34.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 9, 2026
Utama Blog Laman 319

Amerika Syarikat sumbang 80 juta dos vaksin COVID-19 ke seluruh dunia

0

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memaklumkan rancangan untuk mengagihkan sejumlah 80 juta dos vaksin virus COVID-19 ke seluruh dunia.

Memetik maklumat daripada Rumah Putih, sebanyak 75% daripada jumlah berkenaan akan diagihkan menerusi fasiliti COVAX khususnya kepada negara di Amerika Latin dan Caribbean, Asia Selatan, Asia Tenggara serta Afrika.

Peralatan perubatan dari Perancis tiba di lapangan terbang antarabangsa di Kathmandu, Nepal. Sumber: AFP

“Kami berkongsi vaksin ini bukan untuk mendapat sokongan atau konsesi. Kami mahu menyelamatkan nyawa dan mengetuai usaha menamatkan pandemik ini dengan menjadikan nilai kami sebagai contoh,” jelas Biden dalam satu kenyataan pada Khamis lalu.

Usulan ini dibuat selepas AS menerima desakan daripada beberapa negara untuk menggunakan lebihan vaksin dan membantu negara lain yang sedang bergelut dalam menentang penularan wabak berkenaan. Hal ini kerana pengagihan vaksin di AS telah mencapai tahap memberangsangkan.

Penduduk di Karachi, Pakistan sedang menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin. Sumber: AFP

“Kami akan memastikan komitmen Presiden AS untuk menghantar 80 juta dos menjelang akhir Jun,” jelas Jeff Zients, penyelaras maklum balas COVID-19 Rumah Putih.

Kini, AS dalam proses untuk mengeksport sebanyak 25 juta dos pertama vaksin di mana sekitar 7 juta daripadanya dikhususkan untuk negara di Asia seperti India, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam, Papua New Guinea dan juga Taiwan. Enam juta dos lagi diperuntukkan untuk negara di Amerika Selatan dan Amerika Tengah serta Caribbean termasuk Brazil, Argentina, Colombia, Costa Rica, Peru, Guatemala dan Haiti. Sebanyak lima juta dos lagi diagihkan khusus untuk negara Afrika.

COVAX merupakan skim antarabangsa yang diwujudkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertujuan untuk memastikan akses vaksin mencukupi kepada 30% populasi di 92 wilayah termiskin termasuk India (20%) dengan kos dibiayai penderma.

Pakar forensik HKL dedah ancaman COVID-19 terhadap organ dalaman, tidak boleh dilihat dengan mata kasar

0

KUALA LUMPUR – Penularan wabak COVID-19 semakin hari semakin membimbangkan dengan jumlah kes kematian mencecah 3,291. Serangan virus ini membawa kesan yang sangat teruk terutamanya kepada organ dalaman manusia.

Menurut Pakar Perubatan Forensik Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, COVID-19 merupakan sejenis penyakit yang akan menyerang bahagian organ dalaman. Hasil bedah siasat yang telah dijalankan ke atas pesakit-pesakit COVID-19, pihak beliau menemui tanda-tanda keradangan paru-paru yang kronik.

Imbasan sinar-X menunjukkan keadaan paru-paru normal, pneumonia serta selepas dijangkiti COVID-19. Sumber: Harian Metro

“Ini menunjukkan paru-paru tidak dapat berfungsi dan mangsa mati akibat daripada kegagalan fungsi paru-paru itu. Jika dilihat daripada luaran, memang tiada apa-apa tanda menunjukkan seseorang itu menghidap COVID-19”.

Tambah beliau lagi, “Kes-kes bedah siasat terhadap mayat COVID-19 yang dijalankan di IPFN HKL kebiasaannya menunjukkan radang paru-paru teruk dan tanda kegagalan organ utama seperti jantung dan buah pinggang”.

Mengulas tentang peranan IPFN HKL dalam pengurusan mayat COVID-19, ianya dilakukan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kontena khas yang digunakan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh untuk menyimpan mayat COVID-19. Sumber: Free Malaysia Today

“Ia berpandukan arahan kesihatan awam berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pengurusan mayat COVID-19 boleh dibahagikan kepada dua iaitu mayat Islam dan mayat bukan Islam”.

