27.2 C
Kuala Lumpur
Friday, September 12, 2025
Utama Blog Laman 386

NASA berjaya rakam suasana yang mengagumkan dari angkasa lepas ketika berlakunya ribut petir di Malaysia

0

Pernah anda bayangkan suasana di angkasa lepas? Dengan ribuan bintang dan pelbagai planet serta bermacam objek angkasa lepas.

Tidak hanya itu, kita juga boleh melihat ke arah bumi dari arah yang paling tinggi. Namun, hanya orang tertentu sahaja yang boleh mendapatkan pengalaman seperti itu contohnya mereka yang bekerja dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).

usembassykl/Twitter

Baru-baru ini NASA dikatakan telah berjaya merakam suasana di Malaysia dari angkasa lepas ketika berlakunya ribut petir.

Melihat pada gambar yang dimuat naik ke internet membuatkan ramai yang kagum, seolah-olah tidak percaya kerana suasana ketika itu begitu menakjubkan.

Mana tidaknya, suasana yang dirakam memperlihatkan Malaysia saat itu dalam keadaan bercahaya dan terang benderang.

Sungguh, itu adalah antara pemandangan yang cukup luar biasa!

“Maaf datang lambat,” Kucing sopan tumpang lalu masuk masjid jadi ‘saksi kehormat’ upacara akad nikah cuit hati ramai

0

Majlis akad nikah adalah upacara paling penting dan mendebarkan buat setiap pasangan pengantin baru.

Pengantin lelaki kadangkala boleh jadi gugup ketika melafazkan akad, terlalu gemuruh sehingga ada yang mengeluarkan perkataan lucu, ditambah pula ketika ditegur tok kadi dengan nada seloroh, yang akan membuat semua hadirin termasuk pengantin akan ketawa.

Twitter

Video yang tular di Twitter ini masih pasal akad nikah pasangan pengantin baru tetapi pencuri perhatiannya bukan tok kadi atau ahli keluarga lain, tetapi ‘tetamu yang tidak diundang’ yang sudahlah datang lambat, terus pula hendak jadi bintang utama dalam klip.

Yang ini, pengantin baru hendak lafaz akad nikah, tiba-tiba masuk mencelah seekor kucing yang tunduk-tunduk malu datang lambat, hendak ikut jadi saksi.

Twitter

Video yang dimuat naik dan dikongsi oleh Luqman Zaini di Twitter dengan kapsyen, “Orang nak kahwin dia buat relax je masuk duduk tepi”

Video tersebut merakam majlis akad nikah pasangan pengantin baru ini yang baru sahaja bermula di dalam sebuah masjid.

Twitter

Ketika baru sahaja tok kadi membacakan khutbah nikah, tiba-tiba muncul seekor kucing berwarna kelabu dengan selamba masuk dengan tunduk hormat ke dalam masjid dan dengan spontan duduk di depan pengantin lelaki.

Gelagatnya sekali gus membuat semua hadirin yang berada di dalam masjid ketawa termasuklah pasangan pengantin yang sudah semestinya sedikit hilang rasa gugup apabila melihat kucing comel itu turut menjadi saksi.

Twitter

Sambil tangannya mengusap manja kucing itu, pengantin lelaki tersenyum penuh gembira melihat gelagat si comel yang nakal ini.

Kedengaran tok kadi berkata, “Dia ni pantang buka pintu masjid, dia yang masuk dulu..”

Twitter

Reaksi lucu dalam video berkenaan telah menjadi tular yang kini meraih lebih 800,000 tontonan, 34,600 retweet, dan 56,000 netizen yang suka yang mana rata-rata memberi komen turut terhibur melihat gelagat selamba kucing tersebut.

Kucing ini nampaknya turut tumpang gembira dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin baru. Tahniah dan Selamat Pengantin Baru.

@lqmnzaini/Twitter

Rakaman video enjin pesawat United Airlines terbakar sebaik berlepas, serpihan enjin dilaporkan jatuh di sekitar Broomfield, Colorado

0

United Airlines mengesahkan penerbangan UA328 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Denver ke Honolulu pada jam 12.15 tengah hari waktu tempatan menghadapi masalah enjin dan memutuskan untuk berpatah balik pada 20 Februari.

