Usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ia berikutan majlis perkahwinannya yang dijalankan di sebuah hotel di ibu kota tanpa penjarakan fizikal. Untuk kesalahan itu, beliau dikenakan kompaun berjumlah RM10,000 tanpa dibenarkan diskaun.
Seramai 20 ahli keluarganya turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang, yang membawa kepada jumlah RM30,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal sewaktu penganjuran majlis.
@redzuanNewsMPB/Twitter
Kompaun berkenaan dikenakan ke atas keluarga berkenaan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Manakala untuk kesalahan kedua beliau, iaitu melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri turut dikenakan kompaun berjumlah RM10,000.
“Kesalahan kedua melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan yang sama”, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur, ACP Mohamad Zainal Abdullah.

Sementara suami Neelofa, Haris Ismail atau PU Riz turut dikenakan kompaun RM10,000 tanpa dibenarkan diskaun dibenarkan kerana melanggar kebenaran merentas negeri.
Terdahulu, majlis pernikahan Neelofa mula mendapat kritikan orang ramai ekoran jelas melanggar SOP penganjuran majlis perkahwinan semasa pelaksanaan PKPB.
Tidak cukup dengan itu, pasangan berkenaan turut berkunjung ke pulau peranginan, Langkawi atas urusan perniagaan selang beberapa hari selepas majlis pernikahannya.
Sungguhpun begitu, tular foto-foto pasangan itu sedang bersiar-siar di kawasan pelancongan di pulau legenda berkenaan.