Tanggal 21 Februari, tercatatnya sejarah apabila kumpulan vaksin pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10 pagi.
Ia diterbangkan menerusi penerbangan MH604 dikendalikan oleh MASKargo yang berlepas dari Belgium ke Singapura sebelum ke Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Facebook telah menzahirkan terima kasih kepada kapten MASkargo Airbus A330-300 yang bertanggungjawab dalam misi itu.
Juruterbang yang membawa pesawat jenis Airbus 330-300 yang dimaksudkan itu adalah Kapten Hamdan Che Ismail.
“Beliau adalah orang bertanggungjawab yang menerbangkan pesawat A330 MAS yang membawa pulang vaksin pertama COVID-19 ke negara kita”.
Difahamkan bahawa Kapten Hamdan menerbangkan dua kotak kargo dengan label AKE 10296 MH dan AKE 10679 MH yang tiba di Singapura dari Belgium.
Menjadi juruterbang pertama membawa vaksin COVID-19 ke Malaysia, anak kelahiran Tumpat, Kelantan ini berasa bangga kerana terlibat dalam sebahagian sejarah negara.
Menurutnya, beliau juga perlu memastikan suhu yang betul di dalam pesawat agar ia tidak mengganggu keberkesanan vaksin yang harus disimpan pada suhu -70ᵒ Celcius.
“Ketika saya memikirkan bekalan vaksin COVID-19 di dalam pesawat, saya bimbang ia (bekalan) boleh rosak. Alhamdulillah, bekalan vaksin kini sampai ke Malaysia”, katanya.
Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook
Sungguhpun sudah berkhidmat untuk Malaysia Airlines selama 29 tahun, namun tanggungjawab menerbangkan vaksin itu akuinya agak mendebarkan sepanjang kariernya.
Setibanya di Malaysia, pengedaran vaksin dikendalikan oleh DHL Express, yang telah dilantik untuk pengedaran vaksin Pfizer BioNTech di peringkat global.