Setiap mayat akan dibungkus dengan menggunakan dua lapisan beg mayat yang telah disinfeksi bagi mengelakkan penularan kepada individu yang menguruskan mayat. Bagi jenazah orang Islam, mayat akan ditayamum pada permukaan luar beg mayat manakala mayat bukan Islam pula akan dihantar ke krematorium atau dikebumikan mengikut agama masing-masing.

Petugas menguruskan pengebumian jenazah pesakit COVID-19. Sumber: SPJM

Mengimbas isu kapasiti penyimpanan mayat sementara diuruskan untuk disemadikan, peti mayat dan kontena mayat di IPFN HKL dikatakan memiliki kapasiti untuk menyimpan 52 mayat pada satu-satu masa.

“COVID-19 adalah sesuatu yang benar dan ia penyakit yang boleh membunuh. Kami di Jabatan Perubatan Forensik menguruskan banyak mayat akibat COVID-19 daripada pelbagai usia, kaum dan anutan. COVID-19 yang melanda bukan perkara yang boleh diambil mudah”.

Suami isteri ubah suai rumah papan dengan rekaan moden yang sungguh mengagumkan

0

Setiap orang mengimpikan untuk memiliki rumah kediaman persis syurga. Ruang dapur yang luas dan dilengkapi dengan pelbagai alat perkakas dapur pastinya akan memberikan keselesaan bukan sahaja untuk memasak tetapi juga untuk menikmati hidangan.

Memandangkan ruang dapur adalah penting dan dianggap sebagai jantung kepada sesebuah rumah, setiap individu pasti sanggup menghabiskan wang ringgit demi mencantikkan bahagian dapur. Misalnya pasangan suami isteri ini yang menjadi bualan hangat selepas berkongsi proses menaiktaraf dapur rumah mereka.

Menerusi perkongsian Facebook oleh Azizi Anuar, dia dan isterinya sama-sama mengerah tenaga dalam melakukan pengubahsuaian dapur rumah mereka. Meskipun tinggal di rumah papan, namun hasil air tangan mereka membuatkan ramai warganet kagum dan terkesima melihat kekemasan serta unsur moden yang diterapkan.

Segala kerja-kerja pertukangan dilakukan secara bersama-sama. Ternyata suami isteri ini sememangnya mahir dalam menggunakan alat pertukangan sekali gus memudahkan lagi urusan dalam mencantikkan lagi dapur mereka.

Selain sudut dapur, pasangan ini turut melakukan transformasi pada bahagian ruang tamu serta bilik tidur anak mereka. Projek dekorasi bilik anak lelaki ini kelihatan sangat menarik kerana ianya turut dilengkapi dengan papan gelongsor untuk anak-anak berseronok!

Malah, bilik tidur anak ini juga dihiasi dengan warna biru dan nama terpampang di dinding. Idea yang cukup menarik!

Tidak sia-sia bakat dan kemahiran yang dimiliki oleh suami isteri ini. Hasil air tangan mereka betul-betul menarik seperti dilakukan oleh golongan profesional! Siapa kata nak rumah papan tak boleh kelihatan cantik dan moden seperti ini?

Kecomelan anak harimau putih yang berusia 33 hari buat ramai geram!

0

Pasti anda pernah menonton video memaparkan penampilan harimau putih yang cukup unik. Baru-baru ini di Facebook, telah tular sebuah video berdurasi 1 minit 48 saat memaparkan gelagat dan kecomelan anak harimau putih yang baru berusia 33 hari.

Rakaman berkenaan telah diambil di taman Izu Animal Kingdom yang terletak di Jepun di mana tempat anak harimau putih Bengal itu dilahirkan. Dalam video berkenaan, kelihatan anak harimau ini sedang bermain-main dengan ibunya dan mengeluarkan bunyi rengekan yang sangat comel!