Krew United Airlines melaporkan berlaku masalah enjin dan pesawat terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Denver untuk melakukan pendaratan cemas dengan selamat kira-kira jam 1.30 petang 20 Februari.

Paparan Skrin / Facebook

Pesawat UA328 membawa 231 penumpang dan 10 krew penerbangan semasa insiden kebakaran enjin berlaku.

Sebuah rakaman video dari dalam pesawat yang dimuat naik salah seorang penumpang Chad Schnell di Storyful menunjukkan keadaan enjin pesawat 328 United Airlines yang telah meletup dan terbakar.

@LakewoodPDCO/Twitter

Serpihan enjin pesawat United Airlines yang terbakar dilaporkan menghujani bandar Broomfield, Colorado berhampiran Denver.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) berkata pesawat terbabit dalam penerbangan ke Honolulu, Hawaii telah terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antrabangsa Denver dengan mendarat semula dengan selamat selepas menghadapi kerosakan enjin sejurus berlepas.

FAA turut menerima laporan mengenai serpihan pesawat yang jatuh di sekitar laluan penerbangan 328 itu.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang dilaporkan dengan kesemua penumpang dilaporkan selamat dan menaiki penerbangan lain selepas insiden.

@courtney_fromm/Twitter

United Airlines mengeluarkan kenyataan berikut selepas insiden:

“Penerbangan UA328 dari Denver ke Honolulu mengalami kerosakan enjin tidak lama sebaik berlepas, kembali dengan selamat ke Denver dan disambut oleh krew kecemasan sebagai langkah berjaga-jaga. Tiada kecederaan yang dilaporkan di dalam pesawat, dan kami akan berkongsi lebih banyak maklumat setelah bersedia.”

Beberapa jam selepas insiden, Pengerusi Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat (NTSB) Robert Sumwalt memaklumkan siasatan awal mendapati terdapat kerosakan pada bilah kipas di bahagian enjin Pratt & Whitney PW-400 pada pesawat Boeing 777-200 adalah konsisten dengan kelesuan logam.

Namun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan sekiranya kegagalan tersebut sama seperti yang berlaku dengan sebuah lagi pesawat dalam kejadian pada bulan Februari 2018.

Bilah kipas pesawat telah dibawa ke makmal Pratt & Whitney untuk siasatan lanjut yang berada di bawah pengawasan pasukan penyiasat NTSB.

“Yang penting adalah memahami segala fakta, keadaan dan situasi yang berlaku ketika insiden sebelum pihak kami boleh membandingkannya dengan kejadian lain,” kata Sumwalt.

Paparan Skrin / Facebook

FAA mengeluarkan arahan kecemasan mengenai kelayakan pesawat jenis itu untuk terbang yang akan merangkumi pemeriksaan terperinci ke atas bilah kipas bahagian enjin, yang mana pada setiap 6,500 kitaran.

Robert Sumwalt berkata insiden yang melibatkan pesawat United Airlines itu tidak disifatkan sebagai kerosakan enjin yang tidak terkawal kerana kesemua komponen berada pada tempat yang sepatutnya ketika pesawat itu sedang berlepas.

Terdapat kerosakan kecil pada badan pesawat terbabit namun tiada kerosakan struktur yang dikesan, namun pihak NTSB juga turut akan menyiasat mengapa penutup bahagian enjin pesawat boleh tercabut dan bagaimana boleh berlaku kebakaran selepas injap minyak pada enjin pesawat terbabit telah ditutup, jelas Sumwalt.

@BroomfieldPD/Twitter

Dalam pada itu, seorang penduduk di Broomfield, Kirby Klements melaporkan kepada pihak berkuasa setelah serpihan bulat daripada pesawat terbabit telah terjatuh di atas pikap miliknya yang diparkir di hadapan rumah.

“Ia jatuh atas pikap saya manakala serpihan besar yang terpisah mengakibatkan lubang besar hampir dua meter di bumbung rumah jiran. Kejadian yang luar biasa,” kata Klements kepada polis menerusi laman Twitter Jabatan Polis Broomfield.

Tonton video di bawah:

Fox 5 San Diego/Facebook

Penunggang motosikal meninggal dunia setelah dilanggar lari teksi di Jalan Pahang

0

Satu kejadian langgar lari berjaya dirakamkan oleh kamera, di mana ia kemudiannya dikongsikan oleh beberapa laman media sosial sehingga menjadi tular.

