Pemandu Hilux yang merupakan seorang pengusaha pasar mini telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Muar pada 27 April lalu atas tuduhan membunuh seorang wanita dalam satu kemalangan.
Gui Chui yang berusia 69 tahun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Zuraidah Abu Bakar.
Dalam pada itu, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dalam kemalangan tersebut, Gui telah melanggar lampu isyarat merah dan merempuh sebuah Perodua Myvi yang dipandu Norain Abu Samah di lampu isyarat Bypass Temenggong Ahmad pada 25 April lepas.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 25 Mei ini untuk serahan laporan bedah siasat mangsa, laporan kimia dan laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Terdahulu pada Ahad, seorang wanita dilaporkan maut manakala anak perempuannya cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah Toyota Hilux yang dipandu Gui.
KOREA SELATAN – Pelakon, model dan pelawak terkenal, Lee Kwang Soo akhirnya mengumumkan akan meninggalkan program realiti hiburan ‘Running Man’ yang telah dibintanginya sejak 11 tahun yang lalu.
Berita tergempar itu telah disahkan sendiri oleh agensi yang diwakilinya iaitu King Kong by Starship menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa lalu. Kwang Soo dikhabarkan mengambil keputusan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rancangan hiburan nombor satu di Korea Selatan itu berikutan keadaan kesihatan dirinya.
“Sejak terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu, Kwang Soo masih lagi menjalani rawatan pemulihan dari semasa ke semasa. Dia merasakan agak sukar untuknya memberikan sepenuh komitmen lebih-lebih lagi ketika menjalani penggambaran program ini dan dalam masa yang sama masih mendapatkan rawatan rehabilitasi bagi merawat kecederaannya”.
Terdahulu, Kwang Soo dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kereta pada Februari 2020. Kemalangan ini telah menyebabkan buku lali kaki kanannya retak.
Setelah mengadakan perbincangan bersama staf produksi, kru dan rakan-rakan, bintang yang turut diberikan jolokan ‘Putera Asia’ ini akhirnya membuat keputusan untuk mengutamakan kesihatan dirinya dari segi fizikal mahupun mental.
Penularan berita ini telah mengejutkan ramai peminat di seluruh dunia sehingga ada yang tidak dapat menerima kenyataan. Bagaimanapun, masih ramai yang menyokong beliau dan mengucapkan terima kasih kerana telah menceriakan serta menghiburkan para penonton selama 11 tahun.
Kelihatan ramai pengguna jalan raya yang turut memberikan kerjasama, termasuklah penunggang motosikal yang turut mengekori langkah anjing itu bagi menghalangnya beralih ke tengah jalan.
Namun anjing yang ketakutan itu bertindak terus melarikan diri sebaik sahaja cuba ditangkap oleh individu yang mahu menyelamatkannya.
Dafi sebenarnya dilaporkan hilang selama 10 hari oleh pemiliknya, Steven Chong, di mana ia secara tidak sengaja terlepas daripada pusat penjagaan haiwan di Taman Segar.
Mujurlah pada 26 April, Dafi dibawa pulang ke pangkuan Steven oleh seorang lelaki bernama Siva. Dafi masih lagi dalam keadaan yang ketakutan dan hanya mendiamkan diri.
Mengulas mengenai bagaimana pengguna jalan raya di lokasi tersebut bertindak cuba sebaik mungkin untuk menyelamatkan Dafi, Steven turut menzahirkan terima kasih.
“Saya sangat berterima kasih kepada anda semua yang telah berusaha membantu. Semoga anda semua diberkati, wahai rakyat Malaysia”, tulisnya.
Kes buli nampaknya tidak hanya berlaku dalam kalangan manusia sahaja. Ini kerana, baru-baru ini, tular satu video menunjukkan seekor burung camar ‘membuli’ burung camar yang lain.
Ia dikongsikan oleh seorang warga Twitter, @nakamanian, yang menunjukkan seekor burung camar duduk di belakang burung camar yang lain semasa sedang terbang.
Kes COVID-19 saban hari mencatatkan angka yang agak tinggi dan keadaan ini sangat membimbangkan. Apatah lagi perayaan Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi.
Sehubungan dengan itu, polis Kedah dilaporkan akan menjalankan pemeriksaan di rumah yang didapati mempunyai jumlah kasut dan selipar yang banyak.
Ia dilakukan bertujuan untuk mengesan sama ada terdapat individu yang tidak mematuhi larangan rentas negeri semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, pihaknya akan mengerahkan anggota untuk melakukan rondaan sepanjang sambutan perayaan itu di seluruh negeri.