Lihatlah bagaimana si comel ini cuba untuk bergurau senda dengan menggigit ibunya sambil mengeluarkan jeritan yang cukup halus sesuai dengan usianya yang masih muda.

Comel macam anak kucing! Mata biru menambahkan lagi kecomelan anak-anak harimau putih ini…

Dijangka anak-anak harimau putih ini boleh mencapai berat sehingga 136 kilogram dengan lebih dua meter panjang setelah meningkat dewasa kelak. Pada ketika itu, jeritan comel ini pasti akan bertukar menjadi bunyi mengaum yang cukup menggerunkan sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Kerana terlalu sayangkan haiwan peliharaan, seorang netizen buat upacara pengebumian untuk ikannya yang mati

0

Bunyinya mungkin aneh tetapi ada antara kita yang melakukannya iaitu upacara pengebumian untuk haiwan kesayangan dan baru-baru ini upacara seperti ini menjadi semakin popular. Apa yang dilakukan ialah untuk menunjukkan bahawa mereka sayang akan haiwan kesayangan mereka.

Antara upacara pengebumian yang menarik ialah upacara yang dilakukan di Nottingham apabila seorang netizen mengadakan upacara pengebumian untuk ikan koi kesayangannya.

Netizen tersebut dikatakan telah menjaga ikan tersebut selama 20 tahun lamanya. Sebelum itu suaminya yang memelihara ikan tersebut tetapi suaminya kemudian meninggal dunia dan dia lah yang menjaga ikan tersebut selepas itu.

Menurut pemilik krematorium di mana upacara ini berlangsung, wanita tersebut telah menghubunginya untuk mengadakan upacar pengebumian untuk ikan koi miliknya. Sebelum ini pihak krematorium pernah mengadakan beberapa upacara pengebumian haiwan seperti tikus, kucing, anjing dan lain-lain.

Upacara pembakaran bangkai haiwan mereka memberi peluang kepada pemilik haiwan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada haiwan kesayangan mereka. Abu ikan koi yang telah dibakar kemudian dikumpulkan dalam kotak dan dikembalikan kepada pemiliknya.

Panda Liang Liang selamat lahirkan anak ketiga

0

KUALA LUMPUR – Panda gergasi, Liang Liang selamat melahirkan seekor anak pada Isnin lalu di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, anak panda tersebut dilahirkan pada jam 8.30 malam dan itu adalah kelahiran kali ketiga untuk pasangan Liang Liang (panda betina) dan Xing Xing (panda jantan) sejak berada di Malaysia pada 2014.

Anak pertama dan kedua iaitu Nuan Nuan dan Yi Yi masing-masing dilahirkan pada 18 Ogos 2015 dan 14 Jan 2018 lalu.

“Pada masa ini, jantina anak panda itu belum dapat dikenal pasti kerana ia masih di bawah jagaan rapi ibunya dan tidak dapat didekati. Petugas Zoo Negara akan terus memantau dan mengawasi Liang Liang dan anaknya bagi tempoh 24 jam,” menurut kenyataan itu.

Perhilitan turut memberitahu bahawa kelahiran anak panda gergasi kali ketiga itu merupakan satu lagi kejayaan kepada usaha konservasi Giant Panda di bawah Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan China yang dimeterai pada tahun 2012.

Pada 21 Mei 2014, Malaysia menerima sepasang panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang daripada kerajaan China sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Seorang kanak-kanak maut akibat terhidu asap dalam kebakaran di sebuah kondominium

0

GEORGETOWN- Seorang kanak-kanak maut akibat terhidu asap dalam kebakaran di sebuah kondominium. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Kondominium The Rise Collection II, Jalan Dr Wu Lien Teh.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Aazelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.05 pagi tadi.

Aazelan berkata, kanak-kanak yang berusia enam tahun itu ditinggalkan di rumah dalam keadaan pintu berkunci oleh ibunya yang mahu ke kedai bersama seorang lagi anak.

Beliau berkata, ibunya membuat panggilan video dengan mangsa sebaik tiba di kedai dan terlihat kepulan asap menerusi panggilan itu sebelum bergegas pulang.

Ibu kanak-kanak terbabit tiba di rumah 10 minit kemudian dan berjaya menyelamatkan mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai akibat terhidu asap.

Anggota bomba kemudian memberi bantuan pernafasan dan rawatan awal sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kemudian disahkan meninggal dunia.

Api berjaya dikawal pada jam 9.36 pagi dengan kemusnahan kebakaran sehingga 70 peratus.

Menurut Aazelan lagi, sistem penyelenggaraan bangunan tersebut berada pada tahap baik sehingga memudahkan anggota bomba untuk memadamkan kebakaran.

Jadi ‘hero’ sekali lagi, penghantar makanan Food Panda bantu polis kejar penjenayah

0

Mereka bukan sahaja rajin dan gigih bekerja setiap hari tetapi mereka jugalah yang banyak membantu pihak berkuasa jika ada kes-kes kecemasan dan mereka adalah penghantar makanan yang banyak jasanya.

Rasanya sudah banyak cerita bagaimana penghantar makanan membantu pihak polis dalam menangani jenayah dan kali ini seorang lagi penghantar makanan Food Panda menjadi ‘hero’ dengan membantu polis.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di KK Mart berdekatan Bandar Sunway Jalan PJS9, Petaling Jaya.

Sinar Harian/Facebook

Apa yang berlaku ialah semasa berlaku aksi kejar mengejar antara polis dan seorang penjenayah, seorang ‘rider’ telah menghalang laluan penjenayah tersebut dengan menggunakan motosikalnya.

Sinar Harian/Facebook

Dia dengan tenang telah mengundurkan motosikalnya sebagai usaha untuk menghalang penjenayah tersebut. Tidak hanya itu, dia kemudian meninggalkan motosikalnya dan terus mengejar penjenayah tersebut.

Video ini berdurasi 36 saat yang terakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) tersebut telah tular di media sosial dan menarik perhatian ramai.

Netizen memuji sikap berani yang ditunjukkan oleh pemuda tersebut dan ada yang mengatakan bahawa tindakannya telah memudahkan kerja pihak polis.

Dakwaan bunyi marmot sama seperti jeritan manusia terbongkar, rupanya lain. Inilah bunyi marmot yang sebenar..

0

Marmot merupakan spesies terbesar di dalam keluarga tupai. Panjang tubuh mereka boleh mencecah dua kaki manakala beratnya pula mencapai 5 kilogram.

Mereka banyak mendiami kawasan pergunungan, khasnya di kawasan Amerika Utara. Inilah marmot, jika anda tidak pernah melihat haiwan comel ini.

Foto hiasan/Pixabay

Sebelum ini, warganet begitu tertarik untuk membahaskan mengenai bunyi marmot yang sebenarnya.

Ini kerana, ada yang mendakwa bahawa bunyi sebenar marmot kedengaran sama seperti bunyi manusia yang sedang menjerit.

Perkara ini membuatkan seorang penulis blog berasa terpanggil untuk merakamkan video bersama marmot bagi mendengar sendiri bunyi marmot.

Burning News/YouTube

Di dalam video ini, penulis blog terbabit cuba meniru bunyi jeritan seperti yang digembar-gemburkan dengan harapan marmot tersebut akan mengeluarkan bunyinya.

Namun nampaknya marmot tersebut tidak mengendahkan malah keliru dengan apa yang cuba dilakukan oleh manusia tersebut.

Namun diakhir video terbabit, kita dapat dengar sendiri bunyi marmot yang sebenarnya! Jom tonton video di bawah :

Burning News/YouTube

Sebenarnya bunyi marmot tidak sama dengan bunyi jeritan manusia seperti yang didakwa warganet, sebaliknya bunyi mereka jauh lebih comel sebenarnya.

Berikut adalah antara video lain yang menunjukkan bunyi jelas haiwan berkenaan :

Facebook

Indonesia luaskan rondaan kapal selam sebagai respon terhadap pencerobohan China di Laut China Selatan

0

Sumber ketenteraan Indonesia mendedahkan bahawa negara terbabit merancang untuk memperluaskan rondaan kapal selam mereka – daripada 4 buah menjadi 12 buah.

Tindakan ini dianggap sebagai tindak balas terhadap pencerobohan berulang kali China ke perairan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.

Indonesia merupakan wilayah perairan ketiga terbesar di dunia di bawah zon ekonomi eksklusifnya (EEZ), tetapi ketika ini hanya memiliki 4 buah kapal selam.

Sebaliknya, Jepun menduduki tempat keenam di wilayah perairan dan memiliki sebanyak 20 buah kapal selam.

Awalnya, Indonesia hanya memiliki 5 kapal selam namun telah kehilangan sebuah kapal iaitu KRI Nanggala 402 dalam satu kejadian di Bali baru-baru ini.

Pasukan mencari dan menyelamat mendapati kapal selam itu tenggelam ke dasar laut dan pecah tiga, serta mengorbankan 53 orang anak kapal. Kapal buatan Jerman itu juga telah beroperasi selama 40 tahun.

Kapal selam Angkatan Laut Indonesia KRI Nanggala ketika latihan di Cilegon, Indonesia pada 3 Oktober 2017/AP

Di antara baki 4 kapal selam yang kini dalam perkhidmatan, 2 daripadanya dibina di Korea Selatan, dan satu lagi dihasilkan secara domestik menggunakan teknologi Korea Selatan.

Selepas tragedi kapal selam bulan lalu, Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto mengatakan bahawa negara itu akan meningkatkan pelaburannya dalam aspek peralatan ketenteraan.

Indonesia berusaha mencapai kesepakatan penghasilan bersama dengan Korea Selatan untuk kapal selam, sementara Perancis, Rusia dan Turki telah menawarkan untuk mengeksport kapal selam masing-masing ke Indonesia.

Menurut penganalisis kumpulan pemikir Indonesia, Khairul Fahmi percaya bahawa jika jumlah kapal selam meningkat menjadi 12 buah maka mereka berupaya untuk melakukan pengawasan secara intensif di kawasan yang sukar dilalui oleh kapal peronda.

Sebilangan 220 kapal China dilihat berlabuh di Whitsun Reef, Laut China Selatan pada 7 Mac 2021/AP

Tindakan itu bakal mengurangkan kehadiran kapal asing di sekitar Kepulauan Natuna. Perluasan rondaan kapal selam Indonesia adalah reaksi terhadap pencerobohan berulang kali rejim China di perairan yang dipertikaikan.

Indonesia menganggap bahawa perairan di Kepulauan Natuna berada di dalam kawasan EEZ miliknya manakala China pula menuntut kedaulatan ke atas perairan terbabit dengan alasan sejarah ‘9 Dash Line’ di Laut China Selatan.

Ketegangan antara kedua daerah di perairan yang dipertikaikan telah meningkat sejak insiden kapal nelayan pada tahun 2016, ketika sebuah kapal peronda Indonesia memintas sebuah kapal nelayan China yang beroperasi berhampiran Natuna. Sebuah kapal pengawal pantai bersenjata China kemudian telah memasuki EEZ dan membebaskan kapal nelayan mereka.

Pada tahun 2020, kapal tentera dan nelayan China dan Indonesia mengalami lebih banyak perselisihan. Sementara itu, Jakarta mengeluh kerana kapal peneliti China meningkatkan transit mereka melalui perairan Indonesia. Selain itu, Indonesia juga curiga setelah China menurunkan dron untuk memetakan dasar laut untuk tujuan peperangan kapal selam.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rejim China telah meningkatkan pencerobohan di Laut China Selatan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain, termasuk Vietnam pada tahun 2019.

Sejak April 2021, ketegangan antara China dan Filipina meningkat, di mana ratusan kapal tentera China ‘menyamar’ sebagai kapal nelayan dan berada di Whitsun Reef.