Mungkin senario biasa apabila kita melihat beberapa pelanggan gerai dan restoran mengambil cili jeruk atau cili kicap untuk dimakan bersama hidangan mi, bubur, sup atau nasi, tetapi tidak berhemat.
Itu yang disuarakan oleh seorang pemilik kedai makan yang berkata dia menghabiskan masa yang lama untuk memotong dan menghiris cili api sendiri dan menjeruknya.
Tetapi malangnya ada sesetengah pelanggan mengambil terlalu banyak sehingga mereka tidak dapat menghabiskan, lalu menyebabkan ia menjadi satu pembaziran yang mengundang kerugian kepada peniaga.
Pengguna Facebook dengan nama Tingvui Kevin Voo, menjalankan perniagaan makanan di Tanang, Kota Kinabalu, menyuarakan rasa terkilan dan sedihnya apabila mendakwa ketika membersihkan meja makan, dia mendapati pelanggan telah mengambil cili jeruk yang terlalu banyak tetapi tidak dapat menghabiskannya.
Akhirnya, Tingvui terpaksa membuangnya sambil berkata dia berasa sangat-sangat sedih apabila melihat pembaziran melampau yang dilakukan oleh segelintir pelanggannya.
Menerusi gambar yang dimuat naiknya di Facebook, kelihatan terdapat 3 pinggan kecil cili jeruk yang masih penuh tidak dijamah di atas semangkuk sup menyebabkan dia berasa sedih dan kecewa.
“Sebenarnya, bukannya saya tak boleh menerima, tetapi kerana saya sendiri memotong dan memperasakan cili api ini. Sedap kalau terus dimakan, cilinya rasa manis dan tidak terlalu pedas!
“Kalau setakat mahukan sedikit rasa pedas, ambil air jeruk cili sudahlah. Tak perlu ambil cili api dan lepas tu tak makan, ia sangat membazir!!
“Saya rasa sangat sedih, masa yang lama diperlukan untuk membuat cili jeruk,” luah hati Tingvui selepas melihat pembaziran hasil usahanya di depan mata.
Hantaran Tingvui Kevin Voo mendapat perhatian warganet yang berasa simpati dan memahami kerja kerasnya menjalankan perniagaan dengan komen mereka:
“Orang macam ini fikiran mereka tiada timbang rasa. Ini cili jeruk. Masam manis dan sangat menyelerakan bila dimakan bersama mi. Jangan ambil kalau tak nak makan. Rugi betul bila dah ambil lepas tu tak makan!”
“Ambil sikit cili masukkan ke dalam makanan terus kalau mahu..”
“Rasa sikit dululah, kalau sedap baru tambah lagi, jangan tamak..”
“Harga cili sekarang mahal, suruh mereka bayar bila tambah cili lain kali..’
Sementara seorang pemilik kedai makan memberi komen, “Saya pernah berjumpa pelanggan yang tidak makan atau memesan minuman tetapi hanya minum air masak percuma, tetapi mereka bermati-matian menggunakan tisu yang disediakan di kedai.”
Pelanggan yang baik adalah mereka yang bertimbang rasa dan memahami hasil usaha orang lain, elakkan diri daripada menjadi golongan yang sombong dan tamak.