“Periksa surat dengan terperinci. Saya sudah keluarkan arahan kepada semua anggota di SJR dan pasukan pemantauan supaya lebih tegas dalam melakukan pemeriksaan itu.
“Jadi, saya menyeru agar semua pihak jangan sesekali bawa dokumen palsu kerana mereka akan dikenakan denda yang tinggi”, akhirinya.
Sebelum ini, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata polis akan mengekalkan strategi sama seperti Aidilfitri tahun lalu.
Pada tahun lalu, iaitu tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak polis membuat pemeriksaan mengejut daripada rumah ke rumah bagi memeriksa surat kebenaran rentas negeri.
Kerajaan menetapkan agar vaksin COVID-19 daripada AstraZeneca diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas, umum Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Keputusan ini susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan bahawa vaksin itu adalah selamat untuk digunakan semasa pelaksanaan fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“AstraZeneca selamat digunakan dan berkesan. Kami akan menggunakannya untuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas pada fasa kedua”, ujarnya semasa sidang media.
Dalam pada itu, Dr Kalaiarasu M. Peariasamy selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin COVID-19 (JKKPCV) KKM berkata vaksin yang menggunakan platform viral vektor itu adalah baik untuk mencegah COVID-19 daripada segi pra-klinikal.
Tambahnya, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah meminta pendapat jawatankuasa panel mengenai penggunaan vaksin itu, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.
Sejumlah 22 orang pakar daripada pelbagai disiplin menyertai panel berkenaan dan tiga syarat ditetapkan dalam menentukan penggunaan vaksin AstraZeneca, iaitu :
Mampu mengurangkan kemasukan ke hospital
Mampu mengurangkan kemasukan di Unit Rawatan Rapi (ICU)
Mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19
“Setelah meneliti pelbagai jenis data, panel berpendapat bahawa vaksin AstraZeneca mendatangkan kebaikan dan kes pembekuan darah adalah kurang berlaku”.
“Jika dibandingkan risiko dan kebaikan vaksin itu, vaksin berkenaan sesuai digunakan untuk golongan berusia 60 tahun ke atas”.
Bilangan kejadian darah beku yang berlaku sangat kecil dan sangat jarang berlaku. Sebarang akibat/punca masih belum dibuktikan. @drkalai61 Pengarah, Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia pic.twitter.com/YMvITqcSnV
Vaksin tersebut juga difahamkan telah mendapat kelulusan pada 2 Mac lalu daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Ujar beliau lagi, pihaknya akan terus meneliti data daripada negara lain berhubung penggunaan vaksin AstraZeneca untuk golongan dewasa yang berusia 18 hingga 40 tahun ke atas.
Terdahulu, sebanyak 280,000 dos vaksin jenis AstraZeneca dilaporkan selamat tiba di Malaysia, di mana ia dibeli pada Disember tahun lalu untuk kegunaan 3% jumlah populasi negara.
Usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ia berikutan majlis perkahwinannya yang dijalankan di sebuah hotel di ibu kota tanpa penjarakan fizikal. Untuk kesalahan itu, beliau dikenakan kompaun berjumlah RM10,000 tanpa dibenarkan diskaun.
Seramai 20 ahli keluarganya turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang, yang membawa kepada jumlah RM30,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal sewaktu penganjuran majlis.
Kompaun berkenaan dikenakan ke atas keluarga berkenaan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Manakala untuk kesalahan kedua beliau, iaitu melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri turut dikenakan kompaun berjumlah RM10,000.
“Kesalahan kedua melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan yang sama”, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur, ACP Mohamad Zainal Abdullah.
Sementara suami Neelofa, Haris Ismail atau PU Riz turut dikenakan kompaun RM10,000 tanpa dibenarkan diskaun dibenarkan kerana melanggar kebenaran merentas negeri.
Terdahulu, majlis pernikahan Neelofa mula mendapat kritikan orang ramai ekoran jelas melanggar SOP penganjuran majlis perkahwinan semasa pelaksanaan PKPB.
Tidak cukup dengan itu, pasangan berkenaan turut berkunjung ke pulau peranginan, Langkawi atas urusan perniagaan selang beberapa hari selepas majlis pernikahannya.
Sungguhpun begitu, tular foto-foto pasangan itu sedang bersiar-siar di kawasan pelancongan di pulau legenda berkenaan.
Kebanyakan orang apabila mencecah usia emas akan mula menjadi sensitif terhadap persekitaran.
Pada peringkat ini, golongan emas ini lebih cenderung untuk bergantung kepada orang lain terutamanya anak-anak disebabkan oleh kudrat yang tidak lagi kuat seperti dulu.
