Sumber ketenteraan Indonesia mendedahkan bahawa negara terbabit merancang untuk memperluaskan rondaan kapal selam mereka – daripada 4 buah menjadi 12 buah.
Tindakan ini dianggap sebagai tindak balas terhadap pencerobohan berulang kali China ke perairan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.
Indonesia merupakan wilayah perairan ketiga terbesar di dunia di bawah zon ekonomi eksklusifnya (EEZ), tetapi ketika ini hanya memiliki 4 buah kapal selam.
Sebaliknya, Jepun menduduki tempat keenam di wilayah perairan dan memiliki sebanyak 20 buah kapal selam.
Awalnya, Indonesia hanya memiliki 5 kapal selam namun telah kehilangan sebuah kapal iaitu KRI Nanggala 402 dalam satu kejadian di Bali baru-baru ini.
Pasukan mencari dan menyelamat mendapati kapal selam itu tenggelam ke dasar laut dan pecah tiga, serta mengorbankan 53 orang anak kapal. Kapal buatan Jerman itu juga telah beroperasi selama 40 tahun.
Di antara baki 4 kapal selam yang kini dalam perkhidmatan, 2 daripadanya dibina di Korea Selatan, dan satu lagi dihasilkan secara domestik menggunakan teknologi Korea Selatan.
Selepas tragedi kapal selam bulan lalu, Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto mengatakan bahawa negara itu akan meningkatkan pelaburannya dalam aspek peralatan ketenteraan.
Indonesia berusaha mencapai kesepakatan penghasilan bersama dengan Korea Selatan untuk kapal selam, sementara Perancis, Rusia dan Turki telah menawarkan untuk mengeksport kapal selam masing-masing ke Indonesia.
Menurut penganalisis kumpulan pemikir Indonesia, Khairul Fahmi percaya bahawa jika jumlah kapal selam meningkat menjadi 12 buah maka mereka berupaya untuk melakukan pengawasan secara intensif di kawasan yang sukar dilalui oleh kapal peronda.
Tindakan itu bakal mengurangkan kehadiran kapal asing di sekitar Kepulauan Natuna. Perluasan rondaan kapal selam Indonesia adalah reaksi terhadap pencerobohan berulang kali rejim China di perairan yang dipertikaikan.
Indonesia menganggap bahawa perairan di Kepulauan Natuna berada di dalam kawasan EEZ miliknya manakala China pula menuntut kedaulatan ke atas perairan terbabit dengan alasan sejarah ‘9 Dash Line’ di Laut China Selatan.
Ketegangan antara kedua daerah di perairan yang dipertikaikan telah meningkat sejak insiden kapal nelayan pada tahun 2016, ketika sebuah kapal peronda Indonesia memintas sebuah kapal nelayan China yang beroperasi berhampiran Natuna. Sebuah kapal pengawal pantai bersenjata China kemudian telah memasuki EEZ dan membebaskan kapal nelayan mereka.
Pada tahun 2020, kapal tentera dan nelayan China dan Indonesia mengalami lebih banyak perselisihan. Sementara itu, Jakarta mengeluh kerana kapal peneliti China meningkatkan transit mereka melalui perairan Indonesia. Selain itu, Indonesia juga curiga setelah China menurunkan dron untuk memetakan dasar laut untuk tujuan peperangan kapal selam.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rejim China telah meningkatkan pencerobohan di Laut China Selatan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain, termasuk Vietnam pada tahun 2019.
Sejak April 2021, ketegangan antara China dan Filipina meningkat, di mana ratusan kapal tentera China ‘menyamar’ sebagai kapal nelayan dan berada di Whitsun Reef.