28.1 C
Kuala Lumpur
Friday, July 18, 2025
Utama Blog Laman 32

Gempa bumi lemah dikesan berdekatan Semporna

0

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter dikesan 50 kilometer (km) dari Semporna, Sabah pada 2.49 petang Ahad, 2 Jun.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa itu terletak di kedudukan 4.4 darjah utara dan 118.9 darjah timur dengan kedalaman 10km.

Kenyataan itu memaklumkan gempa bumi berkenaan tidak memberi ancaman tsunami kepada Malaysia.

Pemilik arowana halalkan dan tiada niat tuntut ikan yang terlepas

0

KLUANG: Pemilik arowana Ng Ah Phau halalkan dan tidak berniat menuntut semula ikan yang terlepas setelah kolam miliknya pecah pada Selasa lepas.

Unsplash

Menurut Ng dalam satu kenyataan, mustahil baginya untuk mendapatkan semula kira-kira 15,000 hingga 18,000 ekor ikan ternakan tersebut kerana ia satu perkara yang rumit.

“Ikan-ikan ini sudah hanyut ke merata tempat, saya harap tiada pihak yang menyalahkan atau mengecam penduduk kampung berhampiran,” Kata Ng ketika dihubungi Bernama.

“Saya sudah lama menjalankan perusahaan ini dan memiliki hubungan baik dengan penduduk kampung, biarlah mereka mengambil atau sebaliknya ikan yang ditemukan.”

Ng mendakwa kolam ikannya pecah disebabkan oleh projek pembinaan infrastruktur. Dia telah membuat laporan polis dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

“Kerugian dialami bernilai jutaan ringgit apabila 15,000 ekor ikan arowana (kelisa) induk yang dipelihara sejak 30 tahun hanyut apabila kolam ikan berkenaan pecah,” Katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan penduduk Kampung Tengah, Renggam, Kluang, Johor mahu berjumpa dengan pemilik arowana sebelum memulangkan ikan yang mereka tangkap.

Hal yang demikian kerana mereka percaya bahawa ikan tersebut terlepas dari kolam ternakan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Renggam A Sani Palal yang mewakili penduduk di kawasan itu berkata, penduduk kampung menangkap ikan berkenaan di kawasan anak sungai dan parit di kampung terbabit.

“Kami penduduk berharap pemilik ikan kelisa ini dapat bertemu dengan penduduk kampung dan berbincang untuk proses memulangkan ikan terbabit,” Katanya ketika dihubungi.

“Kita akan bermesyuarat dengan penghulu, ketua kampung dan juga wakil pemilik kolam ikan berkenaan bagi membincangkan perkara itu dalam masa terdekat,” Katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai penduduk kampung memasak ikan yang berharga kira-kira RM10,000 seekor.

Media melaporkan ribuan ikan hiasan spesies Arowana ditemukan dalam kawasan anak sungai dan parit sekitar Layang dan Simpang Renggam sejak Rabu lalu.

Ikan hiasan bersisik emas dan putih dalam anggaran berat dua kilogram itu dipercayai dihanyutkan dari kawasan kolam ternakan kawasan berdekatan.

Sinar Harian

Berikutan itu penduduk sekitar tidak melepaskan peluang menangkap ikan terbabit dengan menggunakan jala, jaring dan pukat.

Susulan insiden berkenaan, Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, tindakan mengambil ikan berkenaan adalah tidak wajar dan ia jelas milik individu dan sepatutnya dipulangkan kepada pemilik asal.

“Jika jelas ia milik orang lain dan kita tahu siapa pemiliknya, hendaklah kita pulangkan kepada pemilik.”

“Itulah sebaik-baik akhlak seorang Muslim, malah semua agama mendidik kita agar tidak mengambil hak orang lain.”

“Kita tidak boleh makan atau ambil sesuatu yang bukan hak, malah kita bimbang ia menjadi darah daging jika datang dari sumber yang tidak sah,” Katanya,

Namun Mohd Fared menjelaskan bahawa situasi tidak sama sekiranya pemilik ikan memberi kebenaran atau menghalalkan kepada sesiapa untuk mengambil ikan tersebut.

Sinar Harian

Penduduk kampung walau bagaimanapun lega apabila pemilik kolam takungan ikan kelisa yang pecah tersebut menghalalkan ribuan ikan hiasannya yang hanyut sebelum ditangkap orang ramai.