Kejadian berkenaan difahamkan berlaku di hadapan stesen minyak Caltex, Jalan Pahang, melibatkan penunggang motosikal dan sebuah teksi.

Menurut laporan, kejadian tersebut difahamkan berlaku pada 23 Disember tahun lalu, sekitar jam 10:30 pagi di lokasi disebutkan.

Menerusi video tersebut, teksi yang terlibat dilihat memecut laju daripada lorong kiri dan kemudiannya memasuki lorong tengah.

Dan pada ketika itulah, teksi berkenaan melanggar sebuah motosikal yang ditunggang pada tepi lorong tengah.

Impak pelanggaran terbabit menyebabkan motosikal gagal dikawal dan penunggangnya jatuh ditengah jalan di hadapan sebuah kenderaan lain.

Mujurlah kenderaan itu sempat berhenti daripada terus melanggarnya, sementara teksi yang melanggarnya pula hanya meneruskan perjalanan seperti biasa.

Walau bagaimanapun, penunggang motosikal terbabit dilaporkan meninggal dunia. Warisnya turut meminta bantuan orang ramai untuk mencari si pelaku yang melanggar penunggang tersebut.

Berikut pula nombor pendaftaran teksi yang melakukan langgar lari tersebut :

Jika sesiapa ada maklumat mengenai kejadian itu, laporkan ke balai polis terdekat. Atau boleh menghubungi ahli keluarga mangsa di talian 016-6721331.

Semoga si pelaku dapat ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.

Lihat video penuh di sini.

Udang galah muncul di gigi air Sungai Kemaman, dipercayai telah dituba

0

Penggunaan racun tuba merupakan satu kesalahan kerana ia akan membawa kesan buruk selain mengancam habitat hidupan akuatik.

Walaupun Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan jelas memperuntukkan kompaun dan penjara namun masih ada individu yang terus melakukannya.

Baru-baru ini, pihak Turtle Conservation Society of Malaysia menerusi Twitter mereka ada berkongsi keadaan di Sungai Kemaman melibatkan penggunaan racun tuba.

Pihak TCSM mula menyedari perkara itu tatkala dalam perjalanan ke tebing pasir untuk menunggu ibu tuntung naik bertelur.

Pada ketika itulah sekumpulan aktivis TCSM melihat udang galah terdampar di gigi air. Ia bukanlah satu pemandangan normal kerana udang galah yang sihat tidak begitu.

Mereka kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada Pejabat Perikanan Kemaman. Beberapa hari kemudian, para pegawai daripada Pejabat Perikanan Kuala Terengganu tiba untuk melawat lokasi.

Tindakan menuba udang galah ini adalah sesuatu yang sangat tidak bertanggungjawab. Racun itu bukan sahaja memberi impak pada sumber makanan seperti udang galah dan ikan sahaja.

Bahkan ia turut memberi kesan negatif terhadap fisiologi tuntung, di mana ia mengakibatkan haiwan berkenaan sakit pada bahagian mata.

Sungguhpun begitu, ia masih lagi dilakukan kerana memudahkan mereka mengaut keuntungan. Hanya perlu kutip sahaja, tidak perlu mengail lama-lama.

Semoga individu tidak bertanggungjawab itu ditangkap oleh pihak berkuasa tidak lama lagi..

Netizen kecewa lihat keadaan rumah transit begitu teruk, tidak dijaga dengan baik. “Ada juga manusia tak reti bersyukur..”

0

Bukan semua orang tahu menghargai bantuan, walaupun ianya diberikan secara percuma dan memanfaatkan mereka sendiri.

Pada 20 Februari lalu, pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) ada memuat naik satu perkongsian di Facebook yang membuka mata orang ramai.

“Sedih rasa, bila rumah transit yang diberi duduk secara percuma ditinggalkan dalam keadaan macam ini”, tulis akaun itu.

Turut disertakan adalah foto yang menunjukkan keadaan rumah transit berkenaan.

Difahamkan bahawa penghuni rumah transit itu sebelum ini menetap di unit terbabit selama dua tahun secara percuma.

