Ingat lagi ketika di bangku sekolah, kita sentiasa diberi galakan oleh ibu bapa untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang.
Antara contoh galakan adalah seperti upah berbentuk wang ringgit, hadiah, makanan kegemaran dan sebagainya.
Namun begitu, seorang pemuda telah berkongsi pengalaman peribadinya apabila ibu kandung bukan sahaja tidak memberikan galakan kepadanya untuk memperbaiki diri tetapi turut merendahkan motivasinya untuk meneruskan pembelajaran.
Semua ini hanya kerana pemuda ini tidak berjaya mendapat kedudukan tiga teratas dalam peperiksaan meskipun menerima anugerah khas.
Semenjak peristiwa tersebut, pemuda ini nekad dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi membuktikan kepada ibunya. Berkat usaha kerasnya, pemuda ini berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Taiwan dan Universiti Kebangsaan Chengchi.
Pemuda ini turut menyatakan secara jelas tujuannya berkongsi pengalaman ini adalah untuk mengingatkan ibu bapa di luar sana agar tidak menghampakan anak-anak dengan merendahkan keyakinan mereka terutamanya dalam bab pelajaran dan persekolahan.
Sebaliknya, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting dalam menaikkan semangat anak-anak yang sedang menempuh pelbagai ujian dan cabaran hidup.
Antara galakan yang boleh diberikan adalah seperti memberikan pujian, kata-kata hikmah serta kepercayaan kepada anak. Pasti anak-anak akan mengingati tindakan ini sehingga ke akhir hayat mereka.
Malah, setiap kali mereka jatuh tersungkur ketika berdepan realiti, mereka tidak akan terlalu tertekan memandangkan ada ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan di belakang.
Namun begitu, meskipun perkongsian ini membuatkan ramai yang sedih dan bersimpati, ada juga segelintir warganet yang berpendapat tindakan ibu bapa pemuda ini telah berjaya membentuk dirinya menjadi insan yang lebih berguna dan berilmu.
Apa-apa pun, janganlah kita menderhakai kedua orang tua kita meskipun kadangkala tindakan mereka seolah-olah tidak munasabah. Percayalah, tiada ibu bapa yang sanggup melukakan hati kecil anak mereka.