Bekas Datuk Bandar MBJB hadapi 12 pertuduhan rasuah RM1.55 juta

0

JOHOR BAHRU: Bekas Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan menerima rasuah dengan bernilai keseluruhan RM1.55 juta antara 2020 hingga 2021, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 2 Jun.

Tertuduh, Datuk Adib Azhari Daud, 64 tahun, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Gambar FMT

Mengikut kertas pertuduhan, Adib Azhari yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar MBJB menerima rasuah dengan nilai antara RM10,000 hingga RM250,000 daripada dua individu berbeza melalui seorang pengantara sebagai upah membantu mendapatkan pelbagai kerja projek kontraktor, dalam kejadian antara 26 Jun 2020 hingga 6 Ogos 2021 di Jalan Serama 7, Larkin.

Berita Harian melaporkan antara projek terbabit termasuk kerja penyelenggaraan tahunan sistem mekanikal dan elektrikal pam kawalan banjir Sungai Sengkuang, Sungai Chat dan Sungai Segget bagi tempoh 24 bulan, selain kerja mengganti paip pembetungan kumbahan dan kerja penyelenggaraan rangkaian paip pembetungan awam dalam tempoh 12 bulan.

Selain itu, ia juga sebagai upah bagi mendapatkan kerja penyelenggaraan sistem pembetungan berpusat, kerja pembaikan tebing runtuh, kerja penyelenggaraan loji rawatan kumbahan berpusat dan tebatan banjir Sungai Segget bagi tempoh 24 bulan, kerja penyelenggaraan tahunan landskap tepi jalan dan penyelenggaraan cantas serta tebang pokok di kawasan pentadbiran MBJB.

Adib Azhari didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Gambar Astro Awani

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat, manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM120,000 dengan dua penjamin tempatan, dengan pembayaran dua kali iaitu pada 2 dan 4 Jun berikutan cuti umum, selain syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali dan larangan mengganggu mana-mana saksi.

Mahkamah menetapkan 3 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Pemandu bas digantung tugas serta-merta

0

KOTA BHARU: Seorang pemandu bas digantung tugas serta-merta lantaran tindakannya yang memandu secara berbahaya di Lebuhraya Timur-Barat dekat Gerik tular.

BH Online

Menurut Pengerusi Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail dalam laporan yang ditulis oleh BH Online, pemandu berusia 36 tahun itu digantung tugas selepas video mengenainya tular.

“Pemandu berkenaan sudah bekerja dengan Konsortium E-Mutiara sejak dua tahun lalu dan hari ini kita sudah beri surat kepada pemandu berkenaan untuk membuat penjelasan berhubung tindakannya itu.”

“Saya akui sangat terkejut melihat video yang tular kerana ia membahayakan penumpang. Saya berterima kasih kepada pemandu lori berkenaan yang bertolak ansur bagi mengelak berlaku kemalangan.”

X

Menurut Che Ibrahim, beliau difahamkan bahawa, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik sudah memanggil pemandu berkenaan untuk merakam percakapan dan kita serahkan pihak polis untuk siasatan.

Tegas Che Ibrahim, Konsortium E-Mutiara tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang bertindak sedemikian dan tindakan tegas akan diambil termasuk pecat serta-merta.

“Kita sentiasa mengadakan taklimat pemandu dan sentiasa menitikberatkan supaya memandu secara berhemah kerana ia membabitkan nyawa orang ramai.”

“Pelbagai cara sudah dibuat oleh syarikat bagi memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan, namun masih ada pemandu yang cuai dan memandu secara berbahaya.”

“Kita juga mengalu-alukan orang ramai merakam video kerana kita sendiri tidak tahu cara pemanduan sebenar pemandu bas di luar sana,” Katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video seorang pemandu bas yang memotong sebuah lori dalam keadaan berbahaya di garisan berkembar.

Ibu bapa Zayn Rayyan direman tujuh hari bagi membantu siasatan polis

0

PETALING JAYA: Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 tahun, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai pada Disember tahun lalu direman selama tujuh hari, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Jun 2024.

Majistret, Majistret Ainaa Muhammad Kamal mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan suami isteri itu akan direman bermula 1 Jun sehingga 8 Jun.

@bharianmy/X

Sebelum ini, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada jam 8.50 pagi untuk direman.

