Penggunaan racun tuba merupakan satu kesalahan kerana ia akan membawa kesan buruk selain mengancam habitat hidupan akuatik.
Walaupun Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan jelas memperuntukkan kompaun dan penjara namun masih ada individu yang terus melakukannya.
Baru-baru ini, pihak Turtle Conservation Society of Malaysia menerusi Twitter mereka ada berkongsi keadaan di Sungai Kemaman melibatkan penggunaan racun tuba.
Pihak TCSM mula menyedari perkara itu tatkala dalam perjalanan ke tebing pasir untuk menunggu ibu tuntung naik bertelur.
Pada ketika itulah sekumpulan aktivis TCSM melihat udang galah terdampar di gigi air. Ia bukanlah satu pemandangan normal kerana udang galah yang sihat tidak begitu.
Mereka kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada Pejabat Perikanan Kemaman. Beberapa hari kemudian, para pegawai daripada Pejabat Perikanan Kuala Terengganu tiba untuk melawat lokasi.
Tindakan menuba udang galah ini adalah sesuatu yang sangat tidak bertanggungjawab. Racun itu bukan sahaja memberi impak pada sumber makanan seperti udang galah dan ikan sahaja.
Bahkan ia turut memberi kesan negatif terhadap fisiologi tuntung, di mana ia mengakibatkan haiwan berkenaan sakit pada bahagian mata.
Sungguhpun begitu, ia masih lagi dilakukan kerana memudahkan mereka mengaut keuntungan. Hanya perlu kutip sahaja, tidak perlu mengail lama-lama.
Semoga individu tidak bertanggungjawab itu ditangkap oleh pihak berkuasa tidak lama lagi..