Namun tidak bagi nenek yang berusia 84 tahun ini di mana dia masih gigih bekerja setiap hari dengan mengambil upah mengupas kulit bawang.
Berdasarkan perkongsian oleh tukang masak yang bernama Ricky Narayanan di Facebook ini, nenek yang lebih mesra dengan panggilan Ammakannu ini sanggup berjalan kaki sejauh 2 hingga 3 kilometer setiap hari untuk menjual di sayuran di Pasar Awam Salak.
Namun begitu, memandangkan wabak pandemik telah melanda negara dan hal ini secara langsung menjejaskan rutin harian nenek Ammakannu.
Bagaimanapun, nenek ini tetap tidak mengalah. Dia kemudian datang ke kedai milik Ricky dan meminta sebarang pekerjaan yang boleh dilakukan di kedai tersebut seperti mengupas kulit bawang.
Kegigihan nenek Ammakannu memberikan inspirasi kepada Ricky untuk berkongsi kisah tersebut di laman Facebook.
Memetik laporan World of Buzz, Ricky menjelaskan bahawa Ammakannu sering datang ke kedainya dan bertanya sama ada Ricky memerlukan pertolongan.
Ricky akan memberikan tugasan seperti mengupas bawang merah, bawang putih atau halia. Nenek Ammakannu akan pulang sekitar jam 4.30 petang setelah tugasannya selesai.
“Dia sering datang ke kedai saya untuk kupas bawang. Saya tidak memberikan tugasan yang berat tetapi saya sangat mengagumi kegigihannya untuk bekerja meskipun sudah berusia”.
Jelas Ricky lagi, kehadiran nenek Ammakannu mengingatkan Ricky pada ibu kandungnya yang tinggal di Pulau Pinang. Disebabkan itulah, dia melayan nenek Ammakannu sama seperti ibunya sendiri.
Ricky cuma berharap agar generasi muda masa kini dapat menjadikan nenek Ammakannu sebagai sumber inspirasi untuk sentiasa rajin bekerja demi mencapai masa depan yang lebih baik.
Ingat lagi ketika di bangku sekolah, kita sentiasa diberi galakan oleh ibu bapa untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang.
Antara contoh galakan adalah seperti upah berbentuk wang ringgit, hadiah, makanan kegemaran dan sebagainya.
Namun begitu, seorang pemuda telah berkongsi pengalaman peribadinya apabila ibu kandung bukan sahaja tidak memberikan galakan kepadanya untuk memperbaiki diri tetapi turut merendahkan motivasinya untuk meneruskan pembelajaran.
Semua ini hanya kerana pemuda ini tidak berjaya mendapat kedudukan tiga teratas dalam peperiksaan meskipun menerima anugerah khas.
Semenjak peristiwa tersebut, pemuda ini nekad dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi membuktikan kepada ibunya. Berkat usaha kerasnya, pemuda ini berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Taiwan dan Universiti Kebangsaan Chengchi.
Pemuda ini turut menyatakan secara jelas tujuannya berkongsi pengalaman ini adalah untuk mengingatkan ibu bapa di luar sana agar tidak menghampakan anak-anak dengan merendahkan keyakinan mereka terutamanya dalam bab pelajaran dan persekolahan.
Sebaliknya, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting dalam menaikkan semangat anak-anak yang sedang menempuh pelbagai ujian dan cabaran hidup.
Antara galakan yang boleh diberikan adalah seperti memberikan pujian, kata-kata hikmah serta kepercayaan kepada anak. Pasti anak-anak akan mengingati tindakan ini sehingga ke akhir hayat mereka.
Malah, setiap kali mereka jatuh tersungkur ketika berdepan realiti, mereka tidak akan terlalu tertekan memandangkan ada ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan di belakang.
Namun begitu, meskipun perkongsian ini membuatkan ramai yang sedih dan bersimpati, ada juga segelintir warganet yang berpendapat tindakan ibu bapa pemuda ini telah berjaya membentuk dirinya menjadi insan yang lebih berguna dan berilmu.
Apa-apa pun, janganlah kita menderhakai kedua orang tua kita meskipun kadangkala tindakan mereka seolah-olah tidak munasabah. Percayalah, tiada ibu bapa yang sanggup melukakan hati kecil anak mereka.
Parlimen Britain pada 21 April 2021 menuduh China melakukan pembunuhan beramai-ramai dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap golongan minoriti Uighur di Xinjiang.
China sementara itu menafikannya dan mengatakan bahawa ia adalah penipuan yang dicipta oleh pihak anti-China. Namun pasangan Gary dan Andrea Dyke dari Kanada menjadi saksi bahawa ia bukanlah tuduhan palsu.