Sementara itu, peguam mewakili ibu bapa Zayn Rayyan, Mahmud Abdul Jumaat, berkata kepada media bahawa tangkapan dan reman tujuh hari ke atas ibu bapa kanak-kanak autisme itu adalah berdasarkan perkembangan terbaharu yang diperoleh dalam siasatan polis berhubung kes.

Beliau berkata, kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) direman tujuh hari bermula hingga 8 Jun ini bagi siasatan polis yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Menurutnya, reman tujuh hari yang dibenarkan oleh Majistret Ainaa bagi membolehkan kedua-dua OYDS untuk membantu siasatan polis dengan lebih lanjut.

“Ada perkembangan terbaharu dari segi rekod percakapan OYDS sebelum ini dan termasuk juga ada beberapa perkembangan terbaharu hasil siasatan pihak polis yang telah ditemui.

“Buat masa ini, kita tidak boleh buat sebarang spekulasi. Saya memohon semua pihak untuk bersabar dan mendoakan agar keluarga ini kuat untuk menerima ujian ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding reman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Tambah beliau, kes ini masih dalam tempoh reman dan ia bertujuan untuk memberi masa bagi pihak polis untuk melengkapkan siasatan.

“Sekiranya siasatan tamat, kes berkenaan akan dihantar kepada pihak pendakwa raya dan pada saat itu, suspek utama akan diketahui,” katanya.

Mengenai kemungkinan bukti baharu diperoleh polis atau rekod percakapan mereka sebelum ini yang bercanggah, Mahmud berkata, dua faktor itu mungkin menyumbang kepada penahanan terbabit.

Ketika ditanya mengenai keadaan OYDS, Mahmud berkata kedua-duanya masih dalam keadaan terkejut dan semua pihak tahu kedua-dua mereka adalah ibu bapa Zayn Rayyan.

“Sudah tentu sangat terkejut, OYDS adalah ibu bapa kepada mangsa dan ini adalah satu perkara yang tidak dijangkakan.

“Saya sendiri pun agak terkejut, saya percaya satu Malaysia terkejut mengenai perkara ini. Oleh yang demikian saya memohon semua pihak mendoakan agar keluarga kuat untuk menerima perkhabaran ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin permohonan reman ke atas ibu bapa Zayn Rayyan oleh pihak polis hari ini adalah bertujuan untuk melengkapkan siasatan mereka.

“Kita akan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan telus dan terperinci demi keadilan.

“Sekiranya pihak polis dalam tempoh tujuh hari ini tidak dapat melengkapkan siasatan, mereka boleh memohon untuk permohonan reman kali kedua,” katanya.

Pasangan suami isteri berusia 28 tahun terbabit ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di kediaman keluarganya di Puncak Alam pada jam 11.00 pagi, Jumaat, 31 Mei.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan pasangan suami isteri terbabit.

@staronline/X

“Dua suspek berkenaan direman seminggu untuk siasatan selanjutnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang termasuk melibatkan motif pembunuhan mangsa.

“Sebab tangkapan dijalankan adalah berpandukan risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang.

“Butiran dan maklumat lanjut berkaitan siasatan masih belum dapat didedahkan setakat ini, sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak autisme itu yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Kucing hiburkan diri sendiri main turun naik gelongsor berkali-kali buat ramai tersenyum

0

Seperti juga manusia, kadangkala kucing juga tahu menghiburkan diri sendiri jika kebosanan dan bijak menggunakan sumber yang berada di persekitarannya.

Seperti kucing ini yang melihat bermain gelongsor itu sebagai satu hiburan untuk memulihkan kesunyian, maka mungkin menjadi satu perkara menarik.

Facebook

Video comel ini menjadi tular apabila memaparkan seekor kucing sedang menikmati harinya dengan gembira walaupun bersendirian, sekali gus menukar mood anda menjadi lebih ceria.

Rakaman video itu menunjukkan seekor kucing bermain gelongsor yang berada taman perumahan. 

Facebook

Ada kemungkinan gelagatnya yang bersahaja dan bijak menggunakan sumber kegembiraan yang ada akan meninggalkan anda dengan senyuman atau tidak perasan ketawa.

Facebook

“Bila tiada sesiapa di sekeliling, kucing di kediaman ini juga teringin mencuba untuk bermain gelongsor,” kapsyen video itu yang dikongsikan di Facebook.

Facebook

Video itu menunjukkan seekor kucing berdiri di hadapan gelongsor dan tidak lama kemudian dia memanjat ke atasnya lalu meluncur ke bawah. 

