hanya akan dihadiri oleh ahli keluarga dan saudara terdekat.
Bird Studio turut mengingatkan orang ramai agar tidak menghantar bunga, hadiah serta menemu bual keluarga mendiang sebagai tanda penghormatan.
Pencipta komik Dragon Ball ini lahir di Nagoya, Jepun pada tahun 1955. Beliau mula melukis sejak kecil lagi. Selepas tamat sekolah menengah, mendiang Akira tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sebaliknya mula bekerja di sebuah agensi pengiklanan dengan mereka poster.
Kali pertama mendiang Akira terlibat dengan industri manga ialah pada usia 23 tahun. Beliau menghantar karyanya untuk satu pertandingan yang diadakan oleh sebuah majalah manga mingguan, namun tidak berjaya.
Selepas itu, mendiang Akira mula menghantar lukisan ke sebuah penerbitan lain iaitu Weekly Shōnen Jump.
Pada 1978, Weekly Shōnen Jump menerbitkan karya pertama mendiang Akira yang bertajuk Wonder Island. Walau bagaimanapun karya tersebut termasuk Dirty Harry dan siri sains-fiksyen Ultraman tidak mendapat sambutan daripada pembaca.
Mendiang Akira tidak berputus asa dan terus melukis. Pada tahun 1980, beliau mencapai kejayaan besar menerusi siri komedi, Dr Slump.
Dr Slump diterbitkan secara bersiri dalam Weekly Shōnen Jump sehingga tahun 1984. Apabila adaptasi anime mula disiarkan di televisyen, mendiang Akira menubuhkan Bird Studio sempena kejayaan awalnya.
Pada tahun 1982, mendiang Akira berkahwin dengan rakan seperjuangannya Yoshimi Katō. Mereka dikurniakan dua orang anak.
Dragon Ball pula dihasilkan pada tahun 1984. Hasil karya ini telah membawa mendiang Akira ke peringkat antarabangsa dan menjadikannya salah seorang penulis manga terlaris di Jepun.
Watak Son Goku dalam Dragon Ball amat diingati. Mendiang Akira mengambil inspirasi daripada filem-filem aksi China dan Hong Kong serta budaya rakyat Jepun untuk menghasilkan siri kegemaran ramai ini.
Dalam pada itu Bird Studio menyatakan masih ada beberapa karya yang sedang disiapkan oleh mendiang Akira. Mereka belum memutuskan apa-apa rancangan akan datang dan akan mengumumkan apabila semuanya telah disahkan.
Bird Studio mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang sudah menyokong mendiang Akira. Atas sokongan orang ramai, mendiang dapat terus berkarya lebih 45 tahun. Mereka juga berharap agar orang ramai terus menyokong karya unik mendiang Akira.