Bukan semua orang tahu menghargai bantuan, walaupun ianya diberikan secara percuma dan memanfaatkan mereka sendiri.
Pada 20 Februari lalu, pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) ada memuat naik satu perkongsian di Facebook yang membuka mata orang ramai.
“Sedih rasa, bila rumah transit yang diberi duduk secara percuma ditinggalkan dalam keadaan macam ini”, tulis akaun itu.
Turut disertakan adalah foto yang menunjukkan keadaan rumah transit berkenaan.
Difahamkan bahawa penghuni rumah transit itu sebelum ini menetap di unit terbabit selama dua tahun secara percuma.
Majlis Agama Islam Johor (MAIJ)/Facebook
Untuk yang kurang jelas, rumah transit adalah unit rumah yang disediakan oleh kerajaan dalam usaha membantu golongan susah.
Penghuni yang memerlukan rumah diberikan masa selama dua tahun untuk menetap di situ sehinggalah mereka akhirnya berpindah keluar selepas itu.
Namun keadaan rumah transit terbabit sangat teruk dan menyedihkan. Beginikah cara penghuni mahu membalas budi atas bantuan yang diberikan?
Majlis Agama Islam Johor (MAIJ)/Facebook
Rumah itu perlu dibersih dan dibaik pulih ekoran terdapat beberapa benda yang rosak. Cat semula juga perlu dilakukan. Begitu juga dengan tikar getah.
Majlis Agama Islam Johor (MAIJ)/Facebook
Benar, bantuan itu dapat secara percuma. Adakah kerana ia percuma maka kita tidak perlu menggalas tanggungjawab untuk menjaganya? Apatah lagi rumah itu bukanlah milik kita.
Majlis Agama Islam Johor (MAIJ)/Facebook
Sebagai penerima bantuan rumah transit tersebut, apa yang termampu dilakukan adalah dengan menjaga rumah tersebut sebaik mungkin.
Hari ini hari kita, esok mungkin hari orang lain. Jadi jagalah ia sebaik mungkin kerana rumah itu juga akan turut diberikan kepada insan lain yang memerlukan.