Facebook

Sebaik sahaja menyentuh ke tanah, kucing ini bangkit dan sekali lagi berlari ke pusingan kedua di atas gelongsor itu lalu menggelongsor lagi.

Facebook

Si comel melakukannya berkali-kali ketika tiada manusia yang memandang, yang tidak sedar diri si bulus sedang diperhatikan dan dirakam.

Tonton video di sini.

Kasih sayang tidak mengenal bangsa, lelaki mulia ambil alih tanggungjawab menjaga tiga beradik yatim piatu selama 16 tahun

0

Tanpa sedikit pun berasa bangsa dan agama sebagai halangan, seorang lelaki berketurunan Tionghoa berusia 55 tahun bertindak menunjukkan kebaikan dan belas kasihan luar biasa terhadap tiga beradik berbangsa Melayu setelah mengetahui ibu bapa mereka telah pergi buat selama-lamanya.

Pada usia 12 tahun, Rafei Ahmad Fauzi dan dua adiknya, Rasyid dan Abdul Rahman dihantar ke rumah anak yatim berbeza selepas ibu bapa mereka meninggal dunia selang sebulan pada tahun yang sama. 

Gambar Harian Metro

Bertemu Michael Tong Wai Siong, yang mesra dipanggil Uncle Mike oleh Rafei dan adik-beradiknya, mereka tidak mengetahui kehidupan masing-masing yang berlainan bangsa, budaya dan agama akan berubah selama-lamanya.

Menceritakan bagaimana segalanya bermula kepada Harian Metro, Michael Tong berkata beliau menjadi sukarelawan dan sering melakukan kerja amal di rumah anak yatim di Gombak, di mana menempatkan Rafei.

“Bertemu Rafei buat pertama kali, saya mengetahui tentang kisahnya, dan saya merasakan keinginan yang kuat untuk membantu,” kata Michael.

Memerhatikan kanak-kanak itu yang suka menyendiri, Michael bercakap dengan pengurus rumah anak yatim itu yang dikenali sebagai Umi.

Setelah berbual panjang, Michael menyedari Rafei tidak suka ke sekolah. Ingin memahami keadaannya dengan lebih baik, Michael kemudiannya telah menghubungi sekolah Rafei dan berjumpa gurunya apabila mendapat tahu Rafei menghadapi masalah pembelajaran.

Bertekad untuk membantu Rafei mendapatkan kehidupan lebih baik, Michael mula menghantar kanak-kanak ini ke sekolah setiap hari, memberinya sokongan yang diperlukannya seperti mana ibu bapa normal lakukan. 

Gambar Harian Metro

Berkongsi rutinnya, Michael akan mengambil Rafei dari rumah anak yatim dan menghantarnya ke sekolah setiap hari. Selepas waktu persekolahan, salah seorang pekerja Michael akan menjemput Rafei, menghantarnya ke pusat tuisyen, sebelum Michael menghantarnya kembali ke asrama rumah anak yatim.

“Rutin itu berulang dalam keadaan yang agak lama, sehingga pengurusan rumah anak yatim mencadangkan untuk membawa sahaja Rafei tinggal bersama saya,” kata Michael.

Oleh kerana Rafei ingin tinggal bersamanya, Michael mengambil keputusan untuk menerima kanak-kanak itu sebagai anak angkatnya. 

Namun pada suatu hari, Michael terjumpa nota menyayat hati daripada Rafei, yang meluahkan perasaan rindu terhadap dua adiknya, Rasyid dan Abdul Rahman. 

Membaca nota dan mengetahui betapa rindunya kanak-kanak ini kepada adik-beradiknya, Michael tidak dapat menahan rasa sebak.

“Sehingga kini saya masih ingat nota ditulisnya yang bertanya mengapa mak ayah meninggal dunia awal dan kenapa dia dipisahkan dengan adik-beradik,” kata Michael.

Nota bernada sebak itu telah membuat Michael mengambil keputusan untuk memenuhi hasrat Rafei supaya dapat bertemu adik-beradiknya, yang berada di rumah anak yatim di Klang pada masa itu. 

Tidak sanggup menanggung kesedihan kerana memisahkan ketiga-tiga mereka, Michael kemudian mengambil satu lagi langkah ke hadapan dengan membuat keputusan untuk mengambil adik-beradik Rafei sebagai anak-anak angkatnya.