Untuk yang kurang jelas, rumah transit adalah unit rumah yang disediakan oleh kerajaan dalam usaha membantu golongan susah.

Penghuni yang memerlukan rumah diberikan masa selama dua tahun untuk menetap di situ sehinggalah mereka akhirnya berpindah keluar selepas itu.

Namun keadaan rumah transit terbabit sangat teruk dan menyedihkan. Beginikah cara penghuni mahu membalas budi atas bantuan yang diberikan?

Rumah itu perlu dibersih dan dibaik pulih ekoran terdapat beberapa benda yang rosak. Cat semula juga perlu dilakukan. Begitu juga dengan tikar getah.

Benar, bantuan itu dapat secara percuma. Adakah kerana ia percuma maka kita tidak perlu menggalas tanggungjawab untuk menjaganya? Apatah lagi rumah itu bukanlah milik kita.

Sebagai penerima bantuan rumah transit tersebut, apa yang termampu dilakukan adalah dengan menjaga rumah tersebut sebaik mungkin.

Hari ini hari kita, esok mungkin hari orang lain. Jadi jagalah ia sebaik mungkin kerana rumah itu juga akan turut diberikan kepada insan lain yang memerlukan.

Selamat bawa pulang kumpulan pertama vaksin COVID-19, KKM zahir terima kasih buat Kapten Hamdan

0

Tanggal 21 Februari, tercatatnya sejarah apabila kumpulan vaksin pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10 pagi.

Ia diterbangkan menerusi penerbangan MH604 dikendalikan oleh MASKargo yang berlepas dari Belgium ke Singapura sebelum ke Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Facebook telah menzahirkan terima kasih kepada kapten MASkargo Airbus A330-300 yang bertanggungjawab dalam misi itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook

Juruterbang yang membawa pesawat jenis Airbus 330-300 yang dimaksudkan itu adalah Kapten Hamdan Che Ismail.

“Beliau adalah orang bertanggungjawab yang menerbangkan pesawat A330 MAS yang membawa pulang vaksin pertama COVID-19 ke negara kita”.

Difahamkan bahawa Kapten Hamdan menerbangkan dua kotak kargo dengan label AKE 10296 MH dan AKE 10679 MH yang tiba di Singapura dari Belgium.

Menjadi juruterbang pertama membawa vaksin COVID-19 ke Malaysia, anak kelahiran Tumpat, Kelantan ini berasa bangga kerana terlibat dalam sebahagian sejarah negara.

Menurutnya, beliau juga perlu memastikan suhu yang betul di dalam pesawat agar ia tidak mengganggu keberkesanan vaksin yang harus disimpan pada suhu -70ᵒ Celcius.

“Ketika saya memikirkan bekalan vaksin COVID-19 di dalam pesawat, saya bimbang ia (bekalan) boleh rosak. Alhamdulillah, bekalan vaksin kini sampai ke Malaysia”, katanya.

Sungguhpun sudah berkhidmat untuk Malaysia Airlines selama 29 tahun, namun tanggungjawab menerbangkan vaksin itu akuinya agak mendebarkan sepanjang kariernya.

Setibanya di Malaysia, pengedaran vaksin dikendalikan oleh DHL Express, yang telah dilantik untuk pengedaran vaksin Pfizer BioNTech di peringkat global.

Makan ketam beracun tanpa diketahui, seorang wanita kematian dua orang anak manakala suaminya pula koma

0

CAGAYAN – Baru-baru ini tular sebuah kisah tragis yang menimpa sebuah keluarga selepas makan sejenis ketam. Seorang wanita telah menceritakan pengalaman cemasnya ketika suaminya koma dan anak-anaknya meninggal dunia setelah makan ketam yang dimasak.

Facebook

Menurut wanita tersebut ketam tersebut dibawa pulang oleh suaminya. Dia kemudian mengambilnya dan memasaknya untuk keluarga. Wanita tersebut kemudian makan ketam tersebut dan merasakan ada rasa masam yang cukup berbeza daripada ketam lain.

Facebook

Selepas itu, dia merasakan ingin muntah tetapi tiada isi perut yang keluar. Suaminya pula tiba-tiba berasa pening dan loya sehingga dia tidak dapat bergerak.

Tidak lama selepas itu anaknya yang berusia dua tahun mula mengalami muntah-muntah manakala anaknya yang berusia lima tahun mengalami kesukaran untuk bernafas seolah-olah ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya.

Facebook

Wanita berkenaan dan suaminya terus membawa anak-anak mereka ke hospital dan di sana anak-anaknya telah meninggal dunia. Tidak hanya itu, suaminya pula kemudian koma dan semua itu berpunca daripada ketam yang dimakan.

Kisah ini mendapat perhatian ramai netizen di Facebook. Sehingga kini status tersebut telah dikongsi lebih daripada 176,000 kali dan menerima ribuan komen.

Facebook

Ramai yang memberi komen dengan mengatakan bahawa ketam yang dimakan ialah sejenis ketam beracun spesies “Zosimus aeneus”.

Zosimus aeneus adalah spesies ketam yang hidup di terumbu karang dan banyak didapati di kawasan Indo-Pasifik dari Afrika Timur hingga Hawaii. Ketam spesies ini boleh membesar dengan ukuran 60 mm × 90 mm atau 2.4 inci × 3.5 inci.

Ketam Zosimus aeneus biasanya berwarna coklat. Ketam ini beracun kerana ia mengandungi kandungan kimia neurotoksin termasuk tetrodotoxin dan saxitoxin pada cengkerang dan isinya. Akibatnya ia boleh membunuh siapa yang memakannya.

Sejauh manakah DidikTV dapat membantu pelajar dan guru? Ini adalah komen beberapa orang guru tentang platform tersebut

0

Sekitar minggu lalu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melancarkan sebuah lagi platform pembelajaran buat pelajar iaitu DidikTV KPM. Platform ini diwujudkan sebagai salah satu usaha kerajaan bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ramai yang tahu bahawa DidikTV KPM disiarkan melalui rangkaian ntv7 dengan jadualnya yang tersendiri seperti yang disediakan oleh pihak kementerian. Seiring dengan usaha ini, ramai guru yang tampil memberikan pendapat mereka mengenai platform tersebut.

DidikTV KPM

Menurut seorang guru Matematik, Cikgu Arzman, DidikTV merupakan salah satu usaha KPM yang membantu pelajar di Malaysia. Selain itu, menurutnya lagi, program tersebut memberi impak positif serta dapat membantu guru-guru dalam mempelbagaikan bahan pengajaran mereka. Tambahnya lagi, DidikTV juga sangat bagus dan mudah difahami oleh para pelajar.

DidikTV KPM

Menurut seorang lagi guru, Cikgu Noor Azzuhana yang mengajar di SMK Seksyen 18 Shah Alam, mengatakan bahawa rancangan tersebut dapat memberikan ‘mood’ kepada pelajar apabila dapat melihat guru mengajar secara langsung di TV. Mereka seolah-olah melihat guru mereka mengajar di kelas dan keadaan ini membuatkan pelajar fokus. Selain itu, DidikTV juga dapat mengurangkan beban guru kerana pelajar mempunyai sumber lain bagi mendapatkan maklmat tambahan.

DidikTV KPM

Tambahan lagi, menurut Cikgu Kahirunnisa yang mengajar mata pelajaran Fizik pula mengakatan bahawa sebelum ini sesi PdPR adalah sesuatu yang mencabar baginya. Namun selepas kemunculan DidikTV beliau sangat teruja kerana ia dapat membantu pelajar-pelajarnya yang menghadapi masalah rangkaian internet di rumah. Beliau juga menyokong penuh usaha kerajaan dalam mewujudkan rancangan TV tersebut.

DidikTV KPM

Selain itu, menurut pasangan suami isteri yang merupakan guru di sekolah rendah, Cikgu Akmal Faiz dan Cikgu Iffah pula menyatakan kekaguman mereka kerana program tersebut dapat disiarkan dan memberi input kepada pelajar.

Menurut Cikgu Akmal, kemunculan DidikTV membolehkan murid menggunakan masa dengan baik di rumah sertas silibus kokurikulum juga menjadi selaras. Selain itu, menurut Cikgu Iffah pula dengan DidikTV murid dapat belajar dengan lebih baik kerana kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai TV dan usaha ini dapat mengatasi masalah pembelajaran yang dihadapi murid.

Jadi, bagi anda di luar sana, terutamanya pelajar jangan lepaskan peluang untuk belajar melalui saluran DidikTV yang disediakan oleh pihak kerajaan. Tidak hanya itu, anda juga boleh menyertai pertandingan Tonton, Rakam & Kongsi.

 DidikTV KPM

Apa yang perlu dilakukan ialah dengan merakam video atau gambar berserta kapsyen mengenai pengalaman pertama kali anda menonton DidikTV KPM. Kemudian, muat naik rakaman tersebut di laman sosial anda bersama ‘hashtag’ #DidikTVKPM.

Tonton DidikTV KPM yang bersiaran di ntv7 bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari. Selain itu, semua episod terkini juga boleh ditonton di Saluran  YouTube Channel ntv7MALAYSIA Official.

Lebih 20 jenis vaksin COVID-19 palsu dihasilkan di China dan ada yang diseludup ke luar negara

0

CHINA – Lebih daripada 20 kes penipuan melibatkan vaksin COVID-19 dikatakan telah dilaporkan di negara itu. Individu yang menghasilkan vaksin palsu dikatakan menggunakan air garam atau air mineral dan menjualnya dengan harga yang tinggi.

Apa yang lebih membimbangkan vaksin-vaksin palsu tersebut bukan sahaja dijual di China malah ada yang dijual hingga ke luar negara.

Menurut Agensi Berita Xinhua, pada tahap awal pemasaran vaksin COVID-19, penjenayah memperoleh keuntungan besar melalui penjualan vasin palsu kerana vaksin dijual dengan harga yang tinggi. Sehingga kini, sebanyak 71 tangkapan dibuat yang melibatkan 21 buah kes penipuan vaksin palsu telah dilakukan.

Siasatan mendapati antara bahan yang digunakan bagi menghasilkan vaksin palsi tersebut ialah sejenis garam yang digunakan dalam fisiologi. Mereka yang terlibat kemudian menghasilkan bungkusan dan jarum suntikan yang sama seperti vaksin sebenar seperti yang ditiru melalui internet.

Gambar menunjukkan vaksin China dihantar ke Zimbabwe, yang tidak ada kaitan dengan kes ini. (Tafadzwa Ufumeli / Getty Images)

Mereka yang terlibat juga dikatakan menghasilkan vaksin palsu di bilik-bilik hotel serta di rumah sewa. Apabila garam fisiologi tidak mencukupi mereka hanya menggantikannya dengan menggunakan air mineral.

November tahun lalu, ketika suspek ditahan mengakui bahawa sejumlah 58,000 vaksin palsu telah dihasilkan dan dijual sehingga mereka memperolehi keuntungan sekitar 18 juta yuan.

Dalam kes lain pula, penjenayah telah menggunakan doktor yang bertugas di kawasan desa dan menjualnya dengan harga yang tinggi untuk memberikan vaksin kepada pembeli di kediaman atau di dalam kenderaan mereka.

Sehingga Disember 2020, lebih daripada 200 orang telah menerima vaksin dengan menggunakan 500 dos yang membolehkan penjenayah memperolehi keuntungan sekitar 547,000 yuan iaitu sekitar RM 340,000.

Selain itu, penjenayah juga menggunakan taktik dengan menjual vaksin kepada mereka yang tidak layak untuk menyertai program vaksinasi kecemasan di hospital. Mereka juga menggunakan iklan di aplikasi WeChat untuk menarik pelanggan. Di samping itu, mereka turut memalsukan sijil pekerja, sijil syarikat, dan permit bekerja di luar negara serta tiket penerbangan.

Tambahan lagi, beberapa jenis vaksin palsu turut dihantar ke Shenzen melalui Tianjin dan diseludup ke luar negara melalui Hong Kong.

Sebenarnya, masalah vaksin palsu di China masih tidak berkesudahan. Seorang peguam bernama Tang yang telah mewakili banyak kes perlindungan hak vaksin, mengatakan dalam sebuah wawancara dengan Radio Free Asia bahawa masalah vaksin palsu di China telah muncul berkali-kali, tetapi vaksin tersebut ditangani dengan tergesa-gesa. Hasilnya, masalah tersebut tidak dapat diselesaikan dengan baik.