Pasangan tersebut yang menetap di Xinjiang selama 10 tahun berkongsikan keadaan sebenar dan pengalaman mereka di sana menerusi simposium yang dianjurkan oleh Muzium Hak Asasi Manusia Kanada, 22 April lalu.
Pasangan tersebut difahamkan menetap di Urumqi sejak tahun 2008, kemudiannya berpindah ke Turpan apabila berlaku rusuhan pada 5 Julai 2009.
Rusuhan itu berpunca daripada pemusnahan perkampungan tradisional Uighur oleh pihak berkuasa dan mereka dipaksa berpindah ke kawasan penempatan baru.
“Kami melihat keganasan mula berlaku dan kami tahu ia petanda yang tidak baik. Semakin banyak sekatan dibuat. Setiap minggu ada sahaja peraturan baru dikenakan”.
Difahamkan bahawa pasangan itu mempunyai kilang membuat baja dan dijual kepada petani tempatan. Mereka mempunyai ramai rakan etnik Uighur.
Keadaan semakin berubah saban tahun. Pada tahun 2017, semakin ramai polis dan penguatkuasa di jalanan dan mengawasi persekitaran.
“Terdapat beberapa sekata halangan keselamatan dalam perjalanan saya ke tempat kerja. Terdapat kamera pengawasan dan alat pengecam wajah di mana-mana”.
Gary turut menceritakan bahawa beliau sering melihat orang Uighur diseret oleh polis. Beliau berpura-pura tidak melihat keadaan itu kerana bimbang polis akan melakukan perkara yang sama padanya.
Terdapat juga beberapa kem ‘pendidikan semula’ di Xinjiang, salah satunya berdekatan kediaman kediaman pasangan yang fasih berbahasa Mandarin dan Uighur itu.
“Anak kawan saya rasa takut apabila genap usia usia 18 tahun kerana bimbang ditangkap dan ditempatkan di kem tersebut”.
Wanita Muslim pula dipaksa membuka hijab dan mendedahkan rambut di khalayak umum. “Mereka tentunya berasa malu dan enggan keluar daripada rumah”, kata Gary dan Andrea.
Malah, terdapat penggera yang akan dibunyikan pada jam 6 setiap pagi untuk mengejutkan semua. Beberapa minit kemudian, pegawai polis akan periksa setiap rumah.
“Suasana di Xinjiang sangat tegang. Pihak berkuasa terus mengetatkan tahap keselamatan. Kami semua juga harus menjalani pemeriksaan keselamatan yang ketat ketika memasuki dan meninggalkan tempat awam”.
Pasangan itu walau bagaimanapun terpaksa meninggalkan Xinjiang pada tahun 2018 kerana pihak berkuasa mengetatkan sekatan visa.
Pasangan Dyke kembali ke Kanada pada tahun 2018. Melihat lebih banyak orang Uighur dianiayai dalam beberapa tahun kebelakangan ini, lantas memutuskan untuk tidak berdiam diri.
Simposium itu juga disertai oleh sarjana Jerman, Adrian Zenz yang membicarakan tentang keadaan Uighur di Xinjiang. Adrian Zenz mengatakan bahawa strategi pemerintah ke atas kaum Uighur adalah dengan ‘menghapuskan keturunan dan asal usul’ mereka.
Pertamanya, pisahkan ibu bapa dengan anak-anak. Kedua, memindahkan mereka ke wilayah lain menerusi kerja paksa.
Ketiga adalah menggunakan alat kawalan kelahiran yang melibatkan kaum wanita Uighur. Sementara di sekolah dan tadika, terdapat kawat berduri dan alat pengesan dipasang untuk mengawal kanak-kanak.
Adrian Zenz merupakan penyelidik kanan di organisasi hak asasi manusia Amerika, Yayasan Mangsa Komunis. Beliau telah memantau masalah hak asasi manusia di Xinjiang dan menerbitkan laporan yang berkaitan pada masa lalu.
Pada bulan Jun tahun lalu, laporannya menunjukkan bahawa program pemandulan berskala besar dikenalpasti di Xinjiang. Manakala laporan baru yang diterbitkan menunjukkan projek buruh paksa turut disokong oleh pemerintah Xinjiang.
Beijing sering menafikan bahawa mereka telah melanggar hak asasi Uighur dan membantah tuduhan daripada negara-negara Barat mengenai Xinjiang.
Malah Adrian Zenz turut dikenakan sekatan oleh pemerintah China atas tuduhan menfitnah syarikat-syarikat di Xinjiang.