Mengimbau kembali masa itu, Michael Tong berkongsi beliau tidak mempunyai pengalaman menjaga anak-anak kerana sudah biasa hidup membujang selama ini.

“Saya hanya mengambil Rafei pada mulanya kerana saya tidak pasti sama ada saya boleh mengendalikan lebih daripada seorang anak. Syukurlah, saya menerima sokongan dan bantuan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan. Mereka telah memberikan saya begitu banyak dorongan serta pertolongan,” kongsi Michael.

Selain itu, ibu Michael (Oh Siew Eng) juga mengambil giliran menjaga tiga beradik itu, yang melayan mereka bagai cucunya sendiri.

Gambar Harian Metro

Memahami kepentingan agama untuk anak-anak ini, Michael memastikan mereka meneruskan semua amalan sebagai seorang Muslim, walaupun mereka tinggal bersamanya.

Michael menjalankan tanggungjawabnya dengan memanggil seorang Ustaz ke rumah mereka pada setiap malam, untuk membolehkan kanak-kanak ini mengaji dan belajar agama dengan lebih baik, membolehkan mereka untuk terus mendapat pendidikan agama seperti mana asalnya.

Pada bulan Ramadan, Michael juga akan menyediakan juadah bersahur dan berbuka puasa bersama anak-anak angkatnya. Beliau sendiri melatih kanak-kanak itu berpuasa sejak kecil, memastikan mereka sentiasa berpuasa penuh sepanjang Ramadan.

“Saya masak lauk sahur dan buka puasa untuk mereka, malah kami berpuasa bersama sepanjang Ramadan. Saya buat begitu sejak mereka kecil, beri sokongan agar berpuasa penuh. Di rumah juga, saya jaga sensitiviti agama Islam terutama makanan dan minuman,” kata Michael.

Mengambil peranan sebagai ibu dan bapa kepada 3 kanak-kanak seperti anak sendiri, Michael mengimbau masa bangun seawal jam 5 pagi untuk menyediakan sarapan untuk mereka. Beliau akan menegur, memarahi atau berleter seperti ibu bapa jika mereka nakal kerana sayang dan tidak mahukan apa-apa selain yang terbaik untuk mereka.

“Saya sayang mereka, dan saya mengambil berat tentang mereka, saya mahu mereka menjadi orang berguna,” kata Michael.

Mendedikasikan masa untuk menjaga tiga anak lelaki, Michael yang sehingga kini masih belum berkahwin berkongsi kehidupannya tidak sedikit pun berasa sunyi setelah mengambil Rafei, 29 tahun, Rasyid, 28 tahun dan Abdul Rahman, 24 tahun sebagai ahli keluarganya. 

Michael Tong berkata selepas kisah mereka disiarkan di Harian Metro, beliau agak malu dengan perhatian yang diterima sambil menambah menjaga anak-anaknya dengan niat ikhlas dan tidak mengharapkan balasan.

Gambar Harian Metro

“Sekarang saya gembira melihat tiga anak saya sudah besar, sudah bekerja dan seorang sudah mendirikan rumah tangga, dan saya juga mempunyai dua tambahan R iaitu Rayyan dan Rania, cucu saya,” katanya ketika dihubungi NST.

Michael berharap kisah keluarga mereka mampu memberi teladan kepada yang lain bahawa membantu sesama manusia tidak perlu melihat kepada bangsa dan agama.

“Saya bukanlah orang pertama yang membantu satu sama lain seperti ini. Ada orang Melayu yang membantu orang Cina dan India serta kaum lain dan sebaliknya. Ini bukti kita hidup dalam suasana harmoni walaupun masih ada segelintir yang memainkan isu perkauman.

“Sebagai rakyat negara berbilang kaum kita perlu hidup harmoni dan aman bersama-sama kerana kita semua adalah sebuah keluarga,” tambah Michael.

SPM 2023: 11,713 calon memperoleh semua A

0

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menunjukkan peningkatan yang membanggakan, dengan Gred Purata Nasional (GPN) mencatatkan 4.60, lebih baik berbanding 4.74 pada tahun 2022.

GPN yang lebih rendah mencerminkan tahap pencapaian yang lebih cemerlang dalam peperiksaan.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, seramai 11,713 calon memperoleh Gred A+, A, dan A- dalam semua mata pelajaran, menandakan peningkatan ketara dalam bilangan calon yang mencapai keputusan semua A.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan. (Gambar NST)

Sebagai perbandingan, 10,109 calon mendapat keputusan semua A pada 2022.

Terdapat juga peningkatan dalam bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya gred lulus dalam semua mata pelajaran.

Azman berkata 83,112 calon memperoleh keputusan purata dengan sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C bagi semua mata pelajaran pada 2023, berbanding 75,322 calon pada 2022.

“Seramai 131,480 calon lulus semua mata pelajaran dalam keputusan SPM 2023, peningkatan sebanyak 3,296 calon berbanding 128,193 calon pada 2022.

“Tahun ini, peratusan calon yang layak menerima sijil SPM adalah seramai 349,297 calon bersamaan 93.5 peratus berbanding 342,742 calon bersamaan 91.6 peratus pada 2022,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pendidikan, Putrajaya pada 27 Mei.

Gambar The Star

Seramai 373,525 calon menduduki SPM pada 2023, berbanding 373,974 pada 2022.

Sementara itu, Azman menyebut prestasi calon bandar dan luar bandar dalam SPM 2023 menunjukkan peningkatan, walaupun jurang pencapaian kekal pada 0.43 mata, sama seperti SPM 2022.

Selain itu, kira-kira 10,000 pelajar Tingkatan Lima tidak hadir menduduki SPM 2023, berbanding 30,000 pada 2022.

Gambar Berita Harian

“Kami akan teliti dan menganalisis satu persatu sebab dan akan melaksanakan intervensi bagi memastikan isu ini ditangani dengan sebaiknya,” kata Azman selepas mengumumkan analisis keputusan SPM 2023.

Calon sekolah dan persendirian boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM masing-masing bermula jam 10 pagi, 27 Mei sehingga jam 6 petang, 2 Jun.

Calon juga boleh menyemak keputusan secara dalam talian di myresultspm.moe.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.

Kira-kira 10,000 calon tidak hadir peperiksaan SPM 2023

0

PUTRAJAYA: Kira-kira 10,000 pelajar Tingkatan Lima tahun lepas tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Walaupun jumlah itu kelihatan agak tinggi, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata jumlah itu telah menurun dengan ketara.

Pada tahun 2022, seramai 30,000 orang pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM 2022.

“Kami akan mengenal pasti dan menganalisis sebab satu persatu dan menjalankan intervensi bagi memastikan isu ini ditangani dengan betul,” kata beliau selepas mengumumkan analisis keputusan SPM 2023 pada Isnin (27hb Mei).

Seramai 395,870 calon telah menduduki peperiksaan kebangsaan tahun lepas.

Malaysia juara berganda Piala Dunia Sepak Takraw 2024

0

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara melakar kejayaan luar biasa apabila meraih gelaran berganda pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Selepas mengungguli acara double, skuad negara melengkapkan malam gemilang mereka dengan turut menjuarai saingan regu menerusi kemenangan ke atas Thailand pada aksi final.

Gambar Bernama

Trio negara yang dibarisi Farhan Adam, Syahir Rosdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam) mempamerkan prestasi menakjubkan untuk menumbangkan regu Thailand, Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) 15-8, 15-12.

Dibantu sokongan padu kira-kira 3,000 penyokong yang hadir di Stadium Titiwangsa, regu Malaysia bermula dengan aksi penuh meyakinkan apabila kekal mendahului sepanjang perlawanan sebelum mencatat kemenangan 15-8 di set pertama.

Thailand yang tersentak dengan kekalahan set pertama cuba bangkit dan memberi tentangan dalam usaha untuk mengheret ke set penentuan.

Bagaimanapun, trio negara diketuai Farhan kekal tenang dalam menyerap segala asakan skuad Gajah Perang sekali gus menoktahkan kemenangan 15-12 di set kedua.

Kali terakhir regu Malaysia berjaya menumbangkan Thailand adalah pada saingan Siri Super ISTAF 2015 di Melaka.

Kemenangan regu negara menambahkan koleksi kejuaraan Malaysia pada edisi Piala Dunia tahun ini gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin menjuarai acara double.

Gambar Bernama

Aidil-Noraizat mencatat kemenangan 17-16, 15-13 ke atas gandingan Thailand Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut dalam final double.

Pingat emas dalam acara double dan regu itu adalah yang pertama buat Malaysia dalam saingan Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 2011.

Aksi final kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang meluangkan masa menonton dan memberikan sokongan kepada